Terkadang kita melihat seperti ada perbezaan di antara dua faham aliran ini iaitu ahli-ahli Fiqh dan ahli-ahli tasawuf. Ahli-ahli Fiqh biasanya berjalan di atas jalannya sendiri, manakala ahli-ahli tasawwuf berjalan menurut keyakinan sendiri sehingga akhirnya terjadi jurang yang semakin lama semakin jauh terpisah satu sama lain. Lantaran itu berlaku tuduh-menuduh antara golongan yang menamakan dirinya ahli Syariat dengan golongan yang ingin dinamakan ahli Hakikat. Sesungguhnya, jika satu sama lain dekat-mendekati dan kenal mengenali dalam mempertahankan pendirian dalam garis-garis Islam maka biasanya perselisihan itu ibarat asap ditiup angin.
Perselisihan ini berlaku terus-menerus dari dulu hingga sekarang. Dr. Zaki Mubarak memetik dari kitab "Nafkhut Tib" berkata setengah orang Sufi ketika memberi keterangan kepada muridnya " Jika kamu menghendaki syurga, sebaiknya kamu pergi belajar kepada ahli Fiqh Ibn Madiyan, tetapi jika kamu menghendaki Tuhan yang empunya syurga itu, marilah belajar kepadaku".
Ucapan Sufi ini seolah-olah menunjukkan kepada kita bahawa jalan ke syurga itu ialah ajaran syariaat, sedangkan jalan kepada Allah dicapai dengan tasawwuf.
Pada suatu ketika orang bertanya kepada ulama Sufi, berapa banyak zakat yang harus dikeluarkan untuk dua ratus dirham. Ulama Sufi itu menjawab:"Untuk orang awam menurut hukum syara' diwajibkan lima dirham. Tetapi kami menganggap wajib atas diri kami mengeluarkan semuanya".
Jadi, jelaslah ahli Tasawwuf berhukum dengan berpandukan syariat juga tanpa membelakanginya jua. Bagi mereka ilmu fiqh hanyalah pengajaran umum untuk manusia biasa.Tetapi pokok pertentangan pendapat itu, iaitu ahli syariat (dikenali juga sebagai ahli lahir) menganggap syariat itu peraturan2 yang sudah tetap, terbatas dan disusun rapi yang memudahkan untuk menyelesaikan perselisihan2 antara manusia dengan manusia. Sebaliknya ahli hakikat (juga dikenali ahli ilmu batin) menganggap tasawwuf itu satu2nya alat mengemudikan didikan jiwa dan memberi tuntunan kepada hati, tidak usah tersusun rapi, tetapi barangsiapa yang tidak mengetahuinya tidak pula dapat menyempurnakan ilmu syariat itu.
Mana orang Sufi yang tidak terlepas dari serangan2 hebat kalangan orang Salaf.? Ibnu Taimiyyah contohnya menyerang Al-Ghazali, Muhyiddin Ibn Arabi , Umar Ibnu Al-Faridh dan umumnyalah orang-orang Sufi yang menurutnya membuat bida'ah baru dalam Islam. Habis kitab Al-Ghazali seperti kitab Ihya Ulumuddin dan kitab Al-Munqiz Minaz Zalal diganyang oleh Syeikul Islam tersebut.
Dari sudut filsafat, Ibn Taimiyyah menyerang Ibn Sina dan Ibn Sab'in yang pada pendapatnya memasukkan filsafat Yunani ke dalam ajaran Islam. Tentangan2 Ibnu Taimiyyah mengakibatkannya terpelosok ke penjara. Dan meninggal dunia ketika sedang membaca al-Quran. Dikatakan pada satu ketika sewaktu naza' terpancul dari mulutnya "Ana Al-Haq" kerana kesufiannya dan telah fana dalam ketuhanan, sehingga hanya Tuhanlah yang ada, hanya Tuhanlah yang benar, yang lain bayangan semata-mata.
Ini tidak termasuk lagi serangan2 oleh Ibnu Jauzi dalam kitabnya Talbis Iblis. Beliau mengejek pendapat orang Sufi yang membezakan antara syariat dan hakikat. Ini tulisan beliau dalam kitabnya Talbis Iblis:"Ini sangat hina, kerana syariat itu diadakan oleh kebenaran untuk memperbaiki kelakuan manusia, maka oleh kerana itu, apa yang disebut hakikat sesudah syariat itu, yang dianggap terdapat di dalam jiwa manusia, tidak lain daripada ciptaan iblis dan syaitan….".
Demikian juga dengan Ibn Qayyim sewaktu mempertahankan ahli fiqh dan ahli Hadis tetap menyerang orang-orang Sufi. Akhirnya beliau sendiri menulis kitab tasawwuf berjudul "Madarijus Salikin", syarah Al-Marawi.
Orang-orang Sufi berkeyakianan bahawa mereka dijalan warasatul anbiya, meneruskan usaha Nabi-Nabi dan menamakan dirinya ikhwanus safa, keluarga yang suci, wali2 Allah dan hambaNya yang salih. Tentangan2 terhadap mereka adalah tidak benar. Mereka beryakinan baik dalam pertemuan maupun dalam khalwatnya, tidak mengingat dan menyebut selain daripada Allah, tidak berfikir melainkan tentang penciptaanNya, mereka tidak melihat dalam segala kejadian, melainkan perbaikan Tuhan, kebesaran nikmatNya dan keindahan pimpinanNya, mereka tidak beramal kecuali untuk Allah, tidak menyembah selain kecuali Dia, tidak mengingini kecuali Tuhan, dan tidak menempatkan sesuatu harapan pun kecuali pada Tuhan itu. yang demikian itu mereka melihat yang hak dalam segala ciptaan Tuhan, menyaksikan dalam segala halnya, tidak mendengar kecuali yang datang daripadaNya, tidak melihat kecuali kepadaNya, pendeknya pada hakikatnya tidak kelihatan selain daripadaNya.
Dan oleh kerana itu mereka memutuskan perhubungannya dengan segala makhluk dan menuju seluruh kesempurnaannya kepada pencipta atau khalik dari makhluk itu, kepada Tuhan yang dipertuhankan oleh segala yang ada.
Kepada orang2 yang semacam itu hidupnya, Rasulullah pernah memujinya:"Selalu berada ditengah2 umat ini 40 orang lelaki yang soleh, yang menganut agama Nabi Ibrahim." Merekalah yang disebut dalam Al-Qura Ulil Albab, Ulin Nahyi dan Ulil Absar', para pemikir, ahli pencegah kejahatan dan kemaksiatan, ahli penimbang yang bijaksana, merekalah itu walai-wali Allah dan kecintaanNya. Terhadap mereka itu Nabi memberi peringatan kepada Iblis:"Kamu tidak dapat mengalahkan hamba-hambaku itu". Dan orang-orang seperti itu Nabi pernah membangkitkan kepada Abu Hurairah: "Wahai ,Abu Hurairah!Ikutilah jalan, tarikat satu golongan, yang tidak pernah gentar ditengah2 manusia yang berteriak-teriak minta dilepaskan dari api neraka". Tanya Abu Hurairah:"Siapakah gerangan orang-orang itu, ya Rasulullah?" Terangkanlah padaku sifat-sifatnya agar dapat kukenali! Jawab Rasulullah:"Itulah golongan daripada Umatku yang pada hari kemudian berkumpul pada tempat Nabi-Nabi, sehingga setiap mata yang melihat kepadanya menyangka mereka itu Nabi-Nabi sehingga akulah yang menerangkannya dan memperkenalkannya. Maka kuserukan:Umatku!Umatku! Dengan panggilanku itu semua makhluk pun tahulah, bahawa mereka itu bukan Nabi, tapi umat-umatku yang biasa. Mereka berjalan cepat laksana kilat dan angin, silau mata yang melihatnya oleh cahaya mereka".
Maka berkatalah Abu Hurairah:"Ya, Rasulullah! Suruhlah aku berbuat amal yang sama dengan mereka, agar dapat aku bersatu dengan mereka itu". Ujar Rasulullah:"Wahai, Abu Hurairah! Orang-orang itu telah menempuh jalan, tarekat, yang sukar, oleh kerana itu dapatlah mereka mencapai darjat Nabi-Nabi, mereka itu telah dapat menderita lapar sesudah Tuhan mengenyangkannya, mereka itu telah mengalami bertelanjang sesudah Tuhan memberikan pakaian penutup badannya, demikian itu kerana pengharapannya yang kuat kepada balasan Tuhan, mereka itu telah pernah meninggalkan segala yang halal kerana takut kepada perhitungan Tuhan, mereka itu hanya berhubungan dengan dunia kerana untuk keperluan badannya yang kasar, tetapi hatinya tidak sedikit pun terletak kepada dunia itu. Wahai! Semua Nabi-nabi dan Malaikat hairan melihat mereka itu dalam ketaatannya kepada Tuhannya. Maka berbahgialah mereka itu! Aku pun mengingini,agar Allah dapat mengumpulkan daku dengan mereka itu…." Maka menangislah Rasululah kerena kecintaannya hendak melihat orang-orang yang salih itu. (Risalah Ikhwanus Safa 1 : 299)
Bermacam cemuhan dan sindiran dilontarkan kepada orang-orang Sufi samada dari segi berpakaian, amalan dan kehidupan yang berunsurkan faham Sufi Masehi, Yunani kuno, Yahudi, Nasrani dan juga Hindu. Peranan mereka dalam kehidupan Islam seringkali tidak difahami dan tidak diakui oleh sebahagian umat Islam sendiri. Bahkan ada yang memperlecehkan orang-orang Sufi melalui ajaran Tasauf, dengan menuduhnya sebagai ajaran yang kaya dengan mistik, dan menganggapnya sebagai penyebab pengangguran, kemalasan dan kejumudan, serta dikatakan tasauf sebagai suatu tindakan melarikan diri dari kenyataan hidup yang sebenar.
Bagaimana pula dengan penghidupan Rasulullah sendiri? Bagaimana dengan sahabat-sahabat baginda yang empat itu? Adakah kezuhudan mereka itu juga diambil dari kehidupan yang berunsurkan faham Sufi Masehi, Yunani kuno, Yahudi, Nasrani dan juga Hindu.?
Sebenarnya kehidupan Nabi saw adalah menempuh jalan kesufiyah. Baginda hidup zahid, hidup dalam serba sederhana, tidak serkah dengan kekayaan dan kesenangan duniawi.B iasa kita mendengar baginda berpuasa dengan tidak bersahur kerana tiada apa untuk dijamah. Sedangkan kepada para pengikutnya yang belum setingkat dengan kesufiananya, baginda menganjurkan sunat segera berbuka dan sunat melewatkan bersahur. Tatkala ditanyai para sahabat mengapa baginda kadang tidak berbuka dan tidak bersahur, Nabi menjawab bahawa ia selalu diberi Tuhan makan dan minum baik dalam jaga atau tidurnya. Makan baginya sekadar untuk hidup kerana hidup itu baginya bukan untuk makan. Sabda baginda:" Kami ini satu golongan yang tidak makan kalau tidak lapar, dan apabila kami makan, kami jaga jagan sampai kekenyangan". Apa maksud kami satu golongan itu? Siapa itu?.
Hari-hari puasa baginda habiskan dengan bersembahyang, berzikir, istighfar dan doa dan kekadang dikerjakan sepanjang malam tanpa tidur. Kalau bersendirian dipanjangkan bacaannya begitu ketika rukuk dan bersujud tapi bila menyedari ada makmun mengikutinya di ringkaskan sahaja kerana yang dibelakangnya tidak setingkat dengan baginda dalam ketaatan dan kesufiannya.
Meskipun kata Sufi dan tasawwuf belum dikenal orang lagi tapi apa yang dikerjakan Nabi dan apa yang disebut dalam Al-Quran mengenai tasawwuf itu sudah lama dikenal dan dipraktikkan.Kehidupan Nabi dicontohi para sahabat seperti Saidina Abu Bakar. Sebelum Islamnya beliau adalah saudagar yang kaya raya tapi tengoklah sesudah Islamnya habis kekayaannya digunakan ke jalan Allah sehingga seekor unta pun beliau tiada. Setiap keperluan jihad Nabi bertanya siapa yang akan memberikan sumbangan, jarang ada tangan lain yang cepat menghulurkan bantuan kecuali Saidina Abu Bakar sendiri.
Tatkala Saidina Umar ingin menyanginya pada satu hari dengan berkata:"Saya ya Rasulullah." Rasulullah bertanya:"Hai,Umar! Berapa banyak hartamu yang sudah engkau sedekahkan untuk jalan Allah?' Umar menjawab:"Seperdua dari hartaku". Kemudian Nabi bertanya Saidina Abu Bakar yang semacam itu, beliau menjawab bahawa seluruh untanya telah dibiayai semuanya, tidak seekor pun yang tinggal padanya lagi. Maka Nabi berkata:"Apa yang tinggal lagi padamu?" Jawab Saidina Abu Bakar dengan pendek dan puas "Allah dan RasulNya!". Bukankah itu gambaran Sufi yang ada pada Saidina Abu Bakar As-Siddiq?
Bagaimana orang sekejam Saidina Umar Al-Khattab sebelum Islam menjadi seorang yang berhemah-tinggi dan bertawadduk pada agamanya. Katanya:" Sudah berpuluh2 tahun aku menjadi jagoan, orang yang ditakuti di seluruh Mekah, sudah berpuluh2 manusia mati dalam tanganku, sebagai seorang yang paling keras dan berani, tetapi pada ketika itu sekujur badanku mengeletar, seluruh tubuhku lemah, seakan2 tidak berdaya aku berdiri lagi. Apa yang kusangka2kan dan apa yang menjadi waswas dalam hatiku, semuanya dijawab oleh ayat-ayat Quran yang ada pada tanganku yang demikian bunyinya:
"Hai, Muhamad! Tidaklah Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu untuk menyusahkan dan memecahbelahkan umat. Hanya Kami turunkan dia untuk jadi nasihat dan peringatan bagi mereka yang takut. Quran diturunkan dari Tuhan yang menjadikan bumi dan petala langit yang tinggi, iaitu Tuhan yang bersifat pengasih, yang bersemayan diatas Arasy, Tuhan yang memiliki apa2 yang terdapat dalam petala langit dan apa yang di dalam lapisan bumi, yang memiliki apa yang terdapat di antara keduanya dan juga di dalam liang bumi yang tersembunyi. Baik engkau berkata keras dan tegang, Dia mengetahui seluruhnya, sampai kepada rahsia2 yang tersembunyi dalam hatimu. Tuhan itu ialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, dan bagiNya kembali dipersembahkan segala nama2 yang baik". (Quran XX :1-8)
Tentang Saidina Ali Bin Abi Talib semua orang ketahui kerana dialah salah satu tokoh besar daripada sahabat2 yang menjadi tiang penggerak bagi ajaran Sufi itu. Dengan kata-katanya yang tajam, bersifat Sufi, terhadap Tuhan, terhadap dunia dan terhadap manusia. Dia pernah hendak hidup dengan tiga buah khurma sehari, sehingga hampir merosakkan kesihatannya. Dalam satu peperangan Khaybar diriwayatkan pernah beliau diludahi seorang musuh selepas terlepasnya pedang dari tangannya (musuh tadi). Tidak dibunuhnya musuh itu tapi disarungkan pedangnya dan berlalu pergi meninggalkan musuh itu terpinga2 dan tersentuh hatinya lalu memeluk Islam. Kalau kita, habis dicincang-lumat mamat musuh itu. Bacalah riwayat hidupnya yang paling sederhana.
Begitu dengan dengan Saidatina Siti Fatimah pada satu ketika mengeluh tentang pekerjaannya yang berat dan ingin mengambil seorang khadam membantunya. Niatnya diketahui Rasulullah dan berkata Nabi:"Aku tidak akan memperkenankan dikau berbujang, sedang ahli suffah menderita kelaparan pagi dan petang". Baginda menyuruh anaknya bekerja sendiri dan meminta tolong kepada Tuhan dengan mengucapkan tasih, takbir dan tahmid.
BIARA dan SUFFAH
Banyak orang mengatakan kehidupan orang2 Sufi yang memencilkan diri untuk beribadah itu diambil dari orang2 Nasrani yang mendidik pendita2nya dalam sebuah asrama khas untuk untuk menghasilkan pendita2 lelaki dan wanita. Kita panggilnya sebagai biara. Sebenarnya pendidikan sebegini sudah ada di zaman Nabi lagi dan dikenali sebagai Suffah. Suffah merupakan satu ruang yang kecil yang didirikan disamping masjidnya di Madinah dan ditempatkan sahabat2 baginda untuk dididik dengan ilmu2 agama. Mereka yang keluar dari rumah pendidikan ini dipanggil ahli Suffah dan lahirlah sahabat2 yang istimewa dan pemuka2 islam yang berpengaruh.
Sebahgian besar ahli Suffah ini adalah dari kalangan mereka yang miskin dan mengikuti Nabi ke Madinah. Mereka menerima pelajaran lansung dari Rasulllah, mempelajari Al-Quran, berpuasa dan keluar mengikuti Nabi dalam peperangan. Kekadang nabi mengajak mereka makan malam dirumahnya. Contohnya seperti Abu Dzar Al-Ghiffari dan Abu Hurairah ra. Abu Hurairah menjadi penghubung antara Nabi dan ahli Suffah itu. Setiapkali Nabi menyerahkan sedekah kepada Abu Hurairah, beliau akan membahagikan sedekah itu pada teman2 asramanya.
Ibn Abbas menerangkan bahawa Nabi satu ketika berdiri dihadapan sahabat2 dari Suffah itu, melihat kemiskinannya, tetapi melihat juga kegiatan mereka dan kebaikan mereka lalu bekata:"Gembiralah kamu semua, wahai ahli Suffah! Barangsiapa dikalangan umatku yang meniru perilakumu dengan sukarela, maka orang itu mejadi sahabatku pula".Dalam hadith lain Nabi bersabda:" Ahli-ahli Suffah itu adalah tetamu2 orang Islam, mereka tidak mempunyai keluarga, tidak mencintai harta benda dan tidak terikat pada seorang manusia pun hatinya kecuali kepada Allah dan Rasul".
Selepas zaman Nabi tempat sedemikan dinamakan Zawiyah dan Ribat dimana calao2 Sufi ditempatkan di satu tempat khas untuk latihan2 tarekatnya, dilengkapi dengan mihrabnya untuk berolat jemaah, tempat membaca Quran dan mempelejarai ilmu lain sehingga Zawiyah itu merupakan sebuah asrama dan madrasah.
Di daerah Maghribi, ribat digunakan untuk mendidik orang-orang Sufi dalam ketenteraan. H.A.R Gibb dalam Shorter Encycopedia of Islam (Leiden, 1955) di Morocco pengaruh Zawiyah sangat besar dalam mengeluarkana pejuang-pejuang perang Kerajaan Sa'adian. Di Granada terdapat Zawiyah untuk pendidikan budipekerti. Di Mesir banyak Zawiyah2 didirikan yang diceritakan oleh Khalifani dalam majalah Al-Muslim, sebuah majalah Sufi terbitan 1381H.
Contoh...Zawiyah Al-Khudairi terbina dibelakang Masjid Ibnu Tulun (965H). Madrasah Jalaluddin Al-Bakri (996H) dibina dekat Masjid Al-Azhar, Zawiyah Al-Haluji (688H) dekat kubor seorang alim Al-Baqini dan lain2 lagi Zawiyah yang boleh diikuti dari majalah tersebut.
Pada waktu itu terkenal tarekat2 yang besar di Mesir yang dengan sendirinya melahirkan Zawiyah-zawiyah baru pula. Diantaranya terekat Qadiriyah yang berasal dari Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (561H), tarekat Rifa'iyah dari Syeikh Ahmad Rifa'I (meninggal 576H), tarekat Syaziliyah dari Asy-Syazili (meninggal 606H), tarekat Ahmadiyah dari Syeikh Ahmad Al-Badawi (meninggal 675H), tarekat Naksyabandiah dari Syeikh Muhammad An-Naksyabandi (meninggal 971H) dan tarekat Maulawiyah berasal dari Jalaluddin Ar-Rumi yang meninggal pada 673H.
Ketahuilah, bahawa segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada golongan Sufi adalah satu kebohongan belaka. Ahli-ahli Fiqh serang-menyerang sampai ke tahap kafir-mengafirkan antara satu sama lainnya, manakala dalam dunia Sufi orang berlumba-lumba puji-memuji sesama ulama-ulamanya. Ramai dikalangan ulama-ulama muktabar seperti Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Al-Ghazali terlibat dengan dunia tasawwuf itu. Ini adalah kerana ilmu tasawwuf itu adalah tuntutan dalam Islam. Memang Quran menjadi sumber pokok , Sunnah adalah merupakan penjelasan yang penting manakala Tasawwuf adalah urat nadi daripada perlaksanaan ajaran-ajaran itu.
Orang Sufi melihat kerusakan yang berlaku didunia ini disebabkan oleh dua keadaan. Pertama, kerana manusia sudah tidak lagi percaya kepada Tuhan. Inilah hakikatnya. Kalau sudah tidak mengenal Tuhan, akibatnya sudah tidak takut dan patuh segala laranganNya. Peraturan yang diadakan Tuhan adalah untuk mengadakan perdamaian sesama manusia di atas muka bumi ini.
Sebab yang kedua adalah kerana manusia itu terlalu mencintai dirinya sendiri. Akibat dari itu timbulah kecintaan pada hartabenda dan kekayaan, cinta pada makanan dan minuman yang berlebihan, cintai anak isteri secara berlebihan, mencintai rumahtangga yang besar dan megah, mencintai kedudukan dan pengaruh, mencintai nama yang harum dan masyhur, yang akhirnya membawa kepada kecintaan yang sangat pada dunia dan ingin hidup kekal di atas bumi ini.
Orang-orang yang menuju jalan ketuhanan sebegini mementingkan kebersihan hidup batin, faham tujuan dijadikan dan matlamat dituju. Orang-orang beginilah dinamakan orang-orang Sufi dan nama ilmunya disebut tasawwuf. Mereka berpegang pada Iman, Islam dan Ehsan.
Wallahu 'Alam.
Rujukan:
Pengantar ilmu Tarekat dan Tasawwuf oleh Prof. Dr. Hj. Aboebakar Atjeh (Pustaka Aman Press S/B), Cetakan Kedua 1985.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan