Isnin, 4 Oktober 2010

Hadith: Sistem Isnad dan penulisannya wujud sejak Nabi saw hidup lagi.

Dari sudut pandangan traditional Islam, hadith telah diterima pakai secara mutlak sebagai rujukan kedua selepas Al-Quran. Penerimaan dan pengiktirafan hadith mempunyai hubungan rapat dengan taraf hadith itu sendiri sebagai penafsir atau pengulas yang paling sahih yang mana kedudukannya terkebawah sedikit daripada Al-Quran. Kalangan Sarjana dan Ulama Islami yang muktabar telah meletakkan satu peraturan umum yang perlu dijadikan panduan bahwa sesiapa juga yang ingin membuat tafsiran terhadap ayat2 Al-Quran , maka pertama2 dia mestilah mencari tafsiran tersebut dari isi kandungan Al-Quran itu sendiri. Ini adalah kerana ayat2 Al-Quran itu sendiri, menurut pandangan sarjana dan ulama, lengkap-melengkapi antara satu sama lain; apa yang agak ringkas di satu tempat dalam Al-Quran, mungkin diperincikan di tempat yang lain.

Bagaimanapun sekiranya tafsiran yang diperlukan tidak ditemui di dalam Al-Quran, maka pada waktu itu dia mestilah menoleh kepada hadith, kerana kandungan hadith sememangnya dianggap sebagai juru ulas lanjut kepada kandungan Al-Quran. Ini telah disepakati oleh jumhur ulama berpandukan sebuah hadith dari Nabi saw yang bermaksud, “Sesungguhnya aku (Rasulullah saw) telah dikurniakan Al-Quran serta sesuatu yang sama dengannya.”

Para sarjana Muslim menafsirkan ungkapan “sesuatu yang sama dengan Al-Quran” itulah Hadith atau Sunnah Rasulullah saw. Jadi adalah cukup jelas kedudukan hadith selaku pengulas atau penafsir lanjut kepada ayat2 Al-Quran yang dalam banyak keadaan diturunkan dalam bentuk yang agak ringkas.

Kita ambil contoh, perhatikan perintah mendirikan sembahyang yang diungkapkan cukup ringkas dalam Al-Quran:

واقيمواالصلوة......

“Dirikanlah sembahyang…” Surah Al-Baqarah: 43, 83, 110 dan Surah An-Nisaa’: 77, 103 dll.

Al-Quran tidak menerangkan bagaimana dan cara2 untuk melakukan solat itu.  Tapi  ini telah diterangkan sendiri oleh Nabi saw. Perincian lanjut tentang cara2 dan kaifiyat sembahyang juga ditunjukkan oleh Rasulullah saw sendiri menerusi laku perbuatan baginda atau gesaan2 baginda secara lisan. Pun halnya dengan perintah menunaikan zakat, diungkapkan secara ringkas dalam Al-Quran……… االزكوة وءاتو .......sebagai “Keluarkanlah zakat..” Surah Al-Baqarah: 43, 83, 110 dan Surah An-Nisaa’: 77, 103 dll. Perincian mengenai penghuraian zakat mesti dicari dlam isi kandungan hadith.

Maka adalah logik dan amat wajarlah hadith diterima sebagai sumber kedua kepada seluruh isi kandungan pengajaran Islam. Malah keduanya sangat berhubung rapat dan tidak sempurna tanpa adanya bantuan serta penjelasan daripada kandungan hadith. Dan inilah kedudukan dan autoriti Rasulullah saw itu sendiri dalam keseluruhan kerangka keagamaan Islam. Secara umumnya Al-Quran menggesa seluruh Muslim mentaati Rasulullah saw sebagaimana terkandung di dalam ayat ini:

...وماءاتىكم الرسول غخذوه وما نهكم عنه فانتهوا....

“….dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya, maka patuhilah larangannya…”  (Q59 : 7)

Ternyata bahawa ketaatan kepada Rasulullah saw seperti yang dikehendaki oleh Al-Quran ialah mengikut apa yang disuruhnya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Rasulullah saw. Tidak cukup dengan itu Allah swt telah mengangkat darjat baginda antara lain, untuk bertindak sebagai penghurai isi kandungan Al-Quran, penggubal peraturan kehidupan harian, serta juga sebagai pengadil atau hakim dalam menyelesaikan pertelagahan. Kita boleh rujuk pada ayat berikut:

...وأنزلنا إليك الذكرلتبين للنا س ما نزل إليهم ولعلهم يتفكرون

“…dan Kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan pada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” (Q 16 : 44 )

الذين يتبعون الرسول النبي الاءمي الذى يجدونه مكتوبا عندهم فى التورىة والاءنجيل يأ مرهم بالمعروف وينهىهم عن المنكرويحل لهم الطيبت ويحرم عليهم الخبءث ويضع عنهم إصرهم والآءغلل التى كانت عليهم....

“(Iaitu) orang2 yang mengikut Nabi Muhammad rasul yang ummi, yang (namanya) mereka dapati termaktub dalam kitab Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, ia menyuruh mereka berbuat kebajikan dan melarang daripada yang mungkar (haram), menghalalkan bagi mereka yang enak2 (lazat rasanya) dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk2, lagi membuangkan drp mereka beban2 dan belengu yang ada pada mereka….”  (Q7 : 157)

فإن تنزعتم فى شئ فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون با لله واليوم الآءخر...

“…kemudian jika kamu berbantah2 (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah) RasulNya – jika kamu benar2 beriman kepada Allah dan hari akhirat….” (Q4 : 59)

Gugusan ayat diatas mencatatkan sejumlah autoriti atau fungsi yang dipertanggungjawabkan oleh Al-Quran supaya dilaksanakan sepenuhnya oleh Rasulullah saw atas sifat baginda sebagai Rasul Allah kepada seluruh umat manusia. Maka dalam proses pelaksanaan tugas ini tentulah hadith terlibat secara langsung dalam mewarnai keseluruhan isi kandungan pengajaran Islam. Justru, sesiapa yang cuba menolak hadith maka bermakna dia telah menolak dan menentang ketentuan yang telah ditetapkan oleh Al-Quran. Jelas!

Sebenarnya hadith telah sedia ditulis sejak zaman Rasulullah saw masih hidup. Ini menolak pendapat yang sewenang2nya hadith ini  dan itu palsu dan sebagainya. Hadith yang diterima mempunyai isnad, matn serta lain2 kaedah yang tidak dibincangkan di sini. Surat-menyurat telah menjadi perkara biasa sejak zaman Nabi saw hidup lagi apalagi hadith2. Mari kita selidikinya dari sudut sejarah.

A.     Masa hayat Rasulullah saw.

1.      Sebelum Hijrah Rasulullah saw (ke Madinah) baginda telah menyuruh para pengikutnya berhijrah ke Habsyah dengan menyertai sekali surat sokongan untuk diberikan kepada Negus (raja Habsyah). Dalam tempoh yang sama baginda juga telah mengutus surat kepada Musab bin Umayr dan Saraqah bin Malik dengan arahan supaya menulis perjanjian Aqabah.

2.      Selepas Berjaya menerajui Madinah, satu peristiharan bertulis mengenai pemerintahan atau pentadbiran Negara telah diumumkan, yang disebut Sahifah Madinah. Ini telah diakui oleh Ibnu Hisham dan Ahmad Zaki Safwat dalam Hamidullah, The First Written Constitution of the World, an Important Document of the Time of the Holy Prophet. Baginda juga telah membuat perjanjian bertulis dengan pelbagai kabilah di Madinah. Jadi dah ada bahan bertulis.

3.      Semasa menetap di Madinah baginda mengutus surat kepada pembesar2 kerajaan utama masa itu seperti maharaja Rom, maharaja Parsi, maharaja Byzantine, raja Habsyah, raja Mesir dan lain-lain. (Asqalani, al-Tabari, Ibn al-Athir, Hamidullah dll)

4.      Semasa Makkah telah ditakluki, Rasulullah saw telah membuat perisytiharan bertulis.

B:    Masalah Tegahan penulisan hadith

Terdapat suatu pandangan yang lazim bahawa Rasulullah saw menegah para sahabat daripada menulis hadith. Laporan ini bersumberkan dari Abu Said al-Khudri ra, Abu Haurairah ra dan Zaid bin Tsabit ra. (al-Baghdadi dalam Hamidullah)

Masalah tegahan dalam menulis hadith boleh dijelaskan menerusi cara2 berikut:

1.      Tegahan dibuat kerana takut dan bimbang al-Quran akan bercampur aduk dengan hadith. Bilamana kebimbangan ini terbukti tidak berasas, maka ia telah dibenarkan.

2.      Tegahan hanya ditujukan kepada kalangan yang baru memeluk Islam.

3.      Tegahan itu dimaksudkan untuk melarang penulisan Al-Quran dan hadith dibuat di atas bahan yang sama.                                         (al-Asqalani, Hamidullah)

Ada bukti-bukti bahawa Rasulullah saw membenarkan sebahgian para sahabat menulis hadith.

1.      Seorang sahabat dari kalangan Ansar bersungut beliau dalam banyak keadaan sukar mengingati apa yang diucapkan oleh Rasulullah saw, lalu baginda mencadangkan supaya beliau menulisnya. (At-Termitzi, Hamidullah dan Abu Shahbah).
2.      Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Shah meminta supaya ucapan Rasulullah saw pada hari penawanan Makkah ditulis untuknya dan Rasulullah saw membenarkannya. (as-Asqalani)
3.      Abdullah bin Amr bin As ra memberitahu Rasulullah saw bahawa beliau telah menulis apa yang baginda telah perkatakan, dan beliau bertanya sambil berkata: “ Bila masanya saya mesti menulis, bila tuan dalam keadaan sukahati, atau bila tuan dalam keadaan marah?” Rasulullah saw menjawab: “ Di dalam kedua2 keadaan itu, aku hanya memperkatakan kebenaran.” (Musnad Ahmad, Sunan Abi Daud, Tabaqat Ibn Sa’d)

C:           Zaman Para Sahabat

Pada sahabat adalah kalangan mereka yang sezaman dengan Nabi saw, mereka melihat dan mengiringi baginda semasa Hajjatul Wada’. Ada yang kata bilangan mereka seramai 90,000 orang manakala setengah yang lain seperti Ibn Athir mengatakan 140,000 orang. Sahabat yang paling akhir sekali meninggal dunia ialah Abu Tufail Amir Wathilah al-Laithi (wafat pada 100H atau 110H) Para sahabat dengan giat meriwayatkan hadith sesama mereka serta kepada generasi yang lebih muda drp mereka, apa jua yang mereka tahu dan dengar mengenai Rasulullah saw.

Setengah drp mereka menulis Sahifah iaitu secara harfinya bermakna muka surat – yang mengandungi apa yang mereka lihat, dengar dan tahu tentang Sunnah seperti apa yang dilakukan oleh Abu Hurairah ra dan anak muridnya Hammam bin Munabbih. Abu Hurairah meriwayatkan terus dari Nabi saw manakala anak muridnya Hammam bin Munabbih menulis dalam koleksi kecil yang dikenali sebagai Sahifah Sahihah dan anak muridnya (Hammam) bernama Mamar bin Rashid (asqalani, al-Dhahabi, Mizan al-I’tidal)

Mamar bin Rashid pula mempunyai anak murid bernama Abd Razaq bin Hammam bin Nafi al-Himyari yang kemudiannya menjadi guru kepada Imam Ahmad bin Hambal dan Abu al-Hassan Ahmad bin Yusof al-Salami. Imam Ahmad telah memasukkan Sahifah Hammam bin Munabbih (iatu drp Abu Hurairah ra) ke dalam Musnadnya sendiri. Mereka yang meriwayatkan sejumlah besar hadith ialah Jabir bin Abdullah (Hamidullah, Sahifah), Aishah binti Abi Bakr ra serta murid2 beliau, Umrah dan Qasim.

Mari kita tengok dua contoh penyebaran isnad yang bermula dari Abu Hurairah ra.
Abu Hurairah melaporkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda apabila sesiapa di kalangan kamu bangun dari tidor, dia mestilah jangan menyentuh dengan tangannya peralatan yang biasa digunakan di rumah sehinggalah dia telah membasuh tangannya sebanyak tiga kali, kerana dia tidak tahu apa yang dijamahnya semasa  dia tidor.

Sekurang2nya 13 orang murid Abu Hurairah ra meriwayatkan hadith ini daripada beliau.

*             8 orang drp 13 orang tersebut adalah dari Madinah.
*             1 orang drp 13 orang tersebut dari Kufah.
*             2 orang drp 13 orang tersebut dari Basrah.
*             1 orang drp 13 orang itu dari Yaman.
*             1 orang drp 13 orang itu dari Syria.

Terdapat 16 orang para sarjana yang telah meriwayatkan hadith diatas drp murid2 Abu Hurairah ra.

*             6 orang drp 16 orang tersebut adalah dari Madinah.
*             4 orang drp 16 orang tersebut dari Basrah.
*             2 orang drp 16 orang tersebut dari Kufah.
*             1 orang drp 16 orang tersebut dari Makkah.
*             1 orang drp 16 orang tersebut dari Yaman.
*             1 orang drp 16 orang tersebut dari Khurasan.
*             1 orang drp 16 orang tersebut dari Hims, Syria.
Ciri istimewa yang lazim dalam kebanyakan hadith yang baik di peringkat awal abad kedua Hijrah terletak pada jumlah besar para perawi yang datang dari daerah2 dan negeri2 yang berlainan seperti yang dinyatakan tadi. Adalah tidak mungkin semua perawi berhubungan satu dengan yang lain untuk maksud memberikan bentuk dan pengertian yang sama dalam periwayatan sesebuah hadith tertentu.

Sekiranya sesebuah hadith tertentu diriwayatkan begitu ramai para perawi dengan bentuk dan pengertian yang sama maka kesahihan hadith itu tidak boleh dipersoalkan, sedangkan keamanahan individu2 para perawi tersebut telah disahkan oleh orang2 yang hidup sezaman dengan mereka.

D.           Zaman Para Tabiin

Tabiin adalah kalangan mereka yang hidup sezaman dengan Rasulullah saw tapi tidak bertemu dengan baginda saw. Para tabiin adalah berjumlah jauh lebih besar drp para Sahabat kerana setiap Sahabat mempunyai ramai pengikut atau muridnya.

Khalifah Umar Bin Abd. Aziz (wafat 101H) dari Bani Umayyah telah mengarahkan Ibn Shihab al-Zuhri (51-124H) supaya mengumpulkan hadith. Beliau juga memerintahkan Abu Bakr bin Muhammad bin Amir bin Hazm (Gabenor Madinah – 110H) supaya mengumpul hadith dari Umrah (rujuk Hamidullah). Umar bin Abd. Aziz wafat tanpa sempat melihat hasil pengumpulan hadith -  yang bertambah dengan kadar yang luas. Nama2 lain pengumpul hadith adalah Abu Qahafah (wafat 107H), Makhul (wafat 116H) dan ramai lagi termasuk Imam Malik bin Anas (93-179H).

E.            Zaman Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari (194 - 256H) telah menunjukkan kecerdikan dan keupayaan untuk menyelidik isnad dgn meletakkan kriteria kepada perawi. Beliau sangat teliti dalam meniliti hadith yang mempunyai isnad yang terbaik dan memasukkan hadith2 tersebut dalam kitab al-Jami’al-Sahihnya.
Dari huraian2 di atas kita boleh menyimpulkan bahawa hadith telah benar2 diriwayatkan oleh para Sahabat, sebahgiannya ditulis dan kebanyakannya dihafaz.

Memang benar dalam era pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan zaman Abassiyah ramai orang telah memalsukan hadith untuk tujuan politik, namun akhirnya hadith telah dikumpul secara sistematik oleh ramai sarjana dan Imam al-Bukahari salah seorang yang penting dalam pengumpulan hadith kerana sikap cermat dan telitinya.

Kaedah yang digunapakai diperingkat awal penyebaran sunnah Rasulullah saw telah melahirkan isnad dan ini merupakan pertumbuhan awal sistem ini. Dan jangan lupa, dalam hubungan ini, kenyataan yang dibuat Ibn Sirin telah menjadi amat berguna hingga sekarang. Apa tu??

Ibn Sirin berkata, “Mereka telah tidak bertanya tentang isnad, tetapi apabila perang saudara – fitnah – telah berlaku mereka berkata ‘namakan kepada kami orang2 kamu; kalangan mereka yang tergolong dalam Ahlus-Sunnah, hadith2 mereka diterima, dan golongan mereka yang tergolong dalam golongan pembaharu (bida’ah) maka hadith2 mereka diabaikan.” (Muslim, Sahih, hlm 15 (Pengenalan), dan al-Hasan bin Abd Rahman al-Ramhurmuzi, al-Muhaddith al-Fasil bayn al-Rawi wa al-Wa’I, Koprulu, MSS. No. 397, Istanbul, 10a.

Sayugia, Prof. Azami telah melaporkan dalam tulisannya bahawa persoalan sistem isnad ini telahpun berlaku sejak zaman rasulullah saw hidup lagi; walaupun penggunaan biasa sistem tersebut - berdasarkan kehendak suasana – mencapai puncaknya pada akhir abad pertama Hijrah. Suka aku akan ayat yang dipakai Prof. Azami ini yang dipetik dari ‘The Isnad’ halaman 20 ….dalam memperkatakan sistem isnad ini:

As it was not possible for every Companion to be with the Prophet on every occasion, they came to an agreement between themselves to attend his circle in shifts. It was a common practice among them to inform absentees about the Prophet’s saying and deeds.

Sememangnya seperti apa yang dikatakan diatas merupakan permulaan kepada sistem isnad. Dalam keadaan tersebut para Sahabat semasa menjelaskan kepada para sahabat yang tidak berkesempatan bersama Rasulullah saw; mereka tentunya secara tabii menggunakan ungkapan2 seumpama: “Rasulullah saw melakukan sesuatu begitu dan begitu, atau Baginda berkata begitu dan begitu.” Dan itulah apa yang dikatakan sebagai Isnad.

Sumber Rujukan dari Pembacaan Artikel:

Zakaria Stapa, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, UKM

Prof. Mohammad Mustafa Azami, Studies in the Early Hadith Literiture, with a critical Edition of same Early Texts (Indiana: American Trust Publications, 1978), hlm. 183-184.

Isnin, 13 September 2010

Bid'ah dalam Bidang Ilmu Agama: Mengaku Lebih Memahami Salaf Berbanding Ulama' Terdahulu





by Abu Hibah on Monday, September 13, 2010 at 4:15pm
Antara gejala buruk yang berlaku dalam bidang ilmu agama adalah kemunculan golongan yang mengaku lebih memahami manhaj salaf berbanding para ulama' sebelum mereka yang mereka gelar sebagai "khalaf". Untuk menjadikan diri mereka berhak mengetahui siapa sebenarnya salaf dan apa sebenarnya manhaj salaf, maka mereka menamakan diri mereka sebagai "salafi", iaitu orang yang mengikut jejak salaf.

Ini adalah suatu bid'ah dalam bidang ilmu agama yang tidak pernah berlaku sebelum kemunculan golongan ini. Mengaku "salafi" tidak menjadikan seseorang itu mengikut salaf dan menganggap orang lain sebagai "khalafi" tidak menyebabkan mereka tidak mengikut salaf. Ukurannya adalah dengan merujuk tulisan-tulisan para ulama' salaf itu sendiri, untuk menilai siapa sebenarnya yang mengikut salaf.

Kejahilan Terhadap Istilah

Golongan intelektual separuh matang yang muncul dalam lapangan intelektual Islam terpaksa mewujudkan terminologi-terminologi (mustalahat) baru untuk mengabui golongan yang lebih jahil daripada mereka. Lalu, mereka menggunakan istilah tertentu yang diberi takrif baru yang menyalahi penggunaannya yang asal untuk mendominasi dan memonopoli istilah tersebut.

Maka, wujudlah terminologi seperti "salafi", "khalafi" dan sebagainya yang mana sebelum ini, para ulama' hanya menggunakan istilah khalaf dan salaf sahaja.

Salafi di sisi golongan ini adalah: "orang yang mengikut manhaj salaf".

Khalafi di sisi golongan ini adalah: "orang yang tidak mengikut manhaj salaf".

Padahal, istilah salaf dan khalaf yang digunakan oleh para ulama' secara sepakat sebelum kemunculan golongan ini adaah:

Salaf: Generasi yang hidup dalam kurun pertama sehingga kurun ketiga hijrah, atau sehingga kurun kelima hijrah. Paling kuat adalah, sehingga kurun ketiga hijrah.

Khalaf: Generasi yang hidup setelah kurun ketiga atau kelima hijrah.

Maka, istilah salaf dan khalaf dalam penggunaan asal para ulama' tidak pernah bermaksud suatu perbezaan manhaj, tetapi lebih berbentuk perbezaan tempoh masa. Sehinggalah muncul golongan wahabi ini, yang meneruskan semangat Ibn Taimiyyah yang sering mengaku lebih memahami salaf berbanding ulama'-ulama' lain sebelumnya yang dianggap kurang memahami manhaj salaf, lalu memulakan usaha menamakan diri sebagai salafi lalu menamakan selain mereka sebagai khalafi.

Dengan usaha ini mencetuskan suatu perkembangan di mana golongan ulama' yang berlainan kefahaman daripada mereka dianggap sebagai tidak mengikut salaf walaupun para ulama' tersebut adalah majoriti ulama' Islam. Bagi mereka, tokoh-tokoh yang memahami "salaf" yang sebenar hanyalah beberapa kerat sahaja seperti Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhammad Abdul Wahab dan sebagainya.

Sedangkan, majoriti ulama' lain yang beraliran Asya'irah dan Maturidiyyah dalam bidang aqidah adalah "khalafi" yang tidak mengikut mazhab dan manhaj Salaf. Maka, sebagai contoh, muncullah situasi seorang insan yang mungkin hanya seorang pekerja di sebuah kilang, mengaku lebih memahami salaf berbanding Hujjatul Islam, Al-Imam, Al-Mujtahid, Al-Faqih, Al-Usuli Sheikh An-Nizhamiyyah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali yang merupakan mudir kepada sebuah madrasah terbesar di zaman beliau iaitulah Al-Madrasah An-Nizhamiyyah.

Situasi lain pula muncul seorang insan kerdil yang masih tidak mengenal beza antara mubtada' dengan khabar lalu mengaku lebih mengikut Al-Qur'an dan AS-Sunnah dalam masalah aqidah berbanding Al-Imam Al-Hafiz Al-Muhaddith Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Ibn Hajar Al-Asqollani, pensyarah kitab Sahih Al-Bukhari.

Situasi lain pula, muncul seorang insan kerdil yang tidak memahami Al-Qur'an dan As-Sunnah melainkan dengan merujuk terjemahan, mengaku lebih memahami apa itu sunnah dan apa itu bid'ah berbanding Al-Imam Al-Mujtahid Al-Mutlaq, Al-Hujjah, Imamul Mazhab, Muhammad bin Idris As-Syafi'e sehingga boleh menuduh amalan doa qunut pada waktu Subuh yang diamalkan oleh Imam As-Syafi'e tersebut adalah suatu bid'ah sedangkan Imam As-SYafi'e adalah seorang tokoh yang telah menghafal bukan setakat Al-Qur'an, tetapi juga kitab hadith yang awal dihimpunkan iaitulah kitab Al-Muwatha' secara keseluruhannya sebelum mencapai umur baligh.

Lihatlah ukuran situasi-situasi ini. Tidak adakah suatu bid'ah lebih besar daripada bid'ah sebegini? Ungkapan: saya "salafi" bahkan lebih "salafi" daripada Al-Imam Al-Ghazali (hidup tahun 450 Hijrah dan meninggal dunia tahun 505 Hijrah) bahkan lebih memahami sunnah dan bid'ah berbanding Al-Imam As-Syafi'e (150-204 H) seolah-olah berkumandang secara lisan hal di mana-mana oleh pengikut golongan ini.

Khalaf adalah Penerus Manhaj Salaf

Seseorang perlu ketahui bahawasanya apa yang dimaksudkan sebagai "Khalaf" adalah para ulama' yang hidup setelah berlalunya zaman salaf yang meneruskan manhaj umum para ulama' salaf. Khalaf tidak pernah bererti suatu golongan ulama' yang berbeza dengan ulama'-ulama' salaf dari sudut aqidah, manhaj fiqh dan akhlak.

Istilah salaf sendiri bererti

سَلَفَ يَسْلُفُ سَلَفاً وسُلُوفاً: تقدَّم

Maksudnya: Salaf: Taqaddam iaitu terdahulu. [Lisan Al-'Arab, madah salafa]

والسَّلَفُ والسَّلِيفُ والسُّلْفَةُ: الجماعَةُ المتقدمون

Maksudnya: "As-Salaf, As-Salif dan As-Sulfah: Golongan Terdahulu [ibid]

Jadi, seseorang yang mengaku sebagai "salafi" secara bahasanya bererti orang yang terdahulu. Sepatutnya sudah tidak hidup lagi kerana dia sepatutnya digantikan oleh orang yang kemudian. Oleh kerana itulah para ulama' salaf tidak menyebut diri mereka sebagai "salafi" ketika mereka hidup kerana para ulama' khalaflah yang memanggil mereka sebagai ulama' salaf kerana mereka telah berlalu dan mendahului generasi kemudian.

Khalaf pula bererti generasi yang ditinggalkan setelah generasi terdahulu. Ia dari perkataan khalafa yang bererti ke belakang atau kemudian.

الخَلْفُ ضدّ قُدّام

Maksudnya: Khalfu adalah lawan bagi Quddam (hadapan) [Lisan Al-'Arab, madah: khalafa]

Seseorang itu tidak dinamakan sebagai khalaf bagi sesuatu melainkan dia penerus kepada apa yang dilakukan oleh orang terdahulu. Maka, dinamakan para ulama' khalaf sebagai khalaf kerana mereka meneruskan apa yang dipegang oleh ulama' salaf, bukan kerana mereka berbeza dengan salaf. Orang yang memahami ulama' khalaf berbeza dengan ulama' salaf dari sudut pegangan dan kefahaman agama yang usul adalah suatu kefahaman batil terhadap maksud khalaf itu sendiri.

Rasulullah s.a.w. sendiri memuji generasi khalaf ini yang meneruskan usaha menjaga kemurnian agama daripada golongan jahil dan batil.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله، ينفون عنه تحريف الغالين، وانتحال المبطلين، وتأويل الجاهلين

Maksudnya: "Ilmu ini akan dipikul oleh setiap khalaf (orang yang kemudian) dari kalangan yang adil daripadanya, yang menafikan tahrif (penyelewengan) pelampau, kepincangan golongan pembuat kebatilan dan takwilan orang-orang jahil".

[Hadith diriwayatkan secara mursal dalam sebahagian riwayat (Misykat Al-Mashabih) dan disambung secara sanadnya kepada sahabat kepada Rasulullah s.a.w. oleh Al-Imam Al-'Ala'ie. As-Safarini mengatakan ianya sahih dalam kitab Al-Qaul Al-'Ali m/s: 227]

Ulama' Khalaf adalah Salaf Pada Generasi Setelah Zaman Salaf

Kita perlu menyedari hakikat ini, dengan menyusuri sejarah dan lembaran tulisan ulama' tentang hakikat bahawasanya majoriti ulama' khalaf sebenarnya adalah penerus manhaj dan kefahaman ulama' salaf dalam bidang agama. Nama-nama seperti Asya'irah, Maturidiyyah dan sebagainya dalam bidang aqidah adalah suatu tradisi yang sama seperti nama-nama Syafi'iyyah, Malikiiyyah, Ahnaf dan Hanabilah dalam bidang fiqh. Ia tidak lebih daripada himpunan manhaj seragam dan perkembangan kaedah pendalilan (istidlal) dalam sesuatu bidang ilmu, bukan suatu kelaianan atau percanggahan daripada apa yang difahami oleh salaf. Hatta mengaku "Salafi" juga adalah kelainan daripada salaf itu sendiri.

Oleh sebab itulah, ramai tokoh-tokoh Asya'irah dalam bidang aqidah menulis kitab-kitab aqidah lalu menisbahkan aqidah mereka kepada as-salaf as-sholeh. Antaranya adalah:

Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin Al-Husain Al-Baihaqi Al-Asy'ari yang menulis kitab berjudul:

الاعتقاد علي مذهب السلف اهل السنه و الجماعه

(Al-I'tiqad 'ala Mazhab As-Salaf Ahl As-Sunnah wal Jamaah yang bermaksud: Kepercayaan berteraskan mazhab Salaf ahli sunnah wal jamaah).

Sudah pasti kitab ini mengandungi perbahasan-perbahasan aqidah secara manhaj Asya'irah, namun di sisi Al-Imam Al-Baihaqi, ianya tidak lain melainkan aqidah mazhab Salaf juga. Jadi, Asya'irah juga adalah "Salafiyyah" (jika ingin digunakan istilah sekarang) pada asalnya, bahkan lebih awal sebagai "Salafiyyah" berbanding Salafiyyah Wahabiyyah yang muncul kemudian.

Begitu juga Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali yang menulis kitab berjudul:

Iljam Al-Awam 'An Ilm Al-Kalam

Dalam kitab tersebut menjelaskan manhaj sebenar salaf dalam berinteraksi dengan ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat dengan cara tafwidh. Beliau menisbahkan manhaj ini (walaupun sebagai antara ulama' Asya'irah) kepada manhaj As-Salaf AS-Sholeh. Dalam Muqoddimah kitab ini, Al-Imam Al-Ghazali mengkritik Hasyawiyyah yang memahami nas-nas yang zahirnya tasybih secara zahir, lalu mengaku ianya sebagai aqidah salaf, kemudian beliau menjelaskan manhaj as-salaf yang sebenar secara manhaj asy'ari. Maka, Al-Ghazali juga cuba menetapkan ke"salafi"an beliau tanpa mengaku "salafi".

Oleh sebab itulah, tokoh besar Al-Azhar AS-Syarif, Sheikh Abu Zahrah menjelaskan pertembungan Asya'irah, Maturidiyyah, Ibn Taimiyyah dan Wahabi dalam masalah aqidah di mana ianya adalah dalam usaha mengaku siapa lebih memahami as-salaf yang sebenar. Kemudian, Sheikh Abu Zahrah menguatkan pendapat bahawasanya, cara Al-Imam Al-Ghazali (Asya'irah) dan Maturidiyyah dalam memahami Salaf lebih tepat berbanding cara Ibn Taimiyyah memahami salaf dalam masalah aqidah. [Rujuk kitab Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah]

Mengaku "Salafi" Adalah Bid'ah yang Bahaya

Maka, benarlah kesimpulan yang dibuat oleh tokoh besar iaitu Sheikh Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti dalam kitab As-Salafiyyah, bahawasanya bermazhab dengan mazhab salafi adalah suatu bid'ah yang bahaya. Sila rujuk di sini:http://www.dahsha.com/uploads/SalafyyaBouti.pdf

Ini kerana ianya seolah-olah menyimpulkan beberapa perkara:

As-Salaf itu bukan semata-mata suatu zaman yang diberkati, tetapi suatu himpunan keseragaman manhaj dalam bidang agama. Padahal, keseragaman manhaj dalam bidang agama tidak berlaku dalam keseluruhan salaf. Dalam bidang fiqh sahaja ada perbezaan antara Ahl Hadith dengan Ahl Ra'yi. Dalam bidang aqidah juga berbeza-beza manhajnya. Al-Imam Ahmad berbeza dengan Al-Imam Al-MUhasibi dan Ibn Kullab. Begitu juga Al-Imam Al-Bukhari berbeza dengan Al-Imam Ahmad dalam masalah lafaz Al-Qur'an. Begitulah masalah-masalah lain. Jadi, tidak ada namanya mazhab salaf dalam erti kata suatu himpunan keseragaman manhaj dalam bidang agama. As-Salaf dalam istilah sebenar hanyalah suatu tempoh masa yang diberkati.

Ia seolah-olah mengeluarkan selain daripada "salafiyyah" daripada pengikut salaf yang sebenar. Oleh kerana itulah, munculnya Salafiyyah Wahabiyyah yang menafikan Asya'irah, Maturidiyyah, Sufiyyah dan sebagainya daripada pengikut salaf yang sebenar. Salafiyyah Wahabiyyah telah menjuarai dominasi "mengikut salaf" lalu menganggap selain mereka sebagai "tidak mengikut salaf". Ini suatu prasangka yang bahaya kerana tidak mengikut salaf dalam masalah usul agama bererti tidak mengikut Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Ini adalah tohmahan yang sangat bahaya. Oleh kerana itulah, ramai orang jahil menganggap para ulama' Asya'irah, MAturidiyyah dan Sufiyyah tidak mengikut aqidah sebenar Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Ini membawa kepada menuduh sesat selain mereka yang mengaku "salafi".

Padahal, Asya'irah, Maturidiyyah, Sufiyyah dan sebagainya yang masih dalam lingkungan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah hanya berbeza manhaj dan pendekatan dalam bidang agama, bukan berbeza isi kandungan kefahaman agama dengan as-salaf. Pendekatan dan manhaj adalah suatu yang berkembang mengikut zaman sepertimana juga kemunculan mazhab fiqh pada awal kurun ketiga hijrah lalu diteruskan sehingga hari ini. Tidak boleh mengatakan mazhab syafi'e, atau mazhab maliki bukan fiqh Rasulullah s.a.w kerana mazhab adalah himpunan cara ulama' memahami dalil-dalil yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w..

Maka, tidak perlu mengaku "salafi" untuk dinilai sebagai mengikut as-salaf as-sholeh. Ukurannya jelas iaitu dengan memahami agama mengikut kefahaman as-salaf as-sholeh. Rujuklah kitab-kitab ulama' salaf sendiri. Bukan sekadar merujuk satu dua tokoh kemudian yang mengaku hanya mereka sahaja yang memahami salaf. Adalah suatu kepincangan apabila seseorang menjelaskan tentang manhaj salaf namun rujukannya adalah bukan salaf seperti Sheikh Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab sedangkan banyak lagi tulisan para ulama' salaf muktabar boleh dirujuk. Sheikh Ibn Taimiyyah tidak semestinya tepat dengan kefahaman salaf dalam semua masalah dan para ulama' lain tidak semestinya tidak memahami salaf yang sebenar. Banyakkanlah lagi bahan kajian agar kita jujur dalam membuat kajian.

Aku ceduk dari tulisan Ustaz Raja Ahmad Mukhlis.....terima kasih!

Rabu, 1 September 2010

Nama2 lain bagi surah Al-Ikhlas


Surah ygang diturunkan di Mekah dan punyai 4 ayat. Ia menetapkan  dalam diri kita akan keesaaan Zat Allah, keesaan Sifat ketuhananNya dan keesaan perbuatanNya. Dinamakan surah Al-Ikhlas  (Tauhid yang sebersih-bersihnya) kerana dalam surah ini Allah swt memerintahkan junjungan besar Rasulullah saw supaya menegaskan kepada umum: Bahawa Allah Taala Maha Esa – dan tiada bandinganNya.

Intisari surah ini memberi kesedaran kepada hati kecil manusia tentang iktiqad tauhid yang sebersih2nya, untuk dijadikan asas dalam peribadatannya dan seterusnya bawaan dalam alam kehidupan. Jadi tumpuan manusia yang mengaku hamba adalah pada penciptanya (Allah) semata2, tidak lain dan tidak bukan, masa senang dan susahnya kerana padaNya tempat pergantungan. Dialah punca bagi segala keadaan, kekuasaan dan ketetapan.

Ada pun nama2 surah Al-Ikhlas....banyak rupanya.. pun fadhilatnya. Patutlah Nabi kata sapa yg membacanya seumpama membaca sepertiga Al-Quran.

1- Al-Ikhlas - Kata Abu Said Al-Hanafi dinamakan sedemikian kerana surah ini akan menyelamatkan pembacanaya dari kesusahan dunia, kesukaran Sakratul Maut, kegelapan kubor dan kesusahan hari Kiamat.

Mankala kala Qatadah, surah ini khusus membicarakan Sifat Allah. Bersih dari kata2 membicarakan bab2 dunia atau akhirat.

2-Suratul Tafrid, dan Suratul Tajrid juga disebut Surah At-Tauhid - tidak membicarakan sifat Allah yg len kecuali sifat Salbiyah....yakni sifat yg x dak pada makhluk. sifat Jalal. sapa yg dok ralit baca surah nih akan terlepas dari sifat Abu Jahal, selamat dari siksa Neraka..Kalau di akhirat sana tidak akan dicampur bersama dengan Abu Jahal dan Abu Lahab.

3. Dinamakan juga Surah Amnajah kerana terselamat dia dunia dan akhirat. Di duinia dia selamat dari bencana alam dan di akhirat selamat dari azab dan siksa neraka Jahannam.

4. Surah Al-Wilayah - barangsiapa rajin membacanya termasuk ia dari para AuliyaNya dan barangsiapa mengerti dan kenal betul Allah pada jalan ini maka ia selalu dlm pemeliharaan Allah dan mendapat rahmatNya.

5. Surah Annasbah - الله احه الله الصمد وان الصمدلا جوف له
"Setiap sesuatu ada bandingannya, sedang bandingan Allah Qul huwallaahu ahad. Allahush Shomad. Kerana Ash Shomad itu tiada tandingnya."

6. Surah Al-Ma'rifah - Ada riwayat Nabi menunjukkan pada seseorang yg sholat 2 rokaat dan baca surah ini mudian lebih kurang kata Nabi.."Nilah orang yg makrifat pada Tuhannya."

7. Surah Al-Jamanad - Ada hadith berbunyi..."Sesungguhnya Allah Maha Indah, suka pada brg yg indah. Nabi ditanya: Ya Rasulullah. Apakah makna Maha Indah? Maka jawab baginda:" Keindahan Allah itu dgn sifatNya Yang Esa. Tempat meminta. Tidak beranak. Tidak diperanakkan. Tidak ada bandingan dgn sesuatu. Dan keindahannya seorang hamba ialah mengenal akan sifat2 Allah spt. ini."

8. Surah al-Mugosyqosyah - siapa yg membacanya akan sembuh dari penyakit syirik.

9. Surah Al-Mu'awwadzah - syor Nabi pada Saydina Ali masa jadi pengantin pada Sayyadatina Siti Fatimah masa mengambil utk diwak pulang ke rumahnya supaya membaca bersama surah ini ngan surah Al-Falaq dan An-Nas.

Cerita len ada diriwayatkan Nabi suruh baca surah Ai-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas di waktu pagi dan petang.."..cukuplah engkau membaca ini dlm soal dunia akhirat."

10. Surah Al-Asas - Dari Qatadah, dari Anas dari Nabi saw. Dikukuhkan 7 petala langit dan 7 petala bumi atas firman Allah..Qul huwallaahu ahad dan sekirannya akidah agama2 lain yg kata tuhan itu dua atau tiga atau ramai lagi maka kan runtuhlah dunia spt firman Allah..

لوكان فيهما ا لهة من دون الله لفسدتا

'Jika sekiranya di langit dan di bumi ada banyak tuhan selain Allah, pasti bumi dan langit akan hancur."

Dan firman Allah lagi yg maksud.."Hampir2 saja langit2 akan runtuh kerananya dan bumi menjadi terbelah dua dan gunung ganang akan meledak, kerana mendengar perkataan mereka yg mengatakan Tuhan itu mempunyai anak."

Allah! betapa murkanya Allah pada pelaku syirik...tu baru kat alam ciptaanNya, apatah lagi pada diri pelaku syirik. Pasti hancur tak leh nak cerita..Sebab itu kita wajib bertauhidkanNya dan memakmurkan dunia ini.

11. Surah Al-Maani'ah - riwayat dari Adhohak bin Muhazim dari Ibnu Abas ra...."Sesungguhnya Allah swt telah berfirman kpd Rasul saw pada malam Mikraj: Aku berikan surah Al-Ikhlas, ya Muhammad suatu kebanggaan yg tersimpan dlm ArasyKu. Ia dapat menolak azab kubur dan siksa neraka.

12. Surah Al-Muhdhorah - sapa yg membaca Qul huwallaahu ahad, malaikat akan selalu hadir akan mendengarkannya.

13. Surah Al-Munfiroh - syaitan tergedik2 akan lari lintang pukang bila mendengar surah ini dibaca.

14. Surah Al-Baro'ah - Sabda Nabi saw.." Sapa yg baca Qul huwallaahu ahad dalam solat atau di luar solat Allah tuliskan dia bebas dari api neraka."

15. Surah Al-Muzakhorah - Kerana sapa yg bacanya akan teringatlah akan bertauhid kpd Allah. Dan kalau selalu membacanya akan mengingatkan dia akan apa yg dihajatkannya. Masa kita baca surah nih ..apa yg kita rasa..? Rasa dekat kan ngan Allah..Allah dok tengok kita... Allah dok mendengar kita...kan..kan!

16. Surah Annur - Sabda Nabi saw...

لكل شيء نور ونور القرأن قل هو الله احد

"Tiap sesuatu punyai cahaya. Cahaya Al-Quran Qul huwallaahu ahad."

17. Surah Al-Amaan - hadith Qudsi..dari Tafsir Al-Kabir.

لااله الا الله حصني فمن دخله امن من عذابي

"Laa ila haillallah sebagai bentengku, sapa masuk dalamnya amanlah ia dari azabku."

Geng2 pesilat dok baca ni bila berhadapan ngan musoh...leh gak nak amal2 nih..

18. Surah Al-Muqarrobah - dalam Tafsir Al-Hanafi dinamakan Al-Muqarrobah..pendekatan. Sapa yg banyak baca surah ni bererti dia sudah bertaqarrub kpd Allah.

Diceritakan sorang lelaki mai jumpa Rasulullah saw:" Ya Rasulullah. Sesungguhnya aku banyak dosa. Tunjukilah aku apakah jalannya aku dapat mendekatkan diri kpd Allah?"

"Jawab Nabi: Perbanyakkanlah engkau membaca Qul huwallaahu ahad. Sesungguhnya engkau sudah mendekat Allah."

Jumaat, 23 Julai 2010

TANDA 100 HARI SEBELUM KEMATIAN

BACALAH DENGAN TELITI!!! 
“Dimanapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh” (QS. 4 An Nisa : 78).
“Bawalah bekal, karena sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa” (QS. 2 Al Baqarah : 197)
Rasulullah saw pernah ditanya:“Siapakah orang2 beriman yg lebih bijak (al mukminun al akyas)? Jawab baginda: Mereka yg lebih banyak mengingati mati dan lebih baik penyediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah yg lebih bijak” (HR Ibn Majah drpd Ibn Umar radiallahu anhuma).
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. 

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti. Kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. 

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati. 

TANDA 40 HARI 
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah Ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya. 

TANDA 7 HARI 
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan. 

TANDA 3 HARI 
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. 

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan. 

TANDA 1 HARI 
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya. 

TANDA AKHIR 
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. 

Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak. "Ya Allah! Ampunilah orang2 hidup dan yang mati di antara kami”. Sabda Nabi saw :“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.”

Saling berpesan2lah sesama kita........ 

Khamis, 1 Julai 2010

Peranan Mujtahid dalam perkara hukum

Apabila seseorang hakim menetapkan hukum lalu dia berijtihad, dan ijtihadnya itu benar, maka dia mendapat 2 pahala. Apabila dia menetapkan hukum lalu dia berijtihad dan ijtihadnya itu salah, maka dia mendapat satu pahala. (HR Bukhari dan Muslim)

Segala permasalahan hukum muncul seiring dengan perubahan zaman. Jika zaman Nabi saw dulu tidak dikenal dengan bayi tabung, maka tidak bererti bahawa penetapan hukum ehwal perkara tersebut tiada dalam Islam. Pada titik inilah jalan ijtihad diperlukan.

Pintu ijtihad kata Syeikul Islam Ibnu Taimiyah, akan selalu terbuka. Bila saja boleh dilakukan. Kerananya, peranan mujtahid sangat diperlukan dalam mengambil perkara hukum. Lantas, mujtahid yang bagaimana?...
Istilah mujtahid asal kata ijtahada, yajtahidu, ijtihadan, yang bersumber dari kata dasar jahada, yang berkemampuan. Jika ada orang yang bersungguh2 mencapai satu keputusan hukum Islam tentang kes yang belum jelas dalam Quran atau Hadith, maka orang itu disebut mujtahid.

Menurut Iman Al-Amidi, mujtahid adalah orang yang mencurahkan segala kemampuan dalam mencari hukum Islam yang masih bersifat zhanni (belum jelas dan tagas) dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan catatan, itu dilakukan benar2 secara maksima sesuai dengan pengetahuan Islamnya.

Ulama ushul fiqih sepakat bahawa ijtihad merupakan aktiviti pemikiran. Sehingga, mujtahid boleh diertikan sebagai seorang yang berupaya mencurahkan segala kemampuannya secara maksimal dalam memperoleh ketetapan hukum Islam. Sebab itu hasil mujtahid tidk bererti mutlak benar. Ia hanya bersifat relatif. Lihat HR Bukhari dan Muslim di atas tadi…


Dasar hukum tentang ijtihad terdapat dalam al-Quran. Diantaranya, pada ayat An-Nisa 59..’Hai orang2 yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya, dan ulul amri (pemimpin) di antara kalian. Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah pada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah).’

Para ulama ushul fiqih telah menetapkan beberapa syarat untuk menjadi seorang mujtahid. Jadi ada syaratnya..bukan sewenang2nya boleh berijtihad! Ini untuk menghindari berlakunya penyelewengan pada ketentuan hukum Islam. Dia disyaratkan memiliki pengetahuan mendalam tentang al-Quran dan as-Sunnah. Boleh membezakan mana satu ayat dari al-Quran dan mana dari Hadith. Kemudian dia memahami dan menguasai bahasa Arab dalam segala aspek kebahasaan yang ada di dalamnya. Dan tentu, dia pula alim dalam ilmu ushul fiqih dan tahu tentang maqasid as-syari’yyah (seluk beluk) maksud syara’ secara mendalam.

Menurut Imam Jalaluddin As-Sayuti, mujtahid itu memiliki beberapa tingkatan, iaitu al-mustaqil, muntasib, al-muqayyad, at-tarjih dan al-fitya. Banyak tuu..! Mustaqil adalah tingkatan mujtahid yang mengambil keputusan hukum berdasarkan kaedah dan teori sendiri. Ada empat mujtahid terkenal pada tingkatan ini seperti Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Syafi’ie dan Imam Hambali.

Sedangkan muntasib adalah tingkatan mujtahid yang memiliki cukup pensyaratan, tetapi dia tidak memiliki kaedah dan teori sendiri dalam mengambil hukum.

Mujhahid pada tingkatan muqayyad pula memiliki keterkaitan dengan imam mazhabnya, tapi secara sendiri membangun kaedah dan teori secara sendiri. Dibawah tingkatan ini, ada tingkatan yang disebut mujtahid at-tarjih, iaitu si mujtahid hanya boleh menghafal kaedah para imam mazhabnya sahaja. Sementara pada tingkatan al-fitya, mujtahid tidak memiliki kaedah sendiri dan juga tidak sanggup menghafal teori para imam mazhabnya.

Ada dua sistem yang dikenal dalam pengambilan ijtihad. Sistem tersebut boleh dilakukan melalui kaedah kebahasaan atau kaedah2 syari’yyah. Pada sistem kebahasaan, yang diteliti adalah aspek2 kebahasaan seperti pemahaman teks yang khusus dan umum, mutlak dan terbatas, dan seterusnya. Sedangkan pada sistem syari’yyah, dilakukan dengan menggali hukum melalui pensyariatan hukum.

Sumber aku ambil dari pemahaman pembacaan…sekiranya tersalah harap beri teguran.