Isnin, 2 November 2009

Kuatnya Pengaruh Nama Saidina Ali di alam Melayu

Disegenap sudut dunia Islam umumnya, nama Saidina Ali Karamallahu wajhah (KW) tidak dapat dinafikan. Nama itu tidak dapat dipisahkan antara zaman permulaan Islam dengan junjungan besar Rasullullah saw. Dalam sebuah hadith Nabi SAW mengibaratkan  diri  baginda dengan Saidina Ali KW itu dengan Nabi Musa dan Harun. Di alam Melayu pengaruh Saidina Ali KW boleh dikatakan sangat besar samaada bersangkutkait dengan keturunan, sejarah keagungannya melalui kitab-kitab ulama nusantara, perkembangan tarekat-tarekat, perubatan hingga pada ilmu perang yang di gelar ilmu persilatan.

Ramainya ulama-ulama terdahulu berasal dari salasilah keturunan Saidina Ali juga dari  Rasulullah, khususnya di alam Melayu.  Maka lahirlah  ulama terkemuka yang mengarang kitab-kitab  dalam misi penyebaran dakwah islamiyyah di nusantara ketika itu.  Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah  antara contoh ulama-ulama besar alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Begitu juga pengkajian tentang ilmu tarekat, hampir semua tarekat mu'tabarah Alam Melayu, sebahagian besar bersanad/bersalasilah kepada Saidina Ali KW. Ertinya bermula dari Rasulullah SAW, turun kepada Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya dan sebagainya. Dari berbagai sudut dan persepsi inilah nama Saidina Ali lebih  menonjol dari nama sahabat-sahabat Rasulullah yang lain ditambahi pula dengan faktor kekeluargaannya dengan Rasulullah sendiri yang menghasilkan zuriat-zuriat dari ahlul bait itu sendiri.

PENGHULU SEGALA PAHLAWAN

Apabila berbicara tentang ilmu perang dalam dunia persilatan, adalah mustahil seseorang pesilat tidak mengetahui serba sedikit tentang ‘penghulu’ kepada segala pendekar iaitu Saidina Ali ibni Abi Talib KW. Beliau diberi gelaran  Imamul Muhtadin.  Sifat tangkas dan gagahnya dalam ilmu tempur dan permainan senjata telah mempengaruhi masyarakat Melayu nusantara dalam ilmu dunia persilatan. Ianya dapat dilihat dalam silat-silat Melayu yang mendakwa aliran mereka mempunyai permainan pedang Saidina Ali, jeritan muktamad Saidina Ali, pukulan dan buah-buah penangkap Saidina Ali dan sebagainya.  Ramai pula yang mengamalkan ayat-ayat ilmu kebal dan perkasa yang mereka gelar “ayat Saidina Ali”.


Bukti kegagahan dan kependekaran Saidina Ali terlalu banyak untuk diriwayatkan. Di antaranya ialah beliau berjaya merempuh dan memecahkan pintu kubu Yahudi Bani Khaibar seorang diri sedangkan terdapat dua puluh orang musuh yang menahannya dari dalam. Lebih dahsyat lagi, sebelah pintu yang sebegitu besar dan berat itu dibuatnya perisai tangan.

Sewaktu pembukaan Kota Mekah, terdapat sebuah berhala yang besar di atas Ka’abah. Saidina Ali berjaya menolaknya jatuh sedangkan sepuluh orang pejuang yang berpadu tenaga gagal berbuat demikian sebelum itu.

Dalam satu peperangan lain, sebuah mata air tertindih dengan batu yang sangat berat. Tiada siapa pun yang dapat mengalihkannya kecuali Saidina Ali.



Dalam Perang Badar, tujuh puluh orang musuh berjaya dibunuh oleh tentera Islam. Tiga puluh empat daripadanya maut di tangan Saidina Ali.

Dalam Perang Uhud pula, beliau menewaskan dua belas orang musuh dalam pertandingan satu sama satu sebelum peperangan bermula.

Dalam Peperangan Khandaq, seorang pahlawan Quraisy yang termasyhur bernama Amru Ibnu Abdi Wudd dengan niat mengejek melangkah parit seorang diri ke tempat tentera Islam. Dia mencabar beradu senjatal. Tiada seorang pun tentera Muslimin yang berani bersuara kerana mereka tahu betapa handalnya Ibnu Wudd kecuali Saidina Ali. Sungguh di luar dugaan, Ibnu Wudd terputus dua badannya walaupun mereka baru berbalas beberapa kali tetakan. Kekuatannya boleh dilihat dalam peristiwa beliau mencantas badan Ibnu Wudd (pendekar Quraisy) hingga terputus dua dengan sekali hayunan pedang sahaja sedangkan musuhnya ketika itu memakai baju zirah (besi). Lantas melunturkan  semangat musyrikin Quraisy.



Begitu juga dengan Marhab (pendekar Yahudi) yang terbelah kepalanya terus ke rahang sedangkan dia memakai topi besi dengan sekali hayunan pedang. Ini membuatkan musuh-musuhnya begitu gentar kerana mereka tahu, dengan berbaju zirah dan bertopi besi pun tidak akan selamat jika lawan mereka Saidina Ali.

 DALAM ILMU PERUBATAN.

Siapa tidak kenal akar kayu yang di panggil Tongkat Ali, Misai Ali dsb. Bagi kaum perempuan biasanya dikaitkan dengan isterinya Saidatina Siti Fatimah dan jadilah akar Kacip Fatimah dsbnya. Maaf bab yang saya sendir kurang arif. Harap sesiapa yang berkebolehan boleh melanjuktannya.

KEAGUNGAN NAMA DALAM KARYA SEJARAH :

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad (saw) sangat banyak dihasilkan oleh ulama alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat kurang. Mereka telah memasukkan nama Saidina Ali dalam melengkapi sejarah di waktu-waktu  terakhir  kewafatan Nabi dan dalam pengurusan jenazah baginda.

 Antara ulama di alam Melayu yang mengenengahnya  adalah seperti ;
1)       1- Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Kitab Fathul Mannan , (tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.)  Juga dalam kitabnya Warduz Zawahir,
2)       2- Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani  yang terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib.
3)       3- Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani yang menulis dalam Kitab Nurul Anwar.
4)       4- Utsman Betawi yang menulis karya khusus mengenai ahlil bait diberi judul Hadits Keluarga.
5)       5- Sheikh SAhmad bin Muhammad Yunus Lingga yang menulis karya berupa wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali yang berjudul Nasihatu Ahlil Wafa 'ala Wasiyatil Mustafa.

1 – a) Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab, anak Abi Talib, anak Abdil Mutalib, anak Hasyim, anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad, anak Hasyim, anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, dikatakan sembilan [tahun] dan dikatakan sepuluh tahun ...”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah :



Hasan, Husain, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah.
Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili.
Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam.
Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy.
Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.
Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As.
Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah.
Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35).

Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja. 


Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengemukakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah pertikaian antara Saidina Ali dengan Mu'awiyah, iaitu, "Sudah ijma', adalah Saidina Mu'awiyah dan yang mengikut dia melawan Saidina Ali jadi "taifah baghiyah", tetapi nyata mereka itu kemudiannya kerana adalah Nabi sudah mengkhabarkan, yakni daripada hal Saidina 'Ammar. Dengan sabdanya: "Lagi akan membunuh akan dia oleh "taifah baghiyah".

Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan, "Maka ia serta jemaah Saidina Ali, maka yang membunuh akan dia oleh jemaah Saidina Mu'awiyah. Maka nyata Saidina Ali ia yang sebenar khalifah dan Saidina Mu'awiyah melawan imam lagi khalifah. Tetapi tiada berdosa sebab ijtihad dan tiada diambil kesalahan mereka itu, kerana jika belum nyata diberi pahalanya satu, iaitu pahala ijtihad jua".

Daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tersebut, sangat jelas bahawa telah sepakat ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah bahawa Saidina 'Ammar yang berpihak kepada Saidina Ali adalah dibunuh oleh pengikut Saidina Mu'awiyah, bukan dari pihak lainnya.

Tetapi pada zaman sekarang ada pihak-pihak tertentu mendakwakan dirinya golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah, tetapi memutarbelitkan sejarah bahawa mereka mengatakan terbunuhnya Saidina 'Ammar bukan daripada pihak pengikut Saidina Mu'awiyah, tetapi adalah pengikut-pengikut Abdullah bin Saba'.


Kenyataan seperti tersebut ini tidak seorangpun ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah zaman silam, sama ada ulama silam dunia luar, mahupun ulama silam dunia Melayu.

Pendapat yang demikian jelas suatu pembohongan sejarah yang mesti ditolak kerana tidak terdapat rujukan dalam kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah sendiri, baik yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang lain, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani berpandangan mengenai perselisihan antara para sahabat Nabi SAW memperingatkan kepada kaum Muslimin terutama golongan awamnya, kata beliau: "Dan barang yang berlaku antara sahabat perangan, kita diam daripadanya, Dan pahala ijtihad mereka itu kita i'tiqad diberi pahalanya.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsirkan dalam Fathul Mannan, iaitu "Yakni barang yang berlaku bantahan dan perangan yang berbunuh padanya beberapa banyak sahabat dan lainnya, antara setengah sahabat dengan setengahnya, seperti hasil perang Saidina Ali dan Saidina Mu'awiyah, dan antara Saidina Ali dengan Siti Aisyah, wajib kita diamkan daripada masuk berkata jika tiada tahu ta'wilnya ... ".

1 – b) Didalam Kitab Warduz Zawahir, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Ketahui olehmu, adalah bahas barang yang berlaku antara bersalahan sahabat setengah dengan setengahnya, dan yang muafakat mereka itu demikian jua, tiada daripada 'aqaid agama. Dan tiada pula daripada 'aqaid kalam. Dan tiada pula daripada barang yang memberi manfaat pada agama tetapi adalah terkadang memberi mudarat jua dengan yakin. Dengan sebab itulah kata Umar bin Abdul Aziz, bahawa demikian itu, yakni "berbunuh antara sahabat darah yang disucikan oleh Allah daripadanya segala pedang kita ".

Maka jangan kita khilaf dengan lidah kita. Dan tiada harus pula kita masuk padanya bicarakan melainkan kerana mengajar atau kerana hendak menolakkan akan orang yang marahkan mereka itu, atau mengaji kutub (maksudnya: kitab-kitab) yang terkandung atas demikian ceriteranya. Ada pun orang yang awam maka tiada harus bagi mereka itu masuk padanya kerana sangat jahil mereka itu dan ketiadaan mengetahui ta'wilnya. Dan wajib atasmu ketika membicara pada barang yang perkelahian antara mereka itu menjauh akan penyakit hasad ... ".


2 – a) Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani  yang menulis dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan pada 9 Rabiul Akhir 1307 H di Mekah.  Antara kandungannya adalah Fasal Yang Kedua membicarakan : “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga, Saidina Hasan dan Saidina Husain Radhiyallahu ‘anhuma” dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.


Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat alam Melayu dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali untuk menggantikan beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).


Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, "Dan memandikan dia (saw) oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas dan Usamah bin Zaid dan Syaqran, sahaya Rasulullah (saw)Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan."


“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya (Badrut Tamam, hlm. 25). Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad (saw), menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).


Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.


Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam. Ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.


3 –a) Kitab Ketiga adalah Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunyai Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar” dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.




Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang disertai oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah (saw) ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.


Di dalam Kitab Nurul Anwar ini djelaskan dengan terperinci nama-nama musuhnya alam setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad (saw) yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.


Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah, semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi kitab Nurul Anwar adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu. Bahkan sehingga kini tiada lagi buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden yang boleh membicarakan peristiwa itu dengan jelas seperti Kitab Nurul Anwar itu.


Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW

Dimaksudkan dengan judul ini dapat dibahagi kepada dua kelompok, iaitu:
Pertama: karya Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut nama Saidina Ali padanya ataupun yang bersumberkan dari riwayat beliau. Kelompok yang pertama ini jumlahnya sangat banyak.

Kedua pula: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, juga termasuk perkara yang boleh dikatakan nadir.

Contoh bagi kelompok pertama, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, namun di sini tidak dapat dipaparkan hadis-hadis tersebut, melainkan terjemahan sahaja. Antara hadis yang menurut terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Aku benua ilmu dan Ali itu pintunya". Selanjutnya dikomentarkan, "Dan berkata Abdullah bin Abbas, "Tiada aku dan ilmu segala sahabat Muhammad SAW pada Ali RA, melainkan satu titik pada tujuh laut". Manakala hadis yang lain, terjemahan menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Barang siapa aku ini adalah penghulunya, maka Ali itu penghulunya pula". 


Selanjutnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, "Dan beberapa banyak datang padanya hadis yang lain daripada ini, dan turun padanya beberapa ayat daripada Quran tiada hamba sebutkan kerana ikhtisar."

Di antara tulisan Sheikh Utsman al-Funtiani dalam Nurul Anwar, mengenai hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, beliau menulis, "Sungguhnya datang ayat dan hadis pada kelebihan Saidina Ali RA ... Setengah daripada hadis Nabi SAW. "Terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani daripada Hadis Nabi SAW tersebut, iaitu "Seorang kasih ia akan Saidina Ali maka sungguhnya kasih ia akan daku. Dan seorang kasih ia akan daku maka sungguhnya kasih ia akan Allah Taala. Dan seorang murka ia akan Saiyidina Ali R.A maka sungguhnya murka ia akan daku. Maka seorang murka ia akan daku maka sungguhnya murka ia akan Allah, sebenarnya murka Allah azab di dalam neraka." Dan setengah daripada hadis lagi, terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, iaitu "Ali daripada aku menempati kepala daripada badanku".

Sheikh Utsman al-Funtiani menutup perbicaraan ini sama maksudnya dengan kalimat yang digunakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Menulis Sheikh Utsman al-Funtiani, dalam Nurul Anwar, "Dan sungguhnya beberapa banyak ayat Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan Saidina Ali RA ...". Adapun "beberapa ayat Quran" ada hubungan dengan Saidina Ali KW, yang diberikan maklumat oleh kedua-dua ulama alam Melayu itu, Sheikh Utsman al-Funtiani memberikan contoh sebab turun ayat 274, surah al-Baqarah, terjemahannya:


Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, "Berkata Saidina Abdullah bin Abbas RA adalah bersama-sama Saidina Ali empat dirham, tiada mempunya yang lainnya, maka bersedekah ia dengan satu dirham siang hari dan satu dirham pada malam, dan satu dirham sirran (tersembunyi) dan satu dirham jiharan (nyata), maka menurun Allah Taala ... (maksudnya ayat Quran tersebut)".

Ada pun kelompok yang  Kedua: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, yang dikumpulkan dalam sebuah risalah pernah ditulis dan disebarkan oleh seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad SAW, beliau ialah Saiyid Utsman Betawi atau lebih terkenal dengan sebutan Mufti Betawi. 


4 – a) Karya beliau( Saiyid Utsman Betawi) khusus mengenai ahlil bait diberi judul Hadits Keluarga. Karya beliau ini merupakan hadis ahlil bait yang pertama sekali diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu-Betawi. Walaupun risalah tersebut tipis saja, tetapi sangat besar pengaruhnya dan menjadi pegangan seluruh keturunan Nabi Muhammad SAW, iaitu keturunan yang melalui perkahwinan antara Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW yang berada di Alam Melayu terutama sekali di Pulau Jawa. Hingga kini memang belum dijumpai kumpulan hadis seumpamanya dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh kandungannya tidak dapat diperkenalkan, hanya penulis simpulkan saja bahawa karya ini ditulis dengan lafaz hadis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu.

5– a) Sebuah karya berudul Nasihatu Ahlil Wafa 'ala Wasiyatil Mustafa, yang diselesaikan 11 Syawal 1312 H di Mekah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kandungannya merupakan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali. Setelah mukadimah dimulai dengan perkataan Saidina Ali menulis, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, "Telah berkata Saidina Ali K.W, "Telah memanggil akan daku Rasulullah SAW maka bersunyi aku sertanya di dalam rumahnya, maka sabdanya, "Hai Ali engkau daripadaku seperti tempat Musa daripada Harun Alaihimas Salam melainkan tiada Nabi kemudian daripadaku. Bahawasanya aku wasiat akan dikau pada ini hari dengan beberapa wasiat, jika engkau memelihara akan dia nescaya hiduplah engkau dapat kepujian dalam dua negeri dan jika mati engkau syahid ..." 

Wasiat yang termaktub dalam risalah/kitab Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu mengandungi beberapa fasal semuanya bermula dari perkataan, "Hai Ali". Dan ditutup dengan perkataan, "Hai Ali, pelihara olehmu akan wasiatku dan amal olehmu dengan dia adalah engkau itu daripada orang yang muttaqin ..." Karya yang ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga tersebut beberapa hadis di antaranya pernah dimuat oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam karya beliau yang berjudul Jam'ul Fawaid.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu tasawuf

Diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah akan hijrah, Saidina Ali diperintahkan supaya menunggu di atas tempat tidur baginda, ketika itulah Rasulullah mengajarkan zikir ismuz zat kepada Saidina Ali K.W, zikirnya adalah dibaca secara sir. Tersebut dalam sebuah manuskrip yang ditulis di bahagian akhir kitab Bidayatul Hidayah karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh), versi salinan Sheikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, dipercayai adalah karya beliau, iaitu:

"Maka adapun asal tempat bersandar Masyaikh pada mengajar muridnya zikir 'La ila Ha illallah' pada jalan seseorang itu, iaitu ceritera daripada Saidina Ali ibni Abi Thalib Radhiyallahu 'anhu tatkala ia berahi kepada menghampirkan dirinya kepada Allah Ta'ala, maka lalu ia berdatang sembah kepada Rasulullah SAW: (Di sini tidak dapat dipaparkan kalimat asalnya dalam bahasa Arab, hanya terjemahannya saja)

Terjemahannya: "Ya Rasulallah, tunjuk olehmu akan daku atas sehampir-hampir daripada segala jalan kepada Allah dan semudah-mudahnya atas segala hamba-Nya dan selebih-lebihnya pada Allah Ta'ala"

Terjemahannya: Sabda Nabi SAW, "Ya Ali tetap olehmu zikrullah dalam segala khalwat"

Terjemahannya: "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali R.A, "Ya Rasulullah, demikian kiranya fadhilat zikir padahal adalah segala manusia itu menyebut zikrullah mereka itu"

Terjemahannya:"Maka sabda Nabi SAW, "Diamlah engkau hai Ali, tiada berdiri kiamat itu padahal atas bumi ini orang yang menyebut Allah, Allah". "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali RA, "Betapa aku zikir Ya Rasulallah ?"

Terjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Hai Ali pejamkan olehmu kedua matamu dan dengarkan olehmu daripada aku, tiga kali, kemudian dari itu kata olehmu, tiga kali, padahal aku mendengar daripadamu"

Terjemahannya: "Maka zikirlah Nabi SAW 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Amirul Mu'minin Ali RA mendengar dia"

Terjemahannya: "Kemudian dari itu maka zikirlah Amirul Mu'minin Ali RA kalimah 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Nabi S.A.W mendengar dia".

Inilah asal isnad segala Masyaikh mengajar muridnya zikir dengan kalimah 'La ila Ha illallah' padahal sama seorang dengan muridnya ...".

Hujah yang tersebut menjadi pegangan yang kukuh penganut tarekat Alam Melayu, yang takkan tergoyahkan oleh propaganda pihak yang kontroversi dengan tarekat yang mereka amal. Apabila kita kaji hampir semua tarekat mu'tabarah Alam Melayu, sebahagian besar bersanad/bersalasilah kepada Saidina Ali KW. Bermula dari Rasulullah SAW, turun kepada Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya, iaitu: dari Saidina Ali KW turun kepada anaknya Saiyidina Husein, turun kepada Imam Zainal Abidin, turun kepada Imam al-Baqir, turun kepada Imam Ja'far as-Sadiq, sesudah ini turun kepada pelbagai pihak yang bukan keturunan mereka, namun tidak dapat diperjelaskan dengan selengkapnya di sini.

Untuk kejelasan lebih lanjut, dapat dilihat buku penulis berjudul Dhiyaul Murid, mengenai salasilah Thariqat Syathariyah, terbitan Khazanah Fathaniyah (1996), dimulai halaman 112.

Salasilah Thariqat Qadiriyah Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan salasilah Thariqat Qadiriyah Syeikh Ahmad Khatib Sambas, pada bahagian asal tarekat itu juga sama dengan Thariqat Syathariyah, iaitu berasal dari penurunan melalui Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya.

Ada juga salasilah yang bermula dari Rasulullah SAW turun kepada Saidina Ali KW, tidak turun kepada zuriat beliau, tetapi turun kepada Hasan al-Basri, seperti terdapat pada Thariqat Qadiriyah Sheikh Zainuddin as-Sumbawi, yang sama pada bahagian atasnya dengan Thariqat Samaniyah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani.

Untuk perbicaraan ini pula dapat dilihat dalam buku penulis berjudul Al-'Urwatul Wutsqa pada halaman 14, juga dalam buku berjudul Sheikh Abdus Shamad Palembang pada halaman 45. Perkara yang disebutkan mengenai salasilah tarekat ini adalah sebagai pengenalan ringkas saja, selengkapnya penulis muatkan dalam buku berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'Tabarah Di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyah (2000).

Apa yang  nyatakan di atas tidak dipertikaikan oleh para ulama silam tradisional alam Melayu, kerana sumber-sumber yang diperkatakan terdapat rujukan-rujukan daripada kitab-kitab turas Islami.


Wallahu A’lam

Diperolehi dari beberapa laman blog sahabat…..

Tiada ulasan: