Isnin, 29 Mac 2010

Cahaya Allah tidak sampai ke hati pencinta dunia

(Kepada sahabat lama aku Chegu Saidin di Pasir Gebu, Penaga, Seb. Perai Utara....salam hormat dari aku yang faqir ini..)

Syaikh Ibnu ‘Athaillah berkata: “Adakalanya datang kepadamu berbagai cahaya, maka cahaya2 itu menemukan hati yang bercampur penuh dengan gambaran2 keduniaan. Maka berangkatlah dia dari mana dia turun. Kosongkanlah hatimu daripada perubahan2, maka Allah akan memenuhinya dengan makrifat dan rasia2 ketuhanan.”

Kemewahan dan gemerlapnya dunia menyebabkan manusia tergoda oleh silau cahayanya. Lantas manusia berlumba2 untuk memperolehinya tanpa menghiraukan halal-haramnya, sah atau batalnya dari sudut agama. Kelekaan pada kemewahan duniawi bukan berlaku dahulu lagi bahkan lagi teruk dizaman moden ini! Bukan orang awam saja...yang cerdik ugama pun tumpang toi. Allah!.. Rasulullah saw telah menyindir ummatnya yang bersikap demikian dalam hadis bermaksud:

‘Akan datang kepada umatku suatu zaman, ketika mereka cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara. Iaitu mereka cinta kepada dunia, lupa pada akhirat. Cinta pada harta lupa pada hisab. Cinta kepada makhluk, lupa pada Khalik. Cinta kepada dosa dan lupa pada taubat. Cinta pada mahligai, lupa pada kubur.’

1.       Cinta kepada dunia, lupa pada akhirat.

 بل تؤ ثرون الحيوة الد نيا. والأجرة خير وابقى.

Maksud: Tetapi mereka (orang2. Kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik daripada kehidupan dunia. (Al-A’laa:16:17)

Nabi Saw pernah umpamakan kehidupan  manusia di dunia macam seorang musafir yang sedang berjalan jauh, kemudian berteduh sat (sebentar) di bawah pokok yang rimbun untuk berehat. Selepas itu berjalan kembali meneruskan perjalanannya dan tinggallah pohon yang disinggahi itu untuk selama2nya. Tak kembali lagi. Dia sedar destinasinya.

Kalaupun yang singgah sebentar tapi terlena dan tertidor maka hilanglah tujuannya yang asal untuk berehat. Jadi tidaklah dapat dia meneruskan perjalananannya.

Sebahgian hukama berpendapat cinta pada dunia akan mendapat empat keburukkan.

  1. Ragu2 yang berpanjangan
  2. Sentiasa rasa tidak kecukupan
  3. Akan disibukkan oleh berbagai urusan
  4. Panjanglah angan2.

2.       Cinta pada harta, lupa pada hisab

Harta kemewahan yang dikurniakan Allah adalah pinjaman semata2. Jadi kenalah kita faham, harta adalah alat sahaja, bukan tujuan. Harta kemewahan yang didapati adalah alat untuk mendekatkan diri pada Allah semata2, bukan diperalatkan oleh harta yang dimiliki sehingga diperah segala tenaga dan fikiran untuk mendapatkan kemewahan dunia sebanyak2nya dan dah lupa hukum syarak. Halal dan  haram dibedal sama rata, janji dapat untungan. Untung dia saja dia kira. Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan tapi mestilah berlandaskan ketentuan syarak;

Carilah selagi boleh tapi mestilah yang halal. Berkata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani: Ambillah sedikit dari yang halal. Mengambil banyak dari yang halal membawa kepada mubah. Bila mubah dipermudahkan takut terkena kepada makruh, sedang makruh selalu menunggu yang syubhat. Bila berani mengambil yang syubhat tentu berani mengambil yang haram, manakala yang haram akan membawa manusia masuk neraka.

Jangan pulak berlebih2an dalam perbelanjaan. Ditakuti terjebak dalam pembaziran.

Berzakat jangan lupa. Apa-apa zakatlah selagi bergelar pemilik harta! Zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat ternakan maupun dari hasil tanaman.  Pun kena zakat untuk emas kalau dah berlambak dalam simpanan tu.

Semua kekayaan dan kemewahan yang didapati akan ditanyai dari mana dapat dan ke mana dibelanjakan.

3.       Cinta kepada makhluk, lupa pada Khalik (Allah)

Cintalah pada siapa pun..kekasih, isteri, anak-anak, ibu-bapa tapi cinta pada Khalik (Allah) dan RasulNya Muhammad saw mengatasi mereka yang tadi. Tapi sayang cinta pada makhluk dilebih2kan. Kereta besar dan canggih, rumah kalah istana, pakaian anak-bini hebat dan mahal sekali tapi pada Allah..sejadah lusoh yang tiga puluh tahun lepas masa berkahwin. Kopiah pakai sambar tak tengok bersih atau tidak. Kekadang bersolat bersinglet koyak pun tidak terperasan! Allah! Mana yang kata cinta pada Khalik tu.

4.       Cinta pada dosa, lupa kepada taubat.

Boleh tengoklah masyarakat kini. Dari anak muda, orang dewasa hingga ke tua bangka termasuk akulah dosa dan kesalahan sengaja atau tidak sengaja tidak upaya dielakkan. Setiap detik dan detak, gerak dan gerik ada2 saja. Inilah tabiat manusia tapi kalau perbuatan dosa dan maksiat itu menjadi kebiasaan takut-takut terjeremus ke lembah durjana dan kehinaan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meninggalkan kebiasaan buruk yang mengundang dosa itu. Nabi saw dah ajar sekurang2nya beristiqfar. Disuruhnya kita bertaubat kepada Allah dan semestinya taubat nasuha!  

Sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Walaupun kamu sudah melakukan dosa sehingga banyaknya memenuhi bumi dan langit, kemudian kamu menyesali perbuatan kamu itu dan bertaubat, maka Allah akan menerima taubat kamu. (Hadis diriwayat oleh Ibnu Majah).

5.       Cinta pada mahligai, lupa pada kubur

Manusia ini selalu lupa yang dia akan mati satu hari nanti. Kalau dia orang yang sentiasa mengingati mati,  pasti dia akan memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekalan di sana nanti. Mati hanya sekali dan bila maut menjemput tidak kira masa dan tempat. Malangnya kita lupa pada kubur.  Kita bangga dengan mahligai hinggap kita. Kita berlumba2 mencantikkan rumah kediaman dengan kemewahan. Berseronok dengan anak-bini, kawan-kawan yang diundang, berseronok dengan kolam mandi, kolam ikan, kucing, burung dan sebagai seolah2 kita tidak akan mati. Rumah bagai mahligai indah... lupa yang kita akan kembali pada kubur tempat yang sunyi sepi, gelap dan sempit yang memang setia menanti kita.

Jadi marilah kita berusaha brsungguh2 untuk menghilangkan kerisauan2 terhadap kepentingan duniawi, agar cahaya Allah yang berupa hidayah dan inayah boleh masuk ke dalam hati kita. Dunia hanyalah sementara manakala akhirat itu kekal abadi. Gunalah kesempatan di dunia untuk beribadat moga selamat di akhirat nanti.

“Dan orang2 yang berjihad untuk (mencari keredhoaan) Kami, nescaya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan2 Kami. Dan sesungguhnya Allah benar2 bersama orang yang berbuat kebaikan.”
(An-Ankabut:69)



Tiada ulasan: