Orang yang menempuh jalan Allah tidak menjadi lapar sebagai penghalang menujuNya. Bahkan dengan berlapar mereka telah menemui sumber kebijaksanaan. Dikesahkan di sini bagaimana wali-wali Allah telah melalui jalan kepadaNya dengan melaparkan diri. Salah seorang daripada wali-wali Allah itu adalah Qasim bin Uthman Al-Ju’i.
Nama sebenarnya Qasim bin Uthman, berasal dari Damaskus. Beliau lebih dikenali sebagai Qasim Al-Ju’i. Beliau wafat pada 248H. Menurut Ibnu Al-Jauzi julukan Al-Ju’i diperolehi kerana Allah Taala telah memberinya kekuatan untuk menahan rasa lapar jasmani melalui rasa lapar rohani. Beliau berkata “Meskipun perut ini tidak disi dengan makanan selama 1 bulan, aku tidak peduli. Ya Allah inilah yg Engkau perlakukan padaku, maka sempurnakanlah ia bagiku!”
Az-Zahabi dalam kitabnya Siyar ‘Alam Al-Nubala’ menulis tentang Al-Ju’i ini sebagai seorag imam, ahli hadith, syeikh sufi dan sahabat karib dengan Ahmad bin Al-Hawari, tokoh hadith waktu tu. Beliau belajar hadith dari Sufyan bin Uyainah, tabiin yg terkenal. Menurut Az-Zahabi lagi, Ibnu Abu Hatim Al-Razi seorang ahli hadith berkata, “Aku pergi ke Damaskus untuk menemui para penulis hadith. Di sana aku melintasi majlis Qasim Al-Ju’i dan melihat sekumpulan besar manusia duduk di sekelilingnya, sementara dia berbicara.
Aku mendekatinya dan mendengarnya berkata, “Lakukanlah lima perkara ini tanpa kehadiran orang lain dalam kehidupanmu. Pertama, bila kamu berada di tengah masyarakat, jangan ingin DIKENALI; Kedua, bila kamu tidak hadzir di tengah masyarakat, jangan ingin DIRINDUI, Ketiga, bila kamu mengetahui sesuatu, anggaplah nasihatmu tidak DIHARAPKAN, Empat, bila kamu mengatakan sesuatu, TOLAKLAH kata2mu, Kelima, bila kamu mengerjakan sesuatu, jangan mahu menerima PUJIAN orang."
Ibnu Abu Hatim Ar-Razi berkata Qasim menambah lagi bicaranya di majlis itu dengan berkata “Dan aku menasihati lagi lima hal yang lain. Pertama, bila kamu dizalimi, jangan MEMBALAS; Kedua, bila kamu dipuji, jangan BERASA SENANG; Tiga, bila kamu dipersalahkan, jangan BERPUTUS ASA, Keempat, bila kamu digelar pembohong, jangan MARAH dan yang kelima, bila kamu dikhianati, jangan DIBALAS."
Ibnu Abu Hatim kemudian berkata, “Aku menganggap nasihat itu sebagai anugerah yang kuperolehi dari kunjunganku ke Damaskus.”
Al-Qusyairi dalam kitabnya Ar-Risalah mengungkapkan bahawa lapar merupakan sifat-sifat ulama dan salah satu sendi perjuangan. Orang2 yang menempuh jalan Allah beransur2 dapat mengembalikan lapar pada kedudukannya di dalam diri mereka, sehingga mereka mampu menghindari makanan. Mereka menemui kebijaksanaan dengan cara melaparkan diri.
Qusyairi menceritakan sebuah kisah yang berasal dari gurunya, Abu Ali Ad-Daqqaq. Ada seorang murid bertamu kepada gurunya dan melihat gurunya sedang menangis. Si Murid kehairanan lantas bertanya. “Apa yang menyebabkan tuan menangis?”
“Aku lapar.”
“Apakah tangisan itu kerana lapar?”
“Diamlah, apakah engkau tidak tahu bahawa yang dimaksudkan lapar adalah tangisku.”
Dalam satu kesah yang lain, Sahl bin Abdullah At-Tustari tidak pernah makan kecuali setelah 15 hari. Jika tiba bulan puasa, dia tidak akan makan sebelum melihat hilal (bulan). Dia berbuka hanya dengan air putih. Beliau berkata “Ketika Allah mencipta dunia, Dia menjadikan lapar untuk ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan.”
Saal bin Abdullah ditanya perihal lelaki yang hanya makan satu kali sehari. Dia menjawab, ‘Itulah makan orang2 yang baik.’
“Bagaimana kalau makan dua kali?”
“Itu makan orang2 mukmin.” Maksudnya, orang yang makan sahur dan berbuka puasa.
“Bagaimana jika makan tiga kali?”
“Itu seperti orang yang mendirikan tempat makanan untuk binatang.” Apa yang dimaksudnya dengan bangunan tempat makanan untuk binatang adalah laparnya binatang yang tidak mempunyai keinginan selain banyak makan dan minum.
Menurut riwayat yang sahih, apabila lapar, Sahl bin Abdullah akan menjadi kuat. Sebaliknya apabila kenyang, dia menjadi lemah. Betullah kata perumpamaan Arab berkenaan lapar dan ilmu iaitu “Kelahapan menghilangkan kecerdasan.”
Dalam kesah yang lain, Yahya bin Muaz seorang sufi berkata, “Seandainya lapar dapat dijual di pasar, orang2 yang mencari nikmat di akhirat tidak akan membeli yang lain.” Beliau berpendapat orang yang hendak menuju Allah, lapar adalah latihan, bagi orang yang bertaubat adalah ujian, bagi orang yang zuhud adalah pengendalian, dan bagi orang yang makrifat adalah kemuliaan.
Demikianlah kisah wali-wali yang menuju jalan Allah dengan melaparkan diri. Marilah kita muhasabah diri. Nabi saw sendiri dalam hidupnya tidak pernah kenyang. Nabi menahan lapar dan hidup dalam kemiskinan. Aisyah ra berkata, Nabi tidak pernah menyimpan roti selama tiga hari berturut2 sehingga baginda wafat. Ketika Nabi saw wafat, tidak ada sesuatu yang boleh dimakan di rumahnya kecuali segenggam tepong gandum di dalam bekas tempurong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan