ARKIB : 19/01/2003
BISIK-BISIK MINGGUAN -- AWANG SELAMAT
AWANG menerima satu tulisan yang melukakan hati Awang sebagai seorang wartawan yang sudah 25 tahun mengabdikan diri kepada Utusan Melayu. Ia ditulis oleh Saudara Tajuddin Saman.
Sungguhpun tulisan itu berbentuk sebuah rencana, Awang mengambil keputusan menyiarkannya dalam ruangan Awang sendiri kerana kandungan begitu menyentuh perasaan.
Inilah tulisan itu yang dipendekkan sedikit.
PADA 1 Januari 2003, akhbar Utusan Melayu, satu-satunya akhbar bertulisan jawi yang bersalut 1001 sejarah perjuangan bangsanya boleh dikatakan memasuki era `kelumpuhan' yang serius dan mungkin akan terus berkubur tanpa nisan jika tiada sebarang usaha untuk menyelamatkannya dilakukan.
Inilah realiti pengakhiran sebuah akhbar Melayu yang dalam sejarahnya pernah menjadi pembakar semangat bangsa untuk bangun menumbangkan gagasan Malayan Union yang ditaja oleh British dengan tujuan memperhambakan orang Melayu di tanah air mereka sendiri.
Takdirnya Malayan Union itu tidak tumbang pada 1946, takdirnya Malayan Union itu terus tegak sampai sekarang, fikirkanlah apa akan terjadi kepada Melayu sekarang?
Takdirnya begitu, Melayu sekarang tentunya akan menjadi bangsa hamba di tanah airnya sendiri. Takdirnya begitu, Melayu sekarang tidak mimpi melihat kewujudan Malaysia merdeka yang mampu muncul sebagai sebuah negara membangun di dunia. Takdirnya begitu, tidak akan terdengar lagi suara takbir dan bacaan al-Quran di menara ribuan masjid di seluruh negara dan takdirnya begitu, anak-anak kita sekarang tidak akan fasih lagi berbahasa Melayu, sebaliknya mereka pasti menjadi `mat saleh celup.'
Kalau begitu jadinya, di mana maruah kita sebagai suatu bangsa? Kalau begitu jadinya, di mana letak duduknya Islam di tanah tumpah darah kita ini? Kalau begitu jadinya, pupuslah kata-kata Hang Tuah ``Takkan Melayu hilang di dunia.''
Kita bersyukur kepada Allah swt kerana menganugerahkan kepada kita para pejuang bangsa sekitar 1946 dan sebelumnya. Mereka amat gigih dan sama-sama berjuang untuk melahirkan Utusan Melayu yang menjadi pencetus semangat perjuangan bangsa.
Berkat semangat yang dibakar melalui tulisan jawi yang dicetak pada kertas akhbar yang bernama Utusan Melayu itu maka tumbanglah Malayan Union - gagasan yang akan melenyapkan hak serta kedaulatan Melayu di tanah air mereka sendiri. Dan berkat perjuangan itu maka lahirlah UMNO yang secara langsung berjuang mengangkat martabat Melayu serta Islam ke atas singgahsana kemerdekaan sejati.
Sejarah membuktikan kelahiran Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bukan saja mampu membangkitkan semangat nasionalisme hingga dapat menumbangkan Malayan Union, tetapi ia juga mampu merintis jalan kemerdekaan negara.
Demikianlah wajah asal Utusan Melayu. Peranan akhbar bertulisan jawi itu terlalu besar kepada agama, bangsa dan tanah airnya. Seorang daripada pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak pernah mengatakan bahawa ``Utusan dilahirkan dengan air mata dan darah...'' Demikianlah saat awal perjuangan Utusan Melayu. Ia sarat dengan gegaran perjuangan untuk membebaskan agama, bangsa dan tanah air daripada belenggu penjajahan. Bagaimanapun menjelang usia tuanya Utusan Melayu bagaikan tersisih dan tidak lagi dipedulikan.
Kita sedar masa berlalu dan zaman berubah. Tiada yang kekal di dunia fana ini.
Dalam konteks ini, Utusan Melayu itu saya kira adalah suatu khazanah bangsa yang perlu terus dihidupkan. Jika waktu bangsa Melayu masih papa kedana, miskin, melarat serta dijajah tubuh badan serta mindanya, bapa-bapa pejuang bangsa kita masih boleh dan sanggup melahirkan Utusan Melayu untuk memperjuangkan kedaulatan bangsanya, maka takkan sekarang, waktu kita sudah lebih 45 tahun merdeka dan mencapai tahap kemajuan yang dikagumi oleh dunia, termasuk mampu membina menara kembar tertinggi di dunia, takkan kita sekarang tidak boleh berusaha menyelamatkan sebuah akhbar bertulisan jawi yang terlalu banyak jasanya?
Di manakah maruah kita sebagai suatu bangsa, bangsa yang sudah merdeka dan maju serta membangun sekiranya kita tidak langsung prihatin terhadap sebuah akhbar yang pernah meniupkan roh perjuangan ke dalam nadi dan diri bangsa ini?
Saya kira tidak ada seorang pun Melayu yang tidak sanggup tampil untuk menyelamatkan Utusan Melayu sekiranya mereka tahu dan sedar bahawa Utusan Melayulah akhbar yang pernah membina keris perjuangan dalam diri bangsanya untuk bangun menentang dan mengusir penjajah dari bumi ini.
Bangsa ini amat terhutang budi kepada Utusan Melayu. Apabila kita tersedar tentang harga budi itu, sanggupkah kita melihat Utusan Melayu lenyap begitu saja tanpa sebarang pembelaan oleh anak cucu para pejuang yang terdahulu?
Sekiranya Utusan Melayu benar-benar berkubur, saya percaya kalangan pejuang bangsa khususnya, akan berasa terlalu sayu kerana kehilangan sebuah akhbar yang tepu dengan sejarah perjuangan bangsanya. Mereka juga mungkin berasa kesal kerana anak cucu mereka sekarang tidak ada lagi sensitiviti terhadap sejarah perjuangan silam yang membuka arah kepada kehidupan baru yang lebih dinamik.
Selain itu mereka tentu terkilan kerana anak cucu mereka kini berjiwa terlalu rapuh hingga tidak mampu lagi mempertahankan suatu warisan yang amat bernilai. Pada realitinya kita akur bahawa persoalan modal, wang dan ekonomi menjadi percaturan untuk menyambung nafas sebuah akhbar pada zaman moden ini.
Namun, wang bukanlah segala-galanya dalam hidup ini. Pada waktu dan saat yang tertentu, semangat dan perjuangan diperlukan untuk menyambung survival sebuah bangsa.
AWANG setuju dengan semua yang diperkatakan oleh Saudara Tajuddin Saman, kecuali satu. Beliau yakin tidak ada seorang pun Melayu yang tidak sanggup tampil untuk menyelamatkan Utusan Melayu sekiranya mereka tahu peranan akhbar ini.
Di sini beliau silap. Pengurusan Utusan Melayu telah melakukan bermacam-macam usaha untuk menghidupkan akhbar ini sebagai akhbar harian termasuk meminta sokongan Melayu daripada orang seperti Hamid Othman (Tan Sri), kepimpinan Pusat Islam serta orang politik.
Pencinta-pencinta tulisan jawi juga berusaha dengan mengadakan bengkel dan sebagainya untuk mencetuskan minat terhadap tulisan jawi. Tapi semuanya berakhir begitu sahaja. Pernah diminta supaya wakil-wakil rakyat membeli dan mengedarkannya kepada murid sekolah di kawasan masing-masing. Pun tidak ke mana.
Kini, apabila Utusan Melayu terpaksa dijadikan akhbar mingguan dan menghadapi kemungkinan ditutup terus, terdengarlah suara-suara yang bertanya kenapa dan mengapa.
Ahad lalu, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain menulis tentang nasib Utusan Melayu di bawah tajuk Melayu Matikan Utusan Melayu. Beliau mengakhiri tulisannya dengan menyatakan: ``Ironiknya, ketika akhbar harian jawi yang sinonim dengan Melayu diketepikan oleh orang Melayu, masyarakat Cina dengan bangga dan gembira menyambut kelahiran sebuah lagi akhbar harian Cina, Oriental Daily News. Akhbar ini bernasib baik kerana mendapat sokongan orang-orang Cina.''
Awang mahu bertanya, sanggupkah orang Melayu tampil menghidupkan semula Utusan Melayu dengan menyokongnya sebagaimana orang Cina menyokong akhbar Cina?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan