Sabtu, 21 November 2009

Menuju Ilahi


Suatu hari orang bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. “Untuk apakah alam raya ini dijadikan ALLAH? Bagaimanakan ia wujud?”.
Nabi menjawab, “Aku tidak tahu jawapannya. Aku akan bertanya dulu kepada Malaikat Jibril”.

Nabi pun bertanya kepada Jibril yang memberi jawapan demikian, “Aku tidak tahu, aku akan bertanya kepada Allah”.

Lalu Jibril pun bertanya kepada Allah S.W.T. kemudian ia kembali membawa firman Allah. “Kami ciptakan langit hanya untuk memberi pemandangan yang indah-indah dan untuk hiburan bagi makhluk, dan untuk mempamirkan keagungan dan kekuasaan Kami dan diciptakan bintang-bintang yang berkelipan untuk mempertingkatkan jiwa makhluk dan mengembirakan mereka dan menyebabkan mereka kagum dan terpesona dengan ciptaan Allah S.W.T.”
Apabila Allah ditanya bagaimana Dia membuat semua ini, Jibril melaporkan bahawa Allah berfirman, “Aku tidak jadikan manusia itu berupaya untuk mengetahui bagaimana Aku buat semua itu. Walau Aku beritahu kepadamu, kamu tidak akan faham tetapi tatkala akan bercerai nyawa dengan badan, tatkala itu hijab telah tersingkap, kamu akan melihat bagaimana ia dibuat dan kamu akan hairan dan takjub dengan kebijaksanaan-Ku. Akulah pencipta yang paling baik. Sebagaimana Aku jadikan langit itu dengan rumit dan komplek sekali, maka bergitu jugalah Aku menjadikan diri manusia itu lebih hebat dan rumit lagi”.
Rasulullah saw pernah bersabda: “ Manusia itu sedang tidur nyenyak, apabila mati barulah sedarnya”. Bagitulah insan bernama manusia itu. Sentiasa lupa, lali, lalai dan hanya tersedar tapi kekadang sudah terlambat. Ini kerana ia kalah, ia alah pada nafsu. Masa hidup ia berfoya-foya dengan hawa nafsunya, lalai dari amalan untuk akhiratnya yang akan menyeretnya ke neraka. Dis situ tiada lagi jalan untuk berpatah balik…nasi sudah menjadi bubur. Manusia lupa bahawa dirinya tiada apa-apa pun. Dirinya fakir dan miskin. Hanya Allah yang Maha Kaya, yang punyai segala-gala. Manusia yang fakir hendaklah menahan diri dari segala Ghairullah, kerana Allah itu induknya, tempat ia meminta dan juga tempat ia kembali. Lepaskanlah hawa nafsu dari segala Ghairullah agar mudah ia mendapatkan Allah.
Yas’alu naka anil Roh, kul lilrohi min amri rabbi.
Bila orang2 Yahudi berniat jahat dan cuba menguji-nguji Nabi Muhammad saw berkenaan roh, Allah memberi jawapan pada baginda bahawa katakan pada mereka bagi roh itu adalah urusan TuhanMu.
Roh yang dipakaikan dengan jasad yang dikenali manusia sudah terlupa akan segala janji-janjinya masa di alam roh dahulu. “Alastu birabbikum qalu bala syahidna” (Al-A’raf : 172)
Yang maksudnya:Adalah tidak Aku Tuhan kamu?. Berkata mereka iaini (Roh), ‘Ia, Engkau Tuhan kami dan kami mengaku”.
“Dan bahawa mereka mengira yang mereka tidak akan kembali lagi kepada Kami”. (Al-Qashash :39)
Roh yang mendiami jasad dan dikenali sebagai manusia melupakan dirinya, sehingga tidak lagi mengenali Tuhan yang menciptakannya!
Allah berfirman:”…..barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan tidak mempersekutukan seorang pun dan beribadatnya kepada Tuhannya, (Al-Kahfi :110)
Dalam perjalanan hidup di dunia ini, fizikal kita tetap dan akan melalui peringkat-peringkat atau maqam-maqam tertentu. Bermula dari peringkat bayi, peringkat kanak-kanak, peringkat muda dan peringkat tua. Demikian juga dengan roh itu.
Perkataan Arab bagi maqam itu ialah maqam (banyak: maqamat) yang bererti tempat berhenti dan berehat sebentar atau pun tempat kediaman. Sebenarnya pendudukan maqam oleh roh adalah pada satu tempat atau keadaan dan kadang-kadang lebih daripada itu.
Maqam roh itu dimasuki pada waktu lahir lagi, dan seluruh hayat ini menduduki satu daripada maqam-maqam tersebut, miskipun ada peralihan dari satu maqam ke maqam yang lain. Definasi maqam ini diambil dari sudut tarekat Chistiyah dan susunannya dari bawah keatas adalah seperti berikut:
Maqam an-nafs    = Maqam egotisma ( maqam nafsu )
Maqam al-qalb     = Maqam hati
Maqam al-roh      = Maqam roh
Maqam as-Sirr      = Maqam rahsia (ketuhanan)
Maqam al-Qurb    = Maqam kehampiran (dengan ALLAH)
Maqam al-Wisal    = Maqam kesatuan (dengan ALLAH – perasaan berdampingannya hamba dengan Allah)

(Nota) Aku tidak akan membincangkan akan keseluruhan maqam ini tapi hanya untuk pengetahuan umum saja. Sila rujuk pada ahlinya iaitu ahli tarekat Chistiyyah itu sendiri untuk lanjutannya.
Dari semenjak lahir kita sentiasa berjuang dan berusaha memajukan roh. Kemajuan dalam usaha ini boleh ditanda dan diukur dengan merujuk kepada maqamat (maqam-maqam) tersebut. Memang bukan semua orang boleh berjaya mencapai maqam–maqam tersebut.. Dan bukanlah badan atau jasad yang mengembara disitu tetapi roh.
Roh bermaksud nafas Allah, malaikat Jibril, Al-Qur’an, Wahyu dan kenabian. Menurut orang sufi, roh itu adalah zat hidup, bukan badan atau otak dengan fikiran dan ingatannya, bukan juga proses-proses hayat ini. Roh mempunyai wujud tersendiri yang datang dari Allah dan milik Allah semata-mata.
“Dan ingatlah ketika TuhanMu berfirman kepada malaikat, ‘Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka bila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan telah meniupkan ke dalamnya Roh-Ku maka tundukklah kamu kepadanya dengan bersujud.” (Al-Hijr : 28-29)
Ayat di atas menunjukkan dalam bentuk yang padu, seluruh perkaitan rohaniah antara Allah dengan hambaNya. Allah berfirman bahawa Ia jadikan manusia daripada unsur-unsur dan kemudiannya menghembuskan nafas ke dalam badannya (manusia). Allah menggunakan perkataan nafas bagi maksud nafasNYa sendiri. Allah menggunakan perkataaan roh bagi rohNya sendiri. Perkataan-perkataan ini digunakan untuk nafas dan roh manusia juga. Tiada keraguan lagi bahawa kita datang dari Allah, kepunyaan mutlak Allah, untuk Allah dan akhirnya kembali kepada Allah.
Apabila kita bertanya apakah rasanya buah delima, “maka jawabnya ialah rasanya seperti rasanya juga”. Jawapan itu tidak cukup untuk memuaskan hati, tetapi kerana keunikan dan tersendiri keadaannya, rasanya juga tidak dapat untuk diumpamakan dengan rasa-rasa yang lain. Bukan rasanya durian, bukan rasa nangkanya juga bukan rasa rambutan.  Demikian juga dengan roh.
Roh atau zat itu dapat dibuktikan wujudnya melalui penzahiran atau manifestasinya. Kita ambil contoh iaitu ‘tarian’. Tarian memang wujud tapi ia tidak wujud secara konkrit (dapat dilihat, disentuh, dan sebagainya). Ia dizahirkan dalam bentuk rentak, tempo, corak, gerak-geri dan sebagainya. Seseorang boleh menggambarkan tarian dalam fikirannya tetapi untuk menzahirkan tarian itu sendiri ia memerlukan para penari yang boleh melakukan geraklangkah, rentak, tempo dan seni tari itu sendiri dan sebagainya, itu hanya penzahiran bagi zatnya atau hakikatnya iaitu tarian.
Begitu juga dengan tumbuhan. Zat bagi tumbuhan itu terletak pada biji benih sesuatu tumbuhan itu. Dari biji benih itu ia tumbuh jadi pepohon, daun, ranting, bunga dan buahnya.. Pohon dan buah sesuatu jenis tumbuhan tidak sama dan berlainan pula rasanya. Itulah rahsia Allah Yang maha Pencipta. Bayangnya dengan kuasaNya biji benih yang amat halus itu menghasilkan tumbuhan yang besar gunanya untuk manusia, binatang dan pepohon yang lain.
Matahari, batu api, mancis juga lighter dan sebagainya ada zat api padanya. Semuanya ada zat yang sama, tetapi bentuk fizikalnya berbeza-beza, dan setiap satu terletak di peringkat evolusi berbeza iaitu maqam yang berbeza. Hakikat zat api itu ialah sebahagian dari Nur ALLAH (cahaya ALLAH).
Roh manusia memerlukan penzahiran (bentuk dan corak) untuk terzahir dalam alam fizikal (jasmaniah). Roh manusia yang dibaluti dengan jasad dikenali dengan insane atau, manusia. Roh itu berbeza dari nafas. Nafas ialah tenaga ketuhanan yang menggiat atau mengerakkan fenomena atau kejadian jasmaniah dalam badan termasuk proses mental. Roh itu lebih tinggi darjatnya dari nafas dan lebih dekat dirasai.
Setiap manusia ada roh, tetapi roh seseorang itu tidak sama dengan roh seorang yang lain. Seorang yang kufur tidak sama dengan seorang Waliyullah. Ada roh yang lebih suci daripada roh yang lain. Tempat roh insan dalam badan ialah dada. Tempat ini berhubung dengan pancaindera. Urusannya adalah berkaitan ehwal agama. Kerjanya ialah menurut syariat. Roh ini patuh titah perintah Allah dan tidak menyatakan tindakannya sebagai tindakan sendirian, kerana ia tidak bercerai dengan Allah swt. Tidak ada penceraian dan perpisahan antara “aku” dengan Allah. Sila rujuk surah Al-Kahfi ayat 110.  Allah yang Maha Esa dan Ia cintakan makhluk manusia ini yang mengaku akan menyatakan kesatuan dan keesaanNya. Ia mahukan pengabdian dan amal saleh yang dianggap ibadat itu adalah kepunyaanNya saja. Jadi, seseorang itu hendaklah beribadat semata-mata kerana Allah bukan kerana manusia atau apa-apa bersifat keduniaan atau berciri nafsu-nafsi.
Setiap orang lahir dalam “maqam nafsu” dan inilah maqam yang pertama dalam hidup di dunia ini. Bayi hanya hendak memenuhi keperluan jasmaniahnya semata-mata. Dan memerlukan makanan dan minuman, perlu digendung, diusap-usap. Dia akan menangis untuk menyatakan kehendaknya. Dia tidak tahu akibat perbuatannya. Bayi memecahkan sesuatu benda yang dianggap sangat bernilai oleh orang dewasa dan dia ketawa melihat keadaan itu. Orang dewasa bolehkah berbuat seperti bayi tadi?
Seseorang dalam pertumbuhan awal hanya semata-mata mementingkan hawa nafsu kehaiwanannya, makan minuman dan segala jenis ransangan nafsu. Semua ini adalah keadaan yang dikurniakan ALLAH yang diperlukan oleh mereka. Bayi dan kanak-kanak di pasaraya dengan sengaja memecahkan barangan yang dipamerkan di situ, orang tidak marah. Tetapi sekiranya orang dewasa yang melakukan dengan sengaja perbuatan yang demikan pasti lain pula ceritanya.
Dalam maqam nafsu, daya pertimbangan akan dan pemikiran belum maju lagi. Daya ini datang kemudian. Dalam proses pertumbuhan anak itu, ibu bapanya atau masyarakat sekeliling biasanya memberi pengaruh kepada perangainya. Dengan kata lain, anak itu berlajar mengikut sifat-sifat yang tertentu. Adalah perkara biasa dan memang difahami bahawa kana-kanak memang berada dalam peringkat maqam nafsu ini. Sebagai mana kanak-kanak itu membesar dan merangkak, badan bertambah matang, tindakan fizikal bertambah licin, maka bergitu jugalah kita mengharapkan rohnya berkembang maju dan meningkat ke atas melebihi maqam nafsu itu.
Al-Qur’an menerangkan cara-cara bagaimana memajukan dan mempertingkatkan roh. Cara hidup yang ditonjolkan oleh Al-Qur’an itu digelar As-Sirat al-Mustaqim (jalan yang lurus)
Tujuan hidup ini ialah mengembara menuju kepada ALLAH. “Barangsiapa yang buta di dunia ini, maka ia akan buta juga di akhirat. (Al-Isra’ : 72). Orang yang buta itu adalah yang hatinya buta, iaitu sikap tidak peduli atau tidak endah tatkala hidup didunia, yang membuatkan seseorang itu lupa akan Allah, lupa tujuan hidupnya, lupa jajnjinya dengan Allah di alam roh dahulu sebelum lahir ke dunia ini. Buta juga kerana tidak mahu mengaji atau pun mempelajari ilmu agama. Memperlekehkan ulama-ulama dan menyatakan sesat ulama-ulama dan kitab-kitab yang menganjurkan ilmu ketuhanan, tasawuf, tarekat dan sebagainya. Lebih jahil lagi mengutamakan hawa nafsu untuk keseronokan hidup dan menolak ketepi ilmu agama.
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah Aku”. (Adz-Dzariyat: 56)
Jalan menuju Allah adalah masuk menjadi ahli golongan yang berjalan kembali menuju Allah. Jangan sampai ditunggu hingga jalan itu tidak boleh dilalui lagi atau hingga tidak ada lagi orang yang dapat memberi petunjuk ke jalan itu. Kita dicipta bukan untuk pengisian berfoya-foya, makan-minum, bersenggarama yak-yak yee semata-mata. Sikap sedemikian bukanlah yang dikehendaki Allah swt dan diajari oleh  RasulNya yang mulia, Muhammmad saw. Kita sedang diperhatikan oleh Allah Azzawajala. Pun begitu oleh Rasulullah saw yang jika kita tidak memperdulikan ajarannya betapa hiba dan dukanya hati baginda. Apa saja ajaran yang disampaikan kepada manusia terdiri dari dua  iaitu zahir dan bathin, nyata dan ghaib, nampak dan tidak nampak. Yang zahir adalah ilmunya syariat dan yang bathin itu adalah ilmu atau hikmah. Mematuhi syariat adalah untuk mengharmonikan atau menyesuaikan aspek zahir kita manakala aspek bathin hendaklah kita mengharmonikan melalui ilmu atau hikmah. Bila zahir dan bathin bersatu, atau pabila syariat dan hikmat berpadu barulah seseorang itu mencapai taraf hakikat. Bolehlah dikatakan seperti ibarat pohon buah-buahan menghasilkan daun, putik, bunga seterusnya menjadi buah.
“Antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing” . (Ar-Rahman ; 20)
Jelaslah, keduanya mestilah disatukan dan dipadukan. Hakikat tidak dapat dicapai hanya melalui ilmu yang didapati melalui pancaindera. Belajar ilmu dari pancaindera semata-mata tidak akan membawa pada mengenal Yang asal atau Zat. Ibadat yang sebenar memerlukan syariat dan hakikat.  Hikmah atau ilmu yang perlu memang ada pada seseorang untuk mengenal Dia iaitu dengan menyingkap tirai hitam yang menutup cermin diri seseorang itu, membersihkan cermin itu dan mengilapnya hingga bersih nampak keindahan Ketuhanan yang terbayangkan pada cermin hati itu. Caranya adalah mempalajari ilmu tasawwuf bukan memperlecehkannya.
Allah ibarat harta yang tersembunyi dan Ia ingin agar dikenali. Maka jadilahlah makhlukNya yang sejati untuk mengenalinya. Kerana makhluk manusia ini dibekali dengan akal. Ilmu dapat diperolehi dengan kebijaksanaan akal maka manusia hendaklah mencari ilmu untuk mengenal Allah. Carilah kitab-kitab yang muktabar dan pergilah mentelaah didepan tok-tok guru. Allah swt berfirman dalam hadith Qudsi yang bermaksud:
“Aku laksana harta yang tersembunyi. Aku ingin dikenali, maka sebab itulah Aku ciptakan semua makhluk.”
“Dialah yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir dan yang Bathin, dan Dia Maha Mengetahui terhadap segala sesuatu”. (Al-Hadid : 3)
Apa yang Awal? Apa yang Akhir? Apa pula yang disebut Zahir dan Bathin itu? Cuba renung kembali firman Allah swt dalam hadith Qudsi :
‘Manusia adalah rahsiaKu dan Aku adalah rahsia manusia”.
Juga hadith Qudsi: “ Ilmu bathin adalah rahsia di antara rahsiaKu, Aku jadikan di dalam hati hamba-hambaKu dan tidak ada yang menempatinya kecuali Aku”.
Tempat roh bergerak atau roh berpindah itu ialah dalam hati. Urusannya ialah ilmu tarekat. Untuk mengenaliNya seseorang itu harus berusaha untuk mengetahui nama-nama Allah itu (Asma ul Husna). Inilah ilmu dalaman atau ilmu kebatinan (bukan ilmu silat). Memperolehi ilmu ini maka sampailah ia keperingkat hikmah Ketuhanan. Ia berasal dari kalimah La Ilaaha llallah. Setiap satu nama itu terletak dalam setiap satu daripada dua belas huruf dalam kalimah tersebut. Allah memberi nama kepada setiap huruf, dalam proses kemajuan hati seseorang itu. Yang ini kena pergi cari guru mursyid untuk menghuraikannya.
1.     La Ilaaha Ilallah – tiada Tuhan Kecuali Allah
2.     Allah    - nama Zat
3.     Huwa  - Dia
4.     Al Haq – Yang Benar
5.     Al Hayy – Yang Hidup
6.     Al Hayyum – Yang Berdiri dengan Sendiri dan padaNYa segala sesuatu bergantung
7.     Al Qahhar – Yang Maha Berkuasa dan Perkasa
8.     Al Wahhab – Yang Maha Pemberi
9.     Al Fattah – Yang Maha Pembuka
10.   Al Wahid – Yang Satu
11.   Al Ahad – Yang Maha Esa
12.   Ash Shomad – Sumber. Punca segala sesuatu.
Allah memberi mereka kurniaan “kehampiran denganNya”. Diperkuatkan ilmu tauhid dalam hati mereka.
“Tidakkah kamu perhatikan, bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik itu seperti pohon yang baik, akarnya teguh dibumi dan cabangnya menjulang ke langit.” (Ibrahim : 24)
AlQuran yang diturunkan peringkat demi peringkat mempunyai maksud zahir dan maksud bathin. Dikatakan Allah menurunkannya dengan 10 lapis maksud atau maknanya yang tersirat. Setiap lapis yang diatas lebih baik dan lebih hakiki dari yang dibawahnya kerana ia lebih hampir dengan sumber hakikat. Ilmu zahir itu ibarat air hujan yang datang dan pergi lenyap tapi ilmu bathin ibarat pancuran yang sumbernya tidak pernah kering.
 Allah berfirman lagi dalam AlQuran: “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.” (Ibrahim : 27)
“Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi.” (Thaha : 7)
Perjalanan dari satu maqam ke satu makam yang lebih tinggi memerlukan tunjuk ajar dari seorang guru yang benar-benar mursyid. Adalah sukar mengembara terus ke maqam-maqam yang lebih tinggi lagi jika tidak ada guru yang dapat memberi bimbingan. Jangan samapi sehingga ia lupa diri dan menganggap dirinya sudah sempurna, sudah alim, sudah mengenal tuhan hatta boleh bercakap-cakap terus dengan Allah. Na’uzubillah.
Satu daripada sifat yang paling sukar dan bahaya ialah sombong atau bongkak. Inilah sikap yang suka memuji diri sendiri. Dia akan berkata, “Aku lebih baik daripada orang lain. Aku solat sepanjang hari, aku berpuasa, aku takafur. Aku melihat semua orang seperti sampah. Mereka semuanya berdosa.” Tetapi sikap inilah yang akan mengotorkan kembali kesucian kerohaniannya. Perlu diingati setiap orang maju kesatu tahap tertentu dalam perjalanan kerohanian dengan izin Allah. Orang-orang dijalan lurus yang tulen tidak akan mencaci orang lain. Sepatutnya mereka yang belum sedar itu dipimpin keluar dari jalan yang sesat masuk ke jalan yang benar dan lurus.
Pembersihan rohani adalah antara jalan utama menuju pada ilmu ketuhanan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w “Dosa itu jatuh berguguran seperti daun yang gugur dari pokok”. Seorang ahli sufi pernah berkata , “Pada awalnya anda taubat daripada lupa kepada ALLAH walaupun satu saat”. Keadaan inilah yang dilakukan bermula sebelum menuju ke “maqam ar-roh”. Pembersihan hati adalah untuk menolak nafsu-nafsu yang bersarang di dalam hati. Untuk memasuki maqam hati ini segala penyakit hati seperti riak. dengki-kianat, hasad, marah berlebihan, ego, cintakan dunia cara berlebih-lebihan dan segala yang bersangkutan dengan hawa nafsu mesrti dibuang. Dia perlu membuat pembersihan hati, pembersihan jiwa juga pembersihan rohani. Bunyinya sama, tapi tak serupa. Pembersihan ini terbahagi kepada dua.
1.Pembersihan diri zahir melalui syariat dengan iar mutlak iaitu berwuduk.
Nabi saw pernah bersabda: “Setiap kali seseorang itu memperbaharui wuduknya, Allah akan membaharui imanya dan cahaya imannya akan bergilap semula dan menjadi bertambah terang.”
2.Pembersihan diri bathin atau jiwa.
Ada juga terjadi orang dalam maqam ini menjadi gila jika ia tiada guru. Mereka mungkin jatuh ke jurang “khayal sendirian”. Wahai orang-orang yang mencari, janganlah kamu hanya rehat di satu-satu maqam saja atau menyangka kamu tidak akan jatuh balik ke maqam yang di bawah. Oleh itu, apabila seseorang itu masuk ke satu maqam, ia akan berada di situ hingga meninggal dunia atau hingga naik ke maqam atas lagi atau undur balik ke maqam yang dibawah. Walau bagaimanapun ada banyak keadaan atau hal yang terjadi dalam sesuatu maqam. Hal bermaksud “pertukaran” dan dikaitkan juga perkataan ini melalui bunyi kepada hal yang bererti melepas ikatan atau melarutkan. Dalam pengertian ini, seseorang itu hilang pengaruh deria seperti dzauk semasa mereka berzikir hingga kadang-kadang mereka jatuh tidak sedar diri dan dapat memandang seketika ke alam hakikat dan makrifat.
Seseorang yang sentiasa berusaha dan bermujahadah dijalan Tuhannya akan memasuki maqam  yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman-Nya , “Ada hamba-hamba-Ku yang tertentu yang tidak berhenti-henti berusaha menghampiri-Ku dengan ibadat-ibadat sunat sehingga Aku menjadi mulut yang dengannya mereka berkata-kata, mata yang dengannya mereka melihat, telinga yang dengannya mereka mendengar, tangan yang dengannya mereka memegang dan kaki yang dengannya mereka melangkah”. Mereka yang bernasib baik dalam maqam ini diletakkan di tempatnya masing-masing. Mereka diberi kuasa pendengaran batin iaitu daya luar biasa pendengaran dan dapat membaca fikiran orang lain. Malaikat datang kepada mereka dengan perkhabaran-perkhabaran dari alam ghaib.
Mereka yang berada di maqam ini tidak lagi berusaha mencari kemasyuran, kekayaan atau keghairahan perasaan. Mereka hidup kerana Allah dan untuk Allah. Mereka berhubung rapat dan mesra dengan Allah dan dengan penghuni langit. Namun mereka tetap manusia biasa malah tidak melebehi rasul-Rasul dan Nabi-Nabi Allah.
Semakin tinggi dan semakin jauh seseorang itu naik dalam evolusi rohaniah ini, maka makin banyak ujian dan cubaan. Orang di peringkat ini telah lama memendamkan kehendak-kehendak nafsu badaniah dan mereka berjaya membimbing orang lain kejalan yang benar dan betul, dan oleh itu tentu sekali hebat diganggu syaitan, jin dan iblis. . Syeikh Junaid r.a pernah berkata, “Orang yang mengambil dirinya sebagai guru adalah mengambil syaitan sebagai gurunya.”
Diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi pernah bersabda:  Di kalangan hamba-hamba Allah, ada 300 orang yang mempunyai pertalian dan perkaitan yang khusus dengan Allah dan hati mereka serupa dengan hati Nabi Adam a.s. 7 orang dengan hati yang serupa dengan hati Nabi Ibrahim a.s. 5 orang dengan hati yang serupa dengan hati malaikat Jibril a.s. 3 orang dengan hati yang serupa dengan malaikat Mikail. Seorang dengan hati yang serupa dengan hati malaikat Israfil. Apabila yang seorang itu meninggal dunia, seorang daripada yang lima itu akan menggantikan tempatnya. Apabila seorang dari yang 5 itu itu mati, seorang dari yangpada yang 7 orang itu akan menggantikan tempatnya. Apabila seorang daripada yang 7 itu meninggal dunia, seorang daripada yang 40 orang itu mengantikan tempatnya. Apabila seorang daripada yang 40 orang itu meninggal dunia, seorang daripada yang 300 orang itu akan mengambil tempatnya. Apabila seorang daripada yang 300 orang itu meniggal dunia, seorang daripada manusia umumnya menggantikan tempatnya. Oleh itu, demi mereka, ALLAH Taala mentadbir hidup, mati, turun hujan, menjadikan dan menghindarkan manusia dari malapetaka
Tiga ratus orang itu tersenyum sepanjang masa dan tidak ada kaitan dengan hal-hal keduniaan. Mereka tidak perlu makan, minum atau tidur. Mereka telah melampaui batas-batas manusia biasa dan mereka boleh mengembara kemana sahaja di muka bumi dan di langit. Dalam sejarah manusia di muka bumi ini hanya beberapa orang sahaja yang telah sampai ketaraf atau tingkat ini. Sukar hendak diperihalkan dengan perkataan. Itulah matlamat utama wujud ini. Ini menyentuh janji yang kita buat dengan Allah sebelum kita dilahirkan ke dunia nyata ini.
Orang-orang yang digelar Wali yang bererti “rakan Allah yang dikasihi-Nya”. Merekalah yang sebenarnya Khalifah Allah di muka bumi ini. Biasanya mereka tidak dikenal umum. Mereka ini diberi pengetahuan tentang hakikat kejadian alam semesta raya dan hal ehwal kemanusiaan. Merekalah yang Allah gunakan untuk menzahirkan “Perencanaan Ketuhanan” di muka bumi ini. Alat yang mereka gunakan ialah ma’rifatullah (mengenal dan mengetahui Allah).
Bagi orang seperti ini, saat-saat meninggal dunia itu adalah saat-saat yang  ditunggu-tunggu dan dirindui, bahkan seperti  hilang lenyapnya perasaan keduniaan  ini melalui dzauk dan perasaan mereka. Mereka meletakkan sifat kehambaan yang sebenar-benarnya dan Allah sentiasa bersama mereka sebagai empunya diri mereka. Mereka telah mengembara kealam kerohanian dengan roh mereka. Badan di bumi tetapi roh mereka menjelajah kea lam-alam lain. Tidak ada sesiapa yang boleh mengganggu dan menentang mereka. Orang seperti ini bebas daripada kesulitan dan permasalahan duniawi.
Ingatlah, sesungguhnya Wali-Wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati”. (Yunus : 62)
“Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat”. (Yunus : 64)
Mereka yang sampai ke tahap kudus dan suci ini sedar, cinta dan “bersatu” seluruhnya dengan Allah. Hasilnya ia diperhiasi Allah dengan akhlak yang mulia, kelakuan dan tindak-tanduk yang paling baik. Inilah anugerah Allah kepada mereka yang suci itu.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu didalam taman-taman dan sungai-sungai. Di tempat yang disenangi di sisi Tuhan yang Berkuasa”. (AlQamar : 54-55)
“Mereka itu adalah penghuni syurga dan mereka kekal di dalamnya”. (AlA’raf : 42).
“Aku bertaubat kepada Allah Yang Maha Pengampun jika terdapat kesalahan dan kesilapan dari salinan dan olahan dari pemahaman aku, sehingga menyebabkan salah tafsir, kekeliruan, kurang tepat ataupun tersalah bagi pembaca budiman sekelian.”
Wallahu Alam.
Rujukan:
1.     Terjemahan Kitab al-Tibb al-Rauhi as-Sufi oleh Sdr. Rozali Md. Isa dari kitab asal karangan Sheikh Hakim Moinuddin Chisti.
2.     Rahasia Sufi terjemahan oleh Sdr Abdul Majid Hj. Khatib dan ditulis semula oleh Sdr Syed Ahmad Semait.
3.     Sirrur Asrar terjemahan oleh Sdr K.H Zezen Zaenal Abidin Zayadi Bazul Asyhab dari ktab asal karangan As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.

1 ulasan:

hamba Allah berkata...

Salam Ziarah... bagus sekali... teruskan perjuangan yang belum selesai...