Khamis, 2 Julai 2009

Karamah Para Wali Berterusan

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Dikatakan karamah para wali boleh terjadi selepas wafatnya dan tidak khusus sewaktu hidupnya sahaja. Dalilnya adalah karamah setelah mati adalah hal yang mungkn terjadi dan kerana semua hal yang mungkin itu boleh terjadi, maka karamah setelah mati boleh terjadi.

Al-Hafizh Al-Munziri menceritakan dari Ibnu Abbas ra bahawa seorang sahabat dengan tanpa sedari telah mendirikan khemah di atas satu kuboran. Tiba-tiba dia terdengar dari kuboran itu ada bacaan surah Al Mulk dari awal hingga akhir. Peristiwa itu dimaklumkan kepada Rasulullah saw dan dipendekkan ceita Rasulullah menjawab: :"Itulah adalah perisai dan itu adalah pengaman dari siksa kubor". Hadith ini diriwayatkan oleh Imam At-Termitzi.

Inilah dalil atas terjadinya karamah selepas mati dan diakui sendiri oleh junjungan besar baginda saw. dari perkataan: " Itulah adalah perisai dan itu adalah pengaman dari siksa kubor".

Tidak ada nas yang mengatakan terputus karamah itu dengan kematian dan hanya dikhususkan pada yang hidup sahaja. Dunia bagi makhluk berkata setengah ulama adalah sebelum daarul akhirat. Dalam kitab Al-Mawahibul Laduniyyah terdapat hadith bersanad shahih tentang 'Ikrimah maula Ibnu Abbas, Sesungguhnya dia bertanya tentang hari kiamat, apakah termasuk dunia atau akhirat, maka dijawab:"Setengahnya yang pertama termasuk dunia, iaitu yang terjadi atasnya putusan dan hisab dari dunia dan setengahnya yang kedua adalah akhirat iaitu jatuhnya keputusan untuk dikembalikan ke neraka atau syurga".

Jadi berhukum pada menyatakan karamah para wali harus terjadi walaupun setelah wafatnya sebab mereka masih berada di dunia.

As-Syeikh As-Samhudi berkata:" Seharusnya muncul karamah bagi mereka yang telah mati, lebih utama daripada munculnya karamah pada masa hidupnya, sebab nafsu tetap lebih bersih dari noda, cubaan dan lain-lain. Hal ini banyak terjadi kepada mereka selepas wafatnya. Maka jelaslah mereka yang berhujah tentang putusnya karamah oleh kematian sampai dinisbahkan kepada Al-Imam Abu Hanifah merupakan alasan yang bathil".

Bahkan Al-imam Abu Hanifah memiliki karamah selepas wafatnya sebagaimana diriwayatkan oleh para imam: "Ketika jenazah beliau diletakkan di dalam keranda, maka terdengar satu panggilan:"Wahai orang yang bangun malam, yang suka beribadat, memperbanyakkan tahajud, suka berpuasa, engkau dipersilakan oleh Allah menuju Darus Salam." Apabila jenazah diletakkan di liang lahad terdengar suara yang berkata"

فروح وريحا ن وجنت نعيم

Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran serta syurga kenikmatan. (Al-Waaqiah : 89)

Inilah sebahgian dari dalil tidak terputusnya karamah selepas kematian dan apa yang berkaitan dengan perbuatan semasa di dunia. Hakikatnya, karamah para wali semasa hidup maupun selepas matinya hanya boleh terjadi dengan izin Allah swt dan iradahNya. Tidak ada sekutu bagiNya dalam iradahNya sewaktu menciptakan atau mengadakan sesuatu.

Allah telah menberi kurnia pada para walinya sehingga mereka mampu berbuat dan berkata-kata diluar kebiasaan. Dihantar kepada mereka melalui ilham, ada melalui mimpi , ada juga melalui doa mereka padaNya, ada ketikanya melalui perbuatan dan ikhtiar mereka hatta ada kalanya tanpa ikhtiar tanpa tujuan dan tanpa senjata tanpa perasaan tetapi muncul cuih…….karamah itu. Ada juga ketikanya mereka bertawasul kepada Allah dengan perantaraan mereka, baik pada masa hidup maupun setelah wafatnya. Itu semua termasuk kemampuan Ilahiyyah yang dikurniakan kepada mereka.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:"Dengan membaca kitab Shafwatush Shafwah, kita mendapat ilmu tentang terjadinya karamah secara dharuri. Kita juga telah melihat karamah para wali yang masih hidup dan yang sudah wafat. Maka tidak ada yang mengengkarinya kecuali orang2 yang hina yang rosak kepercayaannya ke atas wali Allah dan hamba2Nya yang istimewa. Semoga Allah SWT mengizinkan kita mengambil manafaat dari mereka".

Dalam kitab Syarhul Maqashid karangan Saadduddin At-Taftazani katanya:"Menurut perhitungan, tampak bahawa karamah para wali hampir sama mukjizat para Nabi. Tidak hairanlah bila para ahli bidaah mengingkari hal tersebut sebab mereka tidak melihat hal itu terjadi pada diri mereka dan tidak pula mendengar dari para pemimpin mereka beserta ijtihadnya di dalam ibadah dan menjauhi keburukan padahal para wali Allah SWT berhak memiliki karamah. Maka orang2 seperti itu perlu diberi tunjuk ajar supaya terbina kebersihan akhlaknya, kesucian jiwanya dan mengikuti tarikat."

Dalam Syarah Muslim, Imam Nawawi menukilkan "Karamah itu terkeluar dari adap kebiasaan tetapi hati manusia mampu membenarkannya".

Lain bagi mukjizat itu yang hanya dikurniakan pada para Nabi yang diperlihatkan ketika ada perlawanan dari orang2 yang menentangnya. Kalau keluarbiasaan yang muncul selepas wafatnya para Nabi itu adalah karamah dan bukannya mukjizat lagi. Karamah bukan merupakan hasil perbuatan dan ikhtiar hamba melainkan hasil perbuatan Allah SWT jua. Dan wali adalah perantara untuk menampilkan karamah tersebut. Dalam hal ini tidak ada bezanya apakah wali tersebut masih hidup ataupun sudah wafat. Diri peribadi wali itu (ada orang sebut tok syeikh) tidak berperanan dalam hal ini. Allahlah yang menetapkan hajat melalui dirinya. Dalam Kitab Al-Hilyah disebut:"Sesungguhnya Allah berfirman:'Wahai Jibrail, penuhi keperluan hambaku".

قل لآ يعلم من فى السموت والأرض الغيب ألآالله

Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. (An-Naml:65)

Betul! Tiada sesiapa pun tahu mengenai apa jua yang berbentuk ghaib. Kalaupun para wali tadi berpengetahuan tentangnya itu kerana diberitahu oleh Allah melalui cara2 yang disebut di atas tadi ataupun melalui perantara malaikatnya Jibrail. Kita tidak boleh mengatakan mereka mengetahui perkara ghaib sebab mereka memang tiada memiliki sifat itu dalam ilmunya.

Dari dulu hingga kini ada yang menolak dan menghalangi permohonan terhadap para wali atau tok syeikh ini. Pada mereka syirik berbuat demikian. Mereka berdalil dengan hadith sabdaan Rasulullah saw :"Apabila meminta, maka mintalah kepada Allah".

Bagi yang faham akan maksud serta tujuan hadith diatas, ia adalah agar seseorang yang bodoh bertanya pada yang pandai. Seseorang yang terkena musibah pi minta tolong pada orang yang padanya boleh menolonginya, berpinjam pada orang yang boleh memberi pinjaman atau meminta nasihat pada yang boleh menasihati. Pemahaman yang salah pada hadith di atas menyebabkan semua yang disebut tadi (meminta tu) tidak benarlah?. Padahal didalamnya terdapat permintaan sedekah orang papa pada si kaya, permintaan rakyat marhaen pada kerajaan supaya masalah2 mereka dipenuhi. Jadi hendak diletak kemana permohonan tadi?.


Kekadang berlaku kesalahan meletakkan hadith, lainlah pada hal2 yang jelas menampakkan keburukannya. Seseorang memang tidak dibenarkan meminta kepada selain Allah. Meminta yang bagaimana? Adapun hadith diatas digambarkan ancaman pada orang yang suka meminta-minta harta orang lain walaupun tiada hajat. Ia memujuk supaya bersikap qana'ah terhadap apa yang dipermudahkan Allah SWT dari kebaikan walaupun sedikt dan menahan diri dari kepeluan terhadap sesuatu yang ada ditangan orang lain.

Disinilah hadith ini bersesuaia seperti diatas.

واذااستعنت فا ستعن با لله

Apabila kamu (ingin) meminta pertolongan, maka mintalah kepada Allah.

Jadi meminta bantuan pada para wali yang anda yakini bahawa mereka itu hidup dan hanya bertindak dengan kekuasaan Allah Taala bukanlah berbentuk syirik sebab syirik itu beryakinan bahawa di dalam diri para wali atau tok syeikh itu terdapat sifat ketuhanan (rububiyyah). Meminta pada mereka adalah atas dasar bahawa mereka menjadi sebab terkabulnya sesuatu permohonan dan tiada terdapat larangan di dalamnya dan tidak menolak hadith itu secara mutlak.

Maksud hadith itu juga adalah melarang untuk melupakan bahawa kebaikan itu bukan berasal dari para wali atau tok syeikh melainkan dari Allah SWT, juga memerintah agar kita menyedari bahawa bahawa kenikmatan yang diterima oleh makhluk itu semuanya berasal dari Allah jua. Apabila kita ingin meminta pertolongan dari makhluk jadikan Allah itu sebagai andaiannya. Dialah yang memudahkan kita dan memenuhi segala kehendak kita. Tapi awas! Jangan sampai terlajak dan terleka atau terpukau oleh orang yang menjadi wasilah sehingga melupakan sebab yang pokok iaitu Allah. Yang inilah ramai yang tergelincir dan jatuh jadi syirik itu. Tapi bagi yang beringat dan berkeperluan itu tidak menjadi satu masalah baginya. Lebih-lebih lagi bagi seseorang yang berilmu.

Dalam Sahihain dikatakan:

من كا ن في حا جة أخيه كا ن الله في حا جته

Barangsiapa berada di dalam (menunaikan) hajat saudaranya maka Allah akan berada di dalam (menunaikan) hajatnya.

Dalam Shahih Muslim:

والله في عون العبد ما دام العبد في عون أخيه

Allah akan menolong hambaNya selama hamba itu menolong saudaranya.

Maka orang2 yang menggunakan para Nabi dan wali atau tok syeikhnya sebagai wasilah kepada Allah untuk menarik manafaat atau menolak mudarat bererti dia memohon kepada Allah. Hal ini termasuk Sunnah Ilahiyyah di mana Allah memerintahkan hamba-hambaNya untuk melakukannya. Sunnah yang diletakkan oleh Allah ini boleh menurunkan rahmatNya dan menolak murkaNya.

Kata Syeikul Hujatul Islam Ibnu Taimiyyah:

Karamah para wali Allah hanya terjadi kerana berkat mengikut Rasulullah. Maka pada hakikatnya, karamah itu termasuk mukjizat Rasulullah.

Kalau kita ikuti satu persatu peristiwa2 karamah itu sendiri sejak dari zaman Nabi hingga ke zaman kita sekarang mana mungkin kita mengabaikan kesahehan kekaramahan para-para wali itu. Kekaramahan mereka disebut-sebut orang dan hanya mereka yang mempercayainya sahaja senang diajak berbicara.

Tak usah pergi jauh-jauh di negara kita sendiri pun terdapat banyak tempat yang berkaramah yang dihubungkaitkan dengan alim ulamak tempatan yang hanya perlu kita menggali dan mensabitkanya. Gitu juga di negara sahabat kita, Indonesia. Peristiwa tsunami 2004 yang dahsyat di bumi Aceh tapi bagaimana dengan izin Allah masjid itu (semua orang tahu) terselamat dan menjadi tempat teduhan masyarakat di masa kejadian itu. Selidikilah dengan mata hati sejarah masjid itu dan tokoh di belakangnya dan apa keistimewaan disudut syiar islami di masa lampaunya. Penghormatan oleh Allah Taala ke atasnya bersabit. Jangan cepat memuncungkan mulut dan menuduh itu dan ini tanpa dasar ilmu. Dan jangan cepat melupakannya tanpa memahami hakikat disebaliknya. Betul, semua berlaku dengan izin, ketentuan dan kekuasaan Allah jua.

Lihat peristiwa karamah selepas wafatnya Uwais Al-Qarni (beliau mempunyai karamah semasa hidup, merupakan seorang tabi'in yang hidup sezaman dengan Rasulullah tapi tak pernah mendatangi baginda tapi kewujudannya diketahui baginda saw). Ketika beliau wafat dijumpai di dalam bajunya kain kafan yang sebelumnya tiada ada. Ditemukan pula liang lahad yang sudah siap digali di dalam batu-batu. Maka jenazahnya dimasukkan ke situ dan dikafani dengan kain itu.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan: