Ahad, 10 Januari 2010

Isu Penggunaan Kalimah ALLAH Bagi Orang-orang Kristian




Isu ini adalah suatu isu yang lama tetapi memasuki sebuah episod yang baru, khususnya di Malaysia. Memang benar, pelbagai pandangan diutarakan dengan melihat dari pelbagai sudut. Secara asasnya, apa yang paling penting adalah, prinsip Islam itu sendiri dalam menilai isu sebegini.

 Memang benar, berdasarkan pengamatan dari segenap aspek, baik dari hujah mereka yang membenarkan mahupun hujah mereka yang melarang, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah, ianya lahir (samada bersetuju atau menolak) daripada hujah-hujah yang zhonniyyah atau tidak muktamad.

Namun, ketika berhadapan dengan sesuatu isu setempat, pendirian seseorang ahli ilmu atau ulama’ selalunya dibina atas timbangan keilmuan yang teliti, setelah melihat segenap sudut yang perlu diperhatikan termasuklah maslahat sesebuah masyarakat Islam di tempat tersebtu. Oleh yang demikian, dalam isu penggunaan kalimah “Allah” bagi orang-orang Kristian, pendirian seseorang ahli ilmu itu hanyalah berbentuk tarjih (menguatkan salah satu pendapat) setelah menilai isu ini dari pelbagai sudut.

Penggunaan Kalimah Allah dan Toleransi Beragama

Agama Islam merupakan suatu agama yang murni. Ia merupakan suatu agama kebenaran berdasarkan pelbagai bukti-bukti dalam setiap sudut pembuktiannya. Allah s.w.t. yang merupakan Tuhan Semesta Alam ini lagi Maha Esa dalam kerajaanNya, telah memilih Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai di sisiNya.

Allah s.w.t. mengakui kebenaran Islam bahkan mengiktiraf hanya Islam sebagai suatu kebenaran dan hanya Islam merupakan agama yang benar yang mengandungi segala ajaran yang benar dalam segenap sudut samada dari sudut aqidah, hukum-hakam dan akhlak. Berdasarkan ajaran Islam juga, hanya dengan aqidah murni Islam sahaja, seseorang dapat selamat daripada api neraka.

Walaupun Islam memberi kebebasan beragama kepada sesiapa sahaja dari kalangan orang-orang kafir, namun Islam tetap mengajak umat manusia kepada menerima ajaran Islam yang murni dan tidak pernah mengiktiraf agama-agama mereka sebagai kebenaran. Ini kerana, hanya Islam sahaja merupakan agama yang boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat.

Hakikatnya jelas dalam agama Islam, selain daripada prinsip busyra (khabar gembira) yang terkandung dalam dakwah Islamiyyah, dalm masa yang sama juga ianya mempunyai dasar inzhar (memberi peringatan). Selain daripada Islam menceritakan tentang kebahagiaan yang bakal manusia kecapi jika memilih Islam, Islam juga menjelaskan suatu hakikat di mana manusia bakal memperolehi siksa api neraka yang kekal di akhirat jika tidak mahu memilih Islam sebagai agama mereka di dunia.

Walaupun secara asasnya, elemen terpenting dalam dakwah Islam adalah secara hikmah dan mau’izhoh hasanah (mengajak dengan cara yang baik), namun Islam menolak segala bentuk tasammuh (toleransi) kepada orang-orang kafir yang membawa kepada penolakan terhadap prinsip-prinsip Islam yang murni.

Penggunaan Kalimah ALLAH Menurut Islam

Kalimah ALLAH s.w.t. adalah merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, Maha Agung lagi Maha Sempurna. Kalimah ALLAH dalam Islam merujuk kepada zat Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan keesaan.

Dalam Islam, kalimah “ALLAH” bukan sekadar suatu kata nama, tetapi merangkumi konsep ketuhanan yang bersifat dengan kesempurnaan dan keesaan. Maka, apabila kita berkata bahawasanya, Tuhan yang kami sembah adalah Allah, bererti, Allah s.w.t. yang disembah tersebut bersifat dengan sifat-sifat yang telah disebutkan terutamanya aspek kesempurnaan dan keesaan-Nya.

Kalau seseorang berkata: “Saya menyembah Allah” tetapi yang dimaksudkan adalah tuhan yang terdiri daripada tiga oknum atau salah satu daripada oknum tuhan trinity, maka ianya suatu yang menyalahi “dasar dan prinsip” Islam sebenar.

Allah s.w.t. sendiri sudah menjelaskan bahawa kalimah “Allah” adalah suatu nama bagi merujuk kepada satu-satunya Tuhan yang Maha Benar dengan sifat-sifat yang disebutkan. Iaitu:-

Allah s.w.t. berfirman:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)

Maksudnya: Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. (1) Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. (2) Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, (3) Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia." (Surah Al-Ikhlas: 1- 4)

Ayat ini merupakan pendirian Islam yang jelas menunjukkan Islam menolak sebarang kepercayaan tentang sesuatu tuhan selain daripada Allah s.w.t.. Malah, Islam menegaskan sifat-sifat Tuhan yang bernama ALLAH tersebut adalah:

- MAHA ESA (Al-Ahad)

- AS-SHOMAD (Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu)

- Tidak beranak dan tidak diperanakkan.

- Tidak ada yang serupa denganNya.

Daripada penjelasan surah Al-Ikhlas ini menunjukkan secara jelas tiada agama lain selain Islam yang boleh menamakan tuhan mereka sebagai “ALLAH” menurut agama Islam termasuklah agama Kristian kerana hanya agama Islam yang menjelaskan konsep aqidah tauhid yang murni ini.

Adakah “Allah” yang ingin dimaksudkan oleh orang-orang Kristian bersifat dengan keseluruhan sifat-sifat yang telah disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tersebut? Kalau tidak, maka Islam secara jelas menolak kepercayaan mereka tentang “Allah” dalam versi aqidah mereka yang salah tersebut. Adakah prinsip ajaran Islam yang menolak kepercayaan trinity orang-orang Kristian tentang ketuhanan “Allah” dalam masa yang sama tidak menolak penggunaan nama yang benar kepada konsep yang salah?

Agama Kristian merupakan agama yang mengajar manusia mempercayai ketuhanan Trinity (Trinitas) sedangkan ALLAH s.w.t. bukanlah tuhan bersifat Trinity yang bercanggah dengan sifat ketuhanan pertama yang disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tadi dan bukan juga salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity orang-orang Kristian kerana bercanggah dengan sifat ketuhanan ketiga yang disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tadi.

Oleh sebab itulah, apabilah kita membaca penerangan para ulama’ tentang kalimah “Allah”, ianya mengandungi sifat-sifat kesempurnaan dan keesaan.

Imam As-Syirbini dalam Tafsir As-Siraj Al-Munir menafsirkan kalimah ALLAH dalam surah Al-Ikhlas tersebut dengan berkata:

الذي ثبتت إلهيته وأحديته

Maksudnya: “ALLAH ialah Tuhan yang bersifat dengan ketuhanan dan keesaanNya.”

Dalam erti kata yang lain, kepercayaan ketuhanan yang tidak berdasarkan “tauhid” (keesaan) termasuklah kepercayaan ketuhanan trinity Kristian bukanlah merujuk kepada Allah s.w.t..

Imam Al-Khazin berkata:

( الله) هو اسم علم خاص لله تعالى تفرد به الباري سبحانه وتعالى ليس بمشتق ولا يشركه فيه أحد وهو الصحيح المختار دليله قوله تعالى ' هل تعلم له سميا ' يعني لا يقال لغيره الله

Maksudnya:

“((ALLAH)) ialah kata nama khusus bagi Allah yang hanya khusus untukNya s.w.t.. Ia (nama) itu bukan terbit dari mana-mana kata terbitan dan tidak ada sesiapa berkongsi nama tersebut denganNya. Inilah pegangan yang sahih dan terpilih. Dalilnya adalah firman Allah: “Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?” iaitu: tidak dikatakan kepada selainNya dengan nama ALLAH...” [Tafsir Al-Khazin pada tafsir Surah Al-Fatihah]

Sheikh Muhammad Ali As-Shobuni ketika menjelaskan tentang kalimah ALLAH dalam Shofwah At-Tafasir pada surah Al-Fatihah berkata:

“((ALLAH)) Suatu nama khusus bagi Zat Maha Agung yang mana tidak ada yang berkongsi nama tersebut denganNya…” [1/18]

Sheikh Sa’id bin Muhammad dalam Busyro Al-Karim menjelaskan bahawasanya Lafz Al-Jalalah (ALLAH) tidak boleh dinamakan kepada selainNya (Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam)… [m/s 3]

Sheikh Sa’id Hawa dalam kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah pada menjelaskan zikir dengan Ism Mufrad berkata:

الاسم الوحيد الذي يدل على الله ذاتاً وصفات وأسماء وأفعالاً، بينما غيره يدل على ذات وصفه، ثم هو لا يسمى به غير الله

Maksudnya: “(Allah) adalah satu-satunya nama yang merujuk kepada segenap zat, sifat, nama-nama dan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.. Adapun nama-nama yang lain merujuk kepada sifat-sifaNya. Kemudian, nama ALLAH tersebut tidak dinamakan kepada selain ALLAH (Tuhan yang disembah oleh umat Islam).”

Kalau kita rujuk kepada tulisan-tulisan para ulama’ Islam, hampir kesemuanya tidak membenarkan lafaz ALLAH digunakan bagi merujuk kepada tuhan-tuhan lain selain Allah atau kepada konsep ketuhanan yang bercanggah dengan tauhid. Ini kerana, ALLAH bermaksud TUHAN yang MAHA ESA dan ia sangat berkaitan dengan konsep keesaan Tuhan itu sendiri.

Inilah secara prinsip dalam Islam di mana tidak boleh menamakan kepada tuhan-tuhan selain Allah dengan nama Allah s.w.t.. Secara dasarnya, berdasarkan penerangan para kebanyakan ulama’ sendiri, kata nama “Allah” khusus untuk Allah s.w.t. yang disembah oleh orang-orang Islam dengan konsep ketuhanan yang murni (keesaan dan kesucian).

Allah s.w.t. berfirman:

“Maka (Zat yang demikian) itulah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya; Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)?” (Surah Yunus: 32)

Agama Kristian dan Lafaz ALLAH

Sememangnya Allah s.w.t. ada menyebutkan kalimah ALLAH bagi menceritakan tentang aqidah agama Kristian namun dalam bentuk penafian terhadap aqidah mereka yang sesat, bukan dalam bentuk mengakui penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka.

Ini kembali kepada penggunaan mereka (orang-orang kafir termasuk ahlul-kitab) yang hidup dalam masyarakat Arab yang juga menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan yang menciptakan alam ini. Oleh kerana Ahlul-Kitab yang hidup dalam masyarakat Arab yang menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta, maka mereka juga menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta.

Namun, itu bukanlah tradisi asal orang-orang Kristian sebagaimana dijelaskan oleh orang-orang Krisitan sendiri. Menurut kebanyakan cendikiawan Kristian sendiri, mereka menyebut tuhan mereka sebagai El, Elohim atau Yahwah.

Asalnya, nama tuhan dalam Hebrew (bahasa asal Old Testement) adalah seperti berikut jika diterjemah ke dalam bahasa Inggeris: YHVH atau YHWH tanpa ada huruf vokal. Maka, sebahagian cendikiawan Kristian yang awal menetapkan sebutannya sebagai Yahweh.

Nama lain bagi tuhan sembahan mereka adalah Elohim dalam bahasa Hebrew. Ada juga yang menyebut tuhan mereka sebagai Jehovah. Ada juga menyebut Tuhan sebagai HaShem. Kemudian, bagi orang-orang Kristian, mereka merujuk kepada New Testament yang dikatakan berbahasa Yunani (Greek) lalu menyebut tuhan mereka dalam bahasa Greek iaitu “Ho Theos”.

Pada dasarnya, jika merujuk kepada Yahweh atau Elohim dengan konsep ketuhanan Tauhid yang menjadi asas aqidah ajaran agama Samawi, ianya merujuk kepada Allah s.w.t. itu sendiri, dalam bahasa yang berbeza. Namun, ketika konsep ketuhanan Tuhan tersebut difahami dengan salah, lalu dinisbahkan pelbagai bentuk kesyirikan kepada konsep ketuhanan tersebut, maka Islam tidak mengiktiraf konsep ketuhanan tersebut sebagai ajaran para rasul terdahulu dan nama-nama tuhan tersebut yang dipercayai dengan unsur-unsur kesyirikan sudah tidak lagi merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa.

Walaupun ada ahli ilmu cuba mengaitkan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab hampir dengan kalimah “Eloah” dalam bahasa Hebrew, yang merujuk kepada Tuhan yang sama, namun dari sudut aqidah orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian, maka sudah jelas tuhan mereka (Kristian) berbeza dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam.

Apakah konsep ketuhanan agama Kristianiti itu sendiri?

Orang-orang Kristian menyembah tuhan dalam bentuk trinity di mana tuhan itu bukan Maha Esa seperti kepercayaan orang-orang Islam dan bukan juga berbilang-bilang sebagaimana kepercayaan orang-orang kafir. Mereka bertuhankan tuhan yang satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Bahkan, hampir tiada orang-orang Kristian yang mampu memahami konsep trinity dengan kefahaman yang tepat kerana setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza tentang konsep trinity mereka.

Pendek kata, orang-orang Kristian percaya bahawasanya tuhan adalah:

- TUHAN AYAH (Yahweh)

- TUHAN ANAK (Jesus/Nabi Isa)

- TUHAN ROH QUDS (Holy Spirit)

Ketiga-tiga tersebut bukanlah tiga individu yang berbeza tetapi satu tuhan yang berbeza personalitinya. Ketiga-tiga (oknum) itu bukan tiga tuhan tetapi satu tuhan. Ada yang memperumpamakan ketiga-tiga ini sebagai wap air, air dan ais iaitu tiga bentuk yang berbeza bagi personaliti yang sama.

Orang-orang Kristian berbelit-belit dalam memahami ketuhanan mereka sehingga tidak mampu merungkai konflik dalam memahami trinity lalu sebahagian ahli gereja cuba menamakan krisis memahami trinity sebagai “keajaiban ketuhanan”. Itulah istilah terbaik untuk menyembunyikan kesesatan aqidah mereka.

Kalimah ALLAH yang cuba digunakan oleh orang-orang Krisitian merujuk kepada yang mana satu?

Andaian Pertama:

Trinity adalah: Tuhan Ayah + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN (Inilah ALLAH)

Andaian Kedua:

Trinity adalah: Tuhan Ayah (Inilah ALLAH) + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN

Kalaulah kalimah ALLAH merujuk kepada gabungan tiga oknum iaitu TUHAN AYAH, TUHAN ANAK dan TUHAN ROH QUDS, maka ia suatu yang jelas ditolak oleh Islam kerana kalimah ALLAH hanya merujuk kepada zat TUHAN yang MAHA ESA tanpa merangkumi tiga oknum tuhan yang menjadi teras aqidah trinity Kristian.

Allah s.w.t. berfirman:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآَمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا

Maksudnya: Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (trinity)", berhentilah (dari ucapan itu). (itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. cukuplah Allah menjadi Pemelihara. (Surah An-Nisa’: 171)

Ayat ini secara jelas menunjukkan pendirian agama Islam yang menolak kepercayaan trinity dalam konsep ketuhanan. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Islam secara jelas menolak penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada suatu jenis tuhan yang mempunyai intipati trinity ini.

Isyarat pertama daripada ayat ini di mana Allah s.w.t. menegaskan:

وَلاَ تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ إِلاَّ ٱلْحَقَّ

Maksudnya: “…janganlah kamu berkata terhadap Allah melainkan yang benar…”.

Daripada ayat ini dapat difahami Allah s.w.t. tidak membenarkan seseorang berkata tentang “Allah” s.w.t. berkenaan kebatilan dan kesesatan, apatah lagi menamakan “Allah” kepada tuhan yang batil sebagaimana difahami oleh orang-orang Kristian.

Imam At-Tabari ketika menafsirkan perkataan (انْتَهُوا) “berhentilah…” dalam ayat tersebut dengan berkata:

فإن الانتهاء عن ذلك خير لكم من قِـيـله، لـما لكم عند الله من العقاب العاجل لكم علـى قِـيـلكم ذلك

Maksudnya:

“Bahawasanya berhenti (orang-orang Kristian) daripada yang demikian (berkata Allah itu salah satu daripada trinity atau trinity secara keseluruhan) lebih baik daripada berkata sedemikian, kerana bagi kamu (orang-orang Kristian) dari Allah (terhadap ucapan tersebut) siksa yang akan datang terhada apa yang telah dikatakan tersebut (iaitu Allah itu tuhan trinitas).” [rujuk Tafsir At-Tabari pada ayat tersebut]

Imam At-Tabrani pula ketika menafsirkan perkataan firman Allah s.w.t. dalam ayat tersebut yang berbunyi:

وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ

Beliau berkata:

{ وَلاَ تَقُولُواْ ثَلاَثَةٌ }؛ أي تقُولُوا آلِهَتُنَا ثلاثةٌ: أبٌ؛ وابنٌ؛ وروحُ قدسٍ، { ٱنتَهُواْ }؛ عنِ الكُفْرِ، عن هذهِ المقالةِ،

Maksudnya: “(Jangan kata tiga)) iaitu jangan kamu katakan tuhan-tuhan kami tiga atau trinity yang merangkumi: tuhan bapa, tuhan anak dan roh quds. ((Berhentilah)) dari kekufuran dan dari perkataan tersebut (Tuhan itu trinity).”

Di sisi Imam At-Tabrani juga menjelaskan betapa ayat ini menjadi isyarat jelas betapa Allah s.w.t. menyuruh mereka berhenti daripada kekufuran mereka yang mengatakan Allah itu trinity atau berhenti daripada perkataan mereka yang kufur tersebut. Ini secara tidak langsung roh Al-Qur’an mengajar kita agar tidak mengiktiraf perkataan kekufuran mereka tersebut.

Imam Al-Alusi juga menyebut dalam kitab Ruh Al-Ma’ani pada ayat tersebut pada perkataan Intahu:-

{ ٱنتَهُواْ } عن القول بالتثليث

Maksudnya: “Berhentilah daripada mengatakan Trinity…” [Ruh Al-Ma’ani]

Islam menolak konsep trinity dalam aqidah ketuhanan. Oleh yang demikian, Islam secara tidak langsung menolak seseorang merujuk kalimah ALLAH kepada tuhan yang bersifat trinity sebagaimana yang disebutkan kerana menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan trinity adalah antara yang dicela oleh Allah s.w.t. daripada keseluruhan perkataan mereka tersebut.

Jika penggunaan kalimah ALLAH merujuk kepada andaian kedua iaitu:

Trinity adalah: Tuhan Ayah (Inilah ALLAH menurut mereka) + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = Satu TUHAN

Maka:-

Kalimah ALLAH yang cuba digunakan merujuk kepada TUHAN AYAH (God The Father) dalam konsep trinity sememangnya juga disebut dalam Al-Qur’an bagi merujuk kepada “penggunaan mereka” terhadap istilah tersebut, namun, bukan kerana Islam meraikan istilah tersebut atau menerima konsep tersebut.

Kebanyakan orang-orang Kristian memahaminya begitu, iaitu Allah bagi mereka merujuk kepada Tuhan Bapa atau Tuhan Ayah yang merupakan salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity.

Memang benar, banyak ayat yang menceritakan bahawasanya orang-orang Kristian dan Yahudi menjadikan Isa dan Uzair sebagai anak ALLAH dan ALLAH sebagai Tuhan Ayah, namun ianya bukan menunjukkan Islam mengiktiraf penggunaan istilah tersebut kerana istilah tersebut merujuk kepada penggunaan yang telah lama digunakan oleh orang-orang kafir dan ahlul-kitab sebelum kedatangan Islam lagi. Dalam masa yang sama, ada nas yag jelas menunjukkan Islam tidak juga bersetuju dengan penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada salah satu oknum daripada tuhan trinity.

Allah s.w.t. berfirman:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya:

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah satu (oknum) daripada yang tiga (oknum triniti)", padahal sekali-kali tidak ada tuhan selain dari Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. (Surah Al-Ma’idah: 73)

Ini suatu peringatan yang jelas dalam Islam agar orang-orang kafir khususnya dari kalangan orang-orang Kristian agar tidak berpegang bahawa ALLAH adalah salah satu oknum daripada ketuhanan trinity. Ini juga menunjukkan larangan keras terhadap menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada salah satu daripada oknum tuhan trinity tersebut. Bagi mereka yang menamakan Allah sebagai salah satu daripada tiga oknum tuhan trinity adalah suatu kekufuran, adakah Islam meredhai kekufuran dengan membenarkan lafaz Allah digunakan pada salah satu daripada oknum tuhan triniti?

Imam Al-Qurtubi menafsirkan seruan Al-Qur’an yang bermaksud: “…Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih.” dengan berkata:

{ وَإِن لَّمْ يَنتَهُواْ } أي يكفّوا عن القول بالتثليث ليمسنهم عذاب أليم في الدنيا والآخرة

Maksudnya: “Jika mereka tidak berhenti…)) tidak berhenti daripada berkata tentang trinity tersebut, mereka akan disiksa di dunia dan di akhirat”. [rujuk Tafsir Al-Qurtubi]

Asas-asas ajaran Islam berkenaan kalimah ALLAH ini harus diutamakan dalam berinteraksi dengan orang-orang kafir dari kalangan musyrikin dan ahlul-kitab, apatah lagi demi menjaga maslahat umat Islam yang awam daripada tipu daya musuh-musuh Islam yang cuba menyebarkan kesesatan aqidah mereka kepada umat Islam.

Memang benar, ada ayat yang menceritakan bahawa Ahlul-Kitab sudah tersesat dalam menisbahkan anak kepada ALLAH, namun ianya bukan dalam bentuk pengiktirafan terhadap konsep anak bagi Allah s.w.t. dan menerima konsep tuhan beranak.

Allah s.w.t. menyebut:

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ (30) اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ (31) يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (32) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (33)

Maksudnya:

30. Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih itu anak Allah". Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?

31. Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih anak kepada Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

32. Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

33. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

[Surah At-Taubah: 30-33]

Ayat ini secara jelas menceritakan betapa Allah s.w.t. melaknat perbuatan mereka dengan menisbahkan anak kepada diri-Nya yang Maha Esa, bahkan menjelaskan bahawa Maha Suci Allah s.w.t. daripada apa yang mereka syirikkan. Jadi, ayat ini juga secara jelas menolak sebarang konsep yang bercanggah dengan tauhid untuk dinisbahkan kepada Allah s.w.t.. Maka, tidak ada sebab seseorang perlu membenarkan orang-orang Kristian khususnya yang masih mempercayai Nabi Isa a.s. sebagai anak Allah menamakan tuhan versi trinity mereka sebagai Allah sedangkan Allah s.w.t. menyucikan zatNya daripada penyekutuan tersebut.

Jadi, bukan semua ayat yang menceritakan perihal sesuatu golongan dianggap pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kerana ada juga kisah-kisah yang disebut sebagai pengingkaran terutamanya dengan penolakan yang jelas dalam ayat-ayat berikutnya.

Jadi, masyarakat Islam mempunyai asas untuk melarang orang-orang Kristian daripada menggunakan kalimah “Allah” berdasarkan seruan asas Al-Qur’an sendiri yang menyuruh mereka (orang-orang Kristian) yang sudah menisbahkan anak atau trinity bagi Allah, agar berhenti daripada memperkatakan sedemikian, apatah lagi tidak membenarkan sama sekali orang-orang Kristian yang baru ingin menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka dalam masyarakat awam Melayu yang tidak memahami perbezaan penggunaan Allah dari sudut bahasa dan istilah syarak sebagaimana difahami oleh masyarakat awam Islam Arab.

Pendirian Islam terhadap Orang-orang Kristian Secara Umum

Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Qur’an:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), marilah kepada satu Kalimah yang membawa persamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Islam menjelaskan bahawasanya, agama-agama samawi seperti agama Judaisme (bagi orang-orang Yahudi) dan Kristianiti (bagi orang-orang Kristian) telah dipesongkan daripada ajaran para rasul mereka terdahulu yang pada asalnya merupakan ajaran tauhid yang murni juga.

Hal ini jelas dalam kitab Torah mahupun Bible yang mereka masih miliki kini, yang sebahagiannya sudahpun diselewengkan daripada ajaran tauhid. Namun, ada sedikit teks-teks dalam kitab-kitab tersebut menunjukkan ajaran sebenar agama-agama mereka iaitulah konsep tauhid itu sendiri.

Dalam Torah, kitab Exodus dan Deuteronomy yang bermaksud:

"Tidak ada tuhan-tuhan sebelumku. Janganlah kalian jadikan bagiKu akan sebarang gambaran, atau menyamakanKu dengan apa yang ada di langit, atau di dunia, atau di dalam laut di bawah bumi: Kamu tidak sepatutnya tundukkan diri kamu (menyembah) kepada makhluk-makhluk tersebut, dan tidak pula sepatutnya kamu menyembah mereka, kerana sesungguhnya, Aku satu-satunya Tuhan, Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang cemburu" [Exodus 20:3-5 dan kitab Deuteronomy 5:7-9]

Nabi Isa a.s. juga diriwayatkan mengajar konsep Tauhid kepada para pengikutnya seperti yang diriwayatkan dalam buku Mark (Markus) yang berbunyi:

"Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord."

Yang bermaksud: "Dengarlah wahai Bani Israel: Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa" [Mark 12:29]

Oleh yang demikian, agama Islam mengajak orang-orang Kristian khususnya yang digelar sebagai ahlul-kitab sebagai ungkapan memuliakan mereka, agar mereka kembali kepada ajaran tauhid dengan berpegang kepada ajaran Islam samada aqidahnya, fiqhnya mahupun akhlaknya.

Islam adalah satu-satunya agama kebenaran. Hanya dengan mengikut ajaran Islam yang diajarkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. sahaja seseorang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Inilah suatu fakta yang disampaikan oleh ajaran Islam kepada seluruh umat manusia termasuklah kepada orang-orang Kristian.

Jika orang-orang Kristian tidak mahu menerima kebenaran Islam, maka Islam membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama mereka secara bebas selagi mana tidak membawa kepada tertegahnya perlaksanaan ajaran-ajaran agama Islam khususnya dalam negara Islam.

Islam turut mengakui ketinggian moral sebahagian penganut agama Kristian dengan ayat yang berbunyi:

…dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menymbongkan diri…(Surah Al-Ma’idah: 82)

Oleh yang demikian, Islam memberi ruang terutamanya kepada orang-orang Kristian dan bukan Islam yang lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka secara bebas. Namun, kebebasan beragama tidak boleh membawa kepada keterbatasan peranan agama Islam dalam sesebuah negara yang dipimpin oleh umat Islam itu sendiri.

Apabila berkaitan dengan penggunaan sesuatu kalimah yang digunakan oleh masyarakat Islam, maka ianya bukan sekadar berkaitan penggunaan perkataan, tetapi merangkumi keseluruhan kefahaman terhadap perkataan dan kalimah tersebut. Oleh sebab itulah, isu penggunaan kalimah Allah tidak wajar dilihat sebagai masalah perkataan semata-mata kerana ianya mempunyai pengaruh yang lebih luas dalam sesebuah masyarakat. Maka, oleh sebab itulah masyarakat Islam berdiri mempertahankan kalimah Allah ini, kerana merangkumi maksud yang besar dalam kefahaman mereka terhadap agama Islam secara menyeluruh.

Istilah dan Pengaruhnya dalam Masyarakat

Istilah memainkan peranan yang penting. Hal ini jelas khususnya ketika ianya digunakan dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat khususnya di Malaysia sudah lama mengkhususnya penggunaan kalimah Allah kepada Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja. Tidak timbul suatu tradisi seperti orang-orang Kristian Arab yang sudah lama menggunakan kalimah Allah bagi merujuk salah satu oknum daripada tuhan bersifat trinity yang mereka sembah.

Jadi, istilah-istilah yang menjadi penggunaan khusus bagi sesebuah kumpulan penganut sesebuah agama perlu diraikan khususnya apabila perkongsian istilah boleh membawa kepada fitnah yang lebih besar. Orang-orang Kristian di Malaysia khususnya tidak rugi jika tidak menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka. Padahal, di pihak masyarakat awam Islam di Malaysia pula, ianya boleh membawa kepada kekeliruan.

Sebahagian masyarakat awam mungkin membuat andaian, jika orang-orang Kristian pun menyembah Allah sebagaimana orang-orang Islam, jadi tiada bezanya orang-orang  beragama Kristian kerana menyembah tuhan yang sama. Ini adalah suatu kekeliruan yang boleh merosakkan aqidah sesetengah masyarakat awam Islam.

Sebagai contoh, orang-orang Kristian juga mengaku sebagai “believer”, iaitu mempercayai ketuhanan Jesus, namun jika mereka cuba menterjemahkannya sebagai beriman lalu mengaku mereka sebagai orang-orang beriman, maka dari ukuran Islam, mereka adalah orang-orang yang kafir dan syirik kerana menjadikan tuhan selain daripada Allah s.w.t..

Jadi, istilah “beriman” juga secara dasarnya dikhususkan kepada orang-orang Islam dalam penggunaan masyarakat yang tertentu. Kita juga tidak bersetuju jika orang Kristian mengaku sebagai Mu’min kerana beriman dengan ketuhanan Jesus dan kita juga tidak dapat menerima orang-orang Kristian mengaku sebagai Muslim kerana kepatuhan mereka kepada Paul. Oleh itu, penggunaan sesuatu istilah berdasarkan tasawwur yang khusus bagi sesetengah pihak sangat dipentingkan. Sebahagian orang membahaskan pengkhususan istilah bagi masyarakat Islam ini berdasarkan pandangan sarwa Islam (Islamic worldview).

Memang benar, kerana dalam perbahasan “penggunaan” bahasa, para ulama’ Islam sering membahaskan bahawa sesuatu kalimah dari sudut penggunaan bahasa atau dari sudut istilah syarak. Ini kerana, Tasawwur dan Mafhum kalimah berbeza dari sudut penggunaannya. Namun, tradisi sebegini tidak difahami secara asas oleh masyarakat awam Islam di Malaysia sehingga dapat membezakan pengunaan sesuatu kalimah samada di tempat yang salah ataupun betul.

Jadi, larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian juga merujuk kepada suasana masyarakat awam Islam di Malaysia dan kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Kedudukan Agama Islam dalam Malaysia

Fasal ini sangat penting dalam rangka untuk membentuk sebuah gambaran umum bagi pendirian kita terhadap kalimah Allah bagi orang-orang Kristian ini. Ini kerana, orang-orang Islam di negara ini mempunyai ruang undang-undang yang jelas untuk menggubal undang-undang demi menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

Sejak kedatangan Islam ke Alam Nusantara, terbentuknya sebuah negara Islam yang berteraskan sistem beraja. Zaman Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi contoh kepada pembentukan sebuah empayar kerajaan Islam dengan menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan negeri dengan menggubal Risalat Hukum Kanun Melaka yang ditulis atas titah Sultan Muzaffar Shah (1446-1456 M) pada ketika itu.

Pada Fasal 41 dalam Risalat Hukum Kanun Melaka ada menyebut bahawasanya, selagi ada kemungkinan undang-undang syariat diamalkan, maka undang-undang lain hendaklah dikemudiankan. [rujuk buku Menjejak Warisan Melayu Islam Beraja oleh Suzana Hj Othman, 2008, m/s 18]

Begitu juga dengan Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan (Negeri Perak), Kanun Kelantan dan sebagainya adalah antara undang-undang Melayu yang dikodifikasikan, meletakkan undang-undang syariat sebagai panduan utama selain undang-undang adat. (Ibid)

Di samping itu juga, kesultanan-kesultanan Melayu di Alam Melayu juga membina hubungan baik dengan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada ketika itu. Dengan demikian, Raja-raja Melayu sudah mula membentuk suatu Tamadun Melayu-Islam sehingga bangsa Melayu tidak lagi dapat dipisahkan daripada agama Islam.

Takrif bangsa Melayu juga sangat berkaitan dengan agama Islam di mana tiada Melayu yang boleh mengaku berbangsa Melayu jika tidak beragama Islam. Ini bukan bererti Islam dikaitkan dengan bangsa Melayu, tetapi bangsa Melayu dikaitkan dengan Islam, yang akhirnya meningkatkan martabat bangsa Melayu itu sendiri sebagai satu-satunya bangsa yang berteraskan agama [secara undang-undang sehingga hari ini: merujuk kepada Perkara 160 (2) ].

Biarpun sejarah telah berlalu, dan usaha British dalam melenyapkan peranan Islam daripada sistem politik di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia sudah menjadi bahan sejarah semata-mata, namun mereka masih gagal melenyapkan terus kedudukan Islam dalam negara Malaysia ini.

Apabila Perlembagaan Persekutuan disusun, kedudukan Islam tetap diletak pada tempat yang tinggi. Jika kita rujuk dalam versi asal Perlembagaan Malaysia [Perkara 3 (1)] dalam bahasa Inggeris secara jelas menyatakan bahawasanya:

“Islam is the religion of the Faderation”.

Maksudnya: “Islam adalah agama Persekutuan”.

Dengan peruntukan jelas ini, Malaysia (sebagaimana juga ajaran Islam) tetap mengamalkan prinsip kebebasan beragama (merujuk kepada Perkara 3 (1)), cuma agama-agama lain boleh dikawal daripada disebarkan kepada orang-orang Islam sebagaimana dalam Perkara 11 (4).

Bahkan, mahkamah lain tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah berdasarkan Perkara 121 (1A) (Akta A704, 1988).

Begitu juga, Yang di-Pertuan Agung yang mengetuai majlis Raja-raja adalah Ketua Umum Negara bagi Persekutuan berdasarkan Perkara 32 (1). Hal ini secara tidak langsung masih menunjukkan peranan, prinsip dan ajaran Islam perlu diutamakan dalam perlaksaannya.

Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, agama Islam mempunyai keutamaan dalam berperanan dalam masyarakat awam terutamanya melibatkan maslahat umat Islam amnya.

Setelah kita memahami kedudukan agama Islam dalam perundangan secara asas, maka larangan penggunaan kalimah “Allah” bagi orang-orang Kristian mempunyai dua dasar yang jelas iaitu

Melalui prinsip ajaran Islam yang menyarankan agar orang-orang Kristian berhenti dari menyebut Allah sebagai salah satu daripada Trinity.

Melalui kedudukan Islam dalam perlembagaan yang menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya dari sudut aqidah mereka.

Larangan Penggunaan Kalimah ALLAH bagi Bahan Penerbitan Kristian: Suatu Prinsip Islam dalam Memelihara Aqidah Umat Islam

Pada prinsip ajaran Islam, kita telah kemukakan sebelum ini di mana secara jelas Islam tidak mengakui konsep Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian dan menafikannya daripada sifat kesempurnaan ALLAH s.w.t.. Ini menunjukkan betapa Islam menitik beratkan tentang kemurnian aqidah Islam daripada kesesatan trinity tersebut. Ini secara tidak langsung juga menunjukkan betapa Islam melarang sebarang bentuk pencemaran terhadap konsep ketuhanan ALLAH dalam aqidah murni umat Islam termasuklah mencemarkan konsep ketauhidan ketuhanan ALLAH dengan idea trinity.

Dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-171 dan Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 secara jelas menolak konsep trinity yang cuba dinisbahkan kepada ALLAH. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam juga menolak sebarang usaha untuk menggunakan kalimah ALLAH yang pada asalnya merujuk kepada TUHAN yang MAHA ESA kepada suatu tuhan versi trinity.

Kalimah “ALLAH” perlu merujuk kepada Tuhan yang sama sebagaimana yang diimani oleh orang-orang Islam sedangkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan orang-orang Kristian merujuk kepada tuhan lain yang bersifat trinity, bukan keesaan. Ini tertolak sama sekali.

Adapun penggunaan Al-Qur’an dalam menggambarkan sesetengah pihak mempersekutukan ALLAH dengan menjadikan tuhan-tuhan lain selain Allah bukan menunjukkan ianya suatu galakan kepada menggunakan kalimah ALLAH bagi agama-agama lain, tetapi ianya sebagai suatu penolakan terhadap ajaran syirik agama-agama lain yang mana sebahagian daripadanya telah menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan dengan konsep yang salah, sebelum kedatangan Islam lagi, terutamanya dalam kalangan orang-orang musyrikin Arab dan Ahlul-Kitab yang hidup di tanah Arab.

Ia sebenarnya kembali kepada penggunaan istilah ALLAH dalam konteks bahasa Arab yang mana sebahagian daripada ahli ilmu bahasa Arab mengatakan bahawasanya ALLAH adalah kata nama daripada Illah yang bermaksud tuhan yang disembah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Munziri daripada Ibi Al-Haitham yang disebut dalam Lisan Al-Arab. Jadi, penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab boleh merujuk kepada maksud tuhan yang disembah menurut sebahagian ahli bahasa walaupun kata “Allah” khusus merujuk kepada Allah s.w.t. sahaja. Namun, dengan keluasan bahasa Arab inilah, Ahlul-Kitab yang tinggal dalam masyarakat Arab juga menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka.

Oleh kerana itu juga, sebahagian ulama’ masih lagi memberi ruang kepada penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang Kristian Arab khususnya kerana ianya secara adatnya sudah dimaklumi secara umum bahawasanya ALLAH yang dimaksudkan oleh orang Kristian Arab berbeza dengan ALLAH yang dimaksudkan oleh orang-orang Islam. Ini kerana, salah guna istilah “ALLAH” itu berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi di mana orang-orang musryikin tetap turut mengakui menyembah ALLAH dan tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan antara mereka dengan ALLAH menurut mereka. Ahlul-Kitab di dunia arab yang hidup dalam masyarakat Arab tersebut sudah terbiasa menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada tuhan mereka walaupun disaluti fahaman yang batil.

Maka, tasammuh (toleransi) dalam dunia Arab hanyalah kerana latar belakang sejarah yang sudah sekian lama malah tidak lagi membawa kekeliruan kepada orang-orang Islam di Arab. Ini kerana, biarpun Islam tidak mengiktiraf konsep ketuhanan trinity Kristian tersebut, namun tidak ada dalil qat’ie melarang orang-orang Kristian khususnya Arab yang sudah terbiasa dengan kalimah Allah, menggunakan kalimah tersebut berdasarkan keluasan ilmu bahasa Arab itu sendiri. Dari sinilah timbulnya toleransi dalam masyarakat Arab dengan orang-orang Kristian Arab. Namun, dalam masa yang sama, tidak dinafikan adanya seruan agar mereka berhenti daripada memperkatakan bahawa Allah itu salah satu daripada tuhan trinity. Seruan yang sebegitu juga boleh dijadikan hujah bagi melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian.

Apa yang menghairankan, ada usaha pihak-pihak Kristian yang menggunakan bahasa selain bahasa Arab dalam penulisan-penulisan mereka, sibuk juga menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka sedangkan pada dasarnya ia menyalahi prinsip Islam dan menyalahi kepercayaan mereka sendiri kerana tuhan mereka bukanlah ALLAH sebagaimana yang disembah oleh orang-orang Islam.

Kalau mereka pun menyembah tuhan dengan konsep ketuhanan trinity, namun masih mengaku tuhan yang mereka sembah adalah ALLAH sebenar, maka mereka secara tidak langsung mendakwa berpegang kepada kalimah bahagian perama daripada syahadah iaitu La ilaha illaLlah (yang Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH), kerana mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan Allah tetapi dalam bentuk kepercayaan mereka yang sesat (trinity). Sedangkan menurut ajaran Islam, hanya orang-orang Islam sahaja yang berpegang dengan kalimah syahadah.

Oleh yang demikian, majoriti ulama’ Islam menegaskan bahawasanya lafaz ALLAH adalah suatu nama yang khas yang tidak terbit dari mana-mana kata terbitan yang mana ianya suatu nama khusus bagi zat TUHAN yang MAHA ESA. Konsep keesaan Tuhan itu adalah intipati utama bagi kalimah ALLAH itu sendiri.

Konsep ketuhanan trinity bagi orang-orang Kristian jelas tidak merujuk kepada konsep tauhid yang menjadi inti bagi konsep ketuhanan di sebalik nama ALLAH itu sendiri. Jadi, tidak selayaknya kalimah ALLAH digunakan oleh orang-orang Kristian merujuk kepada tuhan mereka yang tidak bersifat “keesaan”.

Kalau mereka mahu kekalkan penggunaan bahasa asal bible, samada dalam Hebrew atau Greek, maka mereka boleh memanggil tuhan mereka sebagai Elohim, El, Yahweh, Jehovah atau Ho Theos. Mengapa perlu menggunakan kalimah “Allah” sedangkan ianya bukan bertujuan untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab. Kalau penterjemahan perkataan tuhan kepada bahasa Arab, maka ada ruang kepada menterjemahkannya kepada Allah jika memilih pendapat sebahagian ahli bahasa Arab di mana Allah itu adalah terbitan dari kata Ilah yang bermaksud “tuhan”. Namun, jika ingin terjemahkan god kepada bahasa Melayu, atau bahasa Inggeris, tidak pernah membawa kepada kalimah “Allah” kerana dalam penggunaan bahasa Melayu, kalimah Allah merujuk kepada kata nama khusus bagi Tuhan yang Maha Esa, iaitulah Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja, kerana konsep ketuhanan orang-orang Kristian tidak berteraskan tauhid tetapi sebaliknya berteraskan trinity. [rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua. Boleh didapati secara online di http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=Allah&domain=PRPM ]

Larangan penggunaan kalimah ALLAH kepada agama-agama lain (termasuklah kepada agama Kristian) selain agama Islam di Malaysia adalah suatu dasar yang menepati maqosid syar’iayyah Islam yang menjaga agama masyarakat Islam daripada kekeliruan itu sendiri. Ia juga merupakan suatu dasar yang menutup ruang fitnah yang lebih besar. Ia juga dalam rangka untuk mempertahankan Perkara 11 (4) yang bertujuan menjaga aqidah umat Islam yang awam khususnya daripada kepercayaan-kepercayaan agama lain.

Oleh yang demikian, pelbagai kaedah-kaedah fiqhiyyah yang sesuai dirujuk dalam larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam seperti kaedah Sad Az-Zari’ah dan sebagainya.

Kesimpulan: Asas-asas Umum Larangan Penggunaan Kalimah Allah bagi Orang-orang Kristian

Orang-orang bukan Islam samada dari kalangan orang-orang Kristian khususnya atau selainnya, perlu menghormati prinsip ajaran Islam dan maslahat umat Islam di Malaysia khususnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Pendirian bahawasanya kalimah ALLAH tidak boleh digunakan bagi merujuk kepada konsep ketuhanan selain daripada aqidah Islam adalah merujuk kepada beberapa asas:

Pertama: Nas-nas daripada Al-Qur’an dan hadith menunjukkan konsep kemurnian aqidah Islam yang menolak sebarang pencemaran bagi konsep ketuhanan ALLAH s.w.t. yang berpaksikan aqidah tauhid. Oleh yang demikian, kalimah ALLAH yang merujuk kepada tuhan yang berpaksikan trinity adalah menyalahi prinsip ajaran aqidah Islam yang murni itu sendiri. Dalil-dalil yang menolaknya adalah seperti surah Al-Ikhlas, Surah An-Nisa’ ayat ke-171, Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 dan sebagainya.

Kedua: Ia bercanggah dengan kemurnian konsep kalimah syahadah yang menunjukkan hanya orang-orang Islam sahaja yang menyembah ALLAH s.w.t.. Maka, kalaulah orang-orang Kristian pun menyembah ALLAH dengan konsep trinity, maka mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan ALLAH tetapi Allah yang bersifat trinity. Ini menafikan pengkhususan kepada orang-orang Islam dalam berpegang dengan kalimah syahadah (La ilaha illaLlah). Maka, ia suatu yang tertolak dari sudut kemurnian kalimah syahadah ajaran Islam itu sendiri.

Ketiga: Ia boleh membawa kepada kekeliruan kepada masyarakat awam Islam khususnya di Malaysia. Ia boleh menimbulkan prasangka seolah-olah tuhan yang disembah oleh orang-orang Kristian adalah sama dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam. Ini membuka pintu kepada murtad yang dicela oleh Islam itu sendiri. Berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4), adalah wajar larangan kalimah ALLAH digunakan bagi orang-orang kafir atau bukan Islam. Ia demi menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

Daripada sinilah, ada kaedah-kaedah tertentu dalam qawa’id fiqhiyyah untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar dan fitnah yang lebih bahaya dalam masyarakat Islam, maka larangan menggunakan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian di Malaysia khususnya boleh digunakan.

Keempat: Orang-orang Krisitian di Malaysia khususnya juga tidak mempunyai sebab yang kuat untuk menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana penggunaan istilah ALLAH di Malaysia (penggunaannya secara adat) khusus merujuk kepada Tuhan orang-orang Islam sahaja. Malah, mereka (orang-orang Kristian) juga tidak menulis tulisan mereka dalam bahasa Arab sehingga perlu menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk perkataan tuhan atau god. Mengapa mereka tidak menggunakan perkataan tuhan, god, elohim (bahasa Ibrani), yahweh dan sebagainya yang sering digunakan oleh mereka sebelum ini.

Kelima: Larangan penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam bagi merujuk kepada tuhan-tuhan mereka adalah suatu yang wajar di Malaysia khususnya, kerana Malaysia adalah negara yang beragama Islam sedangkan Islam menolak konsep pencemaran terhadap kemurnian aqidah Islam termasuklah penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan [Perkara 3 (1) dan Perkara 11 (4)], pendirian larangan tersebut adalah wajar kerana prinsip ajaran Islam tidak boleh dihalang oleh kebebasan beragama dengan agama-agama lain. Sebarang usaha atau amalan oleh penganut-penganut agama lain yang boleh membawa kepada mencemarkan prinsip dan roh agama Islam adalah ditolak kerana konsep kebebasan itu sendiri tidak boleh menjangkau kepada hak-hak pihak lain. Adapun penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam dalam penulisan dan penerbitan khususnya, sudah menjangkau daripada sempadannya kerana ianya mencemarkan kemurnian ajaran agama Islam yang merupakan agama Persekutuan dalam konteks di Malaysia.

Orang-orang Kristian khususnya, jika sememangnya berpegang teguh dengan ajaran mereka, pasti mereka akan menghormati kedudukan tinggi agama Islam di negara ini serta kedudukan Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agung sebagai Ketua Umum Negara dan Ketua Agama dan menghormati larangan penggunaan kalimah ALLAH yang mana ianya berteraskan ajaran Islam yang merupakan agama Persekutuan dan agama bagi Ketua Umum Negara.

Dalam surat Paul kepada orang-orang Rom (iaitu Romans: 13) menceritakan tentang suruhan agar orang-orang Kristian khususnya mentaati raja-raja yang memerintah di sesuatu tempat tersebut. Maka, sekiranya larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian digubal, maka mereka perlu menerimanya.

Oleh yang demikian, dari sudut menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di Malaysia secara umumnya sahaja, larangan penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian dan bukan Islam adalah suatu yang praktikal. Umat Islam di Malaysia yang mempunyai banyak ruang kelemahan dari sudut pendidikan agama dan sebagainya, seharusnya tidak terdedah kepada kekeliruan yang lebih besar seperti berkongsi nama tuhan yang sama dengan penganut agama lain.

Apatah lagi, setelah dinilai secara dasarnya, Islam sememangnya menyeru ke arah tidak menisbahkan kesyirikan, trinity, anak dan sebagainya kepada “Allah” yang Maha Esa. Allah s.w.t. sendiri menyucikan zatNya dan sifat-sifatNya daripada perkataan-perkataan seperti konsep trinity dan sebagainya yang menyeleweng tersebut. Jadi, dasar dan prisinp asas Islam secara umum sememangnya membawa kepada tidak memberi ruang untuk menisbahkan konsep ketuhanan yang salah kepada Allah s.w.t.. Ini juga memberi makna bahawa tidak boleh menamakan sesuatu tuhan yang berteraskan konsep ketuhanan yang salah dengan nama “Allah” yang merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Benar.

Kita melihat pengecualian atau toleransi para ulama’ Islam di dalam masyarakat Arab khususnya terhadap penganut agama Kristian Arab kerana mereka sudah biasa menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada “Al-Ilah” atau “Tuhan”. Namun, penggunaan itu tidak berlaku samada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Jadi, secara tidak langsung, toleransi terhadap penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian dalam masyarakat Melayu di Malaysia khususnya boleh menimbulkan kesamaran.

Bahkan, membenarkan orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka merupakan antara hambatan dalam “dakwah islamiyyah” kerana mereka (orang-orang Kristian) secara asasnya sudah mengganggap mereka menyembah Allah sebagaimana orang-orang Islam menyembah Allah, tetapi mereka memahami Allah dengan kefahaman yang lebih. Jadi, dengan alasan mereka sudah menyembah Allah, maka mereka tidak perlu lagi menganut agama Islam kerana beza antara orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian di sisi mereka adalah, orang-orang Islam mengikut Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan orang-orang Kristian mengikut Nabi Isa a.s.. Inilah alasan mereka yang cuba dijelaskan kepada masyarakat awam Islam khususnya, bahawasanya agama mereka juga adalah agama kebenaran.

Oleh sebab itulah, secara prinsipnya, masyarakat Islam sewajarnya tidak meredhai orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana tuhan mereka tidak bersifat keesaan tetapi sebaliknya bersifat trinity. Di sisi mereka, orang-orang Kristian cuba membuktikan bahawasanya konsep trinity adalah tauhid (atau monotheism). Maka, sebab itulah mereka juga mahu menggunakan kalimah Allah bagi tuhan mereka agar masyarakat Islam awam khususnya faham, mereka juga menyembah tuhan yang Maha Esa tetapi dalam bentuk trinity. Jadi, masyarakat Islam wajar untuk tidak membenarkan mereka menggunakan kalimah “Allah” dengan maksud “Tuhan yang Maha Esa” kerana menolak konsep trinity dalam ketuhanan mereka sebagai konsep tauhid.

Jadi, disebabkan penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu atau dalam penggunaan umum masyarakat di Malaysia merujuk kepada “Tuhan yang Maha Esa” (sebagaimana disebutkan dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua), maka tidak wajar orang-orang Kristian dibenarkan menggunakan kalimah tersebut bagi merujuk kepada tuhan trinity mereka, kerana Islam sama sekali tidak mengiktiraf konsep trinity tersebut sebagai konsep tauhid.

Di samping beberapa sudut lain seperti keharmonian aqidah umat Islam dan sebagainya, maka pendirian yang melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian khususnya dan bagi orang-orang bukan Islam amnya, adalah suatu pendirian yang tepat dan kukuh khususnya di Malaysia. Mudah-mudahan ianya dapat membantu dalam menjaga aqidah umat Islam yang semakin terdedah kepada pelbagai serangan fahaman yang sesat samada dari dalam mahupun luar. Amiin…

Wallahu a’lam

Al-Faqir ila RabbiHi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
http://mukhlis101@multiply.com

Terima kasih...aku kutip dari tulisan al-Ustaz Raja Ahmad Mukhlis. Disertakan nama webnya sekali.

Tiada ulasan: