Hadis yang cukup popular. Kalau ditanya ramai yang tahu dan masing2 pandai menerangkan satu persatu maksud dari hadis itu. Inilah hadis yang diperkatakan dari Sabda Nabi saw: “Jika seseorang hamba mati, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, Shadaqoh Jariyah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang (selepas kematiannya), dan Anaknya yang soleh (yang mendoakannya)".
Betullah dengan menempuhnya kematian, maka luputlah amalan yang disyariatkan kepada seseorang muslim itu. Syariat hanya dianjurkan semasa seseorang itu hidup di dunia. Jadi segala amalannya dikira selagi hidupnya di dunia dan apabila mati maka tidak lagi disyariatkan. Sebab dah mati!
Walau bagaimanapun terputus amalannya berbeza dari terputus manafaatnya. Sedangkan amal orang lain hanya dimiliki oleh si pelaku. Kalaulah si pelaku tadi memberikan amalannya kepada seseorang maka akan sampailah amalannya itu kepada orang yang ditujukan. Maksudnya si mati walaupun amalannya sudah terputus (luput) tapi dia boleh mendapat manafaat (pahala) dari sedekah (amalan) orang lain yang ditujukan kepadanya.
Jadi inilah yang dikatakan sampai itu…bila kita berdoa :”Ya Allah! Ampunilah orang2 hidup dan yang mati di antara kami”.
Kita memohon kepada Allah agar dengan KurniaNya diampunNya dosa2 kita dan dosa2 orang mati. Kalaulah dengan doa itu tidak menfaatkan pada orang mati tidaklah disyariatkan berdoa untuk yang mati itu.
Kita memohon kepada Allah agar dengan KurniaNya diampunNya dosa2 kita dan dosa2 orang mati. Kalaulah dengan doa itu tidak menfaatkan pada orang mati tidaklah disyariatkan berdoa untuk yang mati itu.
Dianjurkan berdoa untuk kedua ibubapa samada hidup maupun sudah mati;
وقل رب ارحمهما كما ربيا نى صغيرا
“…..dan doalah (untuk mereka, dengan berkata); “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibubapa) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memlihara dan mendidekku semasa kecil”. (Al-Isra:24)
Dan doa para malaikat terhadap makhluk bumi dalam surah Asy-Syura : 5 :
“…..dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk2 yang ada di bumi”.
Dalil dari Al-Quran dan telah disepakati secara ijma’ bahawa doa bermanafaat bagi si mati:
“Dan orang2 (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa) berkata:”Wahai Tuhan Kami! Ampunilah dosa kami dan dosa saudara2 kami yang mendahului kami dalam iman……..”. (Al-Hasyr: 10)
Ini semua menunjukkan berhasilnya manafaat dari amal perbuatan orang lain. Pahala yang berikan Alah swt kepada seseorang bukan kerana layaknya dia menerima tapi atas adanya KurniaNya. Dia yang layak mengurniakan apa2 kurniaan kepada siapa2 yang dikehendakiNya. Apabila Allah telah menetapkan KehendakNya, maka tiada siapa yang boleh menolaknya. Dialah yang mempertikaikan sesuatu dan bukan yang dipertikaikan. Sila rujuk surah Al-Anbiya ayat 23 seperti maksud dibawah:
“Ia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak”.
Adapun firman Allah swt yang berbunyi:
وأن ليس للإنسن إلا ما سعى
Maksud:”……Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (An-Najm :39)
Menurut Imam As-Syaukani di dalam kitab Nailul Authar: “Keumuman ayat tersebut dikhususkan dengan sedekah, solat, haji, puasa, bacaan Al-Quran dan doa daripada selain anak kandung”.
Manakala setengah ulama berkata maksud dari ayat di atas berlaku apabila pahala amalan yang dilakukan tidak ditujukan (hadiahkan) kepada si mati.
Manakala Ibnu Al-Fadhl berkata ayat tersebut diertikan secara adil. Allah boleh menambah apa yang disukaiNya dan dikehendakiNya. Sesungguhnya Kurnia Allah lebih luas dari pintu keadilan dan amalan.
Maka firman Allah:”Dan biasanya seorang manusia tiada memperolehi selain dari apa yang diusahakannya” bukan bererti menolak menafaatkan pahala daripada usaha orang lain. Usahanya tetap usahanya dan memperolehi pahala dari usahanya itu. Sedangkan hasil yang diusahakan oleh orang lain hanya dimiliki oleh yang mengusahakannya. Lainlah kalau dia ingin memberikan hasil usahanya kepada orang lain. Oleh itu Allah juga memberikan pahala kepada si pelaku amal, sebab dialah yang menyebabkan orang lain menerima pahala tanpa melakukan sesuatu. Ibarat kita berdoa kepada orang lainlah…….dibolehkan!
Dikatakan dalam kitab Al-Bahr Ar-Raiq karangan Zainuddin bin Ibrahim:”Yang jelas tidak ada bezanya antara berniat berbuat baik kepada orang lain atau berbuat baik bagi diri sendiri kemudian menjadikan pahalanya untuk orang lain”.
Maka diperbolehkan orang menunaikan solat, berpuasa, bersedeqah atau bertaqarrub lalu memberikan pahalanya kepada orang lain. Dengan itu tidak ada bezanya antara taqarrub dengan ibadah maal(harta) atau ibadah badaniah atau gabungan keduanya.
Telah disebut berturut2 dalam hadis Sunnah Nabawiyah yang sahih, dan berulang2 berita yang sangat dipercayai tentang kebenaran sampainya pahala bacaan, doa , istiqfar kepada si mati. Kenapa disembahyangkan jenazah dan didoakan selepas itu….kemudian diulang2 pandangan fuqaha dan ulama dari generasi dahulu hingga sekarang akan kebenaran hal ini.
Ibnu Taimiyah pun bersetuju…tengok dalam fatwa2nya:”Adalah benar apabila orang mati itu memanfaatkan semua ibadah badaniah seperti solat, puasa dan bacaan Al-Quran. Ini semua telah disepakati oleh umat, sebagaimana seandainya seseorang berdoa dan beristiqfar untuk si mati”.
Kalau sesiapa yang mengingkari akan sampainya pahala haji kepada si mati mari tengok hadis Nabi saw yang bermaksud:”Bayarlah kepada Allah sebab hutang kepada Allah lebih utama dibayar dan dipenuhi”. Diriwayatkan oleh Bukhari dan An-Nasai daripada Ibnu Abbas ra katanya:
“Datanglah seorang wanita dari Juhainah menemui Nabi saw dan berkata: Wahai Rasulullah, ibuku telah bernazar untuk berhaji, tatapi ia belum sempat melakukannya sehingga meninggal dunia. Bolehkah daku melakukannya untuknya?”.
Rasulullah menjawab:”Ya, tunaikan haji atas namanya. Bagaimana pendapatmu jika ibumu berhutang, apakah engkau mahu membayarnya? Bayarlah kepada Allah sebab hutang kepada Allah utama untuk dibayar”.
Berdasarkan kata2 Rasulullah itu telah dijadikan dalil membolehkan seseorang anak atau orang lain berhaji atas nama orang yang mati dalam konteks ini ia sebelumnya telah bernazar.
Manakala kata2 apakah engkau mahu membayarnya? merupakan dalil bahawa hutang simati wajib dibayar oleh walinya dan terlepaslah tanggungan hutangnya bila waris atau wali melunaskan hutang tersebut. Maka ia mendapat pahala ketikamana tuntutan keatasnya (hutang tadi) selesai.
Adapun dibolehkan seseorang anak berhaji atas ayahnya yang mati walaupun tiada wasiat atau nazar si mati. Manakala berhaji untuk orang yang mati yang dilakukan oleh selain anaknya dibolehkan. Ini disebut dalam hadis Syibrimah yang diriwayatkan dalam Sunnah dan Sahih Ibn Khuzaimah daripada ibnu Abbas ra.:”……………………….Baginda bertanya: “Siapakah Syibrimah?” Orang itu menjawab:’Dia adalah adikku atau kerabatku”. Baginda bertanya lagi:”Apakah sudah engkau berhaji untuk dirimu sendiri?” Beliau menjawab:”Berhajilah untuk dirimu terlebih dahulu kemudian berhajilah untuk Syibrimah”.
Al-Baihaqi berkata hadis ini sahih bahkan tiada yang lebih sahih dripada riwayat tersebut dari riwayat yang bermaksud:”Ini adalah daripada engkau untuk dirimu kemudian berhajilah untuk Syibrimah”.
Kesimpulannya, dipetik secara ijma’ dibolehkan orang2 hidup mewakili orang2 mati untuk berzakat, bersedeqah, puasa, haji dan lain2 wasiat dan tathauwu’. Banyak hadis2 sahih membicarakannya dan disepakati kesahihannya tanpa diingkari seorang jua. Suffian bin Uyainah ra berkata:”Orang2 mati menginginkan doa sebagaimana orang2 hidup memerlukan makanan dan minuman”. Janganlah kita lokek mendoakan untuk si mati samada mereka ibubapa kita, ahli keluarga kita hatta umat Islam umumnya kerana mereka sentiasa mengharapkan doa2 dari kita yang hidup. Ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah saw melalui dalil2 yang telah dikemukakan.
Wallahu ‘alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan