Rabu, 27 Mei 2009

Kisah pengembaran Tuan Hussein Kedah

....sambungan


Tuan Hussein selalu berpesan agar setiap pekerjaan dilakukan dengan bersungguh2, dengan usaha sendiri dan hasil pendapatan itu akan lebih berkat.


Pengembara Tuan Hussein ke Kelantan

Selepas beliau menamatkan pengajian di Fathani Tuan Hussein mengembara ke Kelantan. Di sana beliau tinggal beberapa ketika meneruskan pengajiannya di sekolah2 pondok yang termasyur ketika itu. Tidak dinyatakan nama2 pondok itu.

Pengembaraan ke Terengganu

Dalam tahun 1882M / 1300H Tuan Hussein menumpang tongkang dari Kelantan untuk ke Terengganu. Di sana beliau tinggal menumpang di rumah saudara sepupunya membuat kerja2 kampung mencari perbelanjaan untuk meneruskan pelajarannya. Ketika itu beliau berusia 20 tahun. Beliau tinggal di Terengganu lebih kurang 1 tahun sebelum menumpang tongkang ke Singapura.

Pengembaraan di Singapura

Semasa di Singapura beliau bekerja sebagai buruh kasar dan tidak sempat belajar.

Pengembaraan di Johor dan Melaka.

Pada tahun 1886 Tuan Hussein ke Johor sebelum meneruskan pelajarannya ke Melaka. Dalam perjalanan ke Melaka ketika sampai di Muar tidak ada sampan untuk menyeberangi Sungai Muar. Beliau terpaksa berenang untuk menyeberangi sungai tersebut. Berenang adalah perkara biasa baginya kerana semasa tinggal di kampongnya Titi Gajah rumahnya berhampiran dengan sungai. Di Melaka beliau bekerja kampung seperti menyemai anak2 padi,menyemat nipah untuk dibuat atap dan rokok daun.

Adapun pengembaraan yang dibuat oleh Tuan Hussein dari satu negeri ke satu negeri adalah didorong oleh cita2 menambah ilmu pengetahuan dan keinginannya berguru kepada ulama2 terkenal masa itu. Oleh kerana keinginanya tidak kesampaian dari Melaka beliau menumpang tongkang ke Medan dan terus ke Batubara. Beliau belajar di sana beberapa bulan sahaja dan kembali ke Melaka. Dari Melaka beliau berjalan kaki ke Selangor hingga sampai ke Perak.

Perdebatan Ilmiah semasa di Perak

Semasa di Perak Tuan Hussein tinggal di Sungai Rebana dan mengambil upah menyemat atap. Dia dikenali di situ sebagai Lebai Hussein. Dia kemudian berpindah ke Sungai Durian setelah mendapat jemputan dari Tuan Haji Muhammad Hasan seorang ulama di Hilir Perak. Diambilnya Tuan Hussein sebagai anak angkatnya. Di situ beliau ditugaskan mengajar kanak2 mengaji Quran.

Ketokohannya sebagai ulama muda tersebar apabila berlaku satu peristiwa perdebatan ilmiah di antaranya dengan Tuan Haji Muhammad Yunus seorang alim berasal dari Permatang Sintok, Seberang Perai. Majlis perdebatan itu diadakan bagi menyelesaikan pertelingkahan Tuan Haji Muhammad Yunus dengan beberapa ulama lainnya termasuk Tuan Hussein yang berpunca dari perselisihan pendapat berhubung satu masalah tauhid.

Tuan Husein berjaya menunduk dan mematahkan hujah lawannya yang pada mulanya memperkecilkannya sebagai seorang muda. Dia memaksa pencabarnya kembali ke pangkal jalan dan mengakui kebenaran hujah2nya. Mulai dari saat itu Tuan Hussein mulai dikenali sebagai seorang alim yang mempunyai pengetahuan yang luas serta sukar ditandingi.

Berkahwin

Selepas peristiwa perdebatan itu Tuan Hussein tinggal di Sungai Durian mengajar pelajaran agama dan mengaji Quran kepada penduduk di situ. Semasa itu dia masih lagi bujang. Berita kepakarannya dalam ilmu agama sampai ke pengetahuan Penghulu Wahab, seorang penghulu di Pasir Panjang, Setiawan, yang ingin bermenantukan Tuan Hussein. Justeru itu Penghulu Wahab menugaskan adiknya Haji Arshad menjemput Tuan Hussein ke Pasir Panjang untuk diuji kebolehannya. Haji Arshad dan seorang lagi rakan bernama Elias disuruh menyoal Tuan Hussein berkaitan perkara2 fekah dan beliau berjaya menjawab kesemua soalan yang diajukan dan memuaskan hati mereka.

Setelah Penghulu Wahab berpuashati lalu ditawarkan Tuan Hussein menjadi menantunya untuk dijodohkan dengan anak perempuannya bernama Zaharah melalui Haji Arshad. Tuan Hussein menyerahkan kepada ayah angkatnya Tuan Haji Muhammad Hasan untuk membuat keputusan. Ayah angkatnya bersetuju Tuan Hussein berkahwin dengan Zaharah binti Abdul Wahab.

Tuan Hussein bercita2 tinggal di Perak tapi atas desakan datuknya supaya pulang ke Kedah dan mengajar di Titi Gajah menyebabkannya kembali ke Kedah. Beliau bersama isterinya kembali ke Titi Gajah dan menetap di pondok datuknya sehingga isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka yang kedua. Anak2nya dengan Zaharah semuanya meninggal dunia.

Tuan Hussein berkahwin kali keduanya dengan Khadijah binti Wan Jusoh yang merupakan bonda Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein. (lihat sejarah TG Haji Ahmad yang sudah dipostkan sebelum ini).

Menubuhkan pusat pengajian - sistem pondok

Tuan Hussein menumpukan sepenuh masanya mendidik dan membimbing anak bangsanya ke jalan yang diredhai Allah, menegakkan syiar Islam dan menaburkan kalimah tauhid dengan penuh tekun dan ikhlas. Beliau tidak tinggal tetap di satu2 tempat seperti kebanyakan ulama sezaman dengannya.

Semenjak tahun 1887 hingga 1935M beliau berpindah sebanyak 6 kali bermula dari Titi Gajah ke Alor Ganu pada tahun 1887M. Tiga tahun kemudian 1890M beliau ke Bohol. Di sana paling lama iaitu hampir tiga belas tahun sebelum berpindah ke Bagan Ulu pada tahun 1912M. Setelah tujuh tahun mengajar di Bagan Ulu beliau berpindah ke Selingkoh, Sungai Limau, Yan. Beliau berpindah pula ke Batu 16, Padang Lumat pada tahun 1924H. Akhir sekali beliau berpindah ke Pokok Sena, Seberang Perai pada tahun 1929M.

Jadi, di mana sahaja beliau tinggal Tuan Hussein akan mendirikan pusat pengajian yang menjadi pusat tumpuan pelajar2 dari merata tempat sampai dari Indonesia dan Fathani. Tidak ada rekod bilangan murid dan pondoknya tapi secara kasarnya di Bohol ada 600 orang, Bagan Ulu ada 400 orang, dan bilangan pondok di Selingkoh 50 buah, Padang Lumat 40 buah dan di Pokok Sena ada 100 buah pondok.

Antara penuntut Tuan Hussein yang terkenal:

1 Allahyarham Lebai Zakaria Pahang
2 Allahyarham Tuan Omar (adik Lebai Zakaria Pahang)
3 Allahyarham Lebai Wahab (Perak)
4 Allahyarham Lebai Sulong (Sungai Bengkalis)
5 Allahyarham Haji Turidi (Bagan Datok)
6 Allahyarham Haji Wan Nik
7 Chik Nik dan Wan Din (Fathani)
8 Allahyarham Syeikh Ismail Hamzah (Bekas mufti Perak)
9 Allahyarham Nikmatullah Haji Ahmad Tuan Hussein (anaknya)
10 Allahyarham tuan haji Abdullah Zawawi bin Haji Wan Muhammad (Bekas Qadhi Perak)
11 TG Haji Abdul Rahman Merbok
12 Tuan Haji Ghazali bin Haji Arshad ( Mudir Madrasah Arshadiah Bagan datok Perak) dan ramai lagi.

Tuan Hussein Kedah merupakan tokoh ulama Kedah yang menghasilkan paling banyak kitab. (Sila rujuk posting terdahulu.)

Kitab2nya berkisar permasalahan ilmu tauhid, fekah dan tasawwuf yang ditulis dalam bahasa jawi kecuali dua buah lagi dalam tulisan arab.

Beliau mementingkan kekuatan ekonomi bangsanya. Dalam kitabnya disentuh agar bangsanya berniaga dalam lapangan pertanian dengan mengambil contoh Negara Siam dan India. Padi adalah makanan asasi penduduk di sini dan disarankan penduduk agar diusahakn secara besar2an supaya penghasilan bukan setakat menampung keperluan keluarga tapi sumber ekonomi negara.

Saranannya bukan tiori semata2 tapi dipraktikkanya sendiri dengan berusaha gigih mencari harta untuk memperbaiki ekonominya dari masa ke semasa. Beliau berjaya memiliki beratus2 relong tanah sawah, getah dan kelapa. Sebahagiannya diwakafkan untuk tapak masjid dan perkuburan di Titi Gajah, tapak sekolah agama di Pokok Sena, Seberang Perai dan di Batu 16, Padang Lumat, Gurun, Kedah. Semasa Tuan Hussein meninggal beliau memiliki lebih kurang 150 relong tanah sebagai peninggalan pusaka untuk anak2nya.

Matinya soeorang tokoh ulama Kedah.

Di dalam buku 7 Wali tulisan saudara Abdul Ghani Said Tuan Hussein diiktiraf sebagai salah seorang Wali Melayu. Lain-lain tokoh yang disebut oleh pengarang 7 Wali itu adalah Habib Nuh, Tukku Paloh, Tuan Tulis, Syeikh Said Al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi dan Tuk Kenali. Tuan Hussein berada diurutan terakhir selepas Tok Kenali.

Tuan Hussein jatuh sakit semasa berada di Pokok Sena, Seberang Perai. Tengku Abdullah juga sebagai murid yang selalu menziarahi beliau, menjemputnya supaya kembali ke Kedah. Pada mulanya Tuan Hussein menolak tapi selepas dirayu oleh anaknya Siti Maryam akhirnya beliau bersetuju. Tengku Abdullah membawa Tuan Hussein ke Batu 16, Padang Lumat pada tanggal 13 ZulKaedah 1354H/1935M dan selepas empat hari di situ Tuan Hussein meninggal dunia. Tarikhnya adalah pada 17 ZulKaedah 1354H/1935M.

Jenazahnya dikebumikan di tanah wakafnya sendiri di Titi Gajah setelah rayuan anak dan kaum keluarganya diperkenankan oleh Tengku Mahmud (ayahanda Tengku Andullah) yang pada mulanya mahu supaya Tuan Hussein dikuburkan di Makam DiRaja Langgar.

Usianya ketika itu ialah 74 tahun mengikut takwim hijrah dan 72 tahun mengikut kiraan tahun masihi.

Sekian dahulu dari sumber yang aku petik dari buku Kenangan Cenderamata 50 Tahun Madrasah Khairiyyah Islamiyyah, Pkok sena, Seberang Perai ynag bertulisan jawi itu. Insya Allah aku sambung kembali bila ada kelapangan masa berkaitan tokoh ulama Kedah ini . Tulisan berwarna hijau aku ambil dari sumber lain.

Tiada ulasan: