Peranan sufisme/tasauf dalam dunia Islam seringkali tidak difahami dan tidak diakui oleh sebahagian umat Islam sendiri. Bahkan seringkali muncul isu yang dilontarkan oleh sebahagian umat Islam yang melecehkan ajaran Tasauf, dengan menuduhnya sebagai ajaran yang kaya dengan mistik, dan menganggapnya sebagai penyebab pengangguran, kemalasan dan kejumudan, serta dikatakan tasauf sebagai suatu tindakan melarikan diri dari kenyataan hidup. Ada juga yang menghentamnya sebagai sesat. Suara suara seperti ini jelas tidak mempunyai landasan yang benar lagi boleh menyesatkan.
Bukankah tokoh tokoh sufi seperti Amir Abdul Qadur Al Jazairy, Sayid Ahmad Syarif As Sanusy dan Syaikh Abdus Samad Al Palimbani dan ribuan sufi lainnya merupakan guru tareqat, dan telah berperanan sebagai pejuang pejuang bangsanya? Sesungguhnya, sikap hidup kesufian amatlah kaya dengan nilai nilai perjuangan dan diperkaya dengan contoh contoh teladan yang harum tentang keberanian, keikhlasan, dan keredhaan tokoh tokoh sufinya. Misalnya, Syaikh Abdul Qadir Al Jilani telah mampu terus menerus melakukan dakwah dan jihad selama lebih dari setengah abad dalam lingkungan kehidupan yang penuh dengan kemunafikan dan ketidak adilan. Kehidupan para penguasa waktu itu yang diwarnai dengan gaya hidup mewah dan bersenang senang dikritik tajam secara terang terangan oleh wali yang kaya dengan lagenda ini.
Tasauf, Dulu dan Sekarang
Dalam sejarah gerakan tasauf yang marak dengan organisasi tarikatnya itu, diketahui bahawa kewujudan tasauf sebagai ilmu dan suatu jalan kerohanian mula dikenali pada penghujung abad ke 4H/10M. Sejumlah tokoh tasaif seperti Al Junaid, As Sirri As Saqathi dan Al Kharraz mempunyai ramai murid, di mana murid mengikuti pelajaran dasar dasar tasauf secara formal iaitu melalui didikan mereka untuk mempelajari ajaran ajaran tasauf, sama ada ilmu ataupun amalannya. Hasil asuhan mereka ini muncullah pemikir pemikir sufi yang pintar dan kreatif seperti Abu Bakar al Syibli (wafat 334H/946M) murid Al Junaid Al Baghdadi.
Selama abad ini pewarisan ajaran ajaran guru sufi terus berkembang, di mana ajaran sufisme itu digali lebih lanjut dan dimanifestasikan kembali melalui mulut tokoh tokoh sufinya. Kemudian pada abad ke 5H/11M organisasi tasauf berdiri tegak dan tersebar luas ke segenap penjuru dunia Islam, sehinggakan abad ini menurut catatan sejarah, merupakan zaman terpenting dalam organisasi dan pembangunan gerakan tasauf.
Pada abad kelima Hijriyah pula muncul Imam Al Ghazali, yang berusaha meluruskan tasauf sesuai dengan dasar dasar al Quran dan as Sunnah, di mana pengetahuan tentang tasauf dikajinya dengan mendalam, dan berhasil meneguhkan prinsip prinsip tasauf yang seiring dengan aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kemudian pada abad ke 6H/12M, setelah ajaran tasauf mengalami perkembangan pemikiran metafiziknya, muncullah organisasi organisasi tarikat pertama yang diterapkan oleh para sufi kenamaan sebagai suluk (perjalanan) atau metod metod menuju kepada Tuhan dengan cara mensucikan batin dengan menerapkan disiplin. Saat itu pengaruh Al Ghazali dengan tasauf sunninya telah tersebar luas ke seluruh dunia, lebih lebih lagi dengan kemunculan tokoh lagenda Muhyiddin Abdul Qadir Al Jilani (lahir 470H/1077M-1078M di Parsi) yang mempelopori pendirian tarikat tarikat sufi. Dia berhasil mendirikan tarikat sufi pertama yang besar jumlah pengikutnya. Para sufi dalam tarikat ini menamakan diri mereka Qadiriah sesuai dengan nama pendirinya. Tarikat Qadiriah memperolehi ramai pengikut di seluruh pelosok dunia Islam, terutama di India. Ajaran dan latihan latihan keagamaan yang diberikan dilandaskan secara kukuh pada Al Quran dan Hadis.
Kebesaran tarikat Qadiriyah ini segera diikuti dengan berdirinya tarikat tarikat lain. Paling terkenal di antaranya ialah tarikat Syadziliyyah, pembangunnya Syaikh Abu Hasan As Syadzili (wafat 656H) dan muridnya, Abu Al Abbas Al Mursi (Wafat 686H) dan murid angkatan keduanya, Ibn Athaillah Al Syakandari (Wafat 709H). Muncul juga tarikat besar lainnya yang ramai pengikutnya iaitu tarikat Suhrawardiyah, yang diambil dari nama pendirinya Syihabuddin Umar bin Abdullah As Suhrawardi (539-632H/1144M). Pada zaman itu juga muncul sebuah tarikat besar di Turki yang didirikan oleh Jalaluddin Rumi (Wafat 672H/1273M), penyair sufi terkemuka dari Parsi yang bergelar Maulana. Tarikat ini dikenali dengan nama Mualawiyah, yang pernah mencapai puncak kebesarannya di Turki, di bawah kekuasaan Daulah Usmaniyah. Ritual khusus Maulawiyah ialah sebuah tarian spiritual tari putar. Selain tarikat tarikat besar ini muncul juga banyak tarikat lain, yang tersebar di seluruh dunia muslim dalam beberapa generasi. Pernah pada masa keemasan tasauf jumlahnya mencapai ratusan, dengan ratusan juga pengikut.
Semuanya mengamalkan pola yang secara umumnya sama. Hamzah Fansuri di Aceh, Wali Songo di Jawa dan Syaikh Nuruddin Ar Raniri merupakan tokoh tokoh sufi yang sentiasa lekat di hati kaum muslimin Indonesia. Ketika ini pun di Indonesia terdapat pelbagai tarikat, misalnya tarikat Naqsyabandiyah, Qadiriyah, Syadziliyah, Tijaniyah, Syattariyah, Khalwatiyah, Rifaiyah dan lain lainnya.
Pada awalnya tarekat Syatariyah mendominasi di bumi Indonesia. Kedatangan tarikat Naqsyabandiyah yang juga saingannya telah mengubah pola tersebut dan tarekat Naqsyabandiah merupakan tarikat yang paling besar dan pengikutnya di Indonesia selepas itu selain Qadiriyah. Tarikat Naqsyabandiyah lahir di Bukhara pada abad ke 8H/14M, oleh Syaikh Bahauddin (Wafat 971H), dan tersebar ke seluruh penjuru dunia terutama di dunia Islam wilayah timur sehingga ke Indonesia, Malaysia dan berkembang hingga sekarang bersama sama tarikat besar lainnya yang sehingga kini tetap diikuti oleh berjuta juta umat.
Konsep Zuhud Dalam Tasauf
Dalam kehidupana zaman moden ini tentu masalahan kezuhudan menjadikan ramai orang bertanya; tidakkah perilaku zuhud itu bertentangan dengan ajaran Islam tentang etika kerja, tentang anjuran mencari rezeki dan membebaskan kemiskininan? Sehubungan ini, perlu diketahui bahawa keadaan kaum zahid, hidup dengan kezuhudan itu ternyata tidak berbeza dengan golongan masyarakat lainnya. Mereka ada yang kaya, harta berlimpah utk dikeluarkan zakat dan infaq, ada yang mempunyai kedudukan dan jawatan, dan ada yang miskin, dan memang ada di antara mereka yang menjauhi harta kekayaan.
Contohnya seorang zahid, Abu Hasan As Syadzili, merupakan tokoh sufi terkenal yang memiliki banyak ladang, ternakan dan perniagaan dengan sejumlah karyawan. Akan tetapi perilaku kezuhudannya tetap mendasari ibadahnya kepada ALLAH SWT. Hal ini terungkap melalui doa doanya yang terkenal:
"Ya ALLAH, lapangkanlah rezekiku di dunia ini, dan jangan Engkau jadikan penghalang untuk akhirat"
"Ya ALLAH, jadikanlah dunia (harta) itu di tangan tangan kami, janglah Engkau jadikannya di hati kami"
Kemudian perlu difahami pula perbezaan antara kaum zahid dengan golongan lain. Orang yang berzuhud tidak pernah diperhamba oleh harta. Mereka tidak sekali kali menyerahkan hidup kepada yang lain selain ALLAH SWT. Sedikitpun mereka tidak tunduk kepada harta, kedudukan, pangkat atau apa jua yang selalu didambakan oleh ahli hubbud dunya (cinta dunia). Menurut mereka, kezuhudan adalah kedudukan yang mulia dan merupakan martabat yang tinggi, dan ia merupakan langkah bagi seorang hamba yang ingin menuju kepada keredhaan ALLAH SWT.
Sesungguhnya, berpaling dari kesenangan dunia merupakan suatu kebiasaan yang telah lama diamalkan oleh sebahagian manusia sebagai usaha utk memperoleh kepuasan dalam beribadah. Juga orang-orang di zaman moden ini, ramai yang mengamalkan sikap seperti orang orang terdahulu kerana mereka berpendapat bahawa kebahagian itu tercermin dalam ketenangan hati, sedangkan ketenangan hati tidak mungkin dicapai kecuali dengan membatasi keinginan dan menjauhi diri dari berbagai nafsu. Cara hidup yang demikian itu adalah kezuhudan, sekalipun secara kebetulan dia seorang jutawan atau yang mempunya kedudukan. Tetapi bagi seorang yang zuhud, hatinya tidak lagi bertaut dengan keduniaan, tidak dilengahkan oleh kedudukan dan kemewahan. Dia sentiasa menjauhi kesenangan dan kenikmatan duniawi supaya dapat menekuni ibadah ibadahnya.
Zuhud dalam Islam bukanlah bererti terputusnya kehidupan duniawi; tidak juga bererti harus berpaling secara keseluruhan dari hal hal duniawi, sebagaimana yang diamalkan oleh golongan materialis. Ajaran zuhud ini diibaratkankan sebagai berlawanan dengan kehidupan moden. Ia adalah sikap sederhana atau tengah-tengah dalam menghadapi segala sesuatu. Sekali kali Islam tidak mengajarkan kebencian akan dunia. Bukanlah kebencian terhadap dunia itu dengan sendirinya menjadikan manusia menjadi soleh dan dekat dengan ALLAH?
Pandangan Islam tentang hubungan dunia dan akhirat ialah Islam mengkehendaki kedua duanya tidak boleh dilepaskan dari kawasan ibadah, sebagaimana yang tercermin di dalam hadis Nabi SAW bahawa hubungan dunia dan akhirat adalah erat sekali :
“Bukanlah orang yang terbaik di antaramu orang yang meninggalkan dunianya untuk akhiratnya, dan yang meninggalkan akhiratnya untuk dunianya. Sesungguhnya dunia ini bekalan ke akhirat, dan jangalah kamu menjadi beban atas manusia."
(HR. Ibnu Asakir dari Anas)
Jika ada anggapan bahawa zuhud yang diamal oleh para sufi dan pengamal tarikat pada umumnya itu sebagai sikap hidup yang hanya mementingkan akhirat dengan mengabaikan sama sekali kehidupan duniawi, sehingga setiap orang yang menjalani kehidupan zuhud dianggap sama dengan menjauhi dunia dan memilih kemiskinan. Maka pandangan daif itu tidaklah benar.
Begitu pentingnya kezuhudan dalam kehidupan hamba hamba ALLAH yang ingin menuju keredhaanNYA, sehingga para pengamal tasauf dan ahli tarikat berkeyakinan, bahawa langkah pertama dalam perjalanan menuju makrifat, seorang sufi harus menempuh tahap zuhud, iaitu keadaan jiwa yang telah dibebaskan dari jeratan nafsu dunia. Dia telah bebas dari mempertuhankan selain ALLAH berupa kenikmatan duniawi. Bahkan dia sudah sampai pada kesedaran, dunia ini tidak ada gunanya kecuali sekadar yang diperlukan untuk beribadah. Perjalanan hidupnya bersih dari kecintaan material duniawi, tekun dan khusyuk dalam ibadah, berpegang teguh pada Sunnah Nabi SAW, berzikir, berdoa dan mencintai perbuatan perbuatan yang mulia untuk menolong sesama manusia.
Di ceritakan, Syeikh Syamsuddin Habibullah (wafat 1195H) seorang guru Tarikat Naqsyabandiyah; suatu ketika pernah ditawarkan kekuasaan oleh seorang Raja India;
“Sesungguhnya ALLAH SWT telah menganugerahi saya kerajaan yang luas. Maka saya berharap anda dapat menerima sebahagian darinya. Syeikh berkata; “Sesungguhnya ALLAH telah menyifati dunia dengan sesuatu yang hina. ALLAH berfirman : "Katakanlah sesungguhnya kesenangan dunia itu sedikit. Sedangkan kerajaan anda hanyalah bahagian kecil dari dunia yang sempit ini, maka saya tidak ingin mengurangi bahagian yang sudah kecil ini."
Tingkatan Zuhud
Hakikat zuhud ialah menyingkirkan apa apa yang semestinya disenangi dan diingini oleh hati, kerana yakin ada sesuatu yang lebih baik untuk meraih darjat yang tinggi di sisi ALLAH.
Syeikh Abdul Samad Al Palimbani mengatakan bahawa ada beberapa rukun kezuhudan.
1. Meninggalkan sesuatu kerana menginginkan sesuatu yang lebih baik lagi.
2. Meninggalkan keduniaan kerana mengharapkan akhirat.
3. Meninggalkan segala sesuatu selain ALLAH kerana mencintaiNYA
Imam Ahmad Ibnu Hambal mengklasifikasikan tingkatan zuhud yakni:
1. Zuhudnya orang orang awam ialah meninggalkan hal hal yang haram
2. Zuhud orang orang yang khawas (khusus) iaitu meninggalkan hal yang berlebih lebihan (al fudhul) meskipun barang halal.
3. Zuhud orang Arif iaitu meninggalkan segala sesuatu yang dapat memalingkan daripada mengingati ALLAH.
Al Imam Ghazali pula membahagikan zuhud kepada tiga peringkat yakni :
1. Tingkat terendah ialah menjauhkan dunia agar terhindar dari hukuman di akhirat.
2. Tingkat kedua ialah mereka yang menjauhi dunia kerana ingin mendapatkan imbalan di akhirat.
3. Tingkat tertinggi ialah zuhud yang ditempuh bukan lagi kerana takut atau harap, tetapi semata mata kerana cinta kepada ALLAH Taala.
Ada kisah kesufian yang diceritakan oleh Ibnu Athaillah As Sakandary tentang seorang sufi yang hidup kaya raya namun hartanya yang berlimpah ruah itu tidak menghalangya untuk menjadikan dia seorang zahid. Dalam kisahnya itu Ibn Athaillah berkata,
“Seorang guruku pernah bercerita, bahawa di Maghribi ada seprang sufi yang hidupnya zuhud terhadap duniawi dan bersungguh sungguh dalam ibadahnya. Sumber hidupnya hanya apa yang diperolehi daripada memancing. Pada suatu hari, salah seorang murid sufi ini hendak pergi ke salah sebuah kota. Maka, berkatalah sufi tersebut, “ Jika kamu sampai di kota, maka temuilah saudaraku, sampaikan salamku padanya dan mintalah doa. Sesungguhnya dia adalah seorang wali ALLAH.
Selanjutnya murid itu bercerita, “Aku tiba di tempat tujuanku. Ketika aku tertanya tanya tentang seorang yang dipesan oleh guruku, segera aku ditunjukkan ke sebuah rumah tidak layak didiami, kecuali raja raja. Aku hairan. Ketika aku tanya di manakah dia berada, maka dijelaskan bahawa dia sedang bersama raja. Hal itu menambahkan kehairanku. Tidak berapa lama aku bertambah hairan, kerana orang yang aku cari itu sedang menunggang kudanya dengan pakaian dan kenderaan yang serba mewah, seolah olah dia adalah seorang raja. Hampir saja aku batalkan niatku untuk bertemu dengannya. Namun hati ku berkata, Tidak baik melanggar perintah guru. Aku pun minta izin untuk masuk ke rumahnya. Ketika diizinkan masuk aku pun semakin hairan dengan banyaknya pelayan yang berpakaian serba indah. Aku berkata, Saudaramu kirim salam padamu. Dia balik bertanya, Apakah kau dari sana? Aku menjawab,Ya. Lalu dia berkata, Jika kamu kembali pada saudaraku itu, katakan kepadanya, "Sampai bila kesibukanmu kepada duniawi itu akan berakhir? " Kehairanku makin bertambah setelah mendengar pesanan orang itu. Dan ketika aku pulang kutemui guruku, beliau bertanya, Adakah kamu berjumpa dengan saudaraku? Ya, sahutku. Lalu beliau berkata, Aku yakin pasti ada sesuatu pesanan untukku. Maka aku ceritakan apa yang kulihat dan apa yang dipesankan buat beliau. Mendengar ceritaku, guruku menangis. Setelah agak lama kemudian beliau berkata:“Sungguh benar ucapan saudaraku itu, memang ALLAH telah membersihkan hatinya dari duniawi, kerana dunia baginya hanya dijadikan di tangan lahirnya saja. Sedangkan aku mengambil dunia itu dari tanganku dan aku selalu memikirkannya.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan