Jumaat, 29 Mei 2009

Tasawuf dan Tarekat : Yang haq dan yang bathil.

Penyelewengan demi penyelewengan dari orang perseorangan ataupun kumpulan yang mengaku dari ajaran sunnatullah tapi ternyata sesat kian berkembang di zaman moden ini. Untuk menutup kesesatan, mereka berselindung dengan menonjolkan melalui ajaran tarekat ciptaan sendiri yang tidak tahu dari hujung pangkalnya.

Dengan sistem pendidikan masakini yang kelam kabut menenggelamkan insitusi keagamaan perlahan-lahan. Tiada lagi metode tarbiyyah yang diisi kepada penuntut seperti di zaman terdahulu. Semuanya berpaksikan sistem 'short-cut' dan mementingkan sekeping ijazah. Apatah lagi kekadang untuk ke Doktor Falsafah, PhD dan sebagainya penuntut guna pakai kaedah "paste n copy" (termasuk jugak aku..pulak). Tahap pencapaian keilmuan walaupun tinggi ditambah dengan kemudahan teknologi pembelajaran tapi tidak akan sesekali menandingi alim-ulamak dahulu. Nawaitu orang terdahulu lebih dari belajar untuk beramal dan mengembangkannya pula pada masyarakat. Sekarang jangan marah kalau dikatakan untuk mencari makan aja atau untuk dapatkan jawatan dan kedudukan yang lebih baik. Dan dengan ilmu yang sejemput itu sudah berani menilai dan menghukum ulama terdahulu. Bahkan sampai ke tahap menyesatkan kitab2 ulama tertentu.
Jadi fikirkanlah kalau diri sendiri pun tidak mampu menterjemahkan ilmu dalaman dalam bentuk kitab atau bahan rujukan awam janganlah pepandai sengaja mencari kesalahan orang lain yang tahap ilmu sendiri pun tidak seberapa mana. Kalau sang bijak-pandai pun sudah mula memperlekehkan para-para alimin sudah tentu membuka jalan pada yang buta ilmu menjauhkan diri dan mula mencari alternatif lain. Maka lahirlah golongan yang mencari kesempatan mendakwa mereka itu dan ini. Ajaran yang bertopengkan kepentingan diri tanpa ilmu dan tarbiyyah keislaman inilah yang sesat sesesatnya.

Media masa pun kekadang membantu menyemai benih-benih kebencian masyarakat pada golongan berbau keislaman itu sendiri. Drama atau filem memaparkan golongan yang dikatakan alim itu sesat atau anti pembaharuan banyak ditonjolkan. Dan yang paling sedih digambarkan cara berzikir itu sendiri seperti melompat-lompat,gelengan kepala dan hayunan badan. Tahukah kita setiap perlakuan sedemikian adalah mengikut cara tarekat itu sendiri dan yang melakukannya adalah ahli2nya sahaja dan majlisnya pun hanya untuk ahli tarekat berkenaan. Kita hanya melihat zahirnya sahaja tapi yang bathinnya hanya ahli2 jamaah tarekat itu yang mengalami dan mengetahuinya. Bukankah ajaran sesuatu tarekat itu untuk ahlinya sahaja dan kita sebagai orang luar tidak perlu menghukum dari perlakuan mereka itu. Mereka tau apa yang mereka perbuat. Tarekat itu sendiri adalah "the inner and asetoric dimension of Islam". Ia berkaitan denga soal2 dalaman yang sering disebut bathiniah. Mereka yang melakukan zikir dengan kesadaran jiwa, zikirnya akan menggetarkan jiwa yang gelap menjadi sangat terang dan akan mendapatkan ketenangan yang sangat luar biasa. Dimana nak letak maksud hadith dari Rasulullah saw yang menganjurkan kita bezikir sehingga ke tahap orang menggelar kita gila.

Jadi, tak usahlah kita berprasangka atau cepat melatah melihat perbuatan orang yang kita sendiri tidak berpengetahuan tujuannya yang ia sendiri mengetahuinya. Atau masuklah kumpulan jemaah terekat tersebut dan jadilah jauhari yang mengenal manikam. Ataupun bersikap diam dan bersangka baik. Banyak kemungkaran di depan mata saban hari disenyapkan bermula dari pihak yang berpengaruh sampai ke orang awam tua dan muda. Mabuk, zina dan mengedik terloncat-loncat di disko2 dan kelab2 malam berlaku saban hari. Dan perkara sedemikian sudah jadi seperti satu kebiasaan pada kebanyakan orang. Hukum halal haram sudah tidak dipedulikan. Tiada siapa pun yang bsing. Bahkan jabatan2 yang terlibat dalam perkara sedemikian pun tak berani bersuara. Maka tepatlah apa yang disabdakan oleh Nabi saw : " Sesungguhnya manusia itu banyak berdalih".

Apakah kita sudah benar-benar Islam dari mereka yang juga Islam? Karena yg beragama Islam belum tentu sudah Islamnya. Dan yang sudah Islam belum tentu mukmin dan yang mukmin itu belum tentu muslimnya. Rasulullah saw bersabda: "kelak umatku akan berpecah menjadi 73 firqoh yang 72 bulat-bulat masuk neraka, dan yang selamat hanyalah 1 firqoh" Sahabat bertanya:"siapa yang satu firqoh itu ya Rasulullahl?" Baginda menjawab: "Ahlul sunnah wal jamaah".

Lihatlah definasi tasawuf itu sendiri dari kacamata ahli2 sufi terkenal:

Al-Junaid al-Baghdady:
"Tasauf ertinya Allah mematikan dirimu dari dirimu, dan menghidupkan dirimu bersama denganNya."

"Tasauf adalah engkau berada semata-mata bersama Allah swt. Tanpa terikat dengan apa pun."
Muhammad al-Jurairy:
"Tasauf bererti memasuki setiap akhlak yang mulia dan keluar dari setiap akhlak yang tercela."

K.H Ahmad Al-Rafaie, " Tidak ada jalan yang lebih mudah menghampirkan diri dengan Allah kecuali melalui tarekat ".

Tarekat merupakan bagian terpenting dari pelaksanaan syariat Islam di bidang Tasauf. Mempelajari ilmu Tasauf dengan tidak mengetahui dan melakukan tarekat dianggap sia-sia.
Prof. H. Abu Bakar Acheh dalam bukunya ‘Syariat Ilmu Fikah Menurut tarekat Kadriah’ berkata, " Dalam ajaran Tasauf diterangkan bahwa syariat itu hanya peraturan belaka, sementara tarekat merupakan perbuatan untuk melaksanakan syariat itu. Apabila syariat dan tarekat sudah dapat dikuasai maka lahirlah hakikat, yang tidak lain adalah memperbaiki hal ihwal zahiriah (yakni akhlak yang mulia)".

Menurut Imam Al Ghazali tarekat adalah sebagian perjalanan syariat batiniah’. Walau bagaimanapun untuk menjalani tarekat, menurut Imam Malik dan Imam Al Ghazali, memerlukan kekuatan di bidang ilmu syariat terutama di bidang Ushulludin (Tauhid).
Kelebihan ilmu tarekat amat banyak. Menurut Imam Al Ghazali di dalam kitabnya Al Munkizu Minad Dhalalah bahwa kelebihan ilmu tarekat itu akan menjadikan seseorang yang menjalaninya mempunyai akhlak yang mulia (zahir dan batin) menepati akhlak nabi.

Kata Sheikh Muhammad Al Sulaiman," Barang siapa yang menjalani ilmu tarekat ia akan mendapat kemenangan di dunia dan di akhirat serta kesudahan matinya dalam kebajikan (Husnul khotimah) ".

Ahli-ahli tarekat senantiasa bersifat tawaduk dan menjauhi takabur (ego). Kata Sheikh Syed Muhammad Saman," Orang yang bersusah-susah dan bersunguh-sungguh menempuh jalan riadhatun nafsi (latihan melawan nafsu) dia akan mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT ".

Demikian kelebihan-kelebihan batin yang disebut di dalam kitab Sirrus Salikin tentang kelebihan tarekat. Sementara kelebihan zahiriah lainnya adalah yang menjalani ilmu tarekat ia akan mendapat kekuatan ukhwah, mendapat pertolongan Allah dari tentangan musuh, menjadikan dia taat kepada pucuk pimpinan, gigih berjuang dan berkorban dsb. Ini dibuktikan oleh kajian pihak musuh Islam tentang puncak kekuatan umat Islam dahulu. Pada zahirnya mereka tampak lemah di bidang material tapi susah untuk ditumpas dan dijajah diri, akal dan jiwa mereka. Dalam tulisan2 sumber orientalis, mereka melabelkan tentera Islam dengan gelaran "They were horsemen by day and ascetics by nights." iaitu "Mereka itu (tentera Islam) adalah bagai singa di siang hari dan rahib di malam hari." Ini adalah kerana tentera2 Islam contohnya di zaman Salahuddin Al-Ayubi seorang yang mengamalkan tarekat.

Laurens Of Arabian salah seorang orientalis sedunia, telah membuat kajian-kajian tentang puncak kekuatan umat Islam dan didapati bahwasanya kekuatan umat Islam adalah karena di barisan depannya adalah terdiri dari ahli-ahli Tasauf dan ahli-ahli tarekat. Mereka adalah orang-orang yang paling gigih menentang penjajahan dan menangkis kepura-puraan yang ditaburkan oleh musuh-musuh Islam. Laurens telah membuktikan hujjahnya dengan sejarah, bagaimana gerakan tarekat Idrisiah di Maghribi (Moroko) berhasil dengan gemilang merebut kemerdekaan dari penjajajah.

Khalifah2 kerajaan Osmaniah dan para tenteranya adalah terdiri dari ahli-ahli tarekat. Mereka berkhalwat beberapa hari sebelum keluar berperang. Contohnya seperti Sultan Muhammad Al Fateh, sultan yang mengasaskan Empayar Osmaniah adalah ahli tarekat. As Syahid Omar Mokhtar pejuang terakhir benteng pertahanan terakhir khalifah Osmaniah adalah pengamal tarekat. Begitu juga As Syahid Hassan Al-Bana seorang yang bertarekat.

Di Nusantara sendiri pejuang2 kemerdekaan kebanyakan adalah pengamal2 tarekat belaka seperti Tokku Paloh diikuti oleh anak2 murid beliau seperti Dato Bahaman, Mat Kilau waima almarhum Syeikh Daud Al Fathani bila menpertahankan tanah airnya dari serangan tentera Siam. Begitu juga tokoh ulama Indonesia seperti Raja Haji di Riau dan Imam Bonjol di Aceh.

Setengah dari mereka bukan sekadar menyumbang di dalam perjuangan Islam menentang penjajah, malah mereka juga membangunkan pendidikan dan perkembangan Islam serta menghasilkan kitab-kitab ilmu Tauhid, Feqah dan Tasauf yang menjadi sumber rujukan pada umat Islam di nusantara.

Selain itu niat jahat dan busuk perut pihak orientalis atas arahan pihak kolonial telah menyelidiki juga tarekat-tarekat, antara lain Idrisiah di Libya dan beberapa negara Islam lainnya, termasuk kepulauan Melayu oleh Snouck Hurgronje orientalis Belanda di Indonesia. Hasil kajian dan laporan yang diberikan kepada pemerintah kolonial itulah yang menyebabkan lahirnya kecurigaan terhadap gerakan tarekat dalam Islam.

Laurens Of Arabian telah diarahkan supaya menyelidiki ke dalam masyarakat Islam dengan menyamar sebagai ulama dan mendalami ilmu Islam di Mekah dan Mesir (Al Azhar) dan ia telah bertemu dengan ratusan ulama besar yang mashyur, memperbincangkan tentang cara untuk membiasakan umat Islam di segi kemajuan dunia seperti kebiasaan barat serta ia menyebarkan faham supaya umat Islam tidak terikat dan tidak fanatik kepada aliran mazhabiah.

Pihak penjajajah memandang gerakan tarekat berbahaya bagi kekuasaan mereka. Untuk menyekat dan menghapuskannya, Prof. Haji Abu Bakar Acheh dalam bukunya Syariat telah menyampaikan puncak timbulnya Ordinan’s guru tahun 1925 di Indonesia. Melalui Ordinan’s itu katanya, bagi guru-guru agama yang hendak mengajar agama terutamanya bidang tarekat hendaklah mendaftarkan diri dan mendaftarkan sekaligus kitab-kitab yang hendak diajarkan.
Sementara itu di negara-negara Asia Timur, Laurens Of Arabian mengupah seorang ulama yang anti-tarekat dan anti-mazhab untuk menulis sebuah buku yang menyerang tarekat. Buku tersebut diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa dan dibiayai oleh pihak orientalis. Akibatnya kerajaan Arab Saudi setelah diambil alih oleh pemimpin yang bermazhab Wahabiah yang telah mengharamkan Tasauf dan tarekat. Sedangkan di situlah (Mekah dan Madinah) asal mulanya pusat gerakan tarekat. Aliran faham anti tasauf dan tarekat itu telah menguasai di pusat-pusat pengajian di Timur Tengah dan pusat pengajian di Eropa, sehingga para pelajar termasuk di negara ini yang sekarang telah bergelar ulama mengikuti aliran itu.

Selain menggunakan media masa (buku dan majalah) untuk menghapuskan tarekat sufi, pihak musuh Islam juga menggunakan berbagai cara lain, diantaranya mereka menciptakan tarekat sesat (palsu) dan menyelewengkan tarekat yang sebenarnya dengan menyelundupkan ajaran-ajaran mereka ke dalam gerakan tarekat. Ajaran mereka itulah yang mendakwa konon mendapat wahyu, dilantik menjadi nabi, menjadi Nabi Isa, Imam Mahdi dan lain sebagainya. Di antaranya yang jelas kepada kita adalah gerakan Qadiani, Bahai, Ismailiah di India, pimpinan Agha Khan dll.

Seorang penulis barat A.J. Quine dalam novelnya The Mahdi menyampaikan tentang bagaimana dua badan dunia mewujudkan Al Mahdi palsu untuk merusak keyakinan umat Islam terhadap Al Mahdi yang sebenarnya yang disebut oleh Rasulullah SAW akan muncul di akhir zaman.
Gerakan tarekat sesat (palsu) telah dikembangkan di seluruh dunia dan ini menjadi alasan bagi ulama anti tarekat untuk menguatkan hujjah mereka bahwa tarekat bukanlah ajaran Islam termasuk bertawassul itu suatu perbuatan sirik. Gerakan tarekat sesat tersebut tidak mustahil datang (tersebar) di negara kita sehingga merusak tarekat yang sebenarnya. Akibatnya pihak yang berwenang melakukan penyelidikan atas tarekat sesat tersebut kemudian membuat kesimpulan menyalahkan semua tarekat-tarekat yang ada termasuk tarekat yang haq.

Hasil dari niat jahat orientalis yang senantiasa mencari jalan menghalang kebangkitan Islam umat Islam kini telah ditipu dan telah dijauhkan dengan istilah tarekat oleh orientalis. Ditambah lagi dengan wujud fahaman Islam yang menyeleweng oleh pihak2 tertentu untuk kepentingan sendiri bahkan dari mereka yang buta Islam sendiri. Ayah Pin contohya dan banyak lagi kalau kita lihat dari segi zahir sahaja sudah boleh menduga. Fahaman inilah yang memakai pakaian Islam berhasil bahawa jemaah tarekat adalah bidaah dan menyesatkan.
Ada juga orang yang belajar ambil tahu sedikit tentang ilmu tarekat, dan mengambil kesempatan dengan memperbodohkan para pengikutnya yang sedia jahil atau yang baru berjinak dengan tarekat. Oleh itu bentengkan diri kita dengan ilmu syariat yang menjadi asas kepada perlaksanaan dan pengamalan fardhu ain. Jangan dilupa hingga ada yang mengaku menjadi wali bahkan rasul dan sibuk menceritakan hal-hal kerohanian ciptaannya yang konon diterima dari Rasulullah dan secara langsung dari Allah. Yang peliknya mereka mempunyai pengikut2 pulak hingga sampai tahap gaban taksub padanya. Merekalah manusia durjana yang mendatangkan fitnah ke atas jemaah tarekat yang haq. Kebathilan mereka telah mengatasi yang haq atas perancangan dan strategi yang cukup terancang.

Kalau terdapat kesilapan dari segi pelaksanaan oleh khalifah atau syeikh tarekat yang kemudian (mutaakhirin) ini, itu adalah disebabkan kelemahan pribadi mereka sebagai manusia. Maka tidaklah sepantasnya diambil kesimpulan mengharamkan tarekat yang haq, sama seperti menuduh pengikutnya juga sesat. Sedang mereka terdiri dari orang-orang yang salih dan para Wali Allah.

Dalam penyusunan buku Ar-Risalatul Qusyairiyah misalnya, ia menegaskan bahawa apa yang ditulis dalam risalah tersebut untuk menunjukkan kepada mereka yang salah faham terhadap Tasauf, semata-mata kerana kebodohannya terhadap hakikat Tasauf itu sendiri. Menurutnya Tasauf merupakan bentuk amaliyah, roh, rasa dan pekerti dalam Islam itu sendiri. Ruhnya adalah firman Allah swt.:

"Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya.," (Q.s. Asy-Syams: 7-8)

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan diri dan dia berdzikir nama Tuhannya lalu dia solat." (Q.s. Al-A’laa: 14-15)

" Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang alpa." (Q.s. Al-A’raaf: 205)

"Dan bertaqwalah kepada Allah; dan Allah mengajarimu (memberi ilmu); dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Q.s. Al-Baqarah : 282)

Tasauf pada prinsipnya bukanlah tambahan terhadap Al-Qur’an dan hadits, justru Tasauf adalah impklementasi dari sebuah kerangka agung Islam.

Dewasa ini kekadang bila kita mengajak berbicara tentang tarekat ada yang tersenyum sinis seolah2 ianya terkeluar dari batasan Islam. Aku sendiri pernah melaluinya bila berbicara hal sedemikian dengan tiga empat orang ustaz bahkan menjadi imam surau dan mesjid. Cepat-cepat mereka menongkah arus dan menasehati aku agar berhati2 dengan tarekat kerana takut tersalah pilih. Nasihat yang bagus juga bermaksud baik.

Kalaulah segelintir atau ramai mendakwa pengamalan tarekat sesat, lalu bagaimana kita hendak menghukumkan ulama2 terdahulu yang mengasaskan, mengajarkan dan mengamalkan tarekat seperti Imam Al Ghazali (tarekat Al Ghazaliah), Syeikh Abdul Qadir Al Jailani (tarekat Qadiriah), Abdul Hasan Ali Asysily (tarekat Syaziliyah), Muhammad Bin Bahaudin Naqsyabandi (tarekat Naqsyabandiah) dan yang lainnya seperti Sathariyah, Ishaqiah, Alawiyah, Rafieyah, Ahmadiyah dan lain2 lagi yang bertebaran di bumi Islam? Sesatkah belaka mereka bermula dari para khalifah, musyid dan ahli2nya?

Ahli sesuatu tarekat terkenal dengan kelaziman berzikir. Hendak diletak ke mana ayat Allah ini. "Yaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram ( QS, A Ra’du,13 : 28)

Barang siapa yang berpaling dari ingat kepada Yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. ( QS,43 ayat 36 )

Bukankah Iman, Islam dan Ehsan pokok pada bersyariat. Ehsan ada pada tasawwuf. Sabda Nabi saw:
"Ihsan adalah hendaknya engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, maka apabila engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu" (H.r. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud dan Nasa’i).

Tarekat yang haq, kesemuanya beraqidah yang sama iaitu Ahlussunah Wal Jamaah (Aswaja). Dari sudut feqh semua berpegang tidak lari pada mana-mana satu mazhab yang 4. Mereka bukan qadariah, bukan jabbariah, juga bukan muktazilah, syiah atau lain-lain mazhab aqidah. Pegangan mereka jelas. Takkanlah semua ulamak2 diatas bersekutu dan menganjurkan kemaksiatan. Nampaknya jarum yang dicucuk oleh orientalis dan golongan antiIslam telah berjaya dalam misi jahat mereka. Jadi bezakanlah yang mana satu cabang yang haq dan mana yang bathil. Terserah pada diri kita untuk menilai dan memilihnya. Sekian.

Rabu, 27 Mei 2009

Kisah pengembaran Tuan Hussein Kedah

....sambungan


Tuan Hussein selalu berpesan agar setiap pekerjaan dilakukan dengan bersungguh2, dengan usaha sendiri dan hasil pendapatan itu akan lebih berkat.


Pengembara Tuan Hussein ke Kelantan

Selepas beliau menamatkan pengajian di Fathani Tuan Hussein mengembara ke Kelantan. Di sana beliau tinggal beberapa ketika meneruskan pengajiannya di sekolah2 pondok yang termasyur ketika itu. Tidak dinyatakan nama2 pondok itu.

Pengembaraan ke Terengganu

Dalam tahun 1882M / 1300H Tuan Hussein menumpang tongkang dari Kelantan untuk ke Terengganu. Di sana beliau tinggal menumpang di rumah saudara sepupunya membuat kerja2 kampung mencari perbelanjaan untuk meneruskan pelajarannya. Ketika itu beliau berusia 20 tahun. Beliau tinggal di Terengganu lebih kurang 1 tahun sebelum menumpang tongkang ke Singapura.

Pengembaraan di Singapura

Semasa di Singapura beliau bekerja sebagai buruh kasar dan tidak sempat belajar.

Pengembaraan di Johor dan Melaka.

Pada tahun 1886 Tuan Hussein ke Johor sebelum meneruskan pelajarannya ke Melaka. Dalam perjalanan ke Melaka ketika sampai di Muar tidak ada sampan untuk menyeberangi Sungai Muar. Beliau terpaksa berenang untuk menyeberangi sungai tersebut. Berenang adalah perkara biasa baginya kerana semasa tinggal di kampongnya Titi Gajah rumahnya berhampiran dengan sungai. Di Melaka beliau bekerja kampung seperti menyemai anak2 padi,menyemat nipah untuk dibuat atap dan rokok daun.

Adapun pengembaraan yang dibuat oleh Tuan Hussein dari satu negeri ke satu negeri adalah didorong oleh cita2 menambah ilmu pengetahuan dan keinginannya berguru kepada ulama2 terkenal masa itu. Oleh kerana keinginanya tidak kesampaian dari Melaka beliau menumpang tongkang ke Medan dan terus ke Batubara. Beliau belajar di sana beberapa bulan sahaja dan kembali ke Melaka. Dari Melaka beliau berjalan kaki ke Selangor hingga sampai ke Perak.

Perdebatan Ilmiah semasa di Perak

Semasa di Perak Tuan Hussein tinggal di Sungai Rebana dan mengambil upah menyemat atap. Dia dikenali di situ sebagai Lebai Hussein. Dia kemudian berpindah ke Sungai Durian setelah mendapat jemputan dari Tuan Haji Muhammad Hasan seorang ulama di Hilir Perak. Diambilnya Tuan Hussein sebagai anak angkatnya. Di situ beliau ditugaskan mengajar kanak2 mengaji Quran.

Ketokohannya sebagai ulama muda tersebar apabila berlaku satu peristiwa perdebatan ilmiah di antaranya dengan Tuan Haji Muhammad Yunus seorang alim berasal dari Permatang Sintok, Seberang Perai. Majlis perdebatan itu diadakan bagi menyelesaikan pertelingkahan Tuan Haji Muhammad Yunus dengan beberapa ulama lainnya termasuk Tuan Hussein yang berpunca dari perselisihan pendapat berhubung satu masalah tauhid.

Tuan Husein berjaya menunduk dan mematahkan hujah lawannya yang pada mulanya memperkecilkannya sebagai seorang muda. Dia memaksa pencabarnya kembali ke pangkal jalan dan mengakui kebenaran hujah2nya. Mulai dari saat itu Tuan Hussein mulai dikenali sebagai seorang alim yang mempunyai pengetahuan yang luas serta sukar ditandingi.

Berkahwin

Selepas peristiwa perdebatan itu Tuan Hussein tinggal di Sungai Durian mengajar pelajaran agama dan mengaji Quran kepada penduduk di situ. Semasa itu dia masih lagi bujang. Berita kepakarannya dalam ilmu agama sampai ke pengetahuan Penghulu Wahab, seorang penghulu di Pasir Panjang, Setiawan, yang ingin bermenantukan Tuan Hussein. Justeru itu Penghulu Wahab menugaskan adiknya Haji Arshad menjemput Tuan Hussein ke Pasir Panjang untuk diuji kebolehannya. Haji Arshad dan seorang lagi rakan bernama Elias disuruh menyoal Tuan Hussein berkaitan perkara2 fekah dan beliau berjaya menjawab kesemua soalan yang diajukan dan memuaskan hati mereka.

Setelah Penghulu Wahab berpuashati lalu ditawarkan Tuan Hussein menjadi menantunya untuk dijodohkan dengan anak perempuannya bernama Zaharah melalui Haji Arshad. Tuan Hussein menyerahkan kepada ayah angkatnya Tuan Haji Muhammad Hasan untuk membuat keputusan. Ayah angkatnya bersetuju Tuan Hussein berkahwin dengan Zaharah binti Abdul Wahab.

Tuan Hussein bercita2 tinggal di Perak tapi atas desakan datuknya supaya pulang ke Kedah dan mengajar di Titi Gajah menyebabkannya kembali ke Kedah. Beliau bersama isterinya kembali ke Titi Gajah dan menetap di pondok datuknya sehingga isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka yang kedua. Anak2nya dengan Zaharah semuanya meninggal dunia.

Tuan Hussein berkahwin kali keduanya dengan Khadijah binti Wan Jusoh yang merupakan bonda Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein. (lihat sejarah TG Haji Ahmad yang sudah dipostkan sebelum ini).

Menubuhkan pusat pengajian - sistem pondok

Tuan Hussein menumpukan sepenuh masanya mendidik dan membimbing anak bangsanya ke jalan yang diredhai Allah, menegakkan syiar Islam dan menaburkan kalimah tauhid dengan penuh tekun dan ikhlas. Beliau tidak tinggal tetap di satu2 tempat seperti kebanyakan ulama sezaman dengannya.

Semenjak tahun 1887 hingga 1935M beliau berpindah sebanyak 6 kali bermula dari Titi Gajah ke Alor Ganu pada tahun 1887M. Tiga tahun kemudian 1890M beliau ke Bohol. Di sana paling lama iaitu hampir tiga belas tahun sebelum berpindah ke Bagan Ulu pada tahun 1912M. Setelah tujuh tahun mengajar di Bagan Ulu beliau berpindah ke Selingkoh, Sungai Limau, Yan. Beliau berpindah pula ke Batu 16, Padang Lumat pada tahun 1924H. Akhir sekali beliau berpindah ke Pokok Sena, Seberang Perai pada tahun 1929M.

Jadi, di mana sahaja beliau tinggal Tuan Hussein akan mendirikan pusat pengajian yang menjadi pusat tumpuan pelajar2 dari merata tempat sampai dari Indonesia dan Fathani. Tidak ada rekod bilangan murid dan pondoknya tapi secara kasarnya di Bohol ada 600 orang, Bagan Ulu ada 400 orang, dan bilangan pondok di Selingkoh 50 buah, Padang Lumat 40 buah dan di Pokok Sena ada 100 buah pondok.

Antara penuntut Tuan Hussein yang terkenal:

1 Allahyarham Lebai Zakaria Pahang
2 Allahyarham Tuan Omar (adik Lebai Zakaria Pahang)
3 Allahyarham Lebai Wahab (Perak)
4 Allahyarham Lebai Sulong (Sungai Bengkalis)
5 Allahyarham Haji Turidi (Bagan Datok)
6 Allahyarham Haji Wan Nik
7 Chik Nik dan Wan Din (Fathani)
8 Allahyarham Syeikh Ismail Hamzah (Bekas mufti Perak)
9 Allahyarham Nikmatullah Haji Ahmad Tuan Hussein (anaknya)
10 Allahyarham tuan haji Abdullah Zawawi bin Haji Wan Muhammad (Bekas Qadhi Perak)
11 TG Haji Abdul Rahman Merbok
12 Tuan Haji Ghazali bin Haji Arshad ( Mudir Madrasah Arshadiah Bagan datok Perak) dan ramai lagi.

Tuan Hussein Kedah merupakan tokoh ulama Kedah yang menghasilkan paling banyak kitab. (Sila rujuk posting terdahulu.)

Kitab2nya berkisar permasalahan ilmu tauhid, fekah dan tasawwuf yang ditulis dalam bahasa jawi kecuali dua buah lagi dalam tulisan arab.

Beliau mementingkan kekuatan ekonomi bangsanya. Dalam kitabnya disentuh agar bangsanya berniaga dalam lapangan pertanian dengan mengambil contoh Negara Siam dan India. Padi adalah makanan asasi penduduk di sini dan disarankan penduduk agar diusahakn secara besar2an supaya penghasilan bukan setakat menampung keperluan keluarga tapi sumber ekonomi negara.

Saranannya bukan tiori semata2 tapi dipraktikkanya sendiri dengan berusaha gigih mencari harta untuk memperbaiki ekonominya dari masa ke semasa. Beliau berjaya memiliki beratus2 relong tanah sawah, getah dan kelapa. Sebahagiannya diwakafkan untuk tapak masjid dan perkuburan di Titi Gajah, tapak sekolah agama di Pokok Sena, Seberang Perai dan di Batu 16, Padang Lumat, Gurun, Kedah. Semasa Tuan Hussein meninggal beliau memiliki lebih kurang 150 relong tanah sebagai peninggalan pusaka untuk anak2nya.

Matinya soeorang tokoh ulama Kedah.

Di dalam buku 7 Wali tulisan saudara Abdul Ghani Said Tuan Hussein diiktiraf sebagai salah seorang Wali Melayu. Lain-lain tokoh yang disebut oleh pengarang 7 Wali itu adalah Habib Nuh, Tukku Paloh, Tuan Tulis, Syeikh Said Al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi dan Tuk Kenali. Tuan Hussein berada diurutan terakhir selepas Tok Kenali.

Tuan Hussein jatuh sakit semasa berada di Pokok Sena, Seberang Perai. Tengku Abdullah juga sebagai murid yang selalu menziarahi beliau, menjemputnya supaya kembali ke Kedah. Pada mulanya Tuan Hussein menolak tapi selepas dirayu oleh anaknya Siti Maryam akhirnya beliau bersetuju. Tengku Abdullah membawa Tuan Hussein ke Batu 16, Padang Lumat pada tanggal 13 ZulKaedah 1354H/1935M dan selepas empat hari di situ Tuan Hussein meninggal dunia. Tarikhnya adalah pada 17 ZulKaedah 1354H/1935M.

Jenazahnya dikebumikan di tanah wakafnya sendiri di Titi Gajah setelah rayuan anak dan kaum keluarganya diperkenankan oleh Tengku Mahmud (ayahanda Tengku Andullah) yang pada mulanya mahu supaya Tuan Hussein dikuburkan di Makam DiRaja Langgar.

Usianya ketika itu ialah 74 tahun mengikut takwim hijrah dan 72 tahun mengikut kiraan tahun masihi.

Sekian dahulu dari sumber yang aku petik dari buku Kenangan Cenderamata 50 Tahun Madrasah Khairiyyah Islamiyyah, Pkok sena, Seberang Perai ynag bertulisan jawi itu. Insya Allah aku sambung kembali bila ada kelapangan masa berkaitan tokoh ulama Kedah ini . Tulisan berwarna hijau aku ambil dari sumber lain.

Selasa, 26 Mei 2009

Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein Kedah



Biodata Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein

Alhamdulillah pencarian aku selama in mengenai sejarah Tuan Guru Haji Ahmad Bin Tuan Hussein terhasil dari sokongan yang diberikan oleh Tuan Haji Omar Kampong , Jelatang, Gurun, Kedah. Untuk maklumat ramai, Tuan Haji Omar memiliki sejarah Tuan Hussein dan salasilah keturunannya yang dituliskannya sendiri bermula semasa menjadi Imam Masjd Perwaja, Gurun. Pagi tadi semasa aku mengunjunginya dan bertanyakan berkenaan Tuan Hussein beliau telah menunjukkan tulisannya berupa makalah2 yang berkaitan keturunannya yang bersanad dengan anak Tuan Hussein iaitu Tuan Guru Haji Ahmad yang berkahwin dengan kakak kepada bonda Haji Omar. Lalu dipinjamkannya aku risalah Kenangan Cenderamata 50 tahun Madrasah Al-Khariah Islamiyyah, Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang. Inilah terjemahan aku dari risalah bertulisan jawi itu.

Pengenalan

Nama Tuan Guru yang sebenarnya ialah Nikmatullah Ahmad Bin Tuan Hussein. Nama ini telah diberi oleh ayahandanya Tuan Hussein Nasir waktu ia dilahirkan. Tetapi nama yang tersebut itu tidak digunakan dalam surat-menyurat.


Sebabpun Tuan Guru ini diberikan nama Nikmatullah Ahmad kerana anak2 Tuan Hussein yang pertama hingga kelapan (8) orang semuanya meninggal dunia di dalam lingkungan umur tiga (3) tahun sahaja. Oleh sebab itu Tuan Hussein telah berdoa kepada Allah swt supaya dipanjangkan umur anak2nya yang akan datang. Tidak lama kemudian Tuan Hussein dikurniakan anak yang kesembilan (9) seorang perempuan yang bernama Maryam. Anak ini hidup dengan sempurna.

Selepas kelahiran Maryam, Tuan Hussein berdoa lagi kepada Allah swt supaya anaknya yang mendatang seorang lelaki. Tidalk lama kemudian lahirlah seorang bayi lelaki pada 17 Jun 1906 bersamaan 25 Rabiul Akhir 1324 disebuah kampung bernama Bohol, mukim Titi Gajah, daerah Alor Setar, Kedah. Oleh kerana doanya dimakbulkan Allah swt dinamakannya Nimatullah Ahmad. Selepas kelahiran Tuan Guru ini Tuan Hussein dikurniakan seorang lagi anak lelaki tetapi meninggal dunia kerana tu tidak cukup bulan. Jumlah semuanya sebelas (11) orang.

Pendidikan awal

Haji Ahmad Tuan Hussein diawasi, dijaga, dididik serta diajar oleh bapanya sendiri Tuan Hussein sehingga berumur 6 tahun. Pada tahun 1332H bersamaan 1914M Haji Ahmad telah belajar di sekolah melayu Chowrasta, Pulau Pinang, tinggal di rumah sepupu bapanya di Armenian Street. Sebab2 pun Haji Ahmad dihantar ke Pulai Pinang oleh kerana bapanya telah berpindah ke Bagan Ulu, Pantai Merdeka, Kedah dan tidak ada sekolah Melayu di sekitar itu kecuali di Kota Kuala Muda yang jauhnya 6 batu.

Pendidkan Agama

Setelah 4 tahun di Pulau Pinang dan tamat bersekolah rendah beliau kembali ke Bagan Ulu pada tahun 1330H mempelajari ilmu2 agama dan bahasa Arab kepada bapanya sendiri selama 6 tahun. (Tapak pondok tempat haji Ahmad belajar ialah tapak surau Pantai Merdeka sekarang).

Perpindahan

Setelah 7 tahun di Bagan Ulu keluarga Haji Ahmad berpindah ke Sg. Limau, Yan, Kedah kerana bapanya membeli sawah bendang untuk dikerjakan. Disana Haji Ahmad bekerja sambil menambahkan lagi palajaran agama dan bahasa Arabnya secara sambilan. Tidak lama kemudian selepas menyedari tidak sempurna belajar secara sambilan dia berhasrat menyambung pelajaran di Mekah. Tuan Hussein bersetuju tapi dengan syarat anaknya sendiri mesti mengumpul wang dengan mengerjakan sawah padi selama 3 musim dengan tujuan anaknya merasai sendiri susah payah dan penghasilan sendiri itu adalah berkat. Haji Ahmad bersetuju dan diusahakan sendiri pekerjaan bersawah itu. Hanya setahun sudah mencukupi perbelanjaan dan tambang ke Tanah Suci.


Pada tahun 1923M bersamaan 1342H Haji Ahmad berangkat ke Tanah Suci (tambang pergi balik ke Mekah masa itu cuma RM80) dengan tujuan menyambung pelajaran agama dan bahasa Arab. Masa itu Haji Ahmad berumur 18 tahun. Disana Haji Ahmad belajar selama 4 tahun iaitu mempelajari undang2 Islam 4 mazhab, nahu dan bahasa Arab, Bayan, bidang ma’ani, hadith dan tafsir Antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Umar Badjenid, Sayyid Amin Latif, Syeikh Ahmad Arabi, Syeikh Ammad Sembawa, Syeikh Ibrahim Al-Fathani,, Syeikh Ibrahim Jibri dan Syeikh Ahwidth (ilmu falak saja).

Perkahwinan

Pada tahun 1927M Haji Ahmad kembali ke Malaya dan mula menyampaikan pelajaran2nya di Kedah. Beliau berpindah ke Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai pada tahun 1930 selepas berlaku peristiwa hitam ke atas ayahandanya. Disana Tuan Hussein mendirikan pondok dan sebuah sekolah agama yang kekal hingga sekarang dengan nama Madrasah Khairyyah Islamiyyah. Tidak lama kemudian Tuan Hussein meninggal dunia.

Tuan Guru Haji Ahmad kembali semula ke Mekah menyambung pelajarannya dan selepas itu beliau balik Ke Malaya menyambung mengajar di madrasah ayahnya sebagai mudir di situ.
Sebelum ayahnya meninggal dunia Haji Ahmad telah berkahwin dengan Hajjah Sofiah Binti Haji Ideris pada 6 Rabiul awal 1344H bersamaan 23 Oktober 1925M dan dikuriniakan 16 orang anak dua (2) daripadanya meninggal dunia. Anaknya yang sulong Haji Ali mengambil alih tugas allahyarham Haji Ahmad.

Jawatan2 yang dipegang

1- Tahun 1950 dilantik menjadi ahli majlis mesyuarat penasihat Islam Negeri Pulau Pinang sehingga majlis itu dibubarkan
2- Tahun 1955 menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Parlimen Kawasan Krian, Perak mewakili PAS (Tokoh PAS pertama memenangi pilihanraya dan wakil pembangkang tunggal ketika itu. Tuan Guru Haji Ahmad menewaskan calon Perikatan Haji Sulaiman Palestin).
3- Tahun 1969 telah dilantik menjadi ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
4- Tahun 1965 hingga 1974 menjadi Qadhi Besar Negeri Pulau Pinang.
5- Tahun 1966 menjadi ahli Majlis Penasihat Raja2 Melayu Malaya.
6- Tahun 1974 dianugerahi Pingat Jaksa Pendamai (J.P)

Sahabat2 Persekolahan

1- Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (anak murid Tuan Hussein)
2- Tuan Haji Ghazali Bagan Datok
3- Tuan Haji Endut, Alur Ganu, Alor Setar
4- Tuan Haji Ismail Kelatani
5- Tuan Haji Ismail Hamzah, bekas Mufti Perak
6- Tuan Haji Abdulah Zawawi, Qadhi Kuala Kangsar
7- Tuan Haji Abdul Rahman, Qadhi Kuala Lipis
8- Tuan Haji Ahmad Maher, Mufti Kelantan
9- Tuan Haji Nik Man
10- Tuan Haji Nik Adib
11- Tuan Haji Abdul Rahman Idris
12- Tuan Syeikh Mahmud, Kulim, Kedah
13- Tuan Syeikh Nuh (Pak Noh), Kulim, Kedah

Tuan Guru Haji Ahmad meninggal dunia pada hari Sabtu jam 7.05 malam (maqhrib) di Pokok Sena, Seberang Perai bersamaan 17 Rabiul Awal 1398 dalam usia 71 tahun.


Disusun oleh Tuan Haji Ahmad Khair Taib (Bekas Qadhi Pulau Pinang)


Rujukan:

Percakapan mulut :Tuan Haji Ahmad yang direkod, keterangan mulut Abdullah Haji Ahmad (anaknya), keterangan mulut sahabat2nya.


Tulisan berwarna hijau adalah tambahan yang aku dapat dari sumber lain. Saja untuk ingatan!

Ahad, 24 Mei 2009

Syeikh Daud al-Fathani - antara Khalifah Mursyid Tarekat Syatariyah.



NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh. Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang fiqh diperakui oleh semua ulama di Asia Tenggara yang memahami dan mengkaji sejarah Islam di rantau ini.

Demikian juga ketokohannya dalam bidang usuluddin, tauhid dan ilmu kalam yang kiranya tidak perlu dijelaskan lagi.

Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh penulis sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasauf (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tarekat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang Sheikh Mursyid Kamil Mukammilnya.

Setahu penulis bahawa di Asia Tenggara tercatat dua orang sahaja ulama tokoh besar orde tarekat ini yang terkenal. Mereka ialah Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Murid Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri bernama Sheikh Burhanuddin Ulakan menyebarkan Tarekat Syathariyah itu ke Pariaman, Minangkabau.

Bahawa pada suatu masa dahulu tarekat ini pernah memegang peranan yang terpenting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tarekat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.

Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cerebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Sheikh Abdur Rahman al-Fansuri.

Di mana sahaja Tarekat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke 18 hingga ke abad ini, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.

Salah seorang muridnya mengenai Tarekat ini seumpama Sheikh Zainuddin Sumbawa. Nama sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tarekat Syathariyah di negeri-negeri di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Campa dan Burma. Salasilah tarekat ini di Asia Tenggara ini banyak bersambung dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fahthani.

Daripada Sheikh Daud al-Fathani, dikenal pula ulama besar yang berasal dari Patani sebagai khalifah-khalifah Mursyid Tarekat Syathariyah seperti:-

1- Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani,
2- Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani,
3- Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.

Tata cara berzikir pula yang disalin dari naskhah tulisan tangan Sheikh Daud al-Fathani adalah sebagai berikut:

“Duduk bersila menghadap ke arah kiblat. Kedua tangan diletakkan di atas kedua lutut. Mata dipejamkan. Setelah itu diawali dengan lafaz ‘Laa’ dari bawah susu sebelah kiri, yang terletak hati ‘sanubari’, qasadnya ialah menarikkan pada hati sanubari daripada ‘aghyar dan maa siwallaahi Taala’.

Ditarik terus hingga memanjang bunyi lafaz ‘Laa’ hingga sampai ke bahu sebelah kanan, terus dilemparkan dengan lafaz ‘ilaaha’ dengan meniatkan bahawa melemparkan sekelian yang tersebut ke belakang.

Sesudah itu lalu lafaz ‘illa’ di atas bahunya yang kanan.

Terakhir sekali memukulkan lafaz ‘Allah’ dengan sekeras-kerasnya ke dalam hati.

Demikianlah zikir pada setiap kalinya, bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dengan memuji kepada Allah telah talkinkan zikir Syathariyah ini serta dengan baiahnya dan ‘Labsul Khirqati’ dan kaedah yang tersebut itu oleh faqir ilallahi Taala Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani……”.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fatani berpendapat bahawa pimpinan seorang sheikh Mursyid sangat penting, beliau menulis sebagai berikut :

“Ketahuilah! Kadang-kadang seorang Salik yang belajar itu melihat bahawa tiada sesuatu jalan untuk sampai kepada Allah, dia ragu dengan bermacam-macam amalan yang sangat banyak. Kadang-kadang dia tercengang dengan banyak ilmu pengetahuan yang telah dikuasainya. Apabila murid yang Salik itu mempunyai sheikh yang Arif Billah (Ahlil Hakikat), maka hendaklah dia kembali kepada sheikhnya dan berpegang teguh atas petunjuknya”.

Dalam bahagian lain beliau menulis: “Dan dengan benar orang yang berzikir iaitu benar murid serta sheikhnya sampai ia pada Martabat Siddiqiyah, hendaklah ia mengemukakan apa-apa yang terlintas di hatinya dari perkara yang jahat dan yang baik.

Berkata sebahagian orang yang arif: “Tiada syarat sheikh itu mengetahui dan melihat atas batin murid, tetapi sebahagian dari syarat murid ialah bahawa memberitahu kepada sheikhnya sekelian yang terlintas pada hatinya…”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis selanjutnya: “Bahawa dia (sheikh) adalah penolongnya dari pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. Selamanya berhadap ke hadrat Tuhannya, apabila dikerjakan maka limpah pertolongan Ilahiyah daripada Allah pada hati penghulu kita dan dari hati penghulu kita - Nabi Muhammad s.a.w -kepada sekelian hati pada sheikh (Masyaikh), dari satu kepada satu sampai kepada hati yang melakukan zikir. Bahawa yang demikian itu menjadi pertolongan dan pemberian Allah”.

Perlu diketahui oleh setiap penganut tarekat, terutama Tarekat Syathariyah adalah mengenai adabnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani mengatakan bahawa adab zikir itu terbahagi kepada tiga iaitu:

a. Adab sebelum melakukan zikir.
b. Adab ketika berzikir.
c. Adab setelah berzikir.

Keterangan Sheikh Daud yang diringkaskan oleh penulis daripada kitab Dyiaa’ul Murid mengenai adab-adab berzikir adalah sebagai berikut:

a. Adab sebelum melakukan zikir

1. Taubat nasuha, iaitu taubat daripada sesuatu yang tidak memberi faedah kepada agama yang tersalah dari perkataan, perbuatan dan kehendak yang tidak muafakat dengan syarak.

2. Suci badan daripada hadas-hadas besar dan hadas kecil dan kekotoran pada tubuh dan pakaian. Hendaklah mandi dan mengambil air sembahyang serta membersihkan pakaiannya.

3. Mengharumkan pakaian dengan bau-bauan dan menyucikan mulut dengan bersugi (siwak).

4. Dengan niat menegakkan perintah Allah bukan kerana lainnya kerana mengambil faedah dunia dan keinginan hawa nafsu.

5. Membesarkan Allah. Ketika menyebut Allah terasa benar akan kebesaran dan kehebatan-Nya.

b. Adab ketika berzikir

Adapun adab yang dituntut ketika berzikir itu lima belas perkara, iaitu :
1) Hendaklah dia duduk di tempat yang suci seperti duduk dalam sembahyang bagi orang yang mubtadi, duduk bersila bagi orang yang muntahi.
2) Meletakkan kedua telapak tangan di atas kedua lutut.
3) Menghadap ke kiblat kalau dia berzikir seorang diri, jika berjemaah hendaklah membuat lingkaran keliling.
4) Memakai wangi-wangian di tempat duduknya kerana tempat berzikir adalah tidak sunyi daripada Malaikat dan jin yang beriman.
5) Berkekalan ikhlas iaitu semata-mata kerana perintah Allah bukan kerana lainnya.
6) Benar zikirnya pada zahir dan batin hingga bersamaan antara keduanya. Juga benar hati terhadap sheikhnya pada zahir dan batin.
7) Sedapat-dapatnya hendaklah sekelian yang dimakan dan yang dipakai adalah halal.
8) Duduk di tempat yang kelam iaitu antara terang dan gelap.
9) Memejamkan mata.
10) Menghadirkan makna zikirnya setiap kali mengucapkannya.
11) Dinafikan tiap-tiap yang maujud pada hatinya selain daripada Allah.
12) Diucapkan dengan nyaring (jahar).
13) Dengan kuat yang sempurna. Iaitu ditarikkan dari tengah kepala hingga ke anak jarinya.
14) Terkenang kepada sheikhnya.
15) Menjauhkan lafaz yang lahan yang mengubahkan maknanya.

c. Adab selepas berzikir

Adapun adab kemudian daripada zikir itu lima perkara:

1) Menahan nafas beberapa kali kerana yang demikian itu lebih cepat menerangkan hati dan membukakan hijab (dinding), dan memutuskan khuatir nafas dan syaitan.
2) Jangan meminum air selepas dari berzikir hingga berselang beberapa saat, kerana zikir itu bersifat panas, rindu dan menaikkan kegemaran kepada yang diingat (Allah) inilah tujuan zikir, sedangkan minum itu memadamkan yang demikian itu. Juga kalau minum adalah bertentangan dengan ilmu kedoktoran kerana boleh mengakibatkan penyakit muntah.
3) Diam beberapa ketika sesudah berzikir serta dengan khusyuknya. Perkara ini ulama membahagikannya kepada tiga adab iaitu :
a. Seakan-akan dia berhadap dengan Tuhannya, bahawa Tuhannya melihat kepadanya.
b. Mengheningkan cipta (menumpukan fikiran) seakan-akan sehelai roma pun tidak bergerak seumpama kucing tatkala mengintai tikus.
c. Menafikan sekalian khuatir dan melaksanakan zikir itu di dalam hati.
4)Meniatkan bagi wirid zikir. Mudah-mudahan menghidupkan hati sehingga tercapai cahaya makrifatullah sehingga diperolehinya sekalian sifat kamalat (kesempurnaan) seumpama zuhud dan lain-lain.
5) Mensyukuri akan nikmat-nikmat Allah. Bahawa Allah telah memudahkannya melakukan suruhan-Nya dengan mengucap istighfar daripada taqsir yang hasil daripadanya tiga kali, seperti katanya: “Aku memohon pengampunan dari Allah dari segala taqsirku pada ibadatku sebilang-bilang nafasku”.

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tokoh sufi Tarekat Syathatiyah. Salah satu karya tulisan beliau tentang tersebut dapat dilihat melalui kitab Dhiyaa’ul Murid.

Bahagian terakhir karyanya itu beliau tulis nama-nama kalimah Laa ilahaa illallah. Dalam kitab Jawi yang lain dari kitab Dhiyaa’ul Murid tidak membicarakan hal ini. Oleh itu, penulis salin seringkasnya mudah-mudahan menambah keghairahan memperbanyak bacaan zikir Laa ilaaha illallah (nafi dan isbat) yang sangat dianjurkan oleh ahli warak dan Salihin.

Menurut Sheikh Daud al-Fathani kalimah Laa ilaaha illallah itu mempunyai banyak nama yang disebut dalam kitab suci al-Quran, sebahagiannya penulis nyatakan seperti berikut :

1.Kalimah takwa, dalam surah al-Fath ayat 26. Maksudnya: Dan biasakanlah mereka itu dengan takwa. Takwa tersebut adalah La ilaaha illallah.

2.Kalimah Thaiyibah dalam surah Ibrahim ayat 24. Maksudnya: Allah telah membanding seumpama kalimat yang baik iaitu La ilaaha illallah seperti pohon kayu yang baik asalnya terhunjam pada bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit.

3.Kalimah Sabit dalam surah Ibrahim ayat 27. Maksudnya: Allah telah menetapkan sekalian orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap dalam hidup di dunia dan akhirat iaitu perkataan Laa ilaaha illallah.

Banyak lagi yang ditulis oleh Sheikh Daud al-Fathani dalam tulisannya yang tidak dapat disenaraikan semuanya. Antara lain-lain yang secara ringkasnya adalah berikut :

4.Kalimatul ‘Ulya dalam surah at-Taubah ayat 40.
5.Kalimah Stabat dalam surah Muhammad ayat 19.
6.Kalimah Husna dalam surah Yunus ayat 26.
7.Kalimah ‘Adli dalam surah an-Nahl ayat 90.
8.Kalimah Istiqamah dalam surah Fussilat ayat 30.
9.Kalimah ‘Ahdi dalam surah Maryam ayat 87.
10.Kalimah Maqalid dalam surah Zumar ayat 63.
11.Kalimah Tasydid dalam surah al-Ahzab ayat 70.
12.Kalimah Haq dalam surah az-Zukhruf ayat 86.
13.Kalimah Shiratal Mustaqim dalam surah al-An’am ayat 15.
14.Kalimah Sidqi dalam surah az-Zumar ayat 33.
15.Kalimah Iman dinamakan juga Kalimatul Khulud fi Jannah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud: Barangsiapa yang adalah pada penghabisan perkataannya Laa ilaaha illallah hal keadaannya suci hatinya lagi jernih daripada hatinya, masuk syurga itu bersama-sama orang-orang yang mendapat kemenangan tiada terdahulu seksa.
16.Kalimatus Ishmati wan Najah
Sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Apabila mereka mengatakan Laa ilaaha illallah terpelihara daripadaku darah dan hartanya.”
17.Kalimatu Miftahil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.
18.Kalimatu Stamanil Jannah iaitu Laa ilaaha illallah.
19.Kalimatul Ikhlas iaitu Laa ilaaha illallah.
20.Kalimatu Da’watil Haq iaitu Laa ilaaha illallah.
21.Kalimatu ‘Urwatil wustqa iaitu Laa ilaaha illallah.
22.Dan lain-lain.

Kesimpulannya masih banyak amalan Sheikh Daud al-Fathani yang tidak dapat dibicarakan keseluruhannya, yang tentunya amalan wirid beliau sangat banyak. Di antara yang tidak pernah beliau tinggalkan adalah membaca selawat Dalailaul Khairat dan lain-lain.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.
Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.

Dikutip dari koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.

SHEIKH MUHAMMAD ARSYAD-AL-BANJARI (Moyang Tuan Hussein Kedah)


SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI



Nama Syaikh Muhammad Arsyad menempati hati masyarakat Kalimantan dan Indoensia sebagai ulama besar dan pengembang ilmu pengetahuan dan agama.


Belum ada tokoh yang mengalahkan kepopuleran nama Syeikh Arsyad Al-Banjari.


Karya-karyanya hinga kini tetap dibaca orang di masjid dan disebut-sebut sebagai rujukan. Nama kitabnya Sabilal Muhtadin diabadikan untuk nama Masjid Agung Banjarmasin.

Nama kitabnya yan lain Tuhfatur Raghibin juga diabadikan untuk sebuah masjid yang tak jauh dari makan Syaikh Arsyad. Tak hanya itu, hampir seluruh ulama di Banjarmasin masih memiliki tautan dengannya. Baik sebagai keturunan atau muridnya. Sebut saja nama almarhum K.H. Zaini, yang dikenal dengan nama Guru Ijay itu, adalah keturunan Syaikh Arsyad. Hampir semua ulama di Kalimantan, Sumatera, Jawa, dan Malaysia, pernah menimba ilmu dari syaikh atau dari murid-murid syaikh.

Ulama yang memiliki nama lengkap Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman Al-Banjari itu ternyata memang bukan orang biasa. Ia adalah cicit Sayid Abu Bakar bin Sayid Abdullah Al-’Aidrus bin Sayid Abu Bakar As-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman As-Saqaf bin Sayid Muhammad Maula Dawilah Al-’Aidrus. Silisahnya kemudian sampai pada Sayidina Ali bin Abi Thalib dan Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah. Dengan demikian Syaikh Arsyad masih memiliki darah keturunan Rasulullah.

Abdullah tercatat sebagai pemimpin peperangan melawan Portugis, kemudian ikut melawan Belanda lalu melarikan diri bersama isterinya ke Lok Gabang (Martapura).

Dalam riwayat lain menyebut bahwa apakah Sayid Abu Bakar As-Sakran atau Sayid Abu Bakar bin Sayid `Abdullah Al-’Aidrus yang dikatakan berasal dari Palembang itu kemudian pindah ke Johor, dan lalu pindah ke Brunei Darussalam, Sabah, dan Kepulauan Sulu, yang kemudian memiliki keturunan kalangan sultan di daerah itu. Yang jelas, para sultan itu masih memiliki tali temali hubungan dengan Syaikh Arsyad yang berinduk ke Hadramaut, Yaman. Bapaknya Abdullah merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan (Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah 1700-1734 M).

Bapaknya bukan asal orang Banjar,tetapi datang dari India mengembara untuk menyebarkan Dakwah,Belia seorang ahli seni ukiran kayu. Semasa ibunya hamil,kedua Ibu Bapaknya sering berdo’a agar dapat melahirkan anak yang alim dan zuhud. Setelah lahir,Ibu Bapaknya mendidik dengan penuh kasih sayang setelah mendapat anak sulung yg dinanti-nantikan ini. Beliau dididik dengan dendangan Asmaul-Husna,disamping berdo’a kepada Allah. Setelah itu diberikan pendidikan al-qur’an kepadanya. Kemudian barulah menyusul kelahiran adik-adiknya yaitu ; ’Abidin, Zainal abidin, Nurmein, Nurul Amein.

Muhammad Arsyad lahir di Banjarmasin pada hari Kamis dinihari, pukul 03.00 (waktu sahur), 15 Safar 1122 H atau 17 Maret 1710 M. Sejak kecil, Syaikh Muhammad Arsyad Al-Banjari cergas dan cerdas serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji. Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni Lukis dan seni tulis, sehingga siapa saja yang melihat karyanya akan merasa kagum dan terpukau.

Pada suatu hari, sultan mengadakan kunjungan kekampung-kampung, Pada saat baginda sampai ke kampung lok Gabang, Baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah lagi memukau hati itu. justeru Sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Muhammad Arsyad yang tatkala itu baru berusia 7 tahun.
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mendapat pendidikan penuh di Istana sehingga usia mencapai 30 tahun. Kemudian beliau dikawinkan dengan seorang perempuan yang soleha bernam Tuan Bajut, Hasil perkawinan beliau memperoleh seorang putri yang diberinam Syarifah.

Beliau telah meneruskan pengembaraan ilmunya ke Mekah selama 30 tahun dan Madinah selama 5 tahun. Segala perbelanjaanya ditanggung oleh sultan.

Sahabatnya yang paling penting yang banyak disebut adalah Syeikh `Abdus Shamad Al-Falimbani, Syeikh Abdur Rahman Al-Mashri Al-Batawi dan Syeikh Abdul Wahhab Bugis (yang kemudian menjadi menantu Syaikh).

Guru yang banyak disebut adalah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Al-Kurdi, Syeikh `Athaullah dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim As-Sammani Al-Madani.

Selama belajar di Mekah Syeikh Arsyad tinggal di sebuah rumah di Samiyah yang dibeli oleh Sultan Banjar.

Syeikh Arsyad juga belajar kepada guru-guru Melayu di Arab Saudi, seperti Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok Al-Fathani (Thailand Selatan), Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin Al-Falimbani.

Hampir semua ilmu keislaman yang telah dipelajari di Mekah dan Madinah mempunyai sanad atau silsilah hingga ke pengarangnya. Hal ini cukup jelas seperti yang ditulis oleh Syeikh Yasin bin Isa Al-Fadani (Padang, Sumatera Barat) dalam beberapa buah karya beliau. Selain bukti berupa karya-karyanya, juga dapat diambil jasa-jasanya membuka mata rakyat Banjar atau dunia Melayu.

Rakan-rakan Arsyad selama di Mekah kemudian juga menjadi ulama terkenal.

1- Syeikh `Abdus Shamad Al-Falimbani pengarang Sayrus Salaikin,
2- Syeikh `Abdur Rahman Al-Mashri Al-Batawi (akkek Sayid `Utsman bin Yahya, Mufti Betawi yang terkenal),
3- Syeikh Muhammad Nafis bin Idris Al-Banjari, pengarang kitab Ad-Durrun Nafis,
4- Syeikh Muhammad Shalih bin `Umar As-Samarani (Semarang) yang digelar dengan Imam Ghazali Shaghir (Imam Ghazali Kecil),
5- Syeikh `Abdur Rahman bin `Abdullah bin Ahmad At-Tarmasi (Termas, Jawa Timur),
6- Syeikh Haji Zainuddin bin `Abdur Rahim Al-Fathani (Thailand Selatan), dan banyak lagi.

Penulisan

Tradisi kebanyakan ulama, ketika mereka belajar dan mengajar di Mekah, sekali gus menulis kitab di Mekah juga. Lain halnya dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari, walaupun dipercayai bahawa beliau juga pernah mengajar di Mekah, namun karya yang dihasilkannya ditulis di Banjar sendiri. Lagi pula nampaknya beliau lebih mencurahkan khidmat derma baktinya di tempat kelahirannya sendiri yang seolah-olah tanggungjawab rakyat Banjar terbeban di bahunya.

Ketika mulai pulang ke Banjar, sememangnya beliau sangat sibuk mengajar dan menyusun segala macam bidang yang bersangkut-paut dengan dakwah, pendidikan dan pentadbiran Islam. Walaupun begitu beliau masih sempat menghasilkan beberapa buah karangan.

Karya-karya Syeikh Arsyad banyak ditulis dalam bahasa Arab-Melayu atau Jawi yang memang diperuntukkan untuk bangsanya. Meskipuin ia memiliki kemampuan menulis berbagai kitab dalam bahasa Arab, tapi, ia lebih suka menuliskannya dalam bahasa Jawi. Ia mengajarkan kitab-kitab semacam Ihya Ulumiddin karya Imam Ghazali kepada para muridnya.

Karangannya yang sempat dicatat adalah seperti berikut di bawah ini:

1- Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu’minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M
2- Luqtah al-’Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
3- Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diseselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabiulakhir 1195 H/1780 M
4- Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabiulawal 1196 H/1781 M.
5- Kitab Bab an-Nikah.
6- Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
7- Kanzu al-Ma’rifah
8- Ushul ad-Din
9- Kitab al-Faraid
10- Hasyiyah Fat-h al-Wahhab
11- Mushhaf al-Quran al-Karim
12- Fat-h ar-Rahman
13- Arkanu Ta’lim as-Shibyan
14- Bulugh al-Maram
15- Fi Bayani Qadha’ wa al-Qadar wa al-Waba’
16- Tuhfah al-Ahbab
17- Khuthbah Muthlaqah Pakai Makna. Kitab ini dikumpulkan semula oleh keturunannya, Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, Singapura, tanpa dinyatakan tarikh cetak.

Ada pun karyanya yang pertama, iaitu Tuhfah ar-Raghibin, kitab ini jelas karya Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari bukan karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani.

Tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, “Maka disebut oleh yang empunya karangan Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu’minin bagi `Alim al-Fadhil al-’Allamah Syeikh Muhammad Arsyad.”

Tulisan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, “Maka mengarang Maulana (maksudnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pen:) itu beberapa kitab dengan bahasa Melayu dengan isyarat sultan yang tersebut, seperti Tuhfatur Raghibin …”

Pada halaman lain, “Maka Sultan Tahmidullah Tsani ini, ialah yang disebut oleh orang Penembahan Batu. Dan ialah yang minta karangkan Sabilul Muhtadin lil Mutafaqqihi fi Amrid Din dan Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imani Mu’minin wa Riddatil Murtaddin dan lainnya kepada jaddi (Maksudnya: datukku, pen al-’Alim al-’Allamah al-’Arif Billah asy-Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari.”

Pada cetakan Istanbul, yang kemudian dicetak kembali oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, Singapura tahun 1347 H, iaitu cetakan kedua dinyatakan, “Tuhfatur Raghibin … ta’lif al-’Alim al-’Allamah asy-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.”

Di bawahnya tertulis, “Telah ditashhihkan risalah oleh seorang daripada zuriat muallifnya, iaitu `Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad `Afif mengikut bagi khat muallifnya sendiri …”. Di bawahnya lagi tertulis, “Ini kitab sudah cap dari negeri Istanbul fi Mathba’ah al-Haji Muharram Afandi”.

Terakhir sekali Mahmud bin Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mencetak kitab Tuhfah ar-Raghibin itu disebutnya cetakan yang ketiga, nama Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari tetap dikekalkan sebagai pengarangnya.

Daripada bukti-bukti di atas, terutama yang bersumber daripada Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani dan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq adalah cukup kuat untuk dipegang kerana kedua-duanya ada hubungan dekat dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari itu.

Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani adalah sahabat Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari sedangkan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq pula adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari.

Masih banyak lagi tulisan dan catatan syaikh yang disimpan kalangan muridnya yang kemudian diterbitkan di Istambul (Turki), Mesir, Arab Saudi, Mumbai (Bombai), Singapura, dan kemudian Jakarta Surabaya, dan Cirebon. Di samping itu beliau menulis satu naskah al Quranul Karim tulisan tentang beliau sedikit, yang sampai sekarang masih terpelihara dengan baik.

Keturunan

Zurriyaat (anak dan cucu) beliau banyak sekali yang menjadi ulama besar, pemimpin-pemimpin, yang semuanya teguh menganut Madzhab Syafi’i sebagai yang di wariskan oleh Syeikh Muhammad Arsyad Banjar.

Diantara zurriyat beliau yang kemudian menjadi ulama besar turun temurun adalah :

l . H. Jamaluddin, Mufti, anak kandung, penulis kitab “perukunan Jamaluddin”.
2. H. Yusein, anak kandung, penulis kitab “Hidayatul Mutafakkiriin”.
3. H. Fathimah binti Arsyad, anak kandung, penulis kitab “Perukunan Besar”, tetapi namanya tidak ditulis dalam kitab itu.
4. H. Abu Sa’ud, Qadhi.
5. H. Abu Naim, Qadhi.
6. H. Ahmad, Mufti.
7. H. Syahabuddin, Mufti.
8. H.M. Thaib, Qadhi.
9. H. As’ad, Mufti.
10. H. Jamaluddin
II., Mufti.. H. Abdurrahman Sidiq, Mufti Kerajaan Indragiri Sapat (Riau), pengarang kitab “Risalah amal Ma’rifat”, “Asranus Salah”, “Syair Qiyamat”, “Sejarah Arsyadiyah” dan lain lain.
12. H.M. Thaib bin Mas’ud bin H. Abu Saud, ulama Kedah, Malaysia, pengarang kitab “Miftahul jannah”.
13. H. Thohah Qadhi-Qudhat, penbina Madrasah “Sulamul ‘ulum’, Dalam Pagar Martapura.
14. H.M. Ali Junaedi, Qadhi.
15. Gunr H. Zainal Ilmi.
16. H. Ahmad Zainal Aqli, Imam Tentara.
17. H.M. Nawawi, Mufti.
18- Tuan Hussein Kedah
19. Dan lain-lain banyak lagi.

Semuanya yang tersebut di atas adalah zurriyat-zurrivat Syeikh Arsyad yang menjadi ulama dan sudah berpulang ke rahmatullah.

Sebagai katakan di atas, Syeikh Mubammad Arsyad bin Al Banjari dan sesudah beliau, zurriyat-zariyat beliau adalah penegak-penegak Madzhab Syafi’i dan faham Ahlussunnah wal Jama’ah, khususnya di Kalimantan.

Syaikh Arsyad wafat pada 6 Syawal 1227 H atau 3 Oktober 1812 M. Beliau meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat islam di Nusantara.

Makamnya dianggap keramat dan hingga kini masih diziarahi orang. Haulnya pada Syawwal lalu dihadiri Menteri Agama RI H. Muhamamd Maftuch Basyuni bersama ribuan masyarakat, termasuk dari Malaysia, Sumatera, dan Jawa.

Mudah-mudahan Allah menurunkan rahmat kepada keluarga mereka dan kita semuanya, amin-amin. Al-Fatihah..


Dikutip dari beberapa beberapa laman web/blog. Terima Kasih.

Jumaat, 22 Mei 2009

Qiamullail...bangunlah buat seketika..


Barangsiapa mencari selain Islam sebagai agama, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

[Ali Imran:85]

Islam agama yang cukup mudah. Islam adalah satu cara hidup. Ia mengajar manusia dari seawal-awal celik bijik mata di pagi hari sampailah ke menguap ngantuk terakhir hingga bawa ke lena sedap. Aturan-aturannya kalau kita sanggup mengikuti tidaklah susah mana. Semua orang faham dan mengetahuinya. Tapi adakah kita termasuk di kalangan insan yang melaksanakannya. Ketentuan siang dan malam diatur oleh Allah swt sejak dulu lagi tanpa ada sedikitpun perubahan. Begitu juga syariaat yang telah ditentukan Allah tidak berganjak sedikit pun waima berlakunya perkembangan dari sudut teknologi, topograpi dan sosiologi manusia. Syariat tetap syariaat.

Pembahagian siang dan malam cukup sekata. Di siang hari manusia keluar bekerja di selang seli dengan waktu rehat di dini hari dan petangnya. Malam pula untuk beristirehat di samping beribadah setelah bertungkus lumus menjari rezeki di siang tadi. Banyak ayat-ayat Quran menganjurkan peribadatan di malam hari. Amalan Qiamullail contohnya bukan ciptaan mana-mana tarekat ataupun mana-mana alim ulama. Qiamullail adalah amalan mulia yang dilakukan oleh para-para Nabi dan Rasul terdahulu. Rasulullah menjadikan malam harinya bertaqarrub kepada Allah dari awal hingga ke akhir hayatnya.

Baginda berpesan pada umatnya supaya melakukan Qiamullail seperti sebuah hadith yang diriwayatkan oleh AT-Termizi.

Daripada Abu Umamah r.a Rasullullah bersabda: "Jadikanlah Qiamullail itu amalanmu, kerana yang demikian itu adalah amalan orang2 yang soleh sebelum kamu, dan ia boleh mendekatkan dirimu dengan TuhanMu, dan membersihkan dosa2mu dan menghindarkan kamu darinya".


Dalil yang mengatakan Qiamullail amalan para nabi terdahulu. "Sebaik-baik solat ialah solat Nabi Daud, sebaik-baik puasa ialah puasa Nabi Daud, beliau tidur separuh dari malam dan kemudian bangun untuk sehari dan berbuka sehari" (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Qiamullail boleh dilakukan sepanjang malam atau sebahagian daripadanya. Ibadah2nya adalah seperti solat sunat, berzikir, bertahlil, bertasbih, beristifar, bersolawat, membaca AlQuran dan lain2 amalan rohani yang dianjurkan oleh Islam. Secara langsung ia adalah amalan rohani dan jasmani dalam membantu memperkuatkan akal dan jasad insan muslim itu sendiri.


Kelebihan dan kemuliaan Qimullail telah diabadikan oleh Allah swt dalam AlQuran di Juzuk 29 Surah AlMuzammil.
1- Hai orang yang berselimut (Muhammad),
2- Sembahyanglah pada malam hari, kecuali sedikit (dari padanya),
3- (Yaitu) separuh malam atau kurangkanlah sedikit dari padanya,
4- Atau lebih dari padanya dan bacalah Quran dengan perlahan-lahan (terang huruf2nya),
5-Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepada engkau perkataan yang hebat (Quran),
6- Sesungguhnya beribadat pada malam, lebih tetap dalam hati dan lebih lurus bacaannya,
7- Sesungguhnya bagi engkau pada siang hari ada pekerjaan (urusan) yang banyak.
8- Sebutlah nama TuhanMu dan berbaktilah kepadaNya sebenar2 berbakti.


dan di akhiri dengan ayat 20 " Sesungguhnya TuhanMu mengetahui, bahawa engkau sembahyang malam hari, kurang dari dua pertiga malam dan ada yang seperduanya dan ada pula yang sepertiganya, bersama-sama orang2 yang bersama engkau. Allah menentukan kadar(waktu) malam dan siang. Dia mengetahui, bahawa kamu tidak dapat menghinggakannya(menentukan kadar malam itu), maka Allah menerima taubatmu, sebab itu bacalah apa-apa yang mudah di antara AlQuran. Dia mengetahui, bahawa akan ada di antara kamu orang2 yang sakit dan yang lain berjalan di muka bumi, mencari kurnia (rezeki) Allah dan yang lain berperang di jalan Allah. Sebab itu bacalah apa-apa yang mudah diantaranya (Quran) dan dirikanah sembahyang dan berikanlah zakat dan piutangilah Allah dengan piutang yang baik (berderma). Apa-apa kebaikan yang kamu usahakan untuk dirimu, akan kamu peroleh disisi Allah kebaikan pula dan pahala yang terbesar. Minta ampunlah kamu kepada Allah, sungguh Allah Pengampun lagi Penyayang."

Cuba renungi pada ayat 6-8. Kedinginan dan kesunyian malam adalah waktu yang tepat sang hamba bermunajat dengan Tuhannya. Dikala ramai manusia diulit mimpi, haiwan dan unggas memasuki sarang, malam menyingkapkan tabir keindahan dan keheningannya, bintang serta cakerawala bertaburan di angkasa dan angin malam berhembus menghilangkan udara panas di siang tadi akan bangun insan kerdil bermunajat beriringan sesejuk airmata yang tumpah mengalir menyerahkan dirinya sebulat2 dihadapan Allah, mengadu, memohon, menginsafi ketidakmampuan dirinya yang hina yang dibandingkan dengan kekuatan, kekuasan Alah dan kerajaanNya. Allahu Akbar!!

Dan banyak lagi ayat-ayat AlQuran semuanya menganjurkan Qiamullail.

Surah Ath-Thuur ayat 49: "Dan bertasbihlah kepadaNya pada beberapa saat di malam hari dan di waktu terbenamnya bintang-bintang (di waktu fajar)".

Surah Al-Furqan ayat 63-64: " Dan hamba2 (Allah) Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang2 yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang2 jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata2 selamat. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka".

Surah al-Insan ayat 26: "Dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari".

Surah Adz-Dzariyat ayat 15-18: " Sesungguhnya orang2 yang bertakwa berada di dalam taman2 (syurga) dan di mata2 air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang2 yang berbuat kebaikan; Mereka tidur sedikt di waktu malam; Dan di akhir2 malam mereka memohon ampun kepada Allah."

Surah al-Israa' ayat 78-79: " Dirikanlah solat selepas tergelicir matahari sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah2han TuhanMu mengangkat kamu ke maqam yang terpuji."

Kemudian kita tengok pula hadith2 Nabi yang menganjurkan Qiamullail.
Dari Abu Hurairah r.a Baginda bersabda: " Sebaik2 puasa selepas puasa Ramadhan ialah di awal Muharram. Dan sebaik2 solat selepas solat fardhu ialah solat malam."
(Diriwayatkan oleh Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a Baginda bersabda: " Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat pada larut malam". (Diriwayatkan oleh Ahmad)


Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah pernah bersabda: "Solat di Masjidku ini sebanding dengan 10 ribu solat, solat di Masjidil Haram sebanding dengan 100 ribu solat, solat di medan perang sebanding dengan 2 juta solat. Dan yang paling banyak nilainya dari semua itu ialah 2 rakaat yang dikerjakan oleh seorang hamba Allah pada tengah malam".

Abu Said AlKhudri r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah pernah bersabda: "Allah amat mengasihi 3 orang: seorang yang bangun pada malam hari lalu mendirikan solat, seorang yang membetulkan barisan untuk solat (berjemaah), dan seorang yang membetulkan barisan untuk berperang."

Dan Salman AlFarisi berkata Nabi saw pernah bersabda: "Hendaklah engkau mengerjakan Qiamullail kerana pekerjaan itu merupakan kebiasaan orang2 soleh sebelum kamu, menghampirkan kepada Tuhan kamu, menghapuskan kejahatan dan mencegah berbuat dosa dan mengusir penyakit2 dari tubuh badan."

Di zaman peperangan dahulu musuh2 Islam begitu gentar bila berhadapan dengan tentera Islam sehingga mereka dikenali dengan gelaran "They were horsemen by day and ascetics by nights." atau "Mereka itu (tentera Islam)adalah bagai singa di siang hari dan rahib di malam hari." Fikir2kan apa maksud itu.

Banyak lagi kelebihan2 Qiamullail yang tidak sempat dituliskan. Bagaimanapun cubalah kita, walaupun sibuk mana kita untuk melaksanakan perintah Allah itu semampu mungkin. Tidak mampu setiap malam kita lakukan sekali seminggu. Jika tidak upaya juga cubalahlah sebulan sekali. Boleh tengok bagaimana bercucurannya airmata tanpa disedari...Allahu Akbar. Lakulah, InsyaAllah akan digerakkan hati kita untuk bermunajat padaNya dengan penuh perasaan. Hati kita akan meruntun sayu dan pada ketika itu tahulah betapa kerdil dan hinanya diri kita di sisi Tuhan Yang Agung. Lakulah..bila asyik itu tiba dan diri sudah sebati, geraklah isteri kita bersama untuk berqiamullail. Jumpa lagi.....


Selasa, 19 Mei 2009

Surat terbuka buat Jamil Khair Baharom

Seronok dok gebang apa tu...
Berjuang dah berjuang dah...tapi janganlah tersilap sampan plak Jamil ooi...nasihat aku kat dunia ni aje, sana hang jawab sendiri lar.

Tajuk dan kandungan surat ini aku perolehi dari blog fuaizgeneration.blogspot.com untuk dikongsi bersama insan-insan yang menyayangi perjuangan Islam.

Yang diambil dari sahabat seperjuangan yang belajar di Acheh iaitu Saudara Fadhlullah Ismail.
Sanad surat ini juga bersambung dari Sdr.Basiron Abdul Wahab (wartawan Harakah Pahang).

Baca dan hayatilah buat semua para pejuang yang terdetik di hatinya untuk meng"islah" atau mencuci UMNO dari dalam.

Berikut adalah surat terbuka daripada Al-Fadhil Ust Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man ( Pesuhjaya PAS Negeri Pahang / Ajk Pas Pusat ) yang disampaikan kepada sahabat lamanya dikampus dahulu iaitu Mej. Jenderal. (B) Jamil Khair Baharom yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Menteri Agama ) didalam Kabinet Dato’ Seri Najib Tun Razak . Antaranya......

Per : SURAT TERBUKA BUAT JAMIL KHAIR BAHAROM.

Assalamualaikum wrh wbt.

Kepada sahabat lama Jamil Khair Baharom,

Semoga Allah memberkati mu, walau lama kita tak bersua.

Semoga Allah melimpah belas kasihannya ke atasmu.

Terlebih dahulu Aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredai kezaliman khalifah.

Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan ‘terpaksa’ menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik.

Engkau akan terpaksa meredai kemungkaran yang diizinkan pemerentah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya.

Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka.

Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu. Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman , tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilengkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan diakhrat.

Wassalam.

Sahabat Lama;
Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jumaat, 15 Mei 2009

Tokoh ulama Kedah - Tuan Hussein Kedah

Pagi tadi Jumaat 15hb Mei 2009, aku dijemput menghadiri Majlis Sambutan Jubli Intan (sudah 75 tahun rupanya) Madrasah Khairiyyah Al-Islamiyyah di Pokok Sena, Seberang Perai Utara. Ramai alimin keluaran pondok ini yang hadir DAN mendapat anugerah tokoh dan sebagainya. Tersentuh hati aku bila biodata tokoh-tokoh alimin tersebut dibacakan.
Anakanda Tuan Guru Hessein iaitu Tuan Guru Haji Ahmaf Bin Tuan Hussein telah mengabdikan dirinya di pondok tersebut bagitu juga dengan cucundanya Tuan Haji Ali Bin Haji Ahmad yang belajar di situ mudian menyambung pelajaran di Mekah dan kembali berkhidmat hingga kini di situ. Sesungguhnya kekuatan madrasah itu wujud hingga kini kerana berkat sokongan padu anakanda dan cucunda-cucunda Tuan Hussein ini sendiri. Bak kata pepatah benih yang baik itu kalau dibuang di laut menjadi pulau dan di darat menjadi gunung. Jadi aku postkan artikel ini yang telah lama aku simpan untuk dikongsi bersama berkaiatan ketokohan ulamak besar ini, Tuan Hussein Kedah atau al-Banjari.

Bermulanya Kisah....

Zaman kegemilangan ulama besar dari Patani dan Banjar telah mewarnai dunia keagamaan Islam di Semenanjung Malaya ketika itu. Kehebatan ulama dari Patani seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani tidak dapat dinafikan. Demikian juga keluarga besar ulama Banjar yang dimulai oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (pengarang kitab Sabil al-Muhtadin) dan keturunan beliau. (Gambar 1)


Salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang menyatu darah dengan orang Kedah ialah Tuan Husein Kedah al-Banjari.


Pengenalan dan Sejarah Asal-Usul


Nama lengkap beliau adalah Abu Abdullah Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dilahirkan pada hari Ahad 20 Jumadil Awwal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.

Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah bermula apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su’ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su’ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas’ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah.

Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’udbin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.

Pendidikan

Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. Datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari, seorang ulama besar yang juga menghasilkan beberapa buah karangan.

Pelajaran dilanjutkan di Patani, di Pondok Bendang Daya dan sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang DayaII). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba.

Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga pernah belajar di Pondok Semela. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba.

Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu.

Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar.

Pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, dan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Allahyarham juga sempat belajar dengan ulama nusantara di sana seperti Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga, Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Syeikh Omar Sembawa.

Sewaktu di Mekah Tuan Husein Kedah al-Banjari bersahabat dengan Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang, Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah Melayu lain yang bersama-sama di sana. Tuan Hussein belajar selama empat tahun di Mekah.

Liku-liku Penghidupan Tuan Hussein

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah disamping menyusun semula pondok peninggalan datuknya itu. Pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganung, sebuah perkampungan yang berhampiran kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beliau mengajar di situ selama 3 tahun.

Pada tahun 1900, beliau berpindah Bohor dan membuka pondoknya di sana. pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di Pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan “Tuan Hussain Bohor”. Di Bohor, Tuan Hussein menetap selama 13 tahun. Itulah paling lama beliau menetap di satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan membangunkan pondok.

Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (Pondok itu lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya kerana telah dibangunkan semula oeh Tuan Guru Yahaya Joned)

Tuan Hussein pernah menolak jawatan mufti yang ditawarkan oleh Sultan Kedah sebaik sahaja beliau pulang dari Mekah sekitar tahun 1318H. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein ditawarkan pula jawatan Syeikhul Islam yang merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran agama di negeri Kedah tetapi sekali lagi beliau menolak. Jawatan itu akhirnya disandang oleh Haji Wan Sulaiman. Selain khuatir tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil, Tuan Hussein sebenarnya memilih hidup bebas daripada terikat dengan jawatan rasmi.

Ketokohan Tuan Hussein ialah beliau tidak bertolak ansur berhubung soal hukum agama walaupun sesuatu kebenaran hukum yang dipertahankan menyebabkannya terpaksa bertelingkah dengan pihak berkuasa.

Antara peristiwa yang membuktikan ketegasan Tuan Hussein ialah apabila diperintahkan keluar dari Kedah pada 1921 selepas dituduh oleh pemerintah melanggar Akta Tauliah Mengajar dan Cetak Kitab kerana mengarang sebuah kitab.

Tindakan itu sebenarnya adalah rentetan rasa tidak puas hati Syeikhul Islam Kedah ketika itu terhadap tentangan Tuan Hussein terhadap fatwa Syeikhul Islam yang mengharuskan kutipan faedah dalam urusan pinjam-meminjam wang sebelum itu.

Akibatnya, Tuan Hussein berhijrah ke Pokok Sena, Seberang Perai dan menubuhkan pondok pengajian di sana ( tahun 1934) dan masih kekal sehingga kini dengan nama Madrasah Khairiah Al-Islamiyyah.

Madrasah yang kini masih hidup subur, sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad. Allahyarham Haji Ahmad pernah berkata, “Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya.

Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Beliau bertariqat Syattariah. Satu hal menarik, beliau sering berpindah dalam usaha menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Beliau menubuhkan pusat-pusat pengajian (Pondok) di mana sahaja beliau tinggal. Beliau gemar membawa tongkat ketika berjalan.

Tuan Hussein sangat tegas dalam melaksanakan disiplin pondok. Beliau akan memastikan anak-anak murid dan pengikut-pengikutnya tidak merokok, tidak menyanyi dan tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Beliau memastikan murid-muridnya sembahyang berjemaah dan menghadiri kuliah yang ditetapkan. Malahan beliau menyusun kedudukan pondok-pondok lelaki, perempuan dan pondok-pondok kelamin dengan kemas sekali supaya terhindar daripada pergaulan bebas lelaki perempuan. Semua pelajar perempuan menutup aurat dan yang lelaki memakai kopiah putih. Tindakan terakhirnya dalam memastikan tatatertib pondoknya berjalan baik dengan merotan pelajar-pelajar yang tidak mematuhi peraturannya.

Ketekunannya mengajar dan menulis membuatnya sangat dikasihi oleh umat Islam di mana saja beliau menjejakkan kakinya. Selain itu beliau telah mewakafkan tanah miliknya di beberapa tempat beliau membina pondok pengajian, masjid, perkuburan Muslim dan lain-lain.

Antara penuntut Allahyarham

Penuntut beliau melangkaui dari Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Thailand (Pattani). Jumlah penuntut beliau sangat ramai antara yang terkenal ialah Allahyarham Lebai Zakaria Pahang, Allahyarham Lebai Sulong (Sungai Bangkalis), Che Nik dan Wan Din (Pattani), Allahyarham Che Ismail Hamzah (Bekas Mufti Perak) , Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Merbok (Kedah), Tuan Guru Yahya Joned (Kedah) dan anak beliau sendiri Allahyarhan Tuan Guru Haji Ahmad Hj. Hussin yang pernah menjawat jawatan Qadhi Besar Pulau Pinang.


Penulisan Kitab

Dengan 18 buah kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah. Kitab-kitab karangan beliau adalah:

1. An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.

2. Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.

3. Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330 Hijrah. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.

4. Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356 Hijrah/April 1937 Masihi. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

5. Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.

6. Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah/1927 Masihi. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377 Hijrah/1957 Masihi.

7. Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382 Hijrah/1962 Masihi.

8. Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343 Hijrah. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350 Hijrah. Dicatatkan, ``Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30''.

9. Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.

10. `Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.

11. Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355 Hijrah (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jamadilawal 1393 Hijrah.

12. Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.

13. Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

14. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, diselesaikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350 Hijrah. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360 Hijrah. Kitab ini baru diperoleh di Kampung Pulau Pisang, Kedah, pada 26 Jamadilawal 1425 Hijrah/14 Julai 2004 Masihi.

15. Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jamadilakhir 1352 Hijrah (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jamadilakhir 1360 Hijrah.

16. Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.

17. Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.

18. Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.

19. Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Al-Madrasah Al-Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''

20. Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe- merintahan.


Meninggalnya tokoh agama Kedah

Menurut catatan dari keluarganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Pada mulanya beliau enggan dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah.

Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang. Demikianlah sekelumit kisah ulama seorang ulama tersohor dan berjasa di utara Semenanjung Melayu. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan dalam seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang. Akhirkata, marilah kita hadiahkan al-Fatihah pada ulama besar ini. al-Fatihah.

Dipetik dari tulisan WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH dan sebahagian lagi aku kutip dari beberapa laman web.