Ahad, 28 Februari 2010

Ya Allah! Kami jahil kerana tidak menyedari kehadiranMu selama ini...

Hampir menitis airmata aku ketika guruku (Syeikh) membukakan satu kesah berkaitan ilmu yang hanya seseorang itu saja yang dapat merasai kenikmatannya atau keberadaan Allah disampingnya. Antara kupasannya:

Ya Allah! Kami jahil kerana tidak menyedari kehadiranMu selama ini...barang siapa buta matanya didunia, maka ia buta juga diakhirat...Nikmat yang teragung adalah melihat-Nya...kenangan maulidurasul 1431....kenangan abadi di Kg. Bertam, Mahang, jumaat 12 Rabiul awal 1431. (26 Feb. 2010)

Buat Chegu Heilmy dan Chegu Haji Suhaili.

 

Pada asasnya semua Ilmu dari Allah. Ada yang diilhamkan kepada manusia dan ada yang dicari, digali oleh untuk mendapatkannya. Dengan ilmu, manusia yang  disebut  sebagai khalifah Allah  di muka bumi  dibekali dengan akal fikiran wajib menggunakannya untuk kebaikan dan bukan  sebaliknya. Disinilah adanya usaha dan ikhtiar dari manusia. Tidak diseksa sesuatu umat itu sebelum diturunkan seorang utusan sebagai peringatan kepada mereka.

Setiap umat diturunkan Allah seorang Nabi atau Rasul sebagai pembawa utusan dariNya. Jadi Alah tidak akan menzalimi manusia  walhal manusia itu sendiri dari dulu hingga sekarang yang menzalimi diri mereka sendiri. Segala perkhabaran dan peringatan telahpun dilaksanakan oleh utusan2 pilihanNya. Dan Nabi Muhammad saw merupakan utusanNya yang terakhir sebagai penutup segala nabi2 dan rasul2.

Walaupun baginda sudah wafat tapi ditinggalkan sebuah mukjizat agong dari Tuhan Rabbal A’lamin iaitu Al-Quran sebagai panduan hidup sehingga ke hari kiamat. Juga sunnah2nya untuk dipraktik oleh manusia sesudahnya. Tidak habis lagi! Tugas baginda disambungkan oleh generasi2  sesudahnya hingga ke kini. Siapa mereka? Ia bermula di zaman sahabat, kemudian tabiin dan seterusnya. Mereka adalah para ulama. Sabda Nabi saw:

العلماء ورثة الأنبياءبا العلم ويحبهم أهل السماء ويستغفر لهم الحيتا ن في البحا رألى يوم القيامة

“Para ulama adalah para waris nabi kerana mereka memiliki ilmu. Seluruh penghuni langit mencintainya dan penghuni lautan memohon ampun bagi mereka sampai hari kiamat”.

Baginda juga pernah bersabda:

‘Para sahabatku laksana binyang2, mengikut yang mana pun kamu akan mendapat petunjuk’.

Kelebihan manusia dari haiwan adalah kerana ilmu (yang dipelajari) dan akal. Haiwan tidak berakal sama sekali! Ilmu yang ingin diperkatakan disini terdiri dari ilmu zahir (ilmu syariaat) dan ilmu zaher (ilmu makrifat). Kedua2 ilmu ini hendaklah dipadu supaya terhasillah apa yang dikatakan makrifat. Samalah seperti pohon kayu yang menghasilkan buahnya. Pohon yang berbuah lebih berguna dari pohon yang tidak berbuah! Begitu juga dengan ibadat. Ibadat yang sempurna adalah penyatuan ilmu zahir dan ilmu batin. Maka kenallah apa yang disembah itu. Itulah tujuan manusia diciptakan.

“Dan tidak diciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku”

Dengan ilmu sahaja tidak cukup untuk mengenal Tuhan. Berapa ramai bijak-pandai dahulu dan sekarang masih kufur. Ia memerlukan akal untuk menimbangnya.Tetapi gabungan dengan akal sahaja pun tidak mampu menuju Allah! Kemudian ia diperkuatkan dengan hati iaitu dorongan yang Allah lontarkan kepadanya.  Hanya gabungan ilmu, akal dan hati (hidayat)  mampu mengenal Allah! Mulut dan mata kadangkala menipu. Tapi hati tidak! Firman Allah: “Hatinya tidak mendustakan apa yang dilihatnya” An-Najm:11.  Disinilah terletaknya keikhlasan. Hanya sanya ikhlas itu sumber dari hati dan dizaherkan pada lisan. Nabi besar junjungan kita pernah bersabda: “Orang yang ikhlas pada hatinya selama 40 hari akan timbul sumber hikmat dari hatinya pada lisannya”.

Contohnya ketika lidah kita menyebut kalimat taqwa iaitu La Ilaaha Illallah. Ada kalimah Nafi dan Isbatnya. Walaupun seribu kali kita menyebutnya tanpa memahami, tanpa adanya dorongan dari hati, ertinya tiada rasa ikhlas hanya sanya Allah jua Tuhan, tidak membawa apa2 makna. Letih sahaja! Tapi sekiranya adanya rasa ikhlas, Allah jua Tuhan tiada selainNya, ia akan memancar dari hati terus ke lisan. Hinggakan ada lenggukkan, putaran, goyangan dan sebagainya yang tidak terperasan oleh pelakunya. Kerana hatinya benar2 menuju Allah, untuk Allah dan kerana Allah! Jadi janganlah ada yang marah, mengata ini dan itu dan sebagainya. Sebenarnya itulah ilmu rasa! Yang melakunya sahaja dapat merasinya dan yang lihat, yang tengok tidak akan merasa apa yang dirasa oleh pelaku tadi.

Manusia mampu melihat selagi adanya cahaya. Ertinya dalam gelap ia tidak mampu melihat. Walaupun ada benda lain “tercangok” dihadapannya. Dia meraba-raba dalam gelap, jalannya pun tidak teratur seperti jalannya di saing hari yang dibantu oleh adanya cahaya. Berapa ramai yang tersepak batu dan tunggul di malam hari. Berapa ramai yang jatuh tergolek dek meraba-raba dalam kegelapan malam. Dia tidak mampu melihat bila cahaya menghilangkan diri.

Jadi manusia memang lemah! Sifat manusia adalah berkehendak kepada sesuatu. Tanpa sesuatu itu ia tidak mampu berbuat sesuatu. Ia berkehendakkan mata untuk melihat. Ia berkehendakkan telinga untuk mendengar,  pun perlukan mulut untuk berkata-kata. Makan-minum pun ia perlukan mulut.! Padahal kehendak Allah tidak sedikitpun bersandar kepada makhlukNya. Makhluklah yang bersandar dan memerlukan kehendakNya. 

Jadi sesuai sangat kita sebagai makhluk wajib berusaha menjadi makhluk yang patuh dan taat sesuai dengan yang dikehendakiNya.

Firman Allah: “Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang2 beriman dan beramal soleh, bahawa mereka disediakan syurga2  di bawahnya mengalir sungai2. Setiap mereka diberi rezeki…….”.

Ibnu  ‘Ataillah berkata: “Di antara tanda2 yang menunjukkan kepadamu atas kewujudan dan kekuasaan Allah swt., adalah bahawa Dia menghalang kamu daripada melihatNya dengan sesuatu yang tidak wujud padaNya”.

Manusia tidak akan mampu melihat Allah semasa hidup di dunia, walaupun sedetik tika. Lihat bagaimana Nabi Allah Musa a.s tersungkur pengsan hanya melihat cahayaNya sahaja. Allah dengan segala sifat kesempurnaanNya mampu melihat kita walaupun dimana kita berada. Tidak ada sesuatupun yang menyerupaiNya.

“Tiada sesuatu jua pun yang serupa denganNya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
(Al-Syuura : 11)

AwalNya tiada permulaan dan AkhirNya kekal selama-lamanya walaupun seluruh makhluk hancur dan binasa.  Akal manusia tidak mampu menjangkaui ilmunya yang terbatas. Oleh kerana pemikiran dan ilmu yang terbatas ini maka manusia tidak mungkin dan tidak akan mampu memecahkan rahsia2 Allah.

“Dia (Allah) Mengetahui apa2 yang ada di hadapan mereka dan apa2 yang ada di belakang mereka, sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya”. (Thoha : 10)

Syeikh Ibnu ‘Ataiilah berkata bahawa manusia tidak mampu melihat Allah. Katanya: “ Bahawasanya yang menghalangi (menghijab) Allah daripadamu ialah kerana terlalu dekat kepadaNya. Dan bahawasanya Dia terhalang kerana sangat terangnya dan samar daripada penglihatan kerana sinarNya yang besar dan agung”.
Kita lihatlah akan penciptaan makhluk2Nya. Malaikat dari nur (cahaya), iblis dan jin dari api dan manusia Adam dari tanah. Betapa hebatnya penciptaan malaikat dari cahaya dan sudah pasti Dia mengatasi dari cahaya2 yang ada.

Hadith Qudsi yang bermaksud: “Hai Musa! Engkau sekali2 tidak akan dapat melihatKu. Sungguh makhluk hidup pasti mati kerana melihatKu, yang basah pasti menjadi kering kontang, yang kering pasti bertaburan, yang dapat melihatKu hanyalah penghuni syurga dan tidak akan mati pandangannya serta tidak akan hancur lebur tubuhnya”.
(Diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Ibnu Abbas)

Berdasakan dari hadith qudsi diatas, hanya penduduk syurga yang beroleh nikmat melihat Allah swt. Untuk merasai kenikmatan melihat Allah nanti, manusia wajib mengikut segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Semua ini sudahpun dinyatakan dalam perutusan para nabi2 dan rasul2nya. Kemudian diperkuatkan lagi menerusi kitab2 yang diturunkan. Jadi tidak timbul kezaliman tuhan pada makluk2Nya. Sungguh manusia itu yang menzalimi diri mereka sendiri!.

“Wajah2 (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada TuhanNya mereka melihat”.
(Al-Qiyaamah : 22-23)

Lagi Firman Allah:

فمن كان يرجوألقاءربه فليعمل عملاصلحاولايشرك بعبادة ربه أحدا

“Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh, dan janganlah ia mempersekutukan dalam menyembah tuhannya dengan sesuatu apa pun”.

Allah dengan segala Sifat kesempurnaanNya tidak terlepas pandang akan segala sesuatu ciptaanNya. Setiap detak dan detik kita diperhatikan. Setiap gerak dan gerik kita diketahuiNya. Bahkan yang tersembunyi dan mendatang dari kita semuanya dalam perkiraanNya. Setiap zahir dan batin kita dilihatNya.

هوالأولوالأخروالظهروالباطن وهوبكل شئءعليم

Maksud: “Dia yang Maha Awal, Dia yang Maha Akhir, Dia yang Maha Zaher dab Dia yang Maha Batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”  (Al-alHadid: 3)

Barangsiapa yang hendak berjumpa dengan TuhanNya, hendaklah terlebih dahulu membersihkan hatinya dari segala kekotoran hati dan perlbagai penyakit hati. Ingatlah bahawa Allah jua Tuhan yang wajib disembah dan tiada tuhan selain Allah. Sibukkanlah lidah dengan kalimat taqwa kerana  dijamin syurga siapa yang menyebutnya dikala roh meninggalkan jasad.

لااله الآ الله

Wallahu 'alam.

Isnin, 22 Februari 2010

Takutlah dari terhijabnya daripada Allah

Ketahuilah, bahawa sebesar2 bencana bathin iaitu terlindungnya diri daripada Allah taala. Barangsiapa terkena bencana ini bertimpa2lah bencana yang lain keatasnya. Seperti orang yang asyik mahsyuk bercinta yang senantisa diulit mabuk (hilang fikiran), maka dia tidak akan merasa kepedihan bencana yang sedang menimpanya ketika sedang dalam keadaan mabuknya. Tetapi setelah tersedar dia akan merasa kepedihan itu.

Seperti juga dengan hati yang terbiar, tidak dijagai dan tidak dibersihkan akan menjadi laksana tanah yang ditumbuhi lalang, gersang, bersemak dan bersarang padanya segala binatang2 buas., lalu berkaratlah dia (hati) disebabkan kekotoran yang terdapat padanya. Maka terhindarlah ia untuk disimpankan padanya rahsia2 Allah dan terhijablah ia dari pandangan Allah Taala. Hatinya akan mudah terisi dengan pengaruh syaitan dan akan bersarangnya syaitan dan kuncu2nya lalu terbelenggulah hati itu dengan kehendak syaitan yang mencetusnya daripadanya segala amal2 yang buruk dan jadilah dia manusia yang jahat perilakunya.

و من يكن الشيطا ن له قر ينا فساء قرينا

An-Nisa’: 38

“Dan barangsiapa yang mengambil syaitan menjadi temannya, maka buruklah teman yang dipilihnya itu”.

Dan ancaman Allah dalam AlQuran lagi:

 بل ر ا ن على قلو بهم ما كا نو ا يكسبو نكلا

(Al-Muthaffifin: 14)

“Bahkan, apa yang mereka usahakan itu menjadi karat di dalam hati mereka”.

Berapa ramai yang merasai ketaatan pada tuhan tapi sebenarnya mereka tidak taat padaNya! Betapa banyak kenikmatan yang memutuskan pertalian tuannya daripada Tuhan yang memberi nikmat! Betapa ramai yang terlalai diberikan Allah akan nikmat tersedar dari kelalaiannya. Dan betapa ramai pula terlalai sesudah diberikan kenikmatan dan kesedaran yang panjang!

Betapa ramai yang jahat dan berdosa diberikan Allah kurnia sehingga menjadi orang pilihanNya sehingga mencapai tingkatan tinggi kaum Abrar. Sebaliknya betapa ramai juga zahid gugur dari pangkatnya lalu membawa diri ke jalan para kaum yang jahat dan berdosa.

Dan betapa ramai yang terjauh daripada Allah, padahal dia merasa dirinya sudah sampai kepada Allah dan berada disisiNya dan itulah seburuk2 balasan ke atas hamba iaitu terjauh dan terlindung daripada Allah swt.

Diceritakan bahawa seorang Abid (orang yang banyak beribadah) berkata: 
Ya Allah!  Sampai berapa banyak kali aku berbuat maksiat kepadaMu, namun Engkau tidak menyiksaku?!

Lalu Allah mewahyukan kepada Nabi zamannya supaya memberitahunya dengan kata2 ini: 
Katakanlah kepadanya! Sampai berapa banyak kali Aku telah menyiksamu, padahal engkau tidak sedar?! Bukankah Aku telah melindungimu daripada kelembutan kemesraanKu! Bukankah Aku telah mengeluarkan kemanisan munajatmu kepadaKu daripada hatimu?!.

Sesungguhnya terlindungnya hati daripada mengenal Allah dengan hakikat pengenalan merupakan penyiksaan yang paling berat ditimpakan Allah ke atas orang mukmin kerana dia telah terhalang daripada merasai kemanisan zikir dan munajatnya kepada Allah sehingga dia tiada mengenali kemesraan daripada dan kepada Allah. Hatinya telah terpalit kekotoran dan kekaratan.

Imam Ahmad Ar-Rifai telah membahagikan manusia itu kepada empat:

1-   Seorang lelaki yang dijadikan Allah hatinya celek, yang dengannya dapat melihat dengan cahaya keyakinan kepada kelembutan ciptaan Allah dengan penuh kudratNya.

2- Seorang lelaki yang dijadikan Allah akalnya cerdas, yang dengannya dapat memandang dengan cahaya kecerdasan itu kepada janji2 dan ancaman2 Allah taala.

3-    Seorang lelaki yang dijadikan Allah terang rahsianya (kebatinannya), yang dengannya dapat melihat setiap masa dan detik dengan cahaya makrifat kepada Allah taala.

4-    Seorang lelaki yang dijadikan Allah buta matanya (mata hatinya), yang dengannya ia tidak dapat melihat apa pun. 


    و من كا ن في هذ ه أعمى فهو في ا لاخر ة اعمى و أضل سبيلا

    (Al-Isra’:72)

    “Dan siapa yang di sini (didunia) buta matanya, maka di akhirat pula buta juga, dan lebih sesat jalannya”.

    Kaum kafir terlindung oleh kegelapan sesat daripada cahaya petunjuk. Ahli makrifat terlindung oleh kegelapan lalai daripada cahaya taqwa. Ahli taat terlindung oleh kegelapan pandangan taatnya daripada cahaya taufik dan inayah yakni penjagaan Tuhan yang Maha Berkuasa. Maka apabila tersingkapnya tabir2 cahaya itu maka ketika itu nanti mereka akan terlindung daripada yang lainnya dengan cahaya itu.

    Tegasnya sesiapa yang memandang kepada gerak-geriknya dan perbuatannya dalam hal2 mentaati Allah, akan menjadi terlindunglah ia dari Tuhannya dan jadilah ia sebagai seorang yang muflis. Begitu juga, sesiapa yang memandang kepada Penggerak amal ibadat itu, akan menjadi terlindunglah ia dengannya daripada pemandangan amal ibadat itu.

    Berkata An-Nassaj rahimahullahu taala: 
    Sesiapa yang memandang dirinya ketika berbuat ketaatan, tidak akan terlepas dia daripada ketakjuban diri. Siapa yang memandang kepada manusia, tidak akan terlepas daripada sifat riyak. Sesiapa yang memandang kepada ketaatan, tidak akan terlepas daripada ghurur (terpedaya), dan siapa yang memandang kepada pahala, tidak akan terlepas daripada hijab (tabir dan dinding).

    Tetapi, siapa yang memandang hanya kepada Tuhan Maha Tinggi, maka itulah yang dikatakan di tempat duduk kebenaran di sisi Raja Maha Berkuasa!

    Semua amalan yang dibuat kerana Allah, untuk Allah adalah tenaga penggeraknya bersumber daripada kurnia Allah taala sendiri, yang tanpa tenaga dan takdir itu niscaya manusia tidak akan sanggup membuatnya. Manusia hendaklah sentiasa mensyukuri atas segala nikmat besar itu, iaitu nikmat yang membolehkan dia menjalankan ketaatan dan kebaikannya kepada Tuhannya.

    Kemudian amalan yang ditujukan kepada TuhanNya mestilah disertai dengan penuh kejujuran dan keikhlasan tidak dicampuri niat sampingan lain. Dengan kata lain dia tidak memandang kepada amalan itu samaada susah atau senangnya, kerana keikhlasan hanya pada RabbuNya tidak pula diharapkan balasan daripadaNya, laksana pekerja yang mengharapkan upah gajinya di akhir bulan.

    Nabi saw bersabda:
    ر ب حسنة يعملها ا لر جل لايكون له سيئة أضر عليه منها. ورب سيئة يعملها لا يكون له حسنة أنفع له منها

    “Betapa banyak kebajikan yang diamalkan orang, tidak ada suatu kejahatan baginya yang lebih merbahaya ke atas dirinya daripada kebajikan itu. Dan betapa banyak kejahatan yang dibuat orang, tidak ada suatu kebajikan baginya yang lebih bermanafaat daripada kejahatan itu”.

    Sabtu, 20 Februari 2010

    Jangan robohkan doktrin wala', taat dan thiqah.

    Wala’, taat, thiqah adalah kalimah yang begitu popular dalam gerakan Islam seperti Pas. Doktrin inilah yang menjadikan asas dan tiang kepada perjuangan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini. Setiap ahli Pas sudah berbai’ah ketika mengisi borang ahli Pas. Walaupun ada pemimpin yang cabut lari, ahli tetap bersama dengan roda putaran Pas. Mereka tetap dengan Pas, kerana mereka taat selagi pemimpin tidak menyelewing dengan menyertai pihak musuh.

    Mereka sudah diajar oleh baginda nabi SAW ketika melakukan Baiat al-Aqabah yang terkenal sebelum baginda berhijrah. Rasulullah s.a.w bersabda Maksudnya,

    “Berbaiahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di atas cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah swt tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbaiah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, jadi untuk kamu ialah balasan syurga”.

    Hebat macam mana seorang pemimpin kalau ia telah keluar dari Pas ia tidak akan ditaati. Contoh yang boleh kita lihat Datuk Asri haji Muda orang yang hebat ketika itu dengan kelicikan berpolitik dan seorang pidato yang ulung di negara ini. Tetapi apabila beliau keluar daripada Pas maka ia menjadi melukut di tepi gantang.

    Apakah kita hendak kata bodoh kepada ahli Pas yang wala’ kepada arahan pimpinan apabila calon yang bertanding di kawasan itu bukan calon Pas. Walaupun peringkat jentera parti bermatian mahu calon Pas yang bertanding. Tetapi kepimpinan tetap juga hendak meletakkan calon di kalangan rakan Pakatan Rakyat (dulunya Barisan Alternatif).

    Walaupun peringkat akar umbi tahu bahawa kekuatan jentera dan ahli di tangan Pas. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat maka ia dipatuhi oleh ahli Pas. Mereka bertungkus lumus untuk memastikan calon rakan menang. Semuanya ini adalah contoh wala dan thiqah kepada pemimpin.

    Dalam berjamaah mana ada keputusan yang diputuskan oleh jamaah semuanya ahli bersetuju. Kalau hendak tunggu semuanya bersetuju maka tidak akan bertemu keputusan.

    Sama seperti dalam syarikat mana ada keputusan yang 100% di setujui oleh ahli mesyuarat. Hatta di zaman nabi SAW pun apabila keputusan diputuskan oleh nabi SAW ada yang tidak berpuas hati contohnya, peristiwa pembahagian ghanimah selepas daripada peperangan Hunaian.

    Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam. Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan;

    “Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih menitiskan darah mereka”

    Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

    “Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

    Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,

    “Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

    Rasulullah saw meneruskan,

    “Hai kaum Ansar, apakah kerana kamu marah kerana tidak menerima sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa.”

    Ini berlaku di zaman nabi SAW yang masih menjadi contoh yang hjidup pada ketika itu. Maka apalah sangat di zaman kini yang semakin jauih daripada contoh nabi SAW.

    Kerana itulah perjuangan Pas memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan Pas yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan.

    Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran Islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ahli itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini. Dalam medan pertempuran kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap. Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.

    Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaimana firmannya:

    “Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)

    “Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

    Kalau pemimpin tidak ikhlas mereka akan lari, kerana Pas bukan sesuai untuk orang jahat. Jangan pula kita menuduh bahawa wala’ , thiqah ini candu dalam Pas untuk membolehkan pemimpin melalikan pengikut.

    Ini satu tuduhan yang berat. Perlu disedari kebanyakan ahli Pas ini mereka juga pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin di peringkat cawangan atau lajnah Kalau kita tidak taat nanti orang pula tidak taat kepada kita, akhirnya yang hancur ialah Pas, yang ketawa ialah umno BN Walaupun kita marah kepada pemimpin tetapi jangan kita merobohkan “Intitusi” wala’ taat dan thiqah.

    Kita boleh melahirkan rasa tidak puas hati kepada jamaah di majlis yang sepatutnya, tetapi bukan dalam blog. Menceritakan keaiban parti dalam blog sama seperti mendedahkan keaiban suami isteri kepada musuh dan musuh akan adu domba supaya ia menceraikan isteri dan dia akan berkahwin dengan bekas jandanya.

    Faedah Taat, wala’ dan thiqah -Ahli dapat menunai tugas mengikut arahan parti supaya tidak menyalahi strategi parti

    * Pas mampu mengerahkan ahli untuk turun demo yang besar seperti BERSIH, Mansuh ISA, PPSMI
    * Pas mampu mengerahkan tenaga dalam setiap kali pilihanraya tanpa diupah -Supaya tidak timbul jamaah dalam jamaah.
    * Dapat bertindak secara jama’i bukan individu. -Supaya kesannya terasa kepada jamaah dan masyarakat kerana ia dilakukan oleh parti.
    * Seandainya berlaku kegagalan ia tanggung oleh jamaah bukan oleh individu.
    * Dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang lambat dan ada yang sederhana.

    Sejarah membuktikan mereka tidak taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah akhirnya menyertai umno. Teringatkah kita tokoh-tokoh seperti ustaz Mohd Nor Idris, ustaz Mustafa Taib, Wan Ismail Machang yang lantang mengkritik Pas dan pemimpin kerana bertahalluf dengan Parti Semangat 46 kerana parti ini adalah warisan umno. Akhirnya mereka bersama dengan umno apabila Pas berpisah dengan parti Semangat 46.

    Adakah mampu Pas untuk melakukan demikian kalau kita cuba memusnahkan “institusi doktrin” yang sudah lama dibina. Umno gagal meroboh daripada luar, jangan pula kita sendiri yang hendak membantu merobohkan. Umno gagal hendak membina doktrin ini, mereka hanya boleh hidup dan bernafas dengan wang dan kuasa sahaja. Umno tidak ada wala’, taat dan thiqah, tetapi Pas ada perkara ini.



    Bahan dikutip dari pasjerai.com.

    Ahad, 31 Januari 2010

    Al-Quran Kitabullah

    “Alif, Lam, Ra, Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya dengannya kamu dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya (petunjuk) dengan izin Tuhan ke jalanNya yang Maha Perkasa dan Maha Terpuji”. Ayat 1 – surah Ibrahim.

    “(iaitu )Allah yang mempunyai apa yang di langit dan apa yang di bumi. Celakalah orang2 kafir kerana siksaan yang keras”. Ayat 2 – surah Ibrahim.

    “(iaitu) orang2 yang memilih hidup di dunia dari akhirat dan menghalang jalan Allah, dan mencari (jalan) yang bengkok. Mereka itu dalam kesesatan yang jauh.” Ayat 3 – surah Ibrahim.

    Al-QURAN yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw merupakan satu panduan dan petunjuk melengkapi pelbagai rahsia, hikmat dan hikmah kepada seluruh umatnya yang mahu mengambil pengajaran daripadanya. Intipatinya penuh dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan serta panduan yang dapat membawa manusia ke jalan yang selamat.

    Diturunkan dalam bahasa Arab kerana memuliakan bangsa yang melahirkan rasul yang terakhir. Juga sebagai sunnah Allah untuk menurunkan kitab dan wahyuNya dengan menggunakan bahasa dan lisan kaum rasul yang diutuskan.

    “Kami tiada mengutus seorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia menerangkan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya, dan menunjuki siapa yang dikehendakiNya. Dia Maha Perkasa lagi maha Bijaksana”. Ayat 4 – surah Ibrahim.

    Oleh kerana bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran maka umat Islam disarankan mempelajari bahasa itu untuk memahami maksud isi Al-quran itu. Bahkan di kalangan berbahasa Arab terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran itu yang tidak dapat difahami oleh bangsa Arab sendiri. Inilah kerana gaya bahasa dan ketinggian sasteranya, bukti nyata dari Allah yang menyusunnya dengan makna dan kata2 yang hebat sebagai mukjizat pada rasul pilihannya Muhammad saw.

    Sehinggakan ketinggian ilmu sasteranya menempelak golongan Musryikin Mekah pada zaman tersebut yang terkenal dengan kewibawaan dalam sastera dan syairnya agar membuat satu surah seumpamanya. Ancaman ini merupakan cabaran Allah kepada mereka yang tidak mempercayai akan kebenaran wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah saw.

    Surah Al-Baqarah ayat 23.

    “Dan jika kamu meragui akan apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatlah satu surah sepertinya dan panggillah saksi2 kamu lain daripada Allah, jika kamu orang yang benar”.

    Al-Quran adalah satu kitab suci dari Allah yang diturunkan kepada baginda Rasulullah melalui perantaran malaikat Jibrail yang dalamnya terkandung pengajaran yang melengkapi dari sudut penceritaan kejadian alam dan manusia, sejarah para2 Nabi , perintah dan cerita2 melalui perumpamaan, hukum-hakam dan pelbagai ilmu, hikmah dan hikmat untuk umat Nabi saw sesuai hingga ke akhir zaman.

    Ketinggian bahasa sasteranya kadangkala memerlukan orang2 tertentu untuk menafsirkannya. Contoh seperti yang disebut oleh Abu Hurairah r.a dalam riwayat Mujahid dan daripada Ibnu Abbas r.a bahawa katanya:

    “Aku tidak mengetahui apakah itu “ Fathirul Samawatul wal Ard’” sehinggalah datang dua orang arab yang bersumpah ditepi telaga dan seorang daripadanya berkata, “Ana Fathiruha” yang bermaksud ‘akulah yang membuatnya’ (memulakan penciptaannya).” Dari Al-Itqan Fi Ulum, Jilid 3, mukasurat 452.

    Bukan sebarangan orang boleh menafsir ayat2 Al-Quran. Ilmu tafsir ialah ilmu mengenali hikmah al-Quran. Allah sendiri ada menyebut perkataan TAFSIR dalam firmannya melalui ayat 3 Surah al-Furqan.

    “Dan tidaklah Kami mendatangkan kepadamu sesuatu perumpamaan melainkan mendatangkannya dengan hak (benar) dan sebaik2 tafsir”.

    Dr Manna’ Khalil Qathan dalam Mabahis Fi Ulam Quran menyebut maksud tafsir dari sudut bahasa ialah penerangan atau menyingkap sesuatu dan menjelaskan sesuatu rahsia.

    Makna tafsir dari ayat di atas (Al-Tafsir) menurut Imam Zarqasyi bermaksud ilmu untuk memahami kitab Allah yang diturunkan kepada rasulullah saw serta menjelaskan maknanya dan mengeluarkan hukum dan pengajaran.

    Menurut Ibnu Abbas perkataan (sebaik2 tafsir) dari ayat diatas membawa maksud penjelasan.

    Manakala menurut ulama dan majoriti ahli ilmu, perkataan tafsir tadi ialah ilmu yang mengkaji maksud lafaz ayat, hukum serta pengajaran dari al-Quran.

    Penafsiran al-Quran dilakukan demi memahami maksud sebenar disebalik perumpamaan2 yang digunakan di dalam al-Quran iaitu bagi menyampaikan sesuatu maksud atau hukum dan perintah dari sesuatu ayat atau memahami tegahan dan larangan di sebalik iktibar dan penjelasan keburukan sesuatu perkara. Dengannya ia dapat mencungkil hikmah dan rahsia yang tersirat di sebalik firman Allah dan kalam Allah yang berupa mukjizat.

    Dalam surah al-Baqarah ayat 269 Allah berfirman:

    “Sesungguhnya Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan barang siapa yang diberikan hikmah, maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang sangat banyak”.

    Menurut riwayat Ibnu Abi Talhah yang dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim sesungguhhnya Ibnu Abbas r.a menafsirkan ayat ini dengan berkata:

    “ Diberikan hikmah itu bermaksud mengenal al-Quran, memahaminya serta mengetahui nasakh dan mansukh, ayat2 muhkamat dan mutasyabihat, mengetahui yang awal dan yang akhir diturunkan serta mengetahui halal dan haram dan yang berkaitan dengannya”.

    Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Nabi saw pernah bersabda:

    “Barangsiapa yang berkata sesuatu perihal al-Quran dengan menggunakan akalnya atau dengan apa yang tidak diketahuinya, maka bersedialah dia dengan tempat di neraka”.

    Dan sebahgian daripada ayat 33 dari surah Al-A’raaf Allah berfirman:

    “……(mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-ngadakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”

    Islam bersendikan al-Quran dan al-Sunnah. Dari dulu para ulama mempertahankan kesucian dan keaslian Islam dari tafsiran yang menyimpang dari dua unsur di atas. Para sahabat, golongan salafussoleh dan ulama2 terdahulu tidak menafsirkan al-Quran melainkan dengan berpaksikan dalil dan hujah yang jelas datangnya daripada Allah dan RasulNya.

    Seperti yang dijelaskan sebelum ini terdapat ayat2 yang tidak boleh ditafsirkan hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya dan tidaklah menjadi keperluan bagi kita untuk menafsirkannya kerana tidak tiada menafaat untuk mengetahuinya. Hanya sanya Allah yang mengetahui kerana Ia Maha Mengetahui. Contohnya seperti nama2 Asyhabul Kahfi…berapa orang dan anjing adakah termasuk sekali, juga nama anjing tersebut. Perbuatan ini ditegah oleh para ulama daripada diperbincangkan kerana ia membuang masa dan mengurangkan akal. Allah sendiri melarang dari berbuat demikian. Sila rujuk ayat 22 surah al-Kahfi.

    Jadi penafsiran al-Quran hanya boleh dibuat ahlinya yang mempunyai ilmu dan kefahaman yang mendalam. Di zaman Rasulullah saw baginda sendiri berperanan sebagai perujuk, penerang dan pembimbing serta penafsir kepada Al-Quran.

    Sebuah hadith riwayat dari Abu Zar ra, bahawa baginda Nabi saw bersabda:

    “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat membawa ke syurga dan menjauhkan daripada neraka melainkan telah diterangkan kepada kelian”.

    Selepas kewafatan Nabi saw segala penjelasan daripada baginda tidak semua sampai kepada kita umat di akhir zaman ini kerana terputusnya sanad dan tiada penyusunan yang sempurna dibuat di zaman tersebut kecuali sebahgian yang terselamat dan bertahan ke hari ini.

    Tetapi Alhamdulillah dengan usaha gigih para ulama di zaman sahabat diteruskan oleh para tabiin dan seterusnya oleh para ulama2 dari zaman ke zaman sebagai pemegang amanah ilmu dan amal keaslian Al-Quran tetap terpelihara.Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Maidah:17.

    “Sesungguhnya Kami yang mengumpulkan Al-Quran itu bagi kamu dan Kamilah yang akan membacakannya.”

    Ahad, 10 Januari 2010

    Isu Penggunaan Kalimah ALLAH Bagi Orang-orang Kristian




    Isu ini adalah suatu isu yang lama tetapi memasuki sebuah episod yang baru, khususnya di Malaysia. Memang benar, pelbagai pandangan diutarakan dengan melihat dari pelbagai sudut. Secara asasnya, apa yang paling penting adalah, prinsip Islam itu sendiri dalam menilai isu sebegini.

     Memang benar, berdasarkan pengamatan dari segenap aspek, baik dari hujah mereka yang membenarkan mahupun hujah mereka yang melarang, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah, ianya lahir (samada bersetuju atau menolak) daripada hujah-hujah yang zhonniyyah atau tidak muktamad.

    Namun, ketika berhadapan dengan sesuatu isu setempat, pendirian seseorang ahli ilmu atau ulama’ selalunya dibina atas timbangan keilmuan yang teliti, setelah melihat segenap sudut yang perlu diperhatikan termasuklah maslahat sesebuah masyarakat Islam di tempat tersebtu. Oleh yang demikian, dalam isu penggunaan kalimah “Allah” bagi orang-orang Kristian, pendirian seseorang ahli ilmu itu hanyalah berbentuk tarjih (menguatkan salah satu pendapat) setelah menilai isu ini dari pelbagai sudut.

    Penggunaan Kalimah Allah dan Toleransi Beragama

    Agama Islam merupakan suatu agama yang murni. Ia merupakan suatu agama kebenaran berdasarkan pelbagai bukti-bukti dalam setiap sudut pembuktiannya. Allah s.w.t. yang merupakan Tuhan Semesta Alam ini lagi Maha Esa dalam kerajaanNya, telah memilih Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai di sisiNya.

    Allah s.w.t. mengakui kebenaran Islam bahkan mengiktiraf hanya Islam sebagai suatu kebenaran dan hanya Islam merupakan agama yang benar yang mengandungi segala ajaran yang benar dalam segenap sudut samada dari sudut aqidah, hukum-hakam dan akhlak. Berdasarkan ajaran Islam juga, hanya dengan aqidah murni Islam sahaja, seseorang dapat selamat daripada api neraka.

    Walaupun Islam memberi kebebasan beragama kepada sesiapa sahaja dari kalangan orang-orang kafir, namun Islam tetap mengajak umat manusia kepada menerima ajaran Islam yang murni dan tidak pernah mengiktiraf agama-agama mereka sebagai kebenaran. Ini kerana, hanya Islam sahaja merupakan agama yang boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat.

    Hakikatnya jelas dalam agama Islam, selain daripada prinsip busyra (khabar gembira) yang terkandung dalam dakwah Islamiyyah, dalm masa yang sama juga ianya mempunyai dasar inzhar (memberi peringatan). Selain daripada Islam menceritakan tentang kebahagiaan yang bakal manusia kecapi jika memilih Islam, Islam juga menjelaskan suatu hakikat di mana manusia bakal memperolehi siksa api neraka yang kekal di akhirat jika tidak mahu memilih Islam sebagai agama mereka di dunia.

    Walaupun secara asasnya, elemen terpenting dalam dakwah Islam adalah secara hikmah dan mau’izhoh hasanah (mengajak dengan cara yang baik), namun Islam menolak segala bentuk tasammuh (toleransi) kepada orang-orang kafir yang membawa kepada penolakan terhadap prinsip-prinsip Islam yang murni.

    Penggunaan Kalimah ALLAH Menurut Islam

    Kalimah ALLAH s.w.t. adalah merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, Maha Agung lagi Maha Sempurna. Kalimah ALLAH dalam Islam merujuk kepada zat Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan keesaan.

    Dalam Islam, kalimah “ALLAH” bukan sekadar suatu kata nama, tetapi merangkumi konsep ketuhanan yang bersifat dengan kesempurnaan dan keesaan. Maka, apabila kita berkata bahawasanya, Tuhan yang kami sembah adalah Allah, bererti, Allah s.w.t. yang disembah tersebut bersifat dengan sifat-sifat yang telah disebutkan terutamanya aspek kesempurnaan dan keesaan-Nya.

    Kalau seseorang berkata: “Saya menyembah Allah” tetapi yang dimaksudkan adalah tuhan yang terdiri daripada tiga oknum atau salah satu daripada oknum tuhan trinity, maka ianya suatu yang menyalahi “dasar dan prinsip” Islam sebenar.

    Allah s.w.t. sendiri sudah menjelaskan bahawa kalimah “Allah” adalah suatu nama bagi merujuk kepada satu-satunya Tuhan yang Maha Benar dengan sifat-sifat yang disebutkan. Iaitu:-

    Allah s.w.t. berfirman:

    قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)

    Maksudnya: Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. (1) Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. (2) Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, (3) Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia." (Surah Al-Ikhlas: 1- 4)

    Ayat ini merupakan pendirian Islam yang jelas menunjukkan Islam menolak sebarang kepercayaan tentang sesuatu tuhan selain daripada Allah s.w.t.. Malah, Islam menegaskan sifat-sifat Tuhan yang bernama ALLAH tersebut adalah:

    - MAHA ESA (Al-Ahad)

    - AS-SHOMAD (Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu)

    - Tidak beranak dan tidak diperanakkan.

    - Tidak ada yang serupa denganNya.

    Daripada penjelasan surah Al-Ikhlas ini menunjukkan secara jelas tiada agama lain selain Islam yang boleh menamakan tuhan mereka sebagai “ALLAH” menurut agama Islam termasuklah agama Kristian kerana hanya agama Islam yang menjelaskan konsep aqidah tauhid yang murni ini.

    Adakah “Allah” yang ingin dimaksudkan oleh orang-orang Kristian bersifat dengan keseluruhan sifat-sifat yang telah disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tersebut? Kalau tidak, maka Islam secara jelas menolak kepercayaan mereka tentang “Allah” dalam versi aqidah mereka yang salah tersebut. Adakah prinsip ajaran Islam yang menolak kepercayaan trinity orang-orang Kristian tentang ketuhanan “Allah” dalam masa yang sama tidak menolak penggunaan nama yang benar kepada konsep yang salah?

    Agama Kristian merupakan agama yang mengajar manusia mempercayai ketuhanan Trinity (Trinitas) sedangkan ALLAH s.w.t. bukanlah tuhan bersifat Trinity yang bercanggah dengan sifat ketuhanan pertama yang disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tadi dan bukan juga salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity orang-orang Kristian kerana bercanggah dengan sifat ketuhanan ketiga yang disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tadi.

    Oleh sebab itulah, apabilah kita membaca penerangan para ulama’ tentang kalimah “Allah”, ianya mengandungi sifat-sifat kesempurnaan dan keesaan.

    Imam As-Syirbini dalam Tafsir As-Siraj Al-Munir menafsirkan kalimah ALLAH dalam surah Al-Ikhlas tersebut dengan berkata:

    الذي ثبتت إلهيته وأحديته

    Maksudnya: “ALLAH ialah Tuhan yang bersifat dengan ketuhanan dan keesaanNya.”

    Dalam erti kata yang lain, kepercayaan ketuhanan yang tidak berdasarkan “tauhid” (keesaan) termasuklah kepercayaan ketuhanan trinity Kristian bukanlah merujuk kepada Allah s.w.t..

    Imam Al-Khazin berkata:

    ( الله) هو اسم علم خاص لله تعالى تفرد به الباري سبحانه وتعالى ليس بمشتق ولا يشركه فيه أحد وهو الصحيح المختار دليله قوله تعالى ' هل تعلم له سميا ' يعني لا يقال لغيره الله

    Maksudnya:

    “((ALLAH)) ialah kata nama khusus bagi Allah yang hanya khusus untukNya s.w.t.. Ia (nama) itu bukan terbit dari mana-mana kata terbitan dan tidak ada sesiapa berkongsi nama tersebut denganNya. Inilah pegangan yang sahih dan terpilih. Dalilnya adalah firman Allah: “Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?” iaitu: tidak dikatakan kepada selainNya dengan nama ALLAH...” [Tafsir Al-Khazin pada tafsir Surah Al-Fatihah]

    Sheikh Muhammad Ali As-Shobuni ketika menjelaskan tentang kalimah ALLAH dalam Shofwah At-Tafasir pada surah Al-Fatihah berkata:

    “((ALLAH)) Suatu nama khusus bagi Zat Maha Agung yang mana tidak ada yang berkongsi nama tersebut denganNya…” [1/18]

    Sheikh Sa’id bin Muhammad dalam Busyro Al-Karim menjelaskan bahawasanya Lafz Al-Jalalah (ALLAH) tidak boleh dinamakan kepada selainNya (Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam)… [m/s 3]

    Sheikh Sa’id Hawa dalam kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah pada menjelaskan zikir dengan Ism Mufrad berkata:

    الاسم الوحيد الذي يدل على الله ذاتاً وصفات وأسماء وأفعالاً، بينما غيره يدل على ذات وصفه، ثم هو لا يسمى به غير الله

    Maksudnya: “(Allah) adalah satu-satunya nama yang merujuk kepada segenap zat, sifat, nama-nama dan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.. Adapun nama-nama yang lain merujuk kepada sifat-sifaNya. Kemudian, nama ALLAH tersebut tidak dinamakan kepada selain ALLAH (Tuhan yang disembah oleh umat Islam).”

    Kalau kita rujuk kepada tulisan-tulisan para ulama’ Islam, hampir kesemuanya tidak membenarkan lafaz ALLAH digunakan bagi merujuk kepada tuhan-tuhan lain selain Allah atau kepada konsep ketuhanan yang bercanggah dengan tauhid. Ini kerana, ALLAH bermaksud TUHAN yang MAHA ESA dan ia sangat berkaitan dengan konsep keesaan Tuhan itu sendiri.

    Inilah secara prinsip dalam Islam di mana tidak boleh menamakan kepada tuhan-tuhan selain Allah dengan nama Allah s.w.t.. Secara dasarnya, berdasarkan penerangan para kebanyakan ulama’ sendiri, kata nama “Allah” khusus untuk Allah s.w.t. yang disembah oleh orang-orang Islam dengan konsep ketuhanan yang murni (keesaan dan kesucian).

    Allah s.w.t. berfirman:

    “Maka (Zat yang demikian) itulah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya; Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)?” (Surah Yunus: 32)

    Agama Kristian dan Lafaz ALLAH

    Sememangnya Allah s.w.t. ada menyebutkan kalimah ALLAH bagi menceritakan tentang aqidah agama Kristian namun dalam bentuk penafian terhadap aqidah mereka yang sesat, bukan dalam bentuk mengakui penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka.

    Ini kembali kepada penggunaan mereka (orang-orang kafir termasuk ahlul-kitab) yang hidup dalam masyarakat Arab yang juga menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan yang menciptakan alam ini. Oleh kerana Ahlul-Kitab yang hidup dalam masyarakat Arab yang menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta, maka mereka juga menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta.

    Namun, itu bukanlah tradisi asal orang-orang Kristian sebagaimana dijelaskan oleh orang-orang Krisitan sendiri. Menurut kebanyakan cendikiawan Kristian sendiri, mereka menyebut tuhan mereka sebagai El, Elohim atau Yahwah.

    Asalnya, nama tuhan dalam Hebrew (bahasa asal Old Testement) adalah seperti berikut jika diterjemah ke dalam bahasa Inggeris: YHVH atau YHWH tanpa ada huruf vokal. Maka, sebahagian cendikiawan Kristian yang awal menetapkan sebutannya sebagai Yahweh.

    Nama lain bagi tuhan sembahan mereka adalah Elohim dalam bahasa Hebrew. Ada juga yang menyebut tuhan mereka sebagai Jehovah. Ada juga menyebut Tuhan sebagai HaShem. Kemudian, bagi orang-orang Kristian, mereka merujuk kepada New Testament yang dikatakan berbahasa Yunani (Greek) lalu menyebut tuhan mereka dalam bahasa Greek iaitu “Ho Theos”.

    Pada dasarnya, jika merujuk kepada Yahweh atau Elohim dengan konsep ketuhanan Tauhid yang menjadi asas aqidah ajaran agama Samawi, ianya merujuk kepada Allah s.w.t. itu sendiri, dalam bahasa yang berbeza. Namun, ketika konsep ketuhanan Tuhan tersebut difahami dengan salah, lalu dinisbahkan pelbagai bentuk kesyirikan kepada konsep ketuhanan tersebut, maka Islam tidak mengiktiraf konsep ketuhanan tersebut sebagai ajaran para rasul terdahulu dan nama-nama tuhan tersebut yang dipercayai dengan unsur-unsur kesyirikan sudah tidak lagi merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa.

    Walaupun ada ahli ilmu cuba mengaitkan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab hampir dengan kalimah “Eloah” dalam bahasa Hebrew, yang merujuk kepada Tuhan yang sama, namun dari sudut aqidah orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian, maka sudah jelas tuhan mereka (Kristian) berbeza dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam.

    Apakah konsep ketuhanan agama Kristianiti itu sendiri?

    Orang-orang Kristian menyembah tuhan dalam bentuk trinity di mana tuhan itu bukan Maha Esa seperti kepercayaan orang-orang Islam dan bukan juga berbilang-bilang sebagaimana kepercayaan orang-orang kafir. Mereka bertuhankan tuhan yang satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Bahkan, hampir tiada orang-orang Kristian yang mampu memahami konsep trinity dengan kefahaman yang tepat kerana setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza tentang konsep trinity mereka.

    Pendek kata, orang-orang Kristian percaya bahawasanya tuhan adalah:

    - TUHAN AYAH (Yahweh)

    - TUHAN ANAK (Jesus/Nabi Isa)

    - TUHAN ROH QUDS (Holy Spirit)

    Ketiga-tiga tersebut bukanlah tiga individu yang berbeza tetapi satu tuhan yang berbeza personalitinya. Ketiga-tiga (oknum) itu bukan tiga tuhan tetapi satu tuhan. Ada yang memperumpamakan ketiga-tiga ini sebagai wap air, air dan ais iaitu tiga bentuk yang berbeza bagi personaliti yang sama.

    Orang-orang Kristian berbelit-belit dalam memahami ketuhanan mereka sehingga tidak mampu merungkai konflik dalam memahami trinity lalu sebahagian ahli gereja cuba menamakan krisis memahami trinity sebagai “keajaiban ketuhanan”. Itulah istilah terbaik untuk menyembunyikan kesesatan aqidah mereka.

    Kalimah ALLAH yang cuba digunakan oleh orang-orang Krisitian merujuk kepada yang mana satu?

    Andaian Pertama:

    Trinity adalah: Tuhan Ayah + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN (Inilah ALLAH)

    Andaian Kedua:

    Trinity adalah: Tuhan Ayah (Inilah ALLAH) + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN

    Kalaulah kalimah ALLAH merujuk kepada gabungan tiga oknum iaitu TUHAN AYAH, TUHAN ANAK dan TUHAN ROH QUDS, maka ia suatu yang jelas ditolak oleh Islam kerana kalimah ALLAH hanya merujuk kepada zat TUHAN yang MAHA ESA tanpa merangkumi tiga oknum tuhan yang menjadi teras aqidah trinity Kristian.

    Allah s.w.t. berfirman:

    يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآَمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا

    Maksudnya: Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (trinity)", berhentilah (dari ucapan itu). (itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. cukuplah Allah menjadi Pemelihara. (Surah An-Nisa’: 171)

    Ayat ini secara jelas menunjukkan pendirian agama Islam yang menolak kepercayaan trinity dalam konsep ketuhanan. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Islam secara jelas menolak penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada suatu jenis tuhan yang mempunyai intipati trinity ini.

    Isyarat pertama daripada ayat ini di mana Allah s.w.t. menegaskan:

    وَلاَ تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ إِلاَّ ٱلْحَقَّ

    Maksudnya: “…janganlah kamu berkata terhadap Allah melainkan yang benar…”.

    Daripada ayat ini dapat difahami Allah s.w.t. tidak membenarkan seseorang berkata tentang “Allah” s.w.t. berkenaan kebatilan dan kesesatan, apatah lagi menamakan “Allah” kepada tuhan yang batil sebagaimana difahami oleh orang-orang Kristian.

    Imam At-Tabari ketika menafsirkan perkataan (انْتَهُوا) “berhentilah…” dalam ayat tersebut dengan berkata:

    فإن الانتهاء عن ذلك خير لكم من قِـيـله، لـما لكم عند الله من العقاب العاجل لكم علـى قِـيـلكم ذلك

    Maksudnya:

    “Bahawasanya berhenti (orang-orang Kristian) daripada yang demikian (berkata Allah itu salah satu daripada trinity atau trinity secara keseluruhan) lebih baik daripada berkata sedemikian, kerana bagi kamu (orang-orang Kristian) dari Allah (terhadap ucapan tersebut) siksa yang akan datang terhada apa yang telah dikatakan tersebut (iaitu Allah itu tuhan trinitas).” [rujuk Tafsir At-Tabari pada ayat tersebut]

    Imam At-Tabrani pula ketika menafsirkan perkataan firman Allah s.w.t. dalam ayat tersebut yang berbunyi:

    وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ

    Beliau berkata:

    { وَلاَ تَقُولُواْ ثَلاَثَةٌ }؛ أي تقُولُوا آلِهَتُنَا ثلاثةٌ: أبٌ؛ وابنٌ؛ وروحُ قدسٍ، { ٱنتَهُواْ }؛ عنِ الكُفْرِ، عن هذهِ المقالةِ،

    Maksudnya: “(Jangan kata tiga)) iaitu jangan kamu katakan tuhan-tuhan kami tiga atau trinity yang merangkumi: tuhan bapa, tuhan anak dan roh quds. ((Berhentilah)) dari kekufuran dan dari perkataan tersebut (Tuhan itu trinity).”

    Di sisi Imam At-Tabrani juga menjelaskan betapa ayat ini menjadi isyarat jelas betapa Allah s.w.t. menyuruh mereka berhenti daripada kekufuran mereka yang mengatakan Allah itu trinity atau berhenti daripada perkataan mereka yang kufur tersebut. Ini secara tidak langsung roh Al-Qur’an mengajar kita agar tidak mengiktiraf perkataan kekufuran mereka tersebut.

    Imam Al-Alusi juga menyebut dalam kitab Ruh Al-Ma’ani pada ayat tersebut pada perkataan Intahu:-

    { ٱنتَهُواْ } عن القول بالتثليث

    Maksudnya: “Berhentilah daripada mengatakan Trinity…” [Ruh Al-Ma’ani]

    Islam menolak konsep trinity dalam aqidah ketuhanan. Oleh yang demikian, Islam secara tidak langsung menolak seseorang merujuk kalimah ALLAH kepada tuhan yang bersifat trinity sebagaimana yang disebutkan kerana menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan trinity adalah antara yang dicela oleh Allah s.w.t. daripada keseluruhan perkataan mereka tersebut.

    Jika penggunaan kalimah ALLAH merujuk kepada andaian kedua iaitu:

    Trinity adalah: Tuhan Ayah (Inilah ALLAH menurut mereka) + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = Satu TUHAN

    Maka:-

    Kalimah ALLAH yang cuba digunakan merujuk kepada TUHAN AYAH (God The Father) dalam konsep trinity sememangnya juga disebut dalam Al-Qur’an bagi merujuk kepada “penggunaan mereka” terhadap istilah tersebut, namun, bukan kerana Islam meraikan istilah tersebut atau menerima konsep tersebut.

    Kebanyakan orang-orang Kristian memahaminya begitu, iaitu Allah bagi mereka merujuk kepada Tuhan Bapa atau Tuhan Ayah yang merupakan salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity.

    Memang benar, banyak ayat yang menceritakan bahawasanya orang-orang Kristian dan Yahudi menjadikan Isa dan Uzair sebagai anak ALLAH dan ALLAH sebagai Tuhan Ayah, namun ianya bukan menunjukkan Islam mengiktiraf penggunaan istilah tersebut kerana istilah tersebut merujuk kepada penggunaan yang telah lama digunakan oleh orang-orang kafir dan ahlul-kitab sebelum kedatangan Islam lagi. Dalam masa yang sama, ada nas yag jelas menunjukkan Islam tidak juga bersetuju dengan penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada salah satu oknum daripada tuhan trinity.

    Allah s.w.t. berfirman:

    لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

    Maksudnya:

    Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah satu (oknum) daripada yang tiga (oknum triniti)", padahal sekali-kali tidak ada tuhan selain dari Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. (Surah Al-Ma’idah: 73)

    Ini suatu peringatan yang jelas dalam Islam agar orang-orang kafir khususnya dari kalangan orang-orang Kristian agar tidak berpegang bahawa ALLAH adalah salah satu oknum daripada ketuhanan trinity. Ini juga menunjukkan larangan keras terhadap menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada salah satu daripada oknum tuhan trinity tersebut. Bagi mereka yang menamakan Allah sebagai salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity adalah suatu kekufuran, adakah Islam meredhai kekufuran dengan membenarkan lafaz Allah digunakan pada salah satu daripada oknum tuhan triniti?

    Imam Al-Qurtubi menafsirkan seruan Al-Qur’an yang bermaksud: “…Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih.” dengan berkata:

    { وَإِن لَّمْ يَنتَهُواْ } أي يكفّوا عن القول بالتثليث ليمسنهم عذاب أليم في الدنيا والآخرة

    Maksudnya: “Jika mereka tidak berhenti…)) tidak berhenti daripada berkata tentang trinity tersebut, mereka akan disiksa di dunia dan di akhirat”. [rujuk Tafsir Al-Qurtubi]

    Asas-asas ajaran Islam berkenaan kalimah ALLAH ini harus diutamakan dalam berinteraksi dengan orang-orang kafir dari kalangan musyrikin dan ahlul-kitab, apatah lagi demi menjaga maslahat umat Islam yang awam daripada tipu daya musuh-musuh Islam yang cuba menyebarkan kesesatan aqidah mereka kepada umat Islam.

    Memang benar, ada ayat yang menceritakan bahawa Ahlul-Kitab sudah tersesat dalam menisbahkan anak kepada ALLAH, namun ianya bukan dalam bentuk pengiktirafan terhadap konsep anak bagi Allah s.w.t. dan menerima konsep tuhan beranak.

    Allah s.w.t. menyebut:

    وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ (30) اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ (31) يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (32) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (33)

    Maksudnya:

    30. Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih itu anak Allah". Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?

    31. Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih anak kepada Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

    32. Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

    33. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

    [Surah At-Taubah: 30-33]

    Ayat ini secara jelas menceritakan betapa Allah s.w.t. melaknat perbuatan mereka dengan menisbahkan anak kepada diri-Nya yang Maha Esa, bahkan menjelaskan bahawa Maha Suci Allah s.w.t. daripada apa yang mereka syirikkan. Jadi, ayat ini juga secara jelas menolak sebarang konsep yang bercanggah dengan tauhid untuk dinisbahkan kepada Allah s.w.t.. Maka, tidak ada sebab seseorang perlu membenarkan orang-orang Kristian khususnya yang masih mempercayai Nabi Isa a.s. sebagai anak Allah menamakan tuhan versi trinity mereka sebagai Allah sedangkan Allah s.w.t. menyucikan zatNya daripada penyekutuan tersebut.

    Jadi, bukan semua ayat yang menceritakan perihal sesuatu golongan dianggap pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kerana ada juga kisah-kisah yang disebut sebagai pengingkaran terutamanya dengan penolakan yang jelas dalam ayat-ayat berikutnya.

    Jadi, masyarakat Islam mempunyai asas untuk melarang orang-orang Kristian daripada menggunakan kalimah “Allah” berdasarkan seruan asas Al-Qur’an sendiri yang menyuruh mereka (orang-orang Kristian) yang sudah menisbahkan anak atau trinity bagi Allah, agar berhenti daripada memperkatakan sedemikian, apatah lagi tidak membenarkan sama sekali orang-orang Kristian yang baru ingin menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka dalam masyarakat awam Melayu yang tidak memahami perbezaan penggunaan Allah dari sudut bahasa dan istilah syarak sebagaimana difahami oleh masyarakat awam Islam Arab.

    Pendirian Islam terhadap Orang-orang Kristian Secara Umum

    Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Qur’an:

    Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), marilah kepada satu Kalimah yang membawa persamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

    Islam menjelaskan bahawasanya, agama-agama samawi seperti agama Judaisme (bagi orang-orang Yahudi) dan Kristianiti (bagi orang-orang Kristian) telah dipesongkan daripada ajaran para rasul mereka terdahulu yang pada asalnya merupakan ajaran tauhid yang murni juga.

    Hal ini jelas dalam kitab Torah mahupun Bible yang mereka masih miliki kini, yang sebahagiannya sudahpun diselewengkan daripada ajaran tauhid. Namun, ada sedikit teks-teks dalam kitab-kitab tersebut menunjukkan ajaran sebenar agama-agama mereka iaitulah konsep tauhid itu sendiri.

    Dalam Torah, kitab Exodus dan Deuteronomy yang bermaksud:

    "Tidak ada tuhan-tuhan sebelumku. Janganlah kalian jadikan bagiKu akan sebarang gambaran, atau menyamakanKu dengan apa yang ada di langit, atau di dunia, atau di dalam laut di bawah bumi: Kamu tidak sepatutnya tundukkan diri kamu (menyembah) kepada makhluk-makhluk tersebut, dan tidak pula sepatutnya kamu menyembah mereka, kerana sesungguhnya, Aku satu-satunya Tuhan, Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang cemburu" [Exodus 20:3-5 dan kitab Deuteronomy 5:7-9]

    Nabi Isa a.s. juga diriwayatkan mengajar konsep Tauhid kepada para pengikutnya seperti yang diriwayatkan dalam buku Mark (Markus) yang berbunyi:

    "Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord."

    Yang bermaksud: "Dengarlah wahai Bani Israel: Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa" [Mark 12:29]

    Oleh yang demikian, agama Islam mengajak orang-orang Kristian khususnya yang digelar sebagai ahlul-kitab sebagai ungkapan memuliakan mereka, agar mereka kembali kepada ajaran tauhid dengan berpegang kepada ajaran Islam samada aqidahnya, fiqhnya mahupun akhlaknya.

    Islam adalah satu-satunya agama kebenaran. Hanya dengan mengikut ajaran Islam yang diajarkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. sahaja seseorang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Inilah suatu fakta yang disampaikan oleh ajaran Islam kepada seluruh umat manusia termasuklah kepada orang-orang Kristian.

    Jika orang-orang Kristian tidak mahu menerima kebenaran Islam, maka Islam membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama mereka secara bebas selagi mana tidak membawa kepada tertegahnya perlaksanaan ajaran-ajaran agama Islam khususnya dalam negara Islam.

    Islam turut mengakui ketinggian moral sebahagian penganut agama Kristian dengan ayat yang berbunyi:

    …dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menymbongkan diri…(Surah Al-Ma’idah: 82)

    Oleh yang demikian, Islam memberi ruang terutamanya kepada orang-orang Kristian dan bukan Islam yang lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka secara bebas. Namun, kebebasan beragama tidak boleh membawa kepada keterbatasan peranan agama Islam dalam sesebuah negara yang dipimpin oleh umat Islam itu sendiri.

    Apabila berkaitan dengan penggunaan sesuatu kalimah yang digunakan oleh masyarakat Islam, maka ianya bukan sekadar berkaitan penggunaan perkataan, tetapi merangkumi keseluruhan kefahaman terhadap perkataan dan kalimah tersebut. Oleh sebab itulah, isu penggunaan kalimah Allah tidak wajar dilihat sebagai masalah perkataan semata-mata kerana ianya mempunyai pengaruh yang lebih luas dalam sesebuah masyarakat. Maka, oleh sebab itulah masyarakat Islam berdiri mempertahankan kalimah Allah ini, kerana merangkumi maksud yang besar dalam kefahaman mereka terhadap agama Islam secara menyeluruh.

    Istilah dan Pengaruhnya dalam Masyarakat

    Istilah memainkan peranan yang penting. Hal ini jelas khususnya ketika ianya digunakan dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat khususnya di Malaysia sudah lama mengkhususnya penggunaan kalimah Allah kepada Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja. Tidak timbul suatu tradisi seperti orang-orang Kristian Arab yang sudah lama menggunakan kalimah Allah bagi merujuk salah satu oknum daripada tuhan bersifat trinity yang mereka sembah.

    Jadi, istilah-istilah yang menjadi penggunaan khusus bagi sesebuah kumpulan penganut sesebuah agama perlu diraikan khususnya apabila perkongsian istilah boleh membawa kepada fitnah yang lebih besar. Orang-orang Kristian di Malaysia khususnya tidak rugi jika tidak menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka. Padahal, di pihak masyarakat awam Islam di Malaysia pula, ianya boleh membawa kepada kekeliruan.

    Sebahagian masyarakat awam mungkin membuat andaian, jika orang-orang Kristian pun menyembah Allah sebagaimana orang-orang Islam, jadi tiada bezanya orang-orang  beragama Kristian kerana menyembah tuhan yang sama. Ini adalah suatu kekeliruan yang boleh merosakkan aqidah sesetengah masyarakat awam Islam.

    Sebagai contoh, orang-orang Kristian juga mengaku sebagai “believer”, iaitu mempercayai ketuhanan Jesus, namun jika mereka cuba menterjemahkannya sebagai beriman lalu mengaku mereka sebagai orang-orang beriman, maka dari ukuran Islam, mereka adalah orang-orang yang kafir dan syirik kerana menjadikan tuhan selain daripada Allah s.w.t..

    Jadi, istilah “beriman” juga secara dasarnya dikhususkan kepada orang-orang Islam dalam penggunaan masyarakat yang tertentu. Kita juga tidak bersetuju jika orang Kristian mengaku sebagai Mu’min kerana beriman dengan ketuhanan Jesus dan kita juga tidak dapat menerima orang-orang Kristian mengaku sebagai Muslim kerana kepatuhan mereka kepada Paul. Oleh itu, penggunaan sesuatu istilah berdasarkan tasawwur yang khusus bagi sesetengah pihak sangat dipentingkan. Sebahagian orang membahaskan pengkhususan istilah bagi masyarakat Islam ini berdasarkan pandangan sarwa Islam (Islamic worldview).

    Memang benar, kerana dalam perbahasan “penggunaan” bahasa, para ulama’ Islam sering membahaskan bahawa sesuatu kalimah dari sudut penggunaan bahasa atau dari sudut istilah syarak. Ini kerana, Tasawwur dan Mafhum kalimah berbeza dari sudut penggunaannya. Namun, tradisi sebegini tidak difahami secara asas oleh masyarakat awam Islam di Malaysia sehingga dapat membezakan pengunaan sesuatu kalimah samada di tempat yang salah ataupun betul.

    Jadi, larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian juga merujuk kepada suasana masyarakat awam Islam di Malaysia dan kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan.

    Kedudukan Agama Islam dalam Malaysia

    Fasal ini sangat penting dalam rangka untuk membentuk sebuah gambaran umum bagi pendirian kita terhadap kalimah Allah bagi orang-orang Kristian ini. Ini kerana, orang-orang Islam di negara ini mempunyai ruang undang-undang yang jelas untuk menggubal undang-undang demi menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

    Sejak kedatangan Islam ke Alam Nusantara, terbentuknya sebuah negara Islam yang berteraskan sistem beraja. Zaman Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi contoh kepada pembentukan sebuah empayar kerajaan Islam dengan menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan negeri dengan menggubal Risalat Hukum Kanun Melaka yang ditulis atas titah Sultan Muzaffar Shah (1446-1456 M) pada ketika itu.

    Pada Fasal 41 dalam Risalat Hukum Kanun Melaka ada menyebut bahawasanya, selagi ada kemungkinan undang-undang syariat diamalkan, maka undang-undang lain hendaklah dikemudiankan. [rujuk buku Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja oleh Suzana Hj Othman, 2008, m/s 18]

    Begitu juga dengan Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan (Negeri Perak), Kanun Kelantan dan sebagainya adalah antara undang-undang Melayu yang dikodifikasikan, meletakkan undang-undang syariat sebagai panduan utama selain undang-undang adat. (Ibid)

    Di samping itu juga, kesultanan-kesultanan Melayu di Alam Melayu juga membina hubungan baik dengan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada ketika itu. Dengan demikian, Raja-raja Melayu sudah mula membentuk suatu Tamadun Melayu-Islam sehingga bangsa Melayu tidak lagi dapat dipisahkan daripada agama Islam.

    Takrif bangsa Melayu juga sangat berkaitan dengan agama Islam di mana tiada Melayu yang boleh mengaku berbangsa Melayu jika tidak beragama Islam. Ini bukan bererti Islam dikaitkan dengan bangsa Melayu, tetapi bangsa Melayu dikaitkan dengan Islam, yang akhirnya meningkatkan martabat bangsa Melayu itu sendiri sebagai satu-satunya bangsa yang berteraskan agama [secara undang-undang sehingga hari ini: merujuk kepada Perkara 160 (2) ].

    Biarpun sejarah telah berlalu, dan usaha British dalam melenyapkan peranan Islam daripada sistem politik di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia sudah menjadi bahan sejarah semata-mata, namun mereka masih gagal melenyapkan terus kedudukan Islam dalam negara Malaysia ini.

    Apabila Perlembagaan Persekutuan disusun, kedudukan Islam tetap diletak pada tempat yang tinggi. Jika kita rujuk dalam versi asal Perlembagaan Malaysia [Perkara 3 (1)] dalam bahasa Inggeris secara jelas menyatakan bahawasanya:

    “Islam is the religion of the Faderation”.

    Maksudnya: “Islam adalah agama Persekutuan”.

    Dengan peruntukan jelas ini, Malaysia (sebagaimana juga ajaran Islam) tetap mengamalkan prinsip kebebasan beragama (merujuk kepada Perkara 3 (1)), cuma agama-agama lain boleh dikawal daripada disebarkan kepada orang-orang Islam sebagaimana dalam Perkara 11 (4).

    Bahkan, mahkamah lain tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah berdasarkan Perkara 121 (1A) (Akta A704, 1988).

    Begitu juga, Yang di-Pertuan Agung yang mengetuai majlis Raja-raja adalah Ketua Umum Negara bagi Persekutuan berdasarkan Perkara 32 (1). Hal ini secara tidak langsung masih menunjukkan peranan, prinsip dan ajaran Islam perlu diutamakan dalam perlaksaannya.

    Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, agama Islam mempunyai keutamaan dalam berperanan dalam masyarakat awam terutamanya melibatkan maslahat umat Islam amnya.

    Setelah kita memahami kedudukan agama Islam dalam perundangan secara asas, maka larangan penggunaan kalimah “Allah” bagi orang-orang Kristian mempunyai dua dasar yang jelas iaitu

    Melalui prinsip ajaran Islam yang menyarankan agar orang-orang Kristian berhenti dari menyebut Allah sebagai salah satu daripada Trinity.

    Melalui kedudukan Islam dalam perlembagaan yang menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya dari sudut aqidah mereka.

    Larangan Penggunaan Kalimah ALLAH bagi Bahan Penerbitan Kristian: Suatu Prinsip Islam dalam Memelihara Aqidah Umat Islam

    Pada prinsip ajaran Islam, kita telah kemukakan sebelum ini di mana secara jelas Islam tidak mengakui konsep Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian dan menafikannya daripada sifat kesempurnaan ALLAH s.w.t.. Ini menunjukkan betapa Islam menitik beratkan tentang kemurnian aqidah Islam daripada kesesatan trinity tersebut. Ini secara tidak langsung juga menunjukkan betapa Islam melarang sebarang bentuk pencemaran terhadap konsep ketuhanan ALLAH dalam aqidah murni umat Islam termasuklah mencemarkan konsep ketauhidan ketuhanan ALLAH dengan idea trinity.

    Dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-171 dan Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 secara jelas menolak konsep trinity yang cuba dinisbahkan kepada ALLAH. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam juga menolak sebarang usaha untuk menggunakan kalimah ALLAH yang pada asalnya merujuk kepada TUHAN yang MAHA ESA kepada suatu tuhan versi trinity.

    Kalimah “ALLAH” perlu merujuk kepada Tuhan yang sama sebagaimana yang diimani oleh orang-orang Islam sedangkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan orang-orang Kristian merujuk kepada tuhan lain yang bersifat trinity, bukan keesaan. Ini tertolak sama sekali.

    Adapun penggunaan Al-Qur’an dalam menggambarkan sesetengah pihak mempersekutukan ALLAH dengan menjadikan tuhan-tuhan lain selain Allah bukan menunjukkan ianya suatu galakan kepada menggunakan kalimah ALLAH bagi agama-agama lain, tetapi ianya sebagai suatu penolakan terhadap ajaran syirik agama-agama lain yang mana sebahagian daripadanya telah menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan dengan konsep yang salah, sebelum kedatangan Islam lagi, terutamanya dalam kalangan orang-orang musyrikin Arab dan Ahlul-Kitab yang hidup di tanah Arab.

    Ia sebenarnya kembali kepada penggunaan istilah ALLAH dalam konteks bahasa Arab yang mana sebahagian daripada ahli ilmu bahasa Arab mengatakan bahawasanya ALLAH adalah kata nama daripada Illah yang bermaksud tuhan yang disembah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Munziri daripada Ibi Al-Haitham yang disebut dalam Lisan Al-Arab. Jadi, penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab boleh merujuk kepada maksud tuhan yang disembah menurut sebahagian ahli bahasa walaupun kata “Allah” khusus merujuk kepada Allah s.w.t. sahaja. Namun, dengan keluasan bahasa Arab inilah, Ahlul-Kitab yang tinggal dalam masyarakat Arab juga menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka.

    Oleh kerana itu juga, sebahagian ulama’ masih lagi memberi ruang kepada penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang Kristian Arab khususnya kerana ianya secara adatnya sudah dimaklumi secara umum bahawasanya ALLAH yang dimaksudkan oleh orang Kristian Arab berbeza dengan ALLAH yang dimaksudkan oleh orang-orang Islam. Ini kerana, salah guna istilah “ALLAH” itu berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi di mana orang-orang musryikin tetap turut mengakui menyembah ALLAH dan tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan antara mereka dengan ALLAH menurut mereka. Ahlul-Kitab di dunia arab yang hidup dalam masyarakat Arab tersebut sudah terbiasa menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada tuhan mereka walaupun disaluti fahaman yang batil.

    Maka, tasammuh (toleransi) dalam dunia Arab hanyalah kerana latar belakang sejarah yang sudah sekian lama malah tidak lagi membawa kekeliruan kepada orang-orang Islam di Arab. Ini kerana, biarpun Islam tidak mengiktiraf konsep ketuhanan trinity Kristian tersebut, namun tidak ada dalil qat’ie melarang orang-orang Kristian khususnya Arab yang sudah terbiasa dengan kalimah Allah, menggunakan kalimah tersebut berdasarkan keluasan ilmu bahasa Arab itu sendiri. Dari sinilah timbulnya toleransi dalam masyarakat Arab dengan orang-orang Kristian Arab. Namun, dalam masa yang sama, tidak dinafikan adanya seruan agar mereka berhenti daripada memperkatakan bahawa Allah itu salah satu daripada tuhan trinity. Seruan yang sebegitu juga boleh dijadikan hujah bagi melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian.

    Apa yang menghairankan, ada usaha pihak-pihak Kristian yang menggunakan bahasa selain bahasa Arab dalam penulisan-penulisan mereka, sibuk juga menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka sedangkan pada dasarnya ia menyalahi prinsip Islam dan menyalahi kepercayaan mereka sendiri kerana tuhan mereka bukanlah ALLAH sebagaimana yang disembah oleh orang-orang Islam.

    Kalau mereka pun menyembah tuhan dengan konsep ketuhanan trinity, namun masih mengaku tuhan yang mereka sembah adalah ALLAH sebenar, maka mereka secara tidak langsung mendakwa berpegang kepada kalimah bahagian perama daripada syahadah iaitu La ilaha illaLlah (yang Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH), kerana mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan Allah tetapi dalam bentuk kepercayaan mereka yang sesat (trinity). Sedangkan menurut ajaran Islam, hanya orang-orang Islam sahaja yang berpegang dengan kalimah syahadah.

    Oleh yang demikian, majoriti ulama’ Islam menegaskan bahawasanya lafaz ALLAH adalah suatu nama yang khas yang tidak terbit dari mana-mana kata terbitan yang mana ianya suatu nama khusus bagi zat TUHAN yang MAHA ESA. Konsep keesaan Tuhan itu adalah intipati utama bagi kalimah ALLAH itu sendiri.

    Konsep ketuhanan trinity bagi orang-orang Kristian jelas tidak merujuk kepada konsep tauhid yang menjadi inti bagi konsep ketuhanan di sebalik nama ALLAH itu sendiri. Jadi, tidak selayaknya kalimah ALLAH digunakan oleh orang-orang Kristian merujuk kepada tuhan mereka yang tidak bersifat “keesaan”.

    Kalau mereka mahu kekalkan penggunaan bahasa asal bible, samada dalam Hebrew atau Greek, maka mereka boleh memanggil tuhan mereka sebagai Elohim, El, Yahweh, Jehovah atau Ho Theos. Mengapa perlu menggunakan kalimah “Allah” sedangkan ianya bukan bertujuan untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab. Kalau penterjemahan perkataan tuhan kepada bahasa Arab, maka ada ruang kepada menterjemahkannya kepada Allah jika memilih pendapat sebahagian ahli bahasa Arab di mana Allah itu adalah terbitan dari kata Ilah yang bermaksud “tuhan”. Namun, jika ingin terjemahkan god kepada bahasa Melayu, atau bahasa Inggeris, tidak pernah membawa kepada kalimah “Allah” kerana dalam penggunaan bahasa Melayu, kalimah Allah merujuk kepada kata nama khusus bagi Tuhan yang Maha Esa, iaitulah Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja, kerana konsep ketuhanan orang-orang Kristian tidak berteraskan tauhid tetapi sebaliknya berteraskan trinity. [rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua. Boleh didapati secara online di http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=Allah&domain=PRPM ]

    Larangan penggunaan kalimah ALLAH kepada agama-agama lain (termasuklah kepada agama Kristian) selain agama Islam di Malaysia adalah suatu dasar yang menepati maqosid syar’iayyah Islam yang menjaga agama masyarakat Islam daripada kekeliruan itu sendiri. Ia juga merupakan suatu dasar yang menutup ruang fitnah yang lebih besar. Ia juga dalam rangka untuk mempertahankan Perkara 11 (4) yang bertujuan menjaga aqidah umat Islam yang awam khususnya daripada kepercayaan-kepercayaan agama lain.

    Oleh yang demikian, pelbagai kaedah-kaedah fiqhiyyah yang sesuai dirujuk dalam larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam seperti kaedah Sad Az-Zari’ah dan sebagainya.

    Kesimpulan: Asas-asas Umum Larangan Penggunaan Kalimah Allah bagi Orang-orang Kristian

    Orang-orang bukan Islam samada dari kalangan orang-orang Kristian khususnya atau selainnya, perlu menghormati prinsip ajaran Islam dan maslahat umat Islam di Malaysia khususnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

    Pendirian bahawasanya kalimah ALLAH tidak boleh digunakan bagi merujuk kepada konsep ketuhanan selain daripada aqidah Islam adalah merujuk kepada beberapa asas:

    Pertama: Nas-nas daripada Al-Qur’an dan hadith menunjukkan konsep kemurnian aqidah Islam yang menolak sebarang pencemaran bagi konsep ketuhanan ALLAH s.w.t. yang berpaksikan aqidah tauhid. Oleh yang demikian, kalimah ALLAH yang merujuk kepada tuhan yang berpaksikan trinity adalah menyalahi prinsip ajaran aqidah Islam yang murni itu sendiri. Dalil-dalil yang menolaknya adalah seperti surah Al-Ikhlas, Surah An-Nisa’ ayat ke-171, Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 dan sebagainya.

    Kedua: Ia bercanggah dengan kemurnian konsep kalimah syahadah yang menunjukkan hanya orang-orang Islam sahaja yang menyembah ALLAH s.w.t.. Maka, kalaulah orang-orang Kristian pun menyembah ALLAH dengan konsep trinity, maka mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan ALLAH tetapi Allah yang bersifat trinity. Ini menafikan pengkhususan kepada orang-orang Islam dalam berpegang dengan kalimah syahadah (La ilaha illaLlah). Maka, ia suatu yang tertolak dari sudut kemurnian kalimah syahadah ajaran Islam itu sendiri.

    Ketiga: Ia boleh membawa kepada kekeliruan kepada masyarakat awam Islam khususnya di Malaysia. Ia boleh menimbulkan prasangka seolah-olah tuhan yang disembah oleh orang-orang Kristian adalah sama dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam. Ini membuka pintu kepada murtad yang dicela oleh Islam itu sendiri. Berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4), adalah wajar larangan kalimah ALLAH digunakan bagi orang-orang kafir atau bukan Islam. Ia demi menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

    Daripada sinilah, ada kaedah-kaedah tertentu dalam qawa’id fiqhiyyah untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar dan fitnah yang lebih bahaya dalam masyarakat Islam, maka larangan menggunakan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian di Malaysia khususnya boleh digunakan.

    Keempat: Orang-orang Krisitian di Malaysia khususnya juga tidak mempunyai sebab yang kuat untuk menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana penggunaan istilah ALLAH di Malaysia (penggunaannya secara adat) khusus merujuk kepada Tuhan orang-orang Islam sahaja. Malah, mereka (orang-orang Kristian) juga tidak menulis tulisan mereka dalam bahasa Arab sehingga perlu menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk perkataan tuhan atau god. Mengapa mereka tidak menggunakan perkataan tuhan, god, elohim (bahasa Ibrani), yahweh dan sebagainya yang sering digunakan oleh mereka sebelum ini.

    Kelima: Larangan penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam bagi merujuk kepada tuhan-tuhan mereka adalah suatu yang wajar di Malaysia khususnya, kerana Malaysia adalah negara yang beragama Islam sedangkan Islam menolak konsep pencemaran terhadap kemurnian aqidah Islam termasuklah penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan [Perkara 3 (1) dan Perkara 11 (4)], pendirian larangan tersebut adalah wajar kerana prinsip ajaran Islam tidak boleh dihalang oleh kebebasan beragama dengan agama-agama lain. Sebarang usaha atau amalan oleh penganut-penganut agama lain yang boleh membawa kepada mencemarkan prinsip dan roh agama Islam adalah ditolak kerana konsep kebebasan itu sendiri tidak boleh menjangkau kepada hak-hak pihak lain. Adapun penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam dalam penulisan dan penerbitan khususnya, sudah menjangkau daripada sempadannya kerana ianya mencemarkan kemurnian ajaran agama Islam yang merupakan agama Persekutuan dalam konteks di Malaysia.

    Orang-orang Kristian khususnya, jika sememangnya berpegang teguh dengan ajaran mereka, pasti mereka akan menghormati kedudukan tinggi agama Islam di negara ini serta kedudukan Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agung sebagai Ketua Umum Negara dan Ketua Agama dan menghormati larangan penggunaan kalimah ALLAH yang mana ianya berteraskan ajaran Islam yang merupakan agama Persekutuan dan agama bagi Ketua Umum Negara.

    Dalam surat Paul kepada orang-orang Rom (iaitu Romans: 13) menceritakan tentang suruhan agar orang-orang Kristian khususnya mentaati raja-raja yang memerintah di sesuatu tempat tersebut. Maka, sekiranya larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian digubal, maka mereka perlu menerimanya.

    Oleh yang demikian, dari sudut menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di Malaysia secara umumnya sahaja, larangan penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian dan bukan Islam adalah suatu yang praktikal. Umat Islam di Malaysia yang mempunyai banyak ruang kelemahan dari sudut pendidikan agama dan sebagainya, seharusnya tidak terdedah kepada kekeliruan yang lebih besar seperti berkongsi nama tuhan yang sama dengan penganut agama lain.

    Apatah lagi, setelah dinilai secara dasarnya, Islam sememangnya menyeru ke arah tidak menisbahkan kesyirikan, trinity, anak dan sebagainya kepada “Allah” yang Maha Esa. Allah s.w.t. sendiri menyucikan zatNya dan sifat-sifatNya daripada perkataan-perkataan seperti konsep trinity dan sebagainya yang menyeleweng tersebut. Jadi, dasar dan prisinp asas Islam secara umum sememangnya membawa kepada tidak memberi ruang untuk menisbahkan konsep ketuhanan yang salah kepada Allah s.w.t.. Ini juga memberi makna bahawa tidak boleh menamakan sesuatu tuhan yang berteraskan konsep ketuhanan yang salah dengan nama “Allah” yang merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Benar.

    Kita melihat pengecualian atau toleransi para ulama’ Islam di dalam masyarakat Arab khususnya terhadap penganut agama Kristian Arab kerana mereka sudah biasa menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada “Al-Ilah” atau “Tuhan”. Namun, penggunaan itu tidak berlaku samada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Jadi, secara tidak langsung, toleransi terhadap penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian dalam masyarakat Melayu di Malaysia khususnya boleh menimbulkan kesamaran.

    Bahkan, membenarkan orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka merupakan antara hambatan dalam “dakwah islamiyyah” kerana mereka (orang-orang Kristian) secara asasnya sudah mengganggap mereka menyembah Allah sebagaimana orang-orang Islam menyembah Allah, tetapi mereka memahami Allah dengan kefahaman yang lebih. Jadi, dengan alasan mereka sudah menyembah Allah, maka mereka tidak perlu lagi menganut agama Islam kerana beza antara orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian di sisi mereka adalah, orang-orang Islam mengikut Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan orang-orang Kristian mengikut Nabi Isa a.s.. Inilah alasan mereka yang cuba dijelaskan kepada masyarakat awam Islam khususnya, bahawasanya agama mereka juga adalah agama kebenaran.

    Oleh sebab itulah, secara prinsipnya, masyarakat Islam sewajarnya tidak meredhai orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana tuhan mereka tidak bersifat keesaan tetapi sebaliknya bersifat trinity. Di sisi mereka, orang-orang Kristian cuba membuktikan bahawasanya konsep trinity adalah tauhid (atau monotheism). Maka, sebab itulah mereka juga mahu menggunakan kalimah Allah bagi tuhan mereka agar masyarakat Islam awam khususnya faham, mereka juga menyembah tuhan yang Maha Esa tetapi dalam bentuk trinity. Jadi, masyarakat Islam wajar untuk tidak membenarkan mereka menggunakan kalimah “Allah” dengan maksud “Tuhan yang Maha Esa” kerana menolak konsep trinity dalam ketuhanan mereka sebagai konsep tauhid.

    Jadi, disebabkan penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu atau dalam penggunaan umum masyarakat di Malaysia merujuk kepada “Tuhan yang Maha Esa” (sebagaimana disebutkan dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua), maka tidak wajar orang-orang Kristian dibenarkan menggunakan kalimah tersebut bagi merujuk kepada tuhan trinity mereka, kerana Islam sama sekali tidak mengiktiraf konsep trinity tersebut sebagai konsep tauhid.

    Di samping beberapa sudut lain seperti keharmonian aqidah umat Islam dan sebagainya, maka pendirian yang melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian khususnya dan bagi orang-orang bukan Islam amnya, adalah suatu pendirian yang tepat dan kukuh khususnya di Malaysia. Mudah-mudahan ianya dapat membantu dalam menjaga aqidah umat Islam yang semakin terdedah kepada pelbagai serangan fahaman yang sesat samada dari dalam mahupun luar. Amiin…

    Wallahu a’lam

    Al-Faqir ila RabbiHi Al-Jalil

    Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
    http://mukhlis101@multiply.com

    Terima kasih...aku kutip dari tulisan al-Ustaz Raja Ahmad Mukhlis. Disertakan nama webnya sekali.