Isnin, 4 Mei 2009

Hakikat dan Makrifat (akhir)


Sambungan....

Setelah seseorang mempelajari syariat, serta mengamalkan hukum syariat bersungguh-sungguh dalam setiap aspek kehidupan dia telah dikatakan telah bersyariat dan bertarikat. Maka Allah akan campakkan ke dalam dirinya rasa kehambaan dan rasa kesyukuran ke dalam dirinya. Mereka rasa lazat dalam beribadah dan merasa azab dalam melakukan dosa dan kemungkaran.
Firman Allah : Hanyasanya orang mukin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) sahajalah mereka menyerah diri." Al Anfal : 2.
Inilah yang dinamakan HAKIKAT. Hakikat ialah gerak rasa hati yang Allah campakkan ke dalam hati hambanya yang bersungguh-sungguh bersyariat dan mengamalkan syariat ( bertarikat ). Allah akan hapuskan sifat mazmumah (sifat hati yang terkeji) dalam hatinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah (sifat hati yang terpuji ). Hakikat ini bukan ilmu yang boleh dipelajari, tetapi ianya anugerah Allah ke atas hamba NYA yang bersungguh-sungguh mempelajari, memahami, meyakini ilmu syariat secara ilmiah serta melaksanakan hukum-hakam NYA (bersyariat dan bertarikat).
Bersesuaian dengan firman Allah : "Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami, Kami tunjuki jalan Kami, Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang baik" Al Ankabut : 69.
Maka akan lahirlah manusia yang hatinya terpaut kecintaan kepada Allah. Manusia yang apabila disebut nama Allah, maka akan gementarlah seluruh jasad dan rohaninya. Akan lahirlah manusia yang memenuhi tuntutan konsep ibadah secara global yang mampu melaksanakan ibadah menurut Islam yang merangkumi ibadah Asas, ibadah fadailul a’mal dan ibadah yang umum. Akan lahirlah manusia yang cantik dan anggun akhlaknya sebagaimana memenuhi tuntutan perutusan Rasul ke mukabumi untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Melengkapi seperti sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak".
Dengan ertikata lain, hakikat adalah buah dari syariat dan tarikat. Atau lebih tepat, hakikat adalah buah kepada pengabdian diri kepada Allah. Hilang mazmumah datang mahmudah. Perasan rindu dan asyik semasa beribadah. Ianya adalah anugerah Allah SWT. Maka akan lahir rasa takut kepada Allah, rasa tawakal dengan Allah, rasa harap kepada Allah, dan setiap amal perbuatan, perkataan dan gerak hati mereka sentiasa dipautkan kepada Allah. Setiap kejadian, musibah dan bala, sifat sabar, nikmat dan redha dihubungkaitkan dengan kekuasaan dan keagungan Allah bagi menambah keimanan, kesyukuran dan kehambaan padaNYA.

Disinilah tahap keimanan seseorang telah terserlah. Dia bukan sahaja mengenal Allah dengan akal fikiran melalui ilmu tauhid, tetapi juga secara keyakinan hati. Inilah yang diistilahkan sebagai MAKRIFAT.
Makrifat ialah keyakinan yang memperkuatkan keimanan kepada Allah setelah menempuh syariat dan tarikat, serta mencapai rasa hakikat. Orang yang memiliki makrifat inilah yang dinyatakan sebagai orang yang mengenal Allah dengan mata hati, ainul yakin. Mereka dapat membezakan antara yang haq (benar) dengan yang batil.

Orang yang telah mencapai tingkatan makrifat, Allah ilhamkan jalan yang mampu membawanya ke arah kecemerlangan agar dia dapat menempuhnya dengan mudah.

Mereka tidak perlukan pujian atau sanjungan manusia.Seandainya ada di kalangan manusia yang memuji akan keupayaannya beribadah kepada Allah SWT, pujian itu dianggap suatu ancaman yang bakal merosakkan hubungan antara dia dan Allah. Dia akan segera menghentikan puji-pujian tersebut demi menjaga hatinya dengan Allah.

Orang yang telah beroleh hakikat dan makrifat, tidak sama sekali menceritakan keseronokan bersama Allah kerana ianya adalah rahsia antara orang yang merasai kasih sayang Allah. Ianya juga disebabkan orang yang "asyik " tidak ada masa untuk menceritakan rasa cinta yang dirasai kepada orang lain. Mereka menempuh kelazatan dalam beribadah kerana telah mengenal diri dan mengenal Allah.

Akhiran kalam, adalah diwajibkan atas kita mengenal dengan sebenar-benar mengenal. Sabda Nabi SAW. yang bermaksud; Barangsiapa mengenal (makrifat) dirinya, maka mengenallah ia akan TuhanNya dan barangsiapa mengenal TuhanNya, maka binasalah dirinya.

Sebab itulah dikatakan bahawa: Bermula syariat dengan tiada hakikat itu "hampa" dan hakikat dengan tiada syariat itu "batal".

Kesimpulannya,.....Tarekat, Hakikat dan Makrifat adalah Syariat jua, tiada lainnya.

Wallahu Alam.

Tiada ulasan: