Allah dalam Al-Quranul Karim telah beberapa kali melontarkan pertanyaan yang bermaksud adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?... tidakkah kamu mahu berfikir?... Ini menunjukkan ilmu pengetahuan adalah penting bagi setiap individu muslim. Tanpa ilmu seseorang itu tidak mungkin dapat melaksanakan amalan. Ilmu tanpa amalan adalah rugi. Manakala amalan tanpa ilmu adalah sia-sia. Dalam Islam menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap muslim / muslimah. Ada hadith baginda Rasulallah menganjurkankan umatnya berusaha menuntut ilmu.
Secara ringkasnya ilmu adalah pengetahuan / informasi / maklumat yang diperolehi samada dari seseorang ataupun institusi ataupun memperolehi sendiri dari pengamatan atau dari pengalaman yang semuanya dengan izin dan ketentuan Allah.
Manusia yang berilmu dalam sesuatu bidang selalunya dipandang mulia oleh manusia lain. Manusia ini menjadi idola ataupun menjadi pemimpin dari kalangan mereka disebabkan bidang ilmu yang dimilikinya. Sekiranya ilmunya digunakan dijalan yang betul dan berlandaskan hukum dan mengabdi diri kepada Allah s.w.t. itulah hakikat ilmu yang dituntut sebenarnya dalam Islam.
Dan sekiranya kalau manusia itu cukup tinggi keilmuannya tapi tidak berlandaskan hukum dan pengabdian diri kepada Allah s.w.t maka jadilah kucar-kacir dalam institusi ilmiah itu sendiri dan natijahnya pada pembentukan masyarakat dan alam ini.
Ilmu yang selari dengan tuntutan islam adalah ilmu yang bermanfaat dalam pembentukan umat berpengetahuan samada duniawi dan ukhrawi. Di sinilah ilmu disertakan dengan tarbiyah keislaman.
Istilah tarbiyah secara umumnya adalah didikan ilmu samada di rumah, sekolah, organisasi dan sebagainya yang di arahkan kepada pembentukan peribadi. Tarbiyah dikaitkan dengan pembinaan peribadi muslim hingga timbul kesedaran Islam yang syumul dan berakhlak. Tarbiyah bukan membekalkan pengetahuan dan pengajian sahaja tapi lebih dari mendidik, membina dan membentuk peribadi muslim yang mempunyai akhlak dan akidah yang mampu bergerak dalam harakah islamiyah.
Contohya ulama-ulama yang disabdakan oleh Rasulallah sebagai pewaris para nabi. Mereka bukan setakat mewarisi ilmu sahaja, bahkan mewarisi tarbiah Rasulullah s.a.w. dengan Al-Bashirah (pandangan mata hati) dan Al-Khibrah (pengalaman).
Dalam tuntutan mencari ilmu kita biasa dengar orang berkata " carilah guru yang mursyid atau carilah guru yang kamil". Ertinyanya kewajipan mencari guru-guru sedemikian adalah satu tuntutan yang mempunyai seribu hikmah. Ilmu adalah ibarat pelita hati. Kalau ilmu yang dituntut tidak berlandaskan ciri-ciri keislaman maka kehancuran bukan saja pada diri tapi pada ummah itu sendiri.
Jadi untuk menggapai ilmu yang bersandarkan ciri-ciri islami maka pelajarilah dari guru yang mursyid / kamil yang pernah mengambil tarbiah dari seorang guru yang juga pernah mengambil tarbiah dari gurunya sebelum ini dan seterusnya sehingga bersambung salasilah tarbiah tersebut kepada Rasulullah s.a.w. melalui para sahabat, para tabi’in, tabi’tabi’en dan para ulama’ yang amilin yang seterusnya.
Dewasa ini, zaman moden era globalisasi... institusi ilmiah bercambah merata cerok. Beralasankan era globalisasi, tenaga pengajar @ ulama' diimpot tanpa mengambilkira tahap manhaj tarbiyah mereka. Ini menyebabkan, ramai dari kalangan murid hanya mewarisi ilmu dari mereka sahaja, tetapi tidak mewarisi akhlak mereka kerana tidak pernah ditarbiah oleh mereka, seterusnya melahirkan generasi ulama’ baru yang ketandusan tarbiah dan akhlak.
Di Malaysia kini terdapat universiti, institusi pengajian, kolej-kolej dan madrasah-madrasah yang dibuka secara meluas, dan menyebabkan ramai di kalangan penuntut ilmu masuk berpusu-pusu ke pusat-pusat pengajian tersebut. Dari zahirnya, ia merupakan suatu perkembangan positif dalam memperbanyakkan ulama' pelapis, namun dari suatu sudut yang lain juga, lambakkan penuntut ilmu di pusat-pusat ilmiah itu menyebabkan institusi pengajaran Islam tersebut hanya mewariskan ilmu pengetahuan tanpa mewariskan tarbiah kepada panuntut-penuntut itu. Ini menyebabkan lahirnya generasi ulama’ baru yang mana, sebahagian dari mereka tidak ditarbiah dengan sempurna. Dan ini juga menyebabkan, mereka mewarisi ilmu tanpa amal, hasil ketandusan tarbiah dalam intisitusi pengajian Islam itu sendiri.
Walhasil dari itu wujudlah generasi ulama' baru, pakar dalam bidang ilmuan tapi jauh dari penyucian jiwa. Ulama’ sedemikian dikenali dengan istilah ulama’ dunia atau ulama’ suuk menurut Imam Al-Ghazali r.a. Masalah yang dihadapi umat Islam sekarang tidak disentuh mereka atau tidak pun diambil peduli. Cukuplah hanya menanti bayaran upah di hujung bulan, berkereta besar, tinggal di kediaman mewah dan menghadiri majlis-majlis keraian hanya untuk membaca doa. Ataupun sibuk dengan kerja-kerja mesyuarat, kursus, pembentangan kertas-kerja tapi kerja buat...habuk saja. Buat abeh beras aje! Mereka tak ubah seperti pak turut atau pak angguk. Fikiran dan jiwa mereka kacau tanpa disadari. Sakit dalaman seperti takabbut’ ujub’ dan sayangkan dunia terserlah. Jangkitan ini akan menulari masyarakat yang pasti akan terkesan sama bahkan lebih parah lagi sekiranya masyarakat itu tidak berilmu dan tidak pernah menerima tarbiyah islami.
Akhiran kalam renunglah bersama dan fikirkan bagaimana kita hendak acuankan anak-anak kita supaya generasi mendatang berilmu dan ditarbiyah dengan roh dan semangat islami. Allahu Akbar!
Sebahgian artikel aku copy n paste dari laman Ust. Raja Ahmad Mukhlis...izinkan dan terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan