Sabda Rasulullah SAW, : Barangsiapa melihat wajah orang alim (jasmani dan rohani) satu kali, dan dia bergembira, senang, menghayati dengan penglihatan itu, maka Allah Ta’ala akan menjadikan dengan melihatnya itu, malaikat-malaikat yang memintakan ampun untuknya sampai hari kiamat. (Kitab Lubabul Hadis : 8).
Amin..Amin..Amin..Ya Rabbal Alamin..moga Allah ampunkan dosa-dosa aku yang terdahulu, sekarang samada yang tersembunyi maupun yang nyata dan akan datang. Allahu Akhbar. Mohon aku yang fakir ini dimasukkan bersama golongan tersebut di atas.
Pada hari Sabtu lalu 6 Jun 2009, aku dan beberapa orang sahabat telah berpergian ke Perak untuk bertemu seorang alimin yang dikhabarkan pernah menjadi murid kepada Allahyarham Tuan Hussein Kedah. Kisah beliau pernah menjadi murid Tuan Hussein ini, dikhabarkan oleh seorang kenalan baru aku bernama Chegu Mohd. Nizam dari Jeniang, Kedah. Nama alimin ini seperti yang diceritakan pada aku ialah Tuan Din, yang tinggal di Ekor Bota, Bota Kiri, Perak. Bermula dari saat itu hati aku melonjak2 untuk ketemu dengan Tuan Din seperti yang ceritakan itu.
Kami bertolak dari Sungai Petani pukul 4 petang melalui lebuhraya dan menyusur keluar di Kuala Kangsar. Destinasi kami seterusnya mengambil jalan ke Manong. Kami bersolat asar di satu masjid lebih kurang 12km dari Pekan Manong. Kami tiba di Bota Kiri pada waktu maghrib dan bersolat di Masjid Kg. Pisang. Seorang dari sahabat kami mempunyai seorang abang (angkat) di sini jadi kami menumpang sebentar di rumahnya. Beliau juga mengenali Tuan Din ini kerana Tuan Din selalu mengajar di Masjid Kg. Pisang ini dan berjanji akan membawa kami ke rumah alimin tersebut. Selepas bersolat Isya kami dijamu makan malam. Seperti biasalah adat tetamu bertandang, tuan murah bermurah hati menjamu dengan menyediakan lauk pauk yang bermacam jenis dan satenya. Terima kasih Tuan Haji Mokhtar, selaku tuan rumah yang cukup peramah dan banyak menolong kami larut petang dan malam itu.
Kami bertolak keluar pukul 10.30 malam kerana dimaklumkan bahawa Tuan Din selalunya berada di rumah selepas mengajar di masjid2 sekitar Bota pada waktu begitu. Jadi berlakulah pertemuan kami dengan Tuan Din ini di rumah anak perempuannya.
Untuk makluman, nama sebenar Tuan Din ialah Tuan Haji Kamaruddin Bin Kulop Ahmad. Walaupun umurnya 100 tahun lebih beberapa bulan sedikit alhamdulillah kesihatannya cukup sihat. Dengar umur yang sedemikian Tuan Guru ini sanggup melebarkan ilmu agamanya pada masyarakat setempat dengan kuliah2 yang penuh. Dikhabarkan beliau masih lagi boleh menunggang motosikal ke masjid2 untuk mengajar dan di samping ada seorang anak muridnya bernama Haji Mokhtar (bukan yang tuan rumah tadi)yang kekadang menolongnya ke tempat mengajar dengan berkereta.
Tuan Guru ini mempunyai seorang anak lelaki yang juga menjadi imam di masjid berdekatan. Wajahnya tak tumpah seperti ayahnya bernama Tuan Haji Abi Mardian bin Haji Kamaruddin berumur 72 tahun. Lain2 anak beliau tidaklah kami pasti semuanya.
Dalam pertemuan yang singkat ( hampir 1 jam) dan lewat malam itu Tuan Guru ini banyak memperkatakan mengenai guru2nya seperti Tuan Guru Haji Abdul Hamid Shamsudin (kalau tak silap aku) dan beberapa lagi. Setiap tahun 2 kali Tuan Guru akan menziarahi ke kuboran gurunya Tuan Hussein. Di bulan Ramadhan setiap 3 hari beliau akan khatam Quran dan sudah 10 kali menunaikan haji dan 4 darinya dengan menaiki kapal air. Dikhabarkan beliau mula mengajar pada 1 jun 1927 dengan gaji RM 8 sebulan.
Begitu bersemangat dan seronok di awal perjumpaan yang tidak dapat digambarkan tapi tersentuh kesedihan di jiwa aku bila akan berpisah dengan Tuan Guru ini pada malam itu. Hingga kini masih terbayang2 wajahnya yang cukup ceria dan punyai 'roh' seorang alimin yang diberkati dan dirahmati Allah. Moga aku berkesempatan menemuinya lagi. Insya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan